Jadilah Angin Yang Membantu

Monday, January 04, 2010 Posted by Azizah Aling


Dalam taman ini
Kadangkala pawana lembut datang membelai
Tebarkan harum kasturi ke segenap rongga
Sehingga terlena dipupuk manja wangian bunga.

Betapa taman ini memberi jasa
Melenakan lara
Mendamaikan resah
Meranum di kalbu.

Dalam taman hati berlagu
Lagu bersulam syair tenteram
Datanglah datang deruan bayu
Anak bujang merindu dendam.

Dalam taman ini
Aku lihat lebih banyak taufan menggila
Sesuka hati datang menerpa
Tanpa salam tanpa awal bicara.

Sayap amukan menerjah tanpa amaran
Runtuh pohon-pohon kesabaran
Layu daun-daun rasa
Gugur hancur segala kelopak mekar
Dan aku hanya menonton aksi ganas luar jangka
Lalu terduduk tanpa seurat kata.

Dalam taman hati gulana
Prahara luka punya angkara
Hendak kulari tapi ke mana?
Deras angin tiada tara.

Kalau bimbang taufan merusuh
Mengapa kau tarikan lagu kufur?
Jerit-jerit hingga ke pagi
Pekik terlolong memecah bumbung
Dirasuk bisik iblis durjana.

Apa kau fikir
Taman ini akan tumbuh bulan dan bintang nikmat?

Lupa di mana aku berpijak
Aku ingin riang di taman
Mencucuk langit dan mengira bintang
Sudah kurancang sekian lama
Bukan seorang jadi peneman
Sejumlah bilangan daun ramainya.

Ahhh...
Terlupa untuk menadah tangan mengucap syukur
Mengamin doa dan bersujud redha
Hanya kerana taman ini kulihat seperti syurga
Rupanya jerat laksana logamaya dalam samar
Yang berbahang percik neraka.

Jadilah angin yang membantu
Bawa diri ke lembah benar
Bawa diri ke muara tenang
Bawa diri ke rumah Tuhan.

Taufan itu akan dilembutkan
Menjadi seperti angin sepoi bahasa
Kalau dulu jadi tentangan
Kini jadi selempang diri.

Taman ini kita bina semula
Dengan rukun bersendi doa
Dengan sabda bersendi kalimah.

Taman ini kita cantum semula
Dari debu menjadi permata
Dari hancur menjadi megah
Kita rasai angin bahagia
Kita rasai angin syurga.


Ini antara puisi yang aku gemari di malam Baca Puisi dan mengambil masa yang lama untuk difahami maksudnya. Lembut. Puitis. Ciptaan Fedtri sendiri dan dideklamasikan oleh beliau dan Malik Raiyani. Malik mulakan dengan serangkap lagu tuai padi. Ironinya, lagu tuai padi aku alunkan sepanjang perjalanan dari rumah ke Rumah Pena. Tak sangka aku akan mendengar versi Malik yang tersendiri di saat beliau membuat persembahan. Ternyata Malik mempunyai suara yang bagus untuk diketengahkan.


Kamu bertanya mana puisi nukilan aku sendiri? hmm.. ada, tapi aku hanya manusia kecil dan tidak sehebat mereka. Apabila aku bersedia, pasti aku akan kongsikan dengan kamu semua.

0 comments:

Post a Comment