JALAN DAKWAH DAN HIKMAH
Ia berjalan ke arah barat
Aku tetap berdiri gagah mengatakan bahawa Allah itu eksklusif hanya untuk Islam. Banyak hujah dari sudut perundangan yang boleh dibentangkan, tetapi kita tidak boleh berbicara sesuka hati kerana kes belum selesai dan kini telah berada di peringkat Mahkamah yang lebih tinggi apabila rayuan difailkan di Mahkamah Rayuan, Putrajaya pada 4.1.2010. Kalau kita memberi komen sesuka hati dan sesedap rasa, ia akan menjadi sesuatu yang Subjudice dan boleh terjumlah kepada penghinaan Mahkamah - yang mana perintah pengkomitan boleh dibuat terhadap kita. Jadi, berhati-hatilah dalam memberikan kenyataan agar kita tidak menjadi penghuni penjara.
Apa yang aku mahu luahkan adalah Agama yang benar akan memberikan pengaruh positif dan mengarahkan kepada kebaikan, menunjukkan jalan yang benar dan menghindarkan daripada kesesatan dan kesalahan. Agama tidak akan menerima sebarang bentuk kezaliman, tidak akan tinggal diam terhadap sebarang penipuan, tidak akan menutup mata daripada tindakan salah, tidak akan menyokong penindasan dan juga tidak akan menghukum pencuri kelas kecil manakala membiarkan pencuri kelas atasan lepas bebas, seperti koruptor!!
Masyarakat yang menganuti Islam dan memperjuangkan akidah yang benar ini akan berusaha keras mencapai tujuan manusia yang paling utama, iaitu mengesakan ALLAH, membersihkan hati dan mengagungkan rohani, menciptakan umat yang istiqamah mempertahankan kesuciannya sekaligus merealisasikan tujuan Allah dalam menciptakan manusia iaitu supaya beribadah kepada Allah, menjadi khalifah di muka bumi serta menciptakan kebenaran dan keadilan.
Bersama hidayah, kita berusaha mencapai maksud dan tujuan utama iaitu agama ISLAM yang bertauhidkan ALLAH Yang Satu - Yang Agung untuk menjadi penunjuk terbaik dalam merealisasikan kehidupan nyata. Ia bukan hanya terhenti pada teori pemikiran atau idealisme kosong. Islam akan sentiasa mengadili mereka yang berbuat zalim, memerhatikan pelaku-pelaku kejahatan agar kesuciannya tidak akan dicemari sehingga mereka benar-benar berhenti melakukannya. Sebagaimana yang terdapat dalam sabda Rasulullah SAW:-
"Tolonglah saudaramu, sama ada yang berbuat zalim ataupun yang dizalimi." seorang sahabat bertanya. "Wahai Rasulullah, kami akan menolong saudara kami yang dizalimi, tapi bagaimana kami mesti menolong saudara kami yang berbuat zalim?" Rasulullah SAW menjawab: "CEGAH DIA SUPAYA TIDAK MELAKUKAN KEZALIMAN LAGI, ITULAH PERTOLONGAN BAGINYA."
Diriwayatkan Al-Bukhari daripada Anas dalam Bab Al-Mazholim, no. 2444 juga Ahmad dalam Al-Musnad.
Kita serahkan isu ini untuk diselesaikan mengikut undang-undang walaupun aku berasakan ia tetap tidak akan berakhir dengan mudah. Ada sesetengah isu akan habis bila kes ditutup, tetapi isu agama ini adalah isu yang sensitif dan bukan mudah untuk dileraikan. Apapun, dalam masa yang sama kefahaman kepada masyarakat mesti dipertingkatkan. Jalan dakwah dan hikmah adalah yang terbaik! Kenapa kita bimbang? Ia adalah kerana pemahaman umat kita tentang akidah tidak kuat dan mudah menjerut diri sendiri apabila dilepaskan talinya untuk berjalan bersendirian. Krisis kefahaman umat terhadap akidah kian meruncing. Lihat sahaja paparan akhbar tentang akhlak yang tidak diamalkan dengan baik. Tak apalah, kita terus tingkatkan usaha dalam menjadi dai'e. Bahang obor perjuangan mesti sentiasa menyala dalam hati untuk kita mempertahankan kesucian agama.
Aku bermonolog sendiri: seandainya kita boleh bersatu dalam mempertahankan hak penggunaan kalimah Allah, alangkah indahnya andai kita juga boleh bersatu dalam MENJAGA AURAT!! agar tiada umat yang bertelanjang di luar sana mendedahkan tubuh badan sesuka hati...bangga dengan setiap helai rambut yang dianggap mahkota dipertontonkan secara percuma kepada umum, sedangkan mereka yang bukan mahram tidak pernah punya hak di sisi agama!! Islam itu bukan untuk dianuti separuh-separuh... Tepuk dada, tanyalah iman masing-masing. Kita rasai nikmat setiap detik waktu, apakah kita masih sombong untuk mengucap syukur?
0 comments:
Post a Comment