Adilkah untuk terus menghukum?

Monday, May 10, 2010 Posted by Azizah Aling

Banyak kisah mengenai PDRM kedengaran di mana-mana. Bara dan percikan api kemarahan meluap-luap di sana-sini. Lihat saja apa yang terpampang di dinding-dinding Facebook. PDRM dipandang sebagai musuh utama dan ungkapan "Tiada Maaf Bagimu" adalah frasa padat dan lengkap untuk menzahirkan rasa amarah dan benci. Tapi jiwa aku tetap beku. Kaku. Suhunya kekal pada aras biasa. Kenapa? Ini sebabnya.

1. Aku tidak mahu menjadi orang yang lupa untuk berterima kasih kepada PDRM atas jaminan keselamatan yang diberikan sehinggakan aku bebas bergerak ke mana-mana sahaja. Aku bisa membawa kaki melangkah ke segenap penjuru tanah yang dipayungi nama Malaysia dengan aman tanpa rasa takut, resah dan was-was terlampau.


2. Aku tidak mahu menjadi orang yang bongkak dan melupakan bakti mereka menyelamatkan negara dan masyarakat daripada pelbagai kes yang merumitkan. Jika ia tidak ditangani sebaiknya, ia bakal mencetuskan huru-hara tidak bernoktah. Lihat sahaja usaha yang dilakukan untuk mengekang kemaraan puak Al-Ma'unah, strategi yang disusun untuk menangkap para penjenayah yang bebas bergerak menghancurkan dan memusnahkan harta-benda masyarakat tanpa belas sebagaimana yang terpapar luas di media massa dan pelbagai kes lagi. Maka, bilanglah kesalahan yang dilakukan dan bandingkan dengan budi yang ditaburkan, timbangan mana lebih berat. Tepuk dada, tanya minda.


3. Bukanlah aku mengatakan PDRM itu sempurna sifatnya. Barangkali ada khilaf yang dilakukan yang tidak adil di mata Tuhan apatah lagi di mata manusia yang terbatas sifat 'aqlinya, tetapi hentaman demi hentaman bukanlah caranya. Jika benar ada yang bertindak menyalahgunakan batas kuasa yang ada, kita hadapkan mereka ke muka pengadilan dan kita bentangkan bukti sebaiknya. Biar mereka diadili dan dihakimi dan dihukum setimpal khilaf yang dilaksana. Siapa kita untuk mudah dan terus menghukum? Apakah kita sudah menjadi bangsa yang mudah melatah dan lupa untuk berterima kasih? Apakah kita cukup sempurna dalam melunaskan tugas hakiki tanpa sebarang kesilapan? Ayuh, jangan mudah menuding jari. Kita tangani sebarang isu dengan berhemah, dengan akal waras agar kita tidak sama terpekik perlolong, terlompat dan akhirnya terjatuh ke dalam lopak dan becah yang busuk baunya. Nanti kita termalu sendiri.


4. Apa yang perlu kita buat? Kita jaga diri kita sendiri. Pertimbangkan segenap perbuatan secara matang. Apakah wajar untuk kita melepaskan anak-anak menjadi penghuni jalanan saat matahari telah lama melabuhkan tirai dan senja mengambil tempat. Kalau benar kita ibu bapa yang bertanggungjawab, pasti kita tidak akan membiarkan anak-anak menjadi tetamu jalanan di saat selayaknya mereka tidur di pembaringan, atau lebih mulia lagi mereka sedang berteleku di sejadah bermunajat memohon keampunanan daripada Tuhan semesta alam.


Pilihan benar-benar di tangan kita sendiri. Kita pilih jalan mana yang ingin dilalui. Apa pun, jangan mudah menghukum semata-mata mahu memuaskan hati sendiri dan melindungi diri yang gagal membentuk zuriat masing-masing ke takah tertinggi. Segala sesuatu yang berlaku pasti ada hikmahnya dan mencari hikmah yang hilang itu adakalanya sangatlah sukar, tetapi tidak mustahil bagi mereka yang mahu menggunakan akal waras untuk menimbang-nimbang dan berfikir. Berterima kasihlah selayaknya dan mohon maaf tika perlu.

5 comments:

zeqzeq said...

tak marah cuma mengata jer..
kesilapan kan adat Insan.

cuma masih belum ada bila ngaku salah ada diskaun penjara, bila agaknya mahkamah nakbuat.
jimat kos mahkamah. berbanding mengaku tidak bersalah.
atau menambah butiran fakta tambah 100% hukuman.

ataupun jika terdapat saksi yang menokok bahan kes ken denda 200%

Nor Azizah Aling said...

Jangan mengata, nanti tambah dosa.

Azree Ariffin said...

Setuju, Kak Azizah.

Kadang-kadang orang kita ni cepat melatah. Hanya kerana kesilapan seorang pegawai polis, habis keseluruhan perkhidmatan polis itu terkena tempiasnya. Dan hal ini, kita perlu bersikap rasional dan berfikir secara logik. Saya masih mempertaruhkan keyakinan kepada PDRM.

Bagaimanapun, langkah perlu diambil untuk menyiasat apakah punca berlakunya satu-satu kesilapan seperti dalam kes Aminulrasyid. Yang putih tetap putih, yang hitam tetap hitam.

Wassalam.

Nor Azizah Aling said...

Azree,

Ada kalanya orang yang kita nampak berumur lebih teruk tahap ketidakmatangannya dalam menangani dan menyantuni alur hidup. Apabila ego meraja di hati, yang tinggal hanyalah bilah-bilah kebodohan.

zeqzeq said...

umur hanya satu angka..
Jawatan hanya sementara..yang ada tabiat..

Post a Comment