Mengenang TSUNAMI

Saturday, December 26, 2009 Posted by Azizah Aling

Air yang menjulang tinggi mencecah pepohon kelapa..





1. Sudah hampir 6 tahun Tsunami meninggalkan kesan yang parah dan dahsyat di beberapa buah negara yang berlautkan Lautan Hindi. Malaysia tidak terkecuali apabila Kota Kuala Muda (salah satu daripadanya) turut dilanda Tsunami. Di Indonesia, Banda Acheh antara yang menerima tempias paling dahsyat. Ada yang menggambarkan kejadian Tsunami itu sebagai 'Kiamat Kecil'. Sejujurnya, pelbagai iktibar yang boleh kita ambil dari bencana alam yang begitu dahsyat itu sehingga mengorbankan ribuan nyawa dan harta-benda hanya dalam sekelip mata.


2. Ada yang mengaitkan bencana tsunami dengan kisah Nