Refleksi Diri - Merenung Kembali Jalan-Jalan Hijrah

Saturday, January 30, 2010 Posted by Azizah Aling




Hari ini 14 Safar 1431 H sudahpun menjelmakan diri, meninggalkan 1 Muharram 1431 H di belakang. Bersempena dengan kedatangan Tahun Baru Hijrah 1431 yang lalu, pastinya kita semua menanam dalam hati dan menyemat azam untuk membuka lembaran baru dalam kehidupan ke arah yang lebih baik dan memperbanyakkan amal kebajikan. Berhijrah selagi kita mampu membawa perubahan ke dalam diri dan kehidupan kita. Bagi mereka yang mempunyai ilmu, sampaikanlah. Bagi mereka yang mempunyai harta, infaqkanlah agar ia bisa dimanfaatkan mereka yang amat memerlukan. Demikian juga dengan mereka yang mempunyai kudrat dan tenaga untuk memperjuangkan syiar Islam, berjuanglah.


Hijrah telah menunjukkan bahawa berkat kerjasama dan pengorbanan yang diberikan oleh umat Islam ketika dahulu, segala kesulitan yang didepani telah dapat diatasi bersama-sama dan umat Islam telah menjadi umat terbilang. Menyusuri jalan sejarah, Kota Constantinople pernah berjaya ditawan oleh tentera Islam pimpinan Sultan Muhammad al-Fatih. Maka berakhirlah Empayar Byzantine.


Suatu hari nanti, kita pasti berhenti bekerja dengan manusia, tetapi tiada istilah berhenti berkerja dengan Allah SWT melainkan perjuangan berakhir bersama dengan hembusan nafas terakhir.


Alhamdulillah, banyak sungguh nikmat yang telah Allah SWT berikan kepada kita sejak dahulu lagi sehingga ke hari ini. Sesungguhnya bagi diri hamba yang lemah dan kerdil ini, tarikh 1 Muharam menjadi satu tanda dan asas untuk bermuhasabah dan menilai hasil pencapaian sasaran hidup pada tahun-tahun lalu. Soalan yang biasa menjengah benak, sejauh manakah pencapaian azam dan aktiviti hidup yang disasarkan berjaya dilaksanakan dan apakah strategi dan cara terbaik untuk mendepani cabaran, kesukaran dan kegetiran yang dihadapi? Kita sering terlupa bahawa merancang kehidupan perlu ada perancangan strategik dan KPI yang teratur. Barulah mudah meneroka jalan untuk beroleh kesejahteraan dalam hidup.


Hijrah Rasulullah SAW bukanlah satu mitos semata-mata. Hijrah adalah satu sejarah yang mengaplikasikan perubahan tafsiran falsafah hidup yang selama ini dibelenggu kejahilan dan kesoronokan dunia ciptaan manusia. Peristiwa hijrah yang mengandungi suka-duka dan pahit getir perjalanan hidup pejuang kebenaran ini adalah titik tolak bagi manusia mengenal erti hidup sebenar seorang hamba yang taat kepada perintah Allah dan Rasulnya.


Hijrah Rasulullah SAW ke Yathrib telah berjaya menyatupadukan segenap kekuatan yang ada. Kaum Aus dan Khazraj berjaya didamaikan daripada persengketaan yang sebelumnya saling bermusuhan beratus-ratus tahun lamanya. Kaum Muhajirin dan Ansar berjaya disatu-padukan kekuatan mereka melalui persaudaraan yang sungguh indah. Piagam Madinah terhasil dan ia merupakan perlembagaan kehidupan yang paling lengkap dalam sejarah peradaban tamaddun manusia di dunia. Semua kaum dan agama di bawah pimpinan Nabi Muhammad SAW berjanji untuk bekerjasama mempertahankan negara daripada serangan musuh. Semua kaum dan agama bebas melaksanakan agama masing-masing.


Islam terus berkembang luas ke Makkah dan kemudian meluas ke seluruh Jazirah Arab dan seluruh dunia, sehinggakan ajaran Islam bisa kita imani dan anuti di bumi ini sehingga kini. Sesungguhnya dakwah akan mencapai kejayaan dan Islam akan diterima dengan baik asalkan kita dapat membuktikan bahawa mereka yang beragama Islam adalah umat yang dapat dijadikan contoh teladan yang baik dalam segala hal. Tanpa iltizam untuk berhijrah, mustahil kejayaan akan dapat dicapai dan kemajuan ummah tidak akan terhasil.


Benar sekali bahawa hijrah adalah satu pengorbanan untuk membawa perubahan. Tidak ada perubahan yang tidak memerlukan pengorbanan. Perubahan adalah suatu tuntutan hidup. Kita mesti berubah daripada sesutu yang buruk kepada sesuatu yang baik - seterusnya berada di tahap paling baik. Persoalannya, bagaimanakah jalan yang lurus akan kita perolehi andai perubahan tidak dilakukan seiring pengorbanan? Ya Allah.. berilah hamba-hamba-MU segenap kekuatan untuk menjadi umat pertengahan - umat terbaik untuk meneruskan risalah dakwah membesarkan syariat-Mu.


Di atas dunia ini, apabila manusia ingin membina lebuhraya yang baik dan selesa, kita mesti melakukan pemotongan, pembetulan, menggali di sana sini, meluruskan mana yang bengkok, menimbun tanah yang berlubang dan pelbagai lagi. Inikan pula kita dalam usaha mendapatkan jalan yang lurus untuk dunia dan akhirat. Sudah tentu dan sudah pasti banyak perubahan dan pengorbanan yang dituntut daripada kita. Ya Allah.... Kuatkah kami mengharungi semuanya?


Itulah sebabnya Islam mengajar kita menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, iaitu mengubah pencarian daripada yang haram kepada yang halal, mengubah sikap terlalu mementingkan dunia kepada menjiwai bahawa segala yang diperolehi adalah nikmat Allah, berasaskan sifat Rahman dan Rahim-Nya yang tidak pernah surut. Rasulullah SAW datang membawa perubahan ke arah jalan yang lurus, memerlukan terlalu banyak perubahan yang bermula dengan perkara asas seperti akidah dan sistem perundangan sehinggalah kepada perkara kecil seperti tatatertib menjamah rezeki tetapi memberikan kesan kepada kebaikan. Islam itu sangat indah. Syumul. Lengkap.


Cabaran memang sentiasa menanti. Semoga hati kita semua kuat menghadapi dugaan dengan penuh rasa lapang hati. Walaupun perjalanannya ditemani onak, diiringi duri, seringkali digetus dan digetas binatang buas, semoga kita tetap mampu tumbuh mencetuskan tunas-tunas mulia yang akhirnya bisa dimanfaatkan orang banyak. Bak kata Pak Hamka: "Hidup adalah perjuangan. Sesekali ombak naik, sesekali ombak turun. Kadang-kadang kita memukul, kadang-kadang kita terpukul. Tiba giliran menjadi palu, hendaklah pukul habis-habisan. Tiba giliran menjadi landasan, tahan pukulan biarpun bertalu."


Jalan ini jauh. Matlamat akhir itu hakiki. Mencapainya memerlukan kesabaran dan ketekunan. Ujian adalah kayu ukur iman. Tinggi rendah iman diukur daripada natijah di akhir ujian. Teruslah berdiri teguh. Janji Allah tentang kemenangan itu PASTI.

0 comments:

Post a Comment