Kenapa kerjaya ini kupilih?

Saturday, July 03, 2010 Posted by Azizah Aling

Ramai yang bertanyakanku mengapa kerjaya di bidang perundangan ini yang dipilih untuk mencari rezeki buat keluarga tercinta. Apakah untuk tujuan kuasa, pangkat, kedudukan, nama, kekayaan, kemasyhuran dan untuk dipuji puja? Jawapan aku mudah sahaja. Tiada satu pun yang disebutkan di atas menjadi sebab mengapa aku memilih kerjaya ini. Semuanya berlaku atas aturan dan ketetapan Allah selepas aku selesai menunaikan istikharah memohon petunjuk sejak dari dulu sehingga kini, tidak pernah berhenti.


Tujuanku cuma satu iaitu untuk menjadikan landasan ini sebagai medan beribadah dan untuk meletakkan keadilan di mana selayaknya. Inilah tekad yang tersemat dan beralun di dalam doa pada langkahan kaki yang diatur dari rumah ke pejabat setiap pagi, jauh mendasar ke hati. Dakwah harus tersebar bukan hanya di masjid-masjid, surau-surau dan di dewan kuliah. Ia mesti berlaku di mana-mana dan tugas seorang dai'e tidak boleh berhenti selagi nyawa masih bersatu dengan jasad.


Ada yang bertanya, tidak sibukkah kerjaya di lapangan ini? Jujur aku katakan, kesibukan itu ada di mana-mana. Hatta jika kita bekerja sebagai suri rumahtangga sepenuh masa sekalipun, istilah sibuk dan tidak cukup masa pasti melingkari dan membebani diri. Bagi aku, aku sangat bersyukur kepada Allah Yang Satu. Benar, kerjanya banyak. Tetapi aku masih mampu pulang ke rumah seawal jam 5.00 petang untuk mengisi waktu dengan keluarga atau untuk diri sendiri, untuk masyarakat dan untuk umat keseluruhannya. Memang ada kalanya kita perlu pulang lewat, tetapi selalu dipastikan aku tidak akan menjadikan ia sebagai satu amalan. Jika belum selesai juga, akan dibawa pulang ke rumah untuk dilunaskan di awal pagi tatkala minda tersangat segar untuk membuat keputusan dan pertimbangan. Apapun, aku bahagia berada di dalamnya.


Ada yang mengeluh mengatakan kerjaya di bidang ini terlalu terdedah dengan pelbagai rencam ragam manusia yang suka "menyuap". Bagi aku, tepuk dada, tanya iman dan akal waras. Apakah kita mahu menghumbankan diri sendiri ke dalam neraka jahannam? Tentu sekali tidak kan. Pilihan di tangan sendiri. Pilihlah kerjaya apa pun, jika kita sedar akan taklif dan tugas hakiki sebagai KHALIFAH, Insya Allah kita tidak akan tersasar jauh. Apa yang penting, keikhlasan membenih kukuh di hati dan peliharalah akhlak dan maruah diri. Ujian pasti bertamu tatkala diri berada di puncak. Jangan cepat melatah. Alirkan rasa gundah di tikar sejadah memohon petunjuk Allah. Selangkah kaki kita mendekat dengan DIA, seribu langkah Allah datang memeluk dan melimpahkan rahmat untuk kita. Yakinlah.. Allah terlalu hampir dengan kita, penuh rahmat dan kasih sayang.


Alhamdulillah, aku bahagia menjadi sebahagian penghuni di Istana ini. Wajah-wajah di bawah ini senantiasa meredakan kelelahan aku dan menghadirkan kebahagiaan buatku. Terima kasih semuanya atas bantuan dan sokongan. Azizah Aling sangat sayangkan kamu semua. Nama kalian ada dalam doaku saban waktu. Tanpa jemu.


Wajah alam yang pasti dirakamkan di setiap pagi dari bilik tidur. I am a morning person.

"ANAK" saya di pejabat, menggantikan Zhafran.





Kacau aktiviti Auntie Bijah pagi-pagi :)



Nadia yang sangat nakal tetapi sangat comel dan baik hati.




Sayang kamu!
(Persidangan bulanan Mahkamah Persekutuan Malaysia, Istana Kehakiman)




Siapa Aku? Seorang yang sangat sederhana dan sangat pemalu dalam keadaan tertentu.
Tetapi aku seorang yang sangat berdikari. He he..


Sangat sayangkan kamu berdua sampai hujung nyawa.
Mahu bersahabat dengan kalian sehingga di syurga.











