MALAM GENTA PUISI PENA-ASWARA III 2009

Sunday, January 03, 2010 Posted by Azizah Aling

Tanggal 31.12.2009 - aku sempat menghadiri program Malam Genta Puisi anjuran bersama PENA dan ASWARA kali ke-3/2009. Pada awalnya aku sudah mengalah dengan situasi dan berasa agak sedih kerana mungkin aku tidak dapat pergi. Almaklumlah, jam 6.30 petang aku masih lagi di pejabat menyiapkan saki baki kerja yang masuk secara ad-hoc. Tetapi Allah akhirnya memberikan laluan. Jam 8.00 malam, usai Maghrib kami terus bergerak ke Rumah PENA. Doktor menelefon berkali-kali bertanyakan di mana lokasi kami kerana majlis hampir bermula. Maklumlah, yang ditunggu tak tiba. Tersesat jalan entah ke mana. he he.. My sense of direction is worse anyway.



Niat aku ke sana bukan untuk menyambut tahun baru 2010. Sambutan sebegitu tidak pernah ada dalam kamus hidup aku. Kalau majlis baca puisi dibuat pada masa yang lain pun, aku pasti menghadirkan diri seandainya aku mempunyai kelapangan. Tapi mungkin ia adalah satu alternatif yang baik untuk melarikan tumpuan warga Kuala Lumpur dan anak muda khususnya daripada terkinja-kinja menari, berpeluk sesama sendiri dan mabuk meraikan kedatangan tahun baru. Acara membaca puisi adalah majlis santai tetapi ada ilmu boleh dikutip dan memberikan nilai tambah untuk membantu kita berfikir.


Sememangnya aku sukakan program santai tanpa protokol yang menjengkelkan tetapi terdapat panduan serta teladan yang boleh dimbil. Puisi adalah satu luahan rasa daripada penulis dengan penuh sinis, kritis, pedih, perit, manis yang digarap dalam langgam bahasa yang tersendiri. Ada sesetengah puisi agak sukar difahami kalau didengar sekali sahaja. Jadi, untuk memahaminya kena dengar berkali-kali. Kena fikir apa yang penulis cuba sampaikan.


Tetapi ada sesetengah puisi yang terus dapat difahami dan ditangkap maksudnya, menyentak-nyentak tangkai hati dan menyesakkan minda untuk disantuni. Kadangkala teguran sinis dalam puisi membuat aku termalu sendiri. Inilah cabarannya. Tidak mudah. Tetapi kepayahan memahami itulah yang membuatkan aku suka bahkan gila terhadap puisi. Halus tapi tembus. Kasar lagi menggusar. Pedih sampai mendidih. Tetapi, ia manis di telinga, mata hati dan jiwa.








Pastinya tarikan utama adalah untuk mendengar Dato' Dr. A. Samad Said (Pak Samad) mendeklamasikan puisi hasil karya beliau sendiri. Aku teruja dan terhibur. Tenang dan senang mendengar nasihat dan kritikan beliau dalam bahasa yang halus lembut. Ini antara bait-bait yang aku sempat catatkan:-


Tikaman Dalam Seloka


Di tepi kamar itu

Anak-anak awan bergesel di leher bukit

Malu dan menduga

Mereka sepi memendam rahsia

Ketika dia tenang dan syahdu meramahi tasbih atas sejadah.


Di senja lalu

Bangau tunggal mati tersangkut

Kelawar sesat terapung di tasik

Rengek gajah sayu dan lara

Tenang dihayati segala wajah

Dan menerka makna daripada suara alam yang terdera.


Hidup rimba berantakan

Mangsa memangsa tak teramal

Dia terlupa usahanya siapa

Jika tersangkut dalam haloba

Tak tertafsir ayat suci

Juga dilupa suara siapa

Nyata bulan sepotong tak terbayar

Musim tengkujuh tidak terkhabar

Di balik bukit ada cerita senyum yang kasar.


Andai musuh memburumu

Berdirinya sekacau kelawar sesat

Terlupa ia ancaman siapa

Di tangan sehala yang tampak sahaja setia.


Dan kini depannya pepatung

Tergigil belalang melompat

Bunga bawang tergeleng ghairah

Mula dirindunya sanggul isteri

Kerongsang terlurut ke dalam perigi

Mula disedarinya kening anak berdarah demikian banyak

Didengarinya azan yang paling kudus daripada menara yang sayu

Dan dia tenang dan syahdu

Entah mengapa, dua kali tergelincir

Sekali di tangga, sekali di hati.


