Di sebalik Lempuk - Ada kasih terungkap

Thursday, January 14, 2010 Posted by Azizah Aling

Pernah makan lempuk durian tak? Kalau orang sebelah Pantai Timur rasanya sangat kenal dengan kuih tradisional ini. Ia sangat sedap dan sangat digemari oleh Azizah Aling. Wah.. Kalau apa-apa yang berkaitan dengan durian aku suka, sama ada buat pengat atau makan dengan pulut. Lagi sedap kalau durian yang baru gugur tu diletakkan ke dalam budu, campur ikan bakar sikit buat cicah petai. Wahhh... Memang sedap.



Aku bukan nak cerita tentang budu kali ini. Aku nak cerita tentak lempuk. Memandangkan aku sangat suka lempuk, mak mertua kakak atau emak kepada abang ipar tidak pernah lupa untuk kirimkan lempuk untuk aku saban tahun, sekurang-kurangnya setengah kilo. Keluarga abang ipar ada kebun durian di pinggir bukit di kampung. Jadi, bekalannya memang ada untuk anak cucu makan saban tahun. Aku pun sentiasa tumpang sekaki dan hubungan antara aku dan keluarga abang ipar sangat rapat.


Aku tak anggap mereka sebagai orang asing. Memang terasa seperti keluarga sendiri. Apatah lagi ayah mertua kakak seorang yang wara', Imam di kampung dan sangat lama menuntut dan berguru di sekolah pondok. Jadi ilmunya sangat dalam dan sentiasa menjadikan aku sangat leka bila mendengar nasihat dan ilmu yang keluar dari mulut beliau terutamanya bila dia bercerita tentang kandungan daripada kitab-kitab lama. Orangnya sangat sederhana tapi sangat menghormati kami anak-anak yang masih muda. Sejujurnya, aku akui bahawa aku sangat suka berdampingan dengan orang tua yang kaya ilmu. Baik ilmu agama atau ilmu tentang hidup.



Minggu lepas, keluarga abang ipar datang menziarahi anak cucu yang ada di Kuala Lumpur dan sekitar Negeri sembilan. Aku yang berada di tengah-tengah di antara kedua-dua tempat tersebut tidak melepaskan peluang untuk ikut serta. Walaupun kerja sangat banyak dan jadual agak padat, aku cuba juga mencari ruang untuk menghadap mereka seperti kebiasaan dan mempersilakan mereka bertandang ke rumah aku yang tidak seberapa. Ramai sangat. Lebih 20 orang. Seronok. Bila hendak memasak, kuantitinya mesti banyak. Seronok. Seperti kenduri. Bila bersolat, masing-masing ikut bersolat. Alhamdulillah. Syukur ke hadrat Allah yang Maha Kaya yang melimpahkan rasa kasih sayang di hati kami untuk saling memberi teduh dan mengasihi antara satu sama lain.


Seperti biasa, bahagian buah tangan untuk aku adalah lempuk. Aku seronok tidak terkira. Aku bukan hanya sekadar melihat lempuk sebagai kuih tradisional yang aku gemari. Tapi aku memandang ia sebagai tanda kasih sayang yang mengalir ikhlas dari hati seorang orang tua yang bersusah payah menyediakan kuih tersebut dengan segenap tenaga. Tak apa untuk bersusah dan lelah barang seketika asalkan nanti anak-anaknya dapat makan. Bila direnung, aku sentiasa sebak.


Membuat lempuk tidak mudah. Isi durian perlu dipisahkan dari bijinya terlebih dahulu. Kemudian, setelah dicampur dengan gula dan garam, ia dikacau di atas kuali dengan api perlahan agar tidak hangit. Proses mengacau di atas kuali tidak boleh berhenti agar isinya masak sekata dan menjadi likat. Cara membuat lempuk lebih kurang sama dengan cara membuat dodol. Berjam-jam berdiri di tepi kuali mengacau tanpa henti. Tekniknya juga kena betul agar tangan tidak lenguh dan badan tidak sakit.


Aku sentiasa terharu setiap kali aku menerima makanan yang rumit untuk disediakan ni. Terasa besarnya kasih sayang yang mengalir di sebalik lempuk yang dibawa. Sayu dan sebak pasti menjengah untuk seketika. Perkara yang sama aku sentiasa fikir apabila menerima kiriman barang-barang daripada ibu aku sendiri sejak di asrama sekolah dulu lagi. Sebutlah apa sahaja yang aku mahu. Insya Allah akan dipenuhi. Lebih-lebih lagi hasrat itu datang daripada anak yang berada jauh di mata dan hanya bertemu di waktu-waktu tertentu sahaja. Kasihnya tulus, ikhlas dari hati dan pastinya akan jatuh ke hati juga. Aku tulis entri ini dengan air mata bergenang. Sebak. Aku rindukan orang tua di kampung. Dan aku rindukan kampung halaman.





Ini antara kuih yang aku suka. Jala Mas. Manis. Tapi sedap. Kalau ke Pasar Siti Khadijah, Insya Allah ada ni. Selalu ada dengan kuih Bunga Tanjung. SUKA..





0 comments:

Post a Comment