"Guru" dan sahabat yang tidak pernah lokek ilmu -
kaya pengalaman dan kaya penyelesaian.






Inilah "boss" kami. Sporting dan baik hati.


Puan yang akan terbang ke Brisbane, Australia
bagi menyambung pengajian di peringkat Masters.
Bittaufiq wan najah fil hayah.

Inilah mentor yang sangat aku sayangi dan hormati.
Dia banyak mengajar aku mengenai selok belok amanah di sini.
Terima kasih puan. Jasamu akan kukenang sampai ke hujung hayat.

Menghitung Waktu

Thursday, June 17, 2010 Posted by Azizah Aling

Entri kali ini sangat "sempoi". Ia adalah terjemahan kepada kelelahan yang tidak sedikit barangkali. Tetapi aku perlu kuat menghadapi kesibukan yang melanda agar kualiti yang aku persembahkan tidak "halai balai" dan dapat memuaskan semua pihak. Aku bukan mencari kesempurnaan, tetapi aku sentiasa berusaha untuk melaksanakan sesuatu sesempurna mungkin agar di hujungnya nanti aku berpuas hati. Kenapa? Kerana tatkala aku memegang status sebagai muslim dan mukmin, aku perlu menjaga maruah agamaku agar orang lain tidak memandang serong apa-apa ajaran mulia yang diwahyukan dan diturunkan Allah untuk diamalkan penganutnya.

Bebanan kerja sangat memuncak. Kemuncaknya apabila aku tidak boleh bercuti. Adakala terasa tepu di minda tetapi aku berusaha untuk tidak berada dalam situasi tertekan. 85% sasaran untuk tidak tertekan berjaya digenggam dan bakinya masih dalam usaha penambahbaikan. Penambahbaikan apa Azizah? Penambahbaikan terhadap tahap keampuhan diri menyerap sebarang situasilah agar aku tidak mudah melatah. :)

Aku mendoakan kesejahteraan buat kamu semua yang berkeliaran di sini. Aku juga mahu berterima kasih atas doa kalian yang tidak putus-putus untuk kebahagiaan dan kesejahteraan aku. Entah berkat makbul doa siapa yang menjadikan aku kuat merentas jalan hidup saban hari. Terima kasih Tuhan atas rahmat dan kasih sayang yang tidak pernah padam! Aku tersangat bersyukur.

Lagi seminggu mahu bertemu dengan yang tersayang. Oh.. Tidak sabar rasanya. Yang pasti, mahu kuhamburkan segala masalah dan tekanan yang membelenggu diri agar aku bisa kuat melalui hidup ini. Ya Allah, kumohon rahmat dan kasih sayang-Mu. Peluklah aku tatkala aku terlalu dingin dan jantungku membeku tidak bernadi. "Allah Engkau dekat, penuh kasih sayang." Kata Opick dalam lagunya "Cahaya Hati" yang menjadi 'ringtone' telefon bimbit aku sejak beberapa lama. Cuba dengar lagu dan liriknya. Asyik dan syahdu. Aku sangat suka, pasti kalian juga suka.

Berhenti! Aku sudah merapu. I better stop the writing now. Ok lah, selamat untuk semua. Nanti aku tulis sesuatu yang lebih bermakna di lain kesempatan. Hayati ini:-


"Mari berkhidmat kepada kawan. Persahabatan yang sejati hanya berlaku bila ada "give" and "take". Jangan takut untuk memberi banyak dan mendapat balasan yang sedikit atau tiada balasan langsung. Tunggu pulangan lumayan daripada Allah atas keikhlasan kamu. Semoga jiwa kita tidak egois."

"Susah tak nak jadi baik?"

Monday, June 14, 2010 Posted by Azizah Aling

Soalan ini tersangat banyak menghujani aku sejak dulu. Aku tidak ada formula tepat untuk merumuskan satu jawapan yang benar-benar praktikal dan bernas. Aku cuma mampu mengatakan:


"Nak jadi baik tak susah. Nak jadi jahat lagi susah sebenarnya."


"Kenapa pulak?"


"Sebab orang yang beriman secara fitrahnya sukakan perkara kebaikan. Tak suka menyusahkan orang, tak suka menderhakai Tuhan. Hatinya senantiasa lapang dengan segala macam bentuk ujian. Kehadiran diri dia disenangi, memandangnya menjadikan hati berbunga dan berlagu riang dan kehilangannya sangat dirasai ramai orang."


"Alamak... susah juga tu. Habis tu, nak kena solat 24 jam lah, nak kena bersedekah setiap hari lah.. Ishh.. Tak boleh buat kerja lain la kalau macam tu. Jadi miskin dan papa nanti."


