TERAPI AL-QUR'AN

Saturday, January 09, 2010 Posted by Azizah Aling



بسم الله الرحمن الرحيم

وَإِذَا سَمِعُواْ مَا أُنزِلَ إِلَى الرَّسُولِ تَرَى أَعْيُنَهُمْ تَفِيضُ مِنَ الدَّمْعِ مِمَّا عَرَفُواْ مِنَ الْحَقِّ يَقُولُونَ رَبَّنَا آمَنَّا فَاكْتُبْنَا مَعَ الشَّاهِدِينَ



Dan apabila mereka mendengar Al Qur’an yang diturunkan kepada Rasulullah (Muhammad -صلى الله عليه وسلم-), engkau melihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan apa yang mereka ketahui (melalui Kitab mereka) dari kebenaran (Al Qur’an), sambil mereka berkata: Wahai Tuhan kami, kami beriman (kepada Muhammad dan Kitab Suci Al Qur’an), oleh itu tetapkanlah kami bersama-sama orang-orang yang menjadi saksi (yang mengakui kebenaran Muhammad -صلى الله عليه وسلم-). (Al-Ma’idah: 83)


Al Qur’an Adalah Petunjuk Bagi Orang-Orang Bertaqwa

Al-Qur’an al-Karim, kitab yang tiada keraguan padanya, petunjuk bagi mereka yang beriman dan taat. Tidaklah Al Qur’an itu diturunkan hanya bagi mereka yang hidup di zaman Rasulullah -صلى الله عليه وسلم-, malah pengajarannya berterusan sehingga ke hari Kiamat. Al-‘Allamah as-Sa’di -رحمه الله- ketika menerangkan ayat ini, mengatakan bahawa apa-apa yang didatangkan oleh Rasulullah -صلى الله عليه وسلم- melalui wahyu bakal mendatangkan kesan ke dalam hati mereka yang benar-benar merendahkan diri (memberi sepenuh perhatian), dan bercucuranlah air mata mereka setelah mendengar dan memperakui kebenaran dakwah Rasulullah -صلى الله عليه وسلم-, lantas dengannya mereka yakin dan beriman (Tafsir al-Karim al-Rahman, jld 1, ms 553, Alim al-Kutub).

Keutamaan Mempelajari dan Mengajar Al Qur’an

Dari Uthman bin Affan -رضي الله عنه-, diriwayatkan bahawa beliau menceritakan, Rasulullah -صلى الله عليه وسلم- bersabda, maksudnya: “Yang terbaik di kalangan kamu adalah sesiapa yang belajar Al Qur’an dan mengajarnya” (Riwayat Bukhari)

Tujuan Membaca Al Qur’an

1) Memperoleh ilmu

كِتَابٌ أَنزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِّيَدَّبَّرُوا آيَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُوْلُوا الْأَلْبَابِ

(Al Qur’an ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), Kitab yang banyak faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya dan untuk orang-orang yang berakal sempurna agar mengambil iktibar. (Saad: 29)

Malah Ibnu Mas’ud -رضي الله عنه- menyebut, “Apabila kamu menginginkan ilmu, maka bukalah Al Qur’an, kerana di dalamnya terkandung ilmu umat terdahulu dan akan datang.” (Musannaf Ibn Abi Syaibah)

2) Membaca Al Qur’an dengan tujuan mengamalkannya

Dari Abu Abdurrahman Sulami -رحمه الله- dari Uthman, Ibn Mas’ud dan Ubai bin Ka’ab -رضي الله عنهم-, bahawa Rasulullah -صلى الله عليه وسلم- sentiasa membacakan sepuluh ayat Al Qur’an kepada mereka. Mereka tidak akan berpindah ke ayat yang lain sehingga mereka mempelajari pengamalan - sepuluh ayat yang terdahulu. (Tafsir al-Qurtubi)

3) Untuk bermunajat kepada Allah -سبحانه وتعالى-

Dari Abu Hurairah -رضي الله عنه- berkata, beliau mendengar Rasulullah -صلى الله عليه وسلم- bersabda: “Tidaklah Allah mendengar suatu suara yang (lebih) baik dari Nabi -صلى الله عليه وسلم- melainkan ketika memperelokkan bacaan Al Qur’an dan menguatkannya.” (Riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Nasaie)

4) Mengharap pahala daripada Allah -سبحانه وتعالى-

Dari Ibnu Mas’ud -رضي الله عنه-, beliau berkata Rasulullah -صلى الله عليه وسلم- bersabda, maksudnya: “Barangsiapa yang membaca satu huruf dari Kitabullah maka ia akan mendapatkan satu kebaikan, dan satu kebaikan dibalas dengan sepuluh kali ganda. Aku tidak mengatakan alif, lam, mim itu satu huruf, namun alif satu huruf, lam satu huruf, dan mim satu huruf.” (Riwayat Tirmizi)


5) Dengan tujuan berubat

يَا أَيُّهَا النَّاسُ قَدْ جَاءتْكُم مَّوْعِظَةٌ مِّن رَّبِّكُمْ وَشِفَاء لِّمَا فِي الصُّدُورِ وَهُدًى وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ

Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al Qur’an yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman. (Yunus: 57)


Ancaman Terhadap Mereka Yang Menolak Al Qur’an

إِنَّ ٱلَّذِينَ كَذَّبُواْ بِآيَٰتِنَا وَٱسْتَكْبَرُواْ عَنْهَا لاَ تُفَتَّحُ لَهُمْ أَبْوَابُ ٱلسَّمَآءِ وَلاَ يَدْخُلُونَ ٱلْجَنَّةَ حَتَّىٰ يَلِجَ ٱلْجَمَلُ فِي سَمِّ ٱلْخِيَاطِ وَكَذٰلِكَ نَجْزِي ٱلْمُجْرِمِينَ

Sesungguhnya orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan menyombongkan diri terhadapnya, sekali-kali tidak akan dibukakan bagi mereka pintu-pintu langit dan tidak [pula] mereka masuk syurga, sehingga unta masuk ke dalam lubang jarum. Demikianlah Kami memberi pembalasan kepada orang-orang yang berbuat kejahatan. (Al-A’raaf: 40)



-Artikel ini dikirim oleh Ustaz Fariz tempohari. Aku ingin berkongsi dengan kamu yang membaca- Terima kasih ustaz!!

2 comments:

Azree Ariffin said...

terima kasih atas makluman yang bermanfaat ini. Sesungguhnya, Al-Quranlah penawar yang paling mujarab. :)

Azizah Aling said...

Akak hanya menyampaikan dik. Abang Fariz yang punya. Akak jadi wasilah sahaja. Selamat memanfaatkan.

Post a Comment