Muqaddimah - Yang Indah Itu Bahasa - Yang Cantik Itu Budi

Sunday, January 31, 2010 Posted by Azizah Aling


"u kt ner skunk? i nk MeEt u jap. U bZ x? F u x bz, gimme a cAll k? Juz nk lepAk2 wit U beb"


Ini antara pesanan ringkas yang aku terima di telefon bimbit petang semalam daripada seseorang yang aku tidak tahu siapa memandangkan nombornya tidak tersenarai dalam simpanan buku telefon. Aku juga tidak membalas pesanan tersebut untuk bertanya dengan lebih lanjut tentang butir diri si pengirim. Ia bukanlah bermakna aku menyombongkan diri tetapi aku agak rimas dengan gaya bahasa dan bentuk tulisan yang terpamer di skrin telefon bimbit.


Aku seringkali berasa tidak selesa dengan penggunaan gaya bahasa anak-anak yang menggelarkan diri mereka moden dalam konteks dunia hari ini. Aku tidak pasti siapakah guru yang berjaya "membentuk" gaya penataan bahasa sedemikian. Aku fahami barangkali si empunya diri mahu meringkaskan pesanan agar padat dan karakter huruf tidak melebihi kadar satu pesanan. Apabila ia melibatkan duit, aku faham akan kekangannya. Tetapi, apakah perlu mencampur adukkan bahasa ibunda dengan bahasa asing sampai sebegitu rupa?


Kalau mahu berbahasa Melayu, berbahasalah dengan sebaiknya. Kalau mahu menggunakan Bahasa Inggeris, berbahasa Inggerislah dengan sebaiknya juga. Tidak salah kita mempunyai kepandaian dalam pelbagai bahasa asalkan kita mengamalkannya dengan penuh rasa tanggungjawab dan bukan taksub dengan bahasa rojak sehingga ejaannya juga diringkaskan sekaligus mencacatkan butir bahasa itu sendiri.


Mungkin bunyinya aku ini agak kekampungan, tidak mahu berada dalam arus semasa dan mengangkat medenisasi dan globalisasi sebagai asas untuk menganuti budaya alaf baru agar tidak ketinggalan di belakang. Ahh.. biarkan. Aku sememangnya anak kampung yang asalnya miskin, dan aku sesungguhnya tidak sanggup mengorbankan bahkan tidak sanggup menggadaikan akar budaya yang aku pertahankan semata-mata untuk digelar sebagai wanita moden. Aku mempunyai sudut pandang yang berbeza. Bagi aku, orang yang mampu menghormati dan menghargai bahasa sendiri itu sebenarnya lebih bertamaddun. Sebaliknya, orang yang sudi menjadi pencacai kepada bahasa dan budaya kita itulah yang tertinggal jauh ke belakang dan wajar dianggap sebagai tidak bertamaddun.


Budaya ini bukan sahaja popular dikalangan anak muda semasa penggunaan sistem pesanan ringkas, bahkan semakin berleluasa terutamanya di laman sosial seperti Facebook, Friendster dan MySpace. Aku bimbang sekiranya ia makin terus berleluasa, apakah lagi yang tinggal untuk kita wariskan kepada anak generasi akan datang? Aku risau andainya nanti anak-anak kita lupa apakah bentuk ejaan yang betul dan laras bahasa yang tepat dalam mengungkapkan sesuatu perkara.


Barangkali bunyinya sedikit sinis. Tapi, aku berasakan bahawa penggunaan kosa kata dan tatabahasa serta ayat yang betul akan menampakkan kematangan dan taraf penghormatan yang tinggi terhadap tamadun bangsa kita sendiri. Kita selalu mempertahankan bahawa Tanah ini milik kita, budaya melayu adalah budaya yang penuh santun dan manis dan penuh gemalai. Tetapi, siapakah sebenarnya yang cuba meruntuhkan sendiri apa yang kita ingin bina dan letak di tempat teratas kalau bukan tangan kita sendiri?