"Siapa kata kena solat 24 jam. Solatlah dengan kualiti mengikut waktu yang telah ditetapkan. Satu waktu solat tidak mengambi masa sampai 20 minit. Kalau tengok TV, sanggup tunggu sampai habis siaran. Takkan nak luangkan masa selama 20 minit setiap waktu solat pun kita berkira kot. He he..


Bersedekahlah setakat kemampuan. Percayalah, kuasa sedekah sangat besar. Sekalipun kita tergolong dalam golongan miskin, kita tetap dianjurkan untuk bersedekah. Nanti kita akan mendapat pertolongan Allah dari pintu yang tidak terjangka sama sekali. Kalau kita rasa kedekut untuk bersedekah, bermaksud hati kita masih ada benih barah yang menunggu masa untuk pecah.


Jadi jahat lagi susah. Nak kena betul-betul determine bahawa kita nak buat kesalahan dan nak langgar perintah Tuhan. Hati kena kuat nak menjadi penghuni neraka. Teruk tu. Tekak nak kena tahan minum air panas, itu belum bercampur nanah dan sebagainya. Itu di akhirat. Silap-silap percaturan, dah kena hukum sejak berada di dunia lagi. Nak ke jadi penghuni tirai besi sepanjang hidup? Nak bergerak ke sana sini tak boleh, nak kahwin tak boleh, nak makan lemang raya dengan sanak keluarga tak boleh. Semua terikat."


"Eh, teruknya. Dahsyat"


"Sebab itu jadi baik lagi senang. Masuk waktu kita solat cepat-cepat. Tiap-tiap hari basahkan lidah dengan zikir. Lazimi AL-Qur'an dengan qira'at dan fasohah serta tajwid yang baik. Baca dengan tartil. Hormati dan taati orang tua kita. Tumpahkan sepenuh kasih sayang kepada mereka. Tiap-tiap hari, datang pejabat buat kerja dari jam 8 pagi hingga jam 5 petang dikira sebagai ibadah. Syaratnya kena ikhlas dan iringi dengan bismillah. Selama kerja yang ikhlas itu dibuat, selama itulah malaikat mencatat pahala."


"Semudah itu? Maksudnya tak perlulah bangun malam-malam nak solat dan qiyamullail ya?"


"Perlu juga. Itu bonus. Sesiapa yang boleh bangun dan bersolat malam tentunya disayangi Allah dengan lebih banyak. Di samping dia melaksanakan amalan wajib, dia juga mendapat pahala dan ganjaran besar yang lain daripada Allah. Darjatnya diangkat lebih tinggi berbanding yang lain. Hatinya kuat dan kental mendepani ujian. Itu petanda cinta luar biasa terhadap Tuhan yang menghujankan seluruh rahmat dalam kehidupan hamba. Beruntungkan kita kerana dipilih Allah untuk menjadi muslim yang mengimani kebenaran dan keagungan ajaran Islam."


"Oh... Jadi, mulai hari ini saya mahu menjadi baik. Saya juga mahu disayangi Allah. Saya juga mahu disayangi semua orang. Terima kasih kak. Tak susah rupanya mahu menjadi baik."

Terima kasih Ya Allah

Sunday, June 13, 2010 Posted by Azizah Aling


Lama benar laman ini bersawang. Tuannya sangat sibuk berbahagi waktu terhadap semua perkara yang minta disantuni. Paling penting, waktu dengan Cinta dan Kekasih Yang Satu tersangat perlu didahulukan. Cinta yang mesti dikemaskini dan diperhebat dari semasa ke semasa agar ia tidak luntur bersama-sama rancaknya hiburan yang terlalu mengganggu dari segenap keliling dan sudut. Apapun, di sini aku kongsikan kesyukuran terhadap rahmat dan kurnia Illahi yang tidak pernah putus dari detik ke detik. Semoga aku menjadi hamba yang tidak lupa diri.


Pemberian dan kurniaan ini bukan untuk dibanggakan sama sekali, tetapi ia adalah ujian Allah untuk menguji tahap taqwa, ujub, riya' dan syukur seorang hamba. Dari hati yang rendah, aku pohon kepada-MU Ya Allah - Tuhan Yang Kusembah dan Tersangat Dicintai agar menjauhkan aku daripada segala rasa bongkak dan tinggi hati. Aku terlalu malu dengan segala rahmat dan nikmat kurnia-Mu yang senantiasa mengalir meskipun adakalanya puncak cintaku kepada-Mu surut. Aku malu Ya Allah.

