Travelog Haji : Mengubah Sempadan Iman
Entri ini aku sudah tulis beberapa waktu dahulu dan diletakkan di dalam Nota Facebook. Aku kongsikan di sini untuk kamu manfaatkan. Ada banyak perkara berlegar-legar dalam kepala yang mahu dikongsi dengan kamu terutamanya tentang isu semasa, tetapi aku tidak punya masa mencukupi untuk edit penulisan sendiri. Nanti bila masanya tiba, aku akan rangkumkan kesemuanya ya.. Selamat membaca.
"DAN ALLAH MEWAJIBKAN MANUSIA MENGERJAKAN IBADAT HAJI DENGAN MENGUNJUNGI BAITULLAH IAITU SESIAPA YANG MAMPU SAMPAI KEPADANYA. DAN SESIAPA YANG INGKAR, SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA KAYA DAN TIDAK BERHAJATKAN SESUATU PUN DARIPADA SEKALIAN MAKHLUK." (Ali Imran:97)
Sebenarnya sudah lama aku ingin kongsikan dengan sahabat-sahabat semua tentang buku ini. Sudah beberapa bulan yang lalu naskhah ini aku hadamkan selepas dibeli di toko buku. Kekangan masa selalu menjadikan aku selalu bertangguh. Apapun, rahmat Zulhijjah baru sahaja berlalu, kiranya wajar untuk aku kongsikan naskhah ini dengan sahabat-sahabat semua.
Buku ini aku kira ditulis dari lubuk hati paling ikhlas oleh penulis yang bukan calang-calang cemerlang dari sudut akademik. Barangkali dikalangan cendikiawan, kalian sudah biasa dengan sosok pemilik nama Prof. Dr. Muhd Kamil Ibrahim. Benar, dia hebat di lapangan akademik tetapi berkat keikhlasan ibadah yang beliau laksanakan, beliau juga sekarang ini muncul sebagai seorang dai'e yang kebal sifat tawadhu'.
Buku ini ditulis berdasarkan pengalaman peribadi penulis dan orang-orang yang dekat dengan beliau semasa mengerjakan ibadah haji. Aku akui, kembara mencari damai di bumi Makkah dan Madinah tidak menyamai keindahan perjalanan ke tempat-tempat lain. Keindahannya sukar digambarkan dengan kata-kata. Kerinduannya ada ketika menyesakkan dada. Menggetarkan jiwa. Membenih cinta yang luar biasa.
Hidup adalah kembara menelusuri belantara menuju Kekasih sejati, Allah Rabbul Izzati. Bermula dengan kisah bagaimana penulis menggambarkan dirinya sebagai insan yang cetek agama dilayangkan kad jemputan oleh Allah untuk menjadi tetamu Al-Haramain. Dinukilkan bagaimana persediaan seorang yang menganggapkan dirinya sebagai jahil berusaha memahami setiap gerak laku dan ayat-ayat hafazan terutama lafaz talbiyyah untuk dibaca dan diamalkan sepanjang musim haji.
Aku sangat tertarik bagaimana solat sunat tahajjud yang dilaksanakan saban malam akhirnya berjaya mendidik hati seorang manusia yang "nakal" di usia muda untuk mencari keagungan dan kebesaran Tuhannya sendiri, Tuhan kita semua.. Di sebalik kad jemputan yang dilayangkan, penulis turut mengisahkan suka duka perjalanan sepanjang berada di Tanah Haram dan pelbagai cabaran yang mesti dilalui. Cabaran bukan hanya dipersembahkan di Tanah Haram, tetapi ia bermula sejak dari bumi Malaysia lagi.
Apapun, sifat tawadhuk, sifat kehambaan yang tinggi dan disuburkan dengan limpahan keikhlasan menyebabkan penulis mampu menghadapi segala getir yang menjadi teman di sepanjang jalan ibadah dengan baik. Segala pelaksanaan rukun haji diceritakan dengan lengkap, malahan diceritakan kaedah tersendiri hasil pengamatan dan pemerhatian penulis mengenai disiplin manusia yang ternyata lebih mudah untuk diikuti bagi melaksanakan ibadah dengan baik. Contohnya seperti apakah laluan paling mudah untuk mengucup Hajarul Aswad dan saat paling mudah untuk melaksanakan ibadah melontar di beberapa Jamrah.
Intipati terpenting yang banyak menyentak hati aku adalah bagaimana penulis begitu meletakkan sepenuh pergantungan kepada Allah sepanjang menunaikan ibadah haji. Doa dipanjatkan tanpa putus dan Allah itu sememangnya Maha Pengasih dan Maha Penyayang, Tuhan sentiasa mengabulkan permintaan hamba-Nya yang dipanjatkan dengan hati yang ikhlas. Allah memungkinkan untuk jasad dan roh beliau merasai nikmat beribadah di usia 42 tahun. Di usia sebegitu, penulis gambarkan sebagai panggilan kematian semakin hampir.
Pengorbanan untuk mendapat haji yang mabrur sangat besar dan tentunya kesabaran diletakkan di tingkat teratas. Tapi, aku percaya apabila pengorbanan dilakukan dengan niat ikhlas, pasti akan mendapat balasan kemuliaan di sisi Allah. Kesannya, tawadhu' dan malu dijadikan perhiasan dan pakaian pada diri sehinggakan pakaian yang ingin dipakai sekembalinya penulis ke tanahair pun diambilkira agar ia tidak terjumlah kepada perasaan ujub dan takabbur.. subhnallah.. indahnya hidayah..
Kesannya, sekembalinya penulis ke Malaysia, ada natijah besar yang diizinkan Tuhan untuk berlaku. Surau yang selama ini dikunjungi beberapa insan yang hatinya terikat dengan masjid mula diimarahkan dan medan dakwah menjadi jalan pilihan. Inilah orang-orang yang gharib yang mampu bertahan menongkah arus menyebarkan syariat Allah. Maka, tidak hairanlah jika buku ini dikategorikan sebagai THE NATIONAL BEST SELLER yang mana saat aku membeli, ia telahpun terjual melebihi 10,000 naskhah dalam tempoh 6 bulan.
Sejujurnya, mata ini banyak kali tumpah dengan manik-manik jernih. Aku sayu, sebak dan terharu kerana nukilan kisan tentang Al-Haramain sangat dekat dengan jiwa. Aku kagum dengan pengorbanan seorang hamba dalam perjalanan memburu redha Sang Pencipta. Buat semua, selamat menelusuri indahnya perjalanan dakwah seorang hamba yang memburu cinta Al-Khaliq : suatu perjalanan yang berjaya mengubah sempadan iman, mengubah tradisi dalam mencari redha Illahi sebagai bekal menuju negeri abadi.
Nantikan sambungannya iaitu TRAVELOG DAKWAH : MENITI HARI ESOK..
0 comments:
Post a Comment