Anak-anak kijang menerjah dari busut

Reban angsa terbelah tiga

Senja itu terlupa ia musuhnya siapa

Ranting jering jatuh di sungai

Daun mangga terbenam di lumpur

Dia khusyuk menghayati azan yang kudus

Yang mentafsirkan kiasan alam

Terlupakan bahaya.


(Panjang lagi, tapi aku tak sempat menyalinnya. Asyik mendengar bapak mendeklamasikan puisi. Kemudiannya disusuli dengan alunan merdu petikan gitar anak Bapak - Az yang sedang bercuti. Kini berada di tahun akhir dalam jurusan muzik, University of California - USA)


Penulis dan penyair adalah orang-orang biasa tetapi jiwa, minda dan penanya sangat tajam melakarkan kisah manusia - penuh kritikan yang tajam, pemerhatian yang mendalam dan kadangkala penuh teguran yang mampu menyesakkan dada akibat terpukul oleh lantunan "suara" yang bernas.


Ramai yang hadir membacakan puisi. Antara yang menggamit ingatan adalah Dr. Victor - seorang penulis Russia tetapi mahir berkomunikasi dalam Bahasa Melayu. Aku sudah beberapa kali menonton persembahan Dr. Victor dan sememangnya kemampuan beliau menguasai Bahasa Melayu dengan baik sangat mengagumkan. Siapa kata bahasa kita tidak indah, sukar dan payah untuk diangkat tinggi martabatnya di tanahair sendiri?





Suasana pembacaan puisi yang santai sangat menyenangkan. Kami bebas bergerak ke mana sahaja tanpa protokol. Aku diam memerhati gelagat orang banyak sebelum menyusun kaki mencari beberapa naskhah buku untuk dibaca. Aku larut dalam suasana yang ramah. Tenang disapa sesiapa sahaja. Ramai yang hadir pada malam tersebut. Antaranya Khalid Salleh, Kopratasa, Revolusi Pembudayaan Selawat, Malim Ghozali PK, anak-anak UPSI, dan ramai lagi. Dan tidak lupa, Abang Nizam. :)






Makanan turut disediakan. Yun mendengar puisi dibacakan sambil menikmati nasi lemak. Kami tak ada masa untuk makan di sebelah siang kerana hambatan tugas. Apa salahnya sesekali lari daripada kebiasaan apabila terpaksa makan nasi lemak di sebelah malam.. he he..




Lihatlah suasananya yang santai. Persembahannya bermacam ragam. Ada yang menyentuh emosi dan ada juga gimik yang hampir-hampir menggugurkan jantung aku. Pucat seketika bila ada deklamator yang buat-buat histeria dan bertempik. Aduhai... aku hampir menangis melihat dia berhempas pulas melepaskan diri daripada dipegang dan disentap oleh orang lain saat dia terbaring di atas lantai bertar. Pastinya sakit. Tangan Haizum aku genggam kuat-kuat. Rupanya itu adalah gimik. Alahaiii.... aku tertipu..


Ada puisi tentang PRIMADONA yang sangat aku sukai. Sayangnya aku tak berani meletakkannya di sini. Biarlah ia kekal dalam ingatan aku sebagai kenang-kenangan. Dan aku mula menjejaki pemilik puisi tersebut yang sangat bersahaja, membawa beberapa barang milik peribadi beliau dari Terengganu hanya menggunakan plastik!! Tetapi dia adalah seorang doktor.. Puisinya ringkas tapi padat. Sinis lagi menghiris.


Banyak naskhah buku yang dipamerkan. Semunya bagus. Pasti ada yang menarik hati aku. Dan 3 naskhah sempat aku beli dan akan dikhatamkan secepat mungkin. Insya Allah, mudah-mudahan Allah mengizinkan..



Aku sempat berdiskusi dengan Abang Nizam tentang zakat dan cukai. Abang Nizam datang jauh dari UPSI - senior kami di UIA - senior jauh tetapi kehebatan beliau menguasai 5 bahasa sangat mengujakan. Bekas pelajar Fakulti Undang-Undang UIAM tetapi memilih untuk menjadi pendidik. Kami akan ikut jejak langkah Abang Nizam suatu hari nanti.


Aku tidak menunggu sampai larut malam. Jam 11.30 pm, aku aturkan kaki melangkah pulang. Minda sudah penat. Kepala seperti diterbangkan angin dan jasad memberat. Aku perlu berehat. Nanti aku kongsikan lagi puisi yang bagus bila aku punyai waktu terluang.

0 comments:

Post a Comment