Etika yang perlu difahami dan dihadami. Sambutan peringkat kebangsaan ini memberikan kami ruang untuk bertemu mata dengan rakan-rakan seperjuangan.


Hurman Hussin - Majistret Teluk Datuk yang tidak putus-putus menceriakan suasana dengan celoteh yang tidak mahu berhenti. Bekas Timbalan Pendakwa Raya yang matang dan banyak bakat seni juga. Mendengar celoteh beliau menjadikan kami tidak kering gusi.




Ucapan oleh Yang Amat Arif Tun Dato' Seri Zaki bin Tun Azmi -
Ketua Hakim Negara Malaysia - yang juga merupakan anak kepada bekas Ketua Hakim Negara.


Ucapan alu-aluan oleh Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia -
Tuan Hashim bin Hamzah.
Seorang ketua yang kaya ilmu, kaya pengalaman dan berpersonaliti yang sangat merendah diri.


Anugerah khas oleh Yang Amat Arif Ketua Hakim Negara.


Bersama-sama bakal Hajjah Puan Yati. Majistret Balik Pulau, Pulau Pinang.
Kak Yati juga sama seperti aku yang tidak kering gusi melayan celoteh Hurman yang melucukan.


Teman-teman seperjuangan di dunia kehakiman.
Semoga anugerah ini tidak menjadikan kita hamba yang lupa diri dan benar-benar mengerti makna syukur. Anugerah ini menandakan bahawa kita perlu bekerja dengan lebih tekun lagi agar sistem keadilan negara dapat ditegakkan sebagaimana yang diamanahkan.








Ukhuwwah fillah abadan abada.

Kak Syida -
Pegawai Undang-Undang Bahagian Pesuruhjaya Sumpah, Mahkamah Pesekutuan Malaysia. Kakak yang baik, penyabar dan pendengar yang setia serta ibu yang sangat penyayang. Penerima Anugerah tahun 2008 - lebih awal daripada kami. Kerjanya bagus!


Puan Shafrida (Puan Chap).. he he..
Majistret Tampin. Inilah majistret yang mengendalikan reman dan mendengar pertuduhan awal mengenai kes tetak 4 sekeluarga oleh anak muda di Gemencheh. Masih ingat tentang seorang datuk dan adik-beradik yang ditetak dan dipenggal kepalanya?
You did a good job dear.


Bersama-sama jurubahasa kami di Mahkamah Rayuan Malaysia yang turut menerima anugerah kecemerlangan.

Pemimpin koir Mahkamah Persekutuan Malaysia.






Terima kasih cikgu!

Sunday, May 16, 2010 Posted by Azizah Aling

Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepalang ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi.

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama' yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.



Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan didulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG 1979


Buat guru-guru Tadika - guru-guru di SKK3 -
SMKA Naim Lilbanat Kota Bharu -
Pusat Matrikulasi UIAM - Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim UIAM Gombak..
Terima kasih kerana menginsankan aku, hamba kerdil bernama Azizah..
Terima kasih kerana memberi bekas dalam penghayatan aqidah..
Terima kasih atas kasih sayang yang tidak pernah bernoktah.

Buat ibu ayah..
Kalian adalah guru pertama yang mengajarkan hamba tulis baca
Guru pertama yang memandaikan hamba mengenal cinta kasih Yang Maha Esa.
Jika tidak kerana kasih sayang dan perhatian kalian, aku tidak betah berdiri di sini membawa segunung harapan buat memandaikan bangsa.

Bisikan senja

Saturday, May 15, 2010 Posted by Azizah Aling


Saya rindu dan sememangnya saya rindu. Cuma kadang-kadang ada perkara yang menghalang saya untuk menterjemahkan rasa rindu saya. Antaranya adalah ketentuan takdir dan keimanan hati yang mengatakan 'cukup' dan juga apa yang telah berlaku yang membuatkan saya harus mengatakan 'tergamaknya....'. Apa-apa juga yang tersimpan dalam hati saya adalah perasaan rindu yang saya pura-pura sorokkan atau sengaja abaikan supaya resah tidak menguasai hati saya dan sedih tidak menyapa hari-hari saya! Apapun, semoga saya kekal cekal dan kuat di perlembahan ini. Saya tetap iringi perjuangan teman-teman semua dengan setulus doa.

Adilkah untuk terus menghukum?