Kalau difahami penafsiran makna Melayu di dalam Perlembagaan Persekutuan Artikel 160: Melayu itu didefinisikan sebagai seorang yang bertutur dalam Bahasa Melayu, mengamalkan ajaran Islam dan menerima adat resam budaya Melayu yang telah diwariskan zaman-berzaman. Ini bermakna, kalau benar kita mahu mengangkat bahasa dan budaya kita, kita harus mulakan dengan perkara yang kecil agar asas yang kecil ini akan memberi kekuatan untuk kita menegakkan perkara yang lebih besar. Bagi aku, kalau hal sebegini kita hanya pandang mudah dan menerima dengan sekadar sebelah mata, aku tidak pasti apakah ajaran Islam yang dibawa juga akan diambil mudah memandangkan ajaran itu sendiri mencakupi pelbagai perkara kecil yang dianggap remeh oleh sesetengah manusia sehinggalah kepada bab yang besar. Ia bermula daripada bab Taharah sehinggalah kepada bab Siasah.


Kalau kita menerima adat budaya kita dengan baik, maka tiada pintu untuk orang lain menghina dan menginjak kita kerana kuncinya dipegang oleh kita sendiri. Masalah akan timbul apabila kita sendiri yang sudi menyediakan banyak kunci pendua untuk membolehkan orang lain turut masuk ke dalam rumah kita dan mengharu-birukan suasana, seolah-olah tampak kita ini tidak mempunyai kuasa apa-apa.


Aku terkenang-kenang kata-kata Kiyai Abdullah Gymnastiar atau lebih dikenali sebagai AA Gym:


"Saudaraku, kita harus memiliki kepekaan. Bukan sahaja peka terhadap hal-hal besar, namun peka pula terhadap hal-hal kecil. Tidak ada satu pun yang besar kecuali diawali oleh sesuatu yang kecil. Semegah dan setinggi apa pun gedung, pastilah ia tersusun atas batu-bata dan besi-besi kecil. Begitupun sebuah buku, ia tersusun atas kalimat-kalimat. Sebuah kalimat adalah rangkaian kata. Sebuah kata adalah rangkaian huruf. Dan sebuah huruf adalah rangkaian titik.


Titik adalah tanda terkecil yang biasa dilihat manusia. Walaupun kecil, tapi pengaruhnya begitu besar. Di dalam tatabahasa Arab, sebuah titik bisa mempengaruhi makna sebuah kata. Tanpa titik, beberapa huruf Arab tidak mengandung arti. Begitupun bila salah menempatkan titik, maka makna sebuah kata dan cara membacanya jadi berbeda.


Apa hikmahnya bagi kita? Kita jangan mengabaikan kebaikan sekecil apa pun dan juga jangan menganggap remeh keburukan sekecil apa pun. Kita harus selalu waspada terhadap semua hal kecil yang bisa menjadi amal atau yang bisa menjadi dosa. Kecil menurut kita belum tentu kecil dalam pandangan Allah."


Nah!! fahami dan dalami kata-kata di atas sedalam-dalamnya. Banyak bentuk pesanan dan kiasan yang tersimpul rapi di situ. Selamat merungkaikannya dan selamat berbahasa dengan penuh rasa tanggungjawab.

7 comments:

Azrul Hisham said...

Setuju pandangan saudari...ada sesetengah blog yang menggunakan tulisan SMS bercampur aduk sampai mata saya berpinar nak membaca....

Azizah Aling said...

Saudara Azrul, kadang-kadang ada ilmu yang bagus yang ingin mereka kongsikan di blog mereka. Tetapi akibat daripada salah penataan ejaan dalam berbahasa, ilmu yang ingin dikongsi tidak sampai kepada insan yang membaca. Rugi jadinya.

azieazah said...

Benar ... ramai sekali generasi sekarang yang meremehkan soal penggunaan bahasa... Sungguh malang bila mereka merasa bangga pula..

Azizah Aling said...

Benar kakak. Semoga kita tidak menjadi sebahagian daripada makhluk perosak itu :)

Cetusan said...

yang pedih itu hati,yang sakit itu mata ringkas sangat..

nota:komen bukannya tanda BIASsokong sekapal ..

Azree Ariffin said...

Kak Azizah,

Betapa benar! Saya sendiri terkadang agak gatal mata membaca tulisan-tulisan menggunakan singkatan sebegitu, terutamanya di dalam Facebook. Saya percaya, bahasa melambangkan peribadi penuturnya. Maka, penggunaan bahasa yang baik itu harus diamalkan. Anak-anak muda kita perlu dididik untuk berbahasa dengan baik.

Post a Comment