Selamat Hari Ibu!

Sunday, May 09, 2010 Posted by Azizah Aling

Buat semua insan berstatus ibu atau yang bakal memegang gelar ibu, dari hati yang rendah aku ucapkan "Selamat Menyambut Hari Ibu." Terima kasih kerana melahirkan dan meramaikan umat di dunia ini. Semoga perjalanan anak-anak ibu sekalian di dunia terpandu oleh hidayah yang Maha Agung daripada DIA yang Maha Kuasa, pemilik seluruh jagat raya.


Buat bonda Puan Khadijah Haji Yaakub, kuucapkan terima kasih setinggi-tingginya kerana mengandungkanku dengan penuh kasih sayang, melahirkan, mendidik dan membesarkan daku serta adik-beradik yang lain dengan penuh kesabaran. Tidak terbalas segala jasa dan bakti berserta keringat yang membasah bumi demi mencari secicip rezeki buat membesarkan kami 8 beradik.


Demi kebahagiaan ibu, aku sanggup melakukan apa sahaja kerana cintaku sepenuhnya tertumpah kepada dia. Aku anak yang paling nakal, keras kepala dan sukar dilentur semasa kecil berbanding adik-beradik yang lain. Aku sangat suka bereksperimentasi dan adakalanya, percubaan yang dibuat mendatangkan amarah di hati ibu. Banyak air mata ibu tumpah mengenangkan "kenakalan" aku yang amat berlawanan dengan sifat semulajadi sebagai anak perempuan.


Di usia 13 tahun, mengenangkan kenakalan yang sukar dibendung barangkali, ibu meminta izin ayah untuk menghantar aku ke sekolah berasrama di Kota Bharu, sebuah sekolah agama. Tujuannya cuma satu - iaitu untuk melentur akhlak dan mendidik diriku mengenal Allah Yang Maha Kuasa agar perjalanan hidupku setelah akil baligh tidak tersasar dari landasan agama. Aku redha dengan pilihan ibu walaupun pada awalnya aku seringkali memberontak dengan ungkapan ibu mahu membentuk akhlakku di sekolah agama nanti. Di fikiran aku, aku berasakan ibu sudah tidak menyayangi aku lagi. Itulah sebabnya kenapa aku dihantar bersekolah di daerah yang jauh dan perlu berdikari seawal usia 13 tahun.


Akhirnya, hikmah yang dicari kutemui setelah aku berjaya mengenal potensi diri, mengenal makna hidup seorang 'abid kepada Tuhannya. Pilihan ibu tersangat tepat! Jika ibu menurut kehendakku untuk mendaftarkan diri di sebuah sekolah berasrama penuh, belum tentu akhlak diriku tercorak sebegini. Terima kasih yang tidak terhingga buat ibu atas pilihan yang tersangat tepat.


Aku benar-benar terhutang budi kepada ibu. Dia membuat pilihan dengan petunjuk Tuhan. Dia sentiasa mahukan yang terbaik untuk semua anaknya. Memilih pasangan hidup sekalipun, menjadi kemestian dalam hidupku untuk mendapatkan restu ibu. Jika dia tidak membenarkan, aku tidak akan meneruskan.


Terkenang suatu kisah sewaktu aku berusia 25 tahun, aku telah memutuskan untuk mendirikan rumahtangga dengan jejaka pilihan yang telah lama mencuri hati sejak di alam persekolahan lagi. Perhubungan kami bukan seperti pasangan biasa yang lain. Sepanjang 9 tahun perkenalan, tiada panggilan telefon, tiada ungkapan cinta sayang. Kalau ada sekalipun, hanyalah utusan surat. Itupun boleh dikira dengan jari. Paling penting, kita saling mendoakan antara satu sama lain di dalam doa.


Aku sentiasa berpegang kepada pinsip bahawa untuk mendapatkan yang terbaik, kita harus berusaha menjadi yang terbaik. Untuk mendapatkan anak-anak yang soleh, permulaan perhubungan ibu bapa mestilah melalui jalan yang baik dan jauh daripada maksiat terlebih dahulu. Kalau di muara suadah keruh, bagaimanakah harapan untuk mendapatkan air yang jernih di kuala.


Tatkala saatnya tiba, di suatu Subuh yang hening, aku persembahkan hajat kepada ibu memohon perkenan dan doa restu. Lama ibu terdiam dan berfikir. Hari berganti hari, minggu berganti minggu, akhirnya ibu memberikan jawapan "TIDAK".. Aku berasa tidak percaya, amat terkejut dan tidak sanggup menerima kenyataan. Aku terasa sangat bersendiri di dunia yang tidak peduli. Jiwaku lumpuh. Aku mengharu biru tatkala perasaan sedih mencengkam. Jiwa yang bagaikan tercedera berdarah-darah.


Saat itu ibu datang memujuk. Membentangkan hikmah satu persatu kenapa jalan itu yang dipilih ibu. Aku diam. Berbulan-bulan aku berfikir dan merenung ke dalam diri. Akhirnya aku temui jawapan. Cinta yang sementara itu bukan sepenuhnya aku sandarkan kepada Allah. Barangkali Allah sudah menayangkan jawapan kepada ibu bahawa cinta manusiawi semata-mata tidak cukup untuk membina bahagia. Pergantungan dan kecintaan kepada Allah mesti mendahului kecintaanku kepada manusia. Khayalan cinta sementara dahulu hanyalah perasaan yang meninggi ibarat pesawat yang membawa cinta menembusi awan-awan putih nun jauh tinggi di angkasa, tidak terjangkau pandangan mata.


Akhirnya aku akur dengan keputusan ibu, dan hikmahnya telah kujumpai kini. Hanya cinta sebenar-benarnya kepada Tuhan yang dapat memunculkan sesuatu kemampuan dan sifat-sifat rahsia yang jujur. Aku sudah ikhlas meninggalkan sejarah kehidupan indah dahulu yang bertaburan wangi bunga palsu. Inilah asyiknya menjadi anak kepada seorang ibu yang hebat, patah hati kerana cinta yang telah berlangsung sekian lama boleh pulih dalam waktu beberapa bulan dan disembuhkan Allah dengan bantuan seorang ibu yang mahu anaknya tidak melupakan pencipta.


Maka, sesiapapun jua yang menjadi pilihan, maka keizinan ibu ayah pasti mendahului. Selagi ibu tidak mengatakan "YA" selagi itulah aku akan taat dan patuh kepada kehendaknya. Keredhaan Allah sememangnya terletak kepada keredhaan ayah ibu. Aku akan terus berbakti kepada kedua-duanya tanpa jemu. Kebahagiaan mereka adalah kebahagiaanku, ketenangan mereka adalah ketenanganku.


Mom, happy mother's day! I love you more and more each day.

2 comments:

Ezan said...

Salam hormat azizah.
catatan pengalaman yang amat menarik. apapun ibu bapa perlu didahulukan. restu keduanya amat penting bagi menjamin kecerahan masa depan.
TQ

Nor Azizah Aling said...

Salam hormat kembali Encik Ezan. Mereka terlalu banyak berkorban untuk saya. Tidak wajar untuk saya membelakangkan mereka sekalipun keinginan kami bertingkah.

Post a Comment