Monday, May 10, 2010 Posted by Azizah Aling

Banyak kisah mengenai PDRM kedengaran di mana-mana. Bara dan percikan api kemarahan meluap-luap di sana-sini. Lihat saja apa yang terpampang di dinding-dinding Facebook. PDRM dipandang sebagai musuh utama dan ungkapan "Tiada Maaf Bagimu" adalah frasa padat dan lengkap untuk menzahirkan rasa amarah dan benci. Tapi jiwa aku tetap beku. Kaku. Suhunya kekal pada aras biasa. Kenapa? Ini sebabnya.

1. Aku tidak mahu menjadi orang yang lupa untuk berterima kasih kepada PDRM atas jaminan keselamatan yang diberikan sehinggakan aku bebas bergerak ke mana-mana sahaja. Aku bisa membawa kaki melangkah ke segenap penjuru tanah yang dipayungi nama Malaysia dengan aman tanpa rasa takut, resah dan was-was terlampau.


2. Aku tidak mahu menjadi orang yang bongkak dan melupakan bakti mereka menyelamatkan negara dan masyarakat daripada pelbagai kes yang merumitkan. Jika ia tidak ditangani sebaiknya, ia bakal mencetuskan huru-hara tidak bernoktah. Lihat sahaja usaha yang dilakukan untuk mengekang kemaraan puak Al-Ma'unah, strategi yang disusun untuk menangkap para penjenayah yang bebas bergerak menghancurkan dan memusnahkan harta-benda masyarakat tanpa belas sebagaimana yang terpapar luas di media massa dan pelbagai kes lagi. Maka, bilanglah kesalahan yang dilakukan dan bandingkan dengan budi yang ditaburkan, timbangan mana lebih berat. Tepuk dada, tanya minda.


3. Bukanlah aku mengatakan PDRM itu sempurna sifatnya. Barangkali ada khilaf yang dilakukan yang tidak adil di mata Tuhan apatah lagi di mata manusia yang terbatas sifat 'aqlinya, tetapi hentaman demi hentaman bukanlah caranya. Jika benar ada yang bertindak menyalahgunakan batas kuasa yang ada, kita hadapkan mereka ke muka pengadilan dan kita bentangkan bukti sebaiknya. Biar mereka diadili dan dihakimi dan dihukum setimpal khilaf yang dilaksana. Siapa kita untuk mudah dan terus menghukum? Apakah kita sudah menjadi bangsa yang mudah melatah dan lupa untuk berterima kasih? Apakah kita cukup sempurna dalam melunaskan tugas hakiki tanpa sebarang kesilapan? Ayuh, jangan mudah menuding jari. Kita tangani sebarang isu dengan berhemah, dengan akal waras agar kita tidak sama terpekik perlolong, terlompat dan akhirnya terjatuh ke dalam lopak dan becah yang busuk baunya. Nanti kita termalu sendiri.


4. Apa yang perlu kita buat? Kita jaga diri kita sendiri. Pertimbangkan segenap perbuatan secara matang. Apakah wajar untuk kita melepaskan anak-anak menjadi penghuni jalanan saat matahari telah lama melabuhkan tirai dan senja mengambil tempat. Kalau benar kita ibu bapa yang bertanggungjawab, pasti kita tidak akan membiarkan anak-anak menjadi tetamu jalanan di saat selayaknya mereka tidur di pembaringan, atau lebih mulia lagi mereka sedang berteleku di sejadah bermunajat memohon keampunanan daripada Tuhan semesta alam.


Pilihan benar-benar di tangan kita sendiri. Kita pilih jalan mana yang ingin dilalui. Apa pun, jangan mudah menghukum semata-mata mahu memuaskan hati sendiri dan melindungi diri yang gagal membentuk zuriat masing-masing ke takah tertinggi. Segala sesuatu yang berlaku pasti ada hikmahnya dan mencari hikmah yang hilang itu adakalanya sangatlah sukar, tetapi tidak mustahil bagi mereka yang mahu menggunakan akal waras untuk menimbang-nimbang dan berfikir. Berterima kasihlah selayaknya dan mohon maaf tika perlu.

Selamat Hari Ibu!

Sunday, May 09, 2010 Posted by Azizah Aling

Buat semua insan berstatus ibu atau yang bakal memegang gelar ibu, dari hati yang rendah aku ucapkan "Selamat Menyambut Hari Ibu." Terima kasih kerana melahirkan dan meramaikan umat di dunia ini. Semoga perjalanan anak-anak ibu sekalian di dunia terpandu oleh hidayah yang Maha Agung daripada DIA yang Maha Kuasa, pemilik seluruh jagat raya.


Buat bonda Puan Khadijah Haji Yaakub, kuucapkan terima kasih setinggi-tingginya kerana mengandungkanku dengan penuh kasih sayang, melahirkan, mendidik dan membesarkan daku serta adik-beradik yang lain dengan penuh kesabaran. Tidak terbalas segala jasa dan bakti berserta keringat yang membasah bumi demi mencari secicip rezeki buat membesarkan kami 8 beradik.


Demi kebahagiaan ibu, aku sanggup melakukan apa sahaja kerana cintaku sepenuhnya tertumpah kepada dia. Aku anak yang paling nakal, keras kepala dan sukar dilentur semasa kecil berbanding adik-beradik yang lain. Aku sangat suka bereksperimentasi dan adakalanya, percubaan yang dibuat mendatangkan amarah di hati ibu. Banyak air mata ibu tumpah mengenangkan "kenakalan" aku yang amat berlawanan dengan sifat semulajadi sebagai anak perempuan.


Di usia 13 tahun, mengenangkan kenakalan yang sukar dibendung barangkali, ibu meminta izin ayah untuk menghantar aku ke sekolah berasrama di Kota Bharu, sebuah sekolah agama. Tujuannya cuma satu - iaitu untuk melentur akhlak dan mendidik diriku mengenal Allah Yang Maha Kuasa agar perjalanan hidupku setelah akil baligh tidak tersasar dari landasan agama. Aku redha dengan pilihan ibu walaupun pada awalnya aku seringkali memberontak dengan ungkapan ibu mahu membentuk akhlakku di sekolah agama nanti. Di fikiran aku, aku berasakan ibu sudah tidak menyayangi aku lagi. Itulah sebabnya kenapa aku dihantar bersekolah di daerah yang jauh dan perlu berdikari seawal usia 13 tahun.


Akhirnya, hikmah yang dicari kutemui setelah aku berjaya mengenal potensi diri, mengenal makna hidup seorang 'abid kepada Tuhannya. Pilihan ibu tersangat tepat! Jika ibu menurut kehendakku untuk mendaftarkan diri di sebuah sekolah berasrama penuh, belum tentu akhlak diriku tercorak sebegini. Terima kasih yang tidak terhingga buat ibu atas pilihan yang tersangat tepat.


Aku benar-benar terhutang budi kepada ibu. Dia membuat pilihan dengan petunjuk Tuhan. Dia sentiasa mahukan yang terbaik untuk semua anaknya. Memilih pasangan hidup sekalipun, menjadi kemestian dalam hidupku untuk mendapatkan restu ibu. Jika dia tidak membenarkan, aku tidak akan meneruskan.


Terkenang suatu kisah sewaktu aku berusia 25 tahun, aku telah memutuskan untuk mendirikan rumahtangga dengan jejaka pilihan yang telah lama mencuri hati sejak di alam persekolahan lagi. Perhubungan kami bukan seperti pasangan biasa yang lain. Sepanjang 9 tahun perkenalan, tiada panggilan telefon, tiada ungkapan cinta sayang. Kalau ada sekalipun, hanyalah utusan surat. Itupun boleh dikira dengan jari. Paling penting, kita saling mendoakan antara satu sama lain di dalam doa.


Aku sentiasa berpegang kepada pinsip bahawa untuk mendapatkan yang terbaik, kita harus berusaha menjadi yang terbaik. Untuk mendapatkan anak-anak yang soleh, permulaan perhubungan ibu bapa mestilah melalui jalan yang baik dan jauh daripada maksiat terlebih dahulu. Kalau di muara suadah keruh, bagaimanakah harapan untuk mendapatkan air yang jernih di kuala.


Tatkala saatnya tiba, di suatu Subuh yang hening, aku persembahkan hajat kepada ibu memohon perkenan dan doa restu. Lama ibu terdiam dan berfikir. Hari berganti hari, minggu berganti minggu, akhirnya ibu memberikan jawapan "TIDAK".. Aku berasa tidak percaya, amat terkejut dan tidak sanggup menerima kenyataan. Aku terasa sangat bersendiri di dunia yang tidak peduli. Jiwaku lumpuh. Aku mengharu biru tatkala perasaan sedih mencengkam. Jiwa yang bagaikan tercedera berdarah-darah.


Saat itu ibu datang memujuk. Membentangkan hikmah satu persatu kenapa jalan itu yang dipilih ibu. Aku diam. Berbulan-bulan aku berfikir dan merenung ke dalam diri. Akhirnya aku temui jawapan. Cinta yang sementara itu bukan sepenuhnya aku sandarkan kepada Allah. Barangkali Allah sudah menayangkan jawapan kepada ibu bahawa cinta manusiawi semata-mata tidak cukup untuk membina bahagia. Pergantungan dan kecintaan kepada Allah mesti mendahului kecintaanku kepada manusia. Khayalan cinta sementara dahulu hanyalah perasaan yang meninggi ibarat pesawat yang membawa cinta menembusi awan-awan putih nun jauh tinggi di angkasa, tidak terjangkau pandangan mata.


Akhirnya aku akur dengan keputusan ibu, dan hikmahnya telah kujumpai kini. Hanya cinta sebenar-benarnya kepada Tuhan yang dapat memunculkan sesuatu kemampuan dan sifat-sifat rahsia yang jujur. Aku sudah ikhlas meninggalkan sejarah kehidupan indah dahulu yang bertaburan wangi bunga palsu. Inilah asyiknya menjadi anak kepada seorang ibu yang hebat, patah hati kerana cinta yang telah berlangsung sekian lama boleh pulih dalam waktu beberapa bulan dan disembuhkan Allah dengan bantuan seorang ibu yang mahu anaknya tidak melupakan pencipta.


Maka, sesiapapun jua yang menjadi pilihan, maka keizinan ibu ayah pasti mendahului. Selagi ibu tidak mengatakan "YA" selagi itulah aku akan taat dan patuh kepada kehendaknya. Keredhaan Allah sememangnya terletak kepada keredhaan ayah ibu. Aku akan terus berbakti kepada kedua-duanya tanpa jemu. Kebahagiaan mereka adalah kebahagiaanku, ketenangan mereka adalah ketenanganku.


Mom, happy mother's day! I love you more and more each day.

Bayu Dari Lembah

Monday, May 03, 2010 Posted by Azizah Aling

Wah, lama benar aku menghilang. Gandingan antara aku dan encik sibuk sangat rapat menyebabkan aku tidak mampu menjengah ke mari. Semoga Allah menerima kesibukanku sebagai sebahagian daripada ibadah dan amal soleh.

Seminggu yang lalu aku ke Negeri di Bawah Bayu melunaskan tugasan rasmi. Kesempatan ini juga digunakan untuk aku merungkai rindu. Sudah lama bayu dari lembah itu tidak dihirup. Sudah 12 tahun tanah itu aku tinggalkan jejak. Banyak perubahan yang ketara di sana sini meskipun banyak lagi ruang yang mesti diperbaiki.


Keberangkatan kali ini pada awalnya tidaklah begitu mengujakan memandangkan badan terlalu letih dengan hambatan tugas yang tidak pernah mahu berhenti. Barang-barang keperluan peribadi dikemaskan di saat akhir. Kenapa? Kerana pada malam sebelum berangkat, aku sibuk menyudahkan naskhah di bawah ini sehingga larut malam. Aku tidak bimbang kerana aku suka berpagi-pagi.


Di minda, aku tahu aku bisa punya waktu usai Subuh nanti untuk melengkapkan segala keperluan kerana penerbangan dijangka berlepas jam 12.15 tengahari. Panjang lagi waktu untuk aku bersantai. Usai Subuh, aku semak tiket. Sekadar mengesahkan apa yang sudah terlekat di minda. Aku lihat waktu penerbangan adalah jam 9.50 pagi. Hah!!! Aku terperanjat besar dan mula kelam-kabut mengemaskan keperluan. Usai mengemas, aku tersenyum sendiri mengenangkan kelalaian diri. Terlalu banyak perkara yang menghuni minda sejak akhir-akhir ini. Ataupun aku sudah tua barangkali.



Dapat membaca buku adalah suatu nikmat yang tidak terluah dengan kata-kata. Aku pernah mengalami tekanan secara diam kerana aku cuba menafikan hak minda untuk membaca buku sebagaimana rutin. Jiwa memberontak. Akhirnya aku tertekan tanpa aku sedari. Sudahnya, dalam kesibukan yang tidak sedikit, aku mencari kesempatan menghadami dua buah buku. Usai menggali intinya, tekanan pun menjauh. Wah! Ajaib sungguh kuasa buku. Maka, itulah sebabnya aku berusaha menguliti buku ini sehingga ke muka terakhir kerana aku tidak mahu membawanya ke Kota Kinabalu. Berat! Lagi pula jika tidak dihabiskan, perasaan membuak-buak untuk mengetahui konklusinya akan hilang.



Tiba di tempat penginapan, aku sempat menyusuri sebuah kompleks beli belah dan terlihat akan pertandingan ini. Aku sangat suka permainanan ini. Di zaman persekolahan, aku adalah salah seorang pemain catur walaupun tidaklah pandai sangat. Aku ada strategi sendiri untuk memberikan Check-Mate kepada lawan dalam masa 4 minit permainan! He he he.. (Ketawa dalam nada sedikit nakal)..


TIP OF BORNEO - Kuala Simpang Mengayau, Kudat.
Hari akhir persidangan, bos mempelawa ke sini.


Subhanallah.. Kehebatan Allah SWT. Tiada tolok bandingnya.




Sebahagian daripada pemandangan di Pasar Filipina atau lebih dikenali sebagai Phillipino Market. Pada hari pertama persidangan selesai, aku menapak seorang diri dari hotel penginapan ke lokasi ini. Kaki hampir kekejangan juga. Belakang juga sedikit kebas memandangkan aku memakai kasut bertumit sedikit tinggi. Aduhai! Silap perhitungan. Aku tidak tahu bahawa di sini penghuninya bukan sembarangan orang. Bila bos menegur keesokan harinya berpesan agar aku tidak terlalu berani berjalan bersendirian, baru timbul rasa takut dalam hati. Jika tidak, pasti aku akan redah lorong demi lorong ke sini bersendirian. Aku rasa selamat. Rupanya tidak. Hmm..



Anak kecil ini tidak mahu gambarnya dirakamkan. Lama kami bersembang. Baru berusia 6 tahun. Belum ke sekolah tadika kerana ibu bapanya tidak punya wang yang cukup. Bayangkan dengan kudrat 6 tahun, dia boleh menolak troli ini bersendirian. Banyak lagi usaha yang perlu dilaksanakan kerajaan agar tahap kemiskinan tegar dapat dihapuskan di sini. Simpatiku meninggi. Aku tidak menangis tetapi jiwa tersentuh melihat ketabahan dia melalui laluan hidup yang ditetapkan Tuhan sebegini. Aku pasti, ada hikmah di sebalik ujian ini.


Kaki pancing seperti aku sangat sukakan laut dan bot. Jiwa berbunga-bunga melihat hasil tangkapan yang segar. Andainya di hotel kami ada dapur yang membenarkan aku memasak makanan sendiri, pasti aku akan membeli bahan mentah barang sedikit untuk dimasak. Aduhai... Sayangnya tidak ada. Tidak mengapa, barangkali aku akan manfaatkan kesempatan lain jika berpeluang lagi ke sini.



Mesti beli untuk stok! He he..




Gamat!



SOLUSI Edisi 19 - Aku menghadami majalah ini sepanjang penerbangan dari KLIA ke KKIA. Membaca dengan air mata. Menangis diam-diam tatkala ada intinya yang menyentuh kalbu. Si Penghiba Hati seperti aku sangat mudah menangis apabila membaca teguran demi teguran, peringatan demi peringatan daripada para ustaz di dalamnya. Bacalah majalah ini aduhai teman! Gali permata berharga di dalamnya. Aku berusaha menyimpan semua koleksi untuk tatapan anak generasiku di hari esok sebagai bekal dan panduan.


Sebahagian "peralatan" wajib jika aku ke mana-mana. Aku menghadami dan menguliti Lasykar Pelangi buat kali ke-3. Barangkali aku sudah merindui karya baru garapan Saudara Andrea Hirata. Membaca tulisan beliau sangat menyenangkan. Anda pasti akan ketawa, menangis dan terharu sepanjang pembacaan bersilih ganti.


Bekerja di usia senja demi sesuap nasi. Ada kisah sayu di sebaliknya. Biarlah ia menjadi rahsia peribadi aku sendiri. Aku tidak tergamak untuk berkongsi di sini. Rasa simpatiku melimpah-limpah.








Aku tidak mahu mengulas apa-apa. Cuma aku kecewa! Hmmmm....

Banyak lagi yang boleh dikongsi. Cuma aku sudah keletihan mahu menyiapkan entri ini. Mata ini asyik meminta dipejam. Menghantar permohonan untuk berehat barangkali sebelum memulakan hari yang bakal mencabar kemampuan minggu hadapan.

Nanti aku akan menulis mengenai Palestin untuk entri akan datang. Ideanya sudah lama bersarang di minda. Cuma ia belum lagi terluah di sini. Sudah berbulan-bulan hasrat itu belum berupaya dilaksanakan. Insya Allah. Aku mengingatkan diriku sendiri agar kembali lagi ke sini.


Putrajaya
8.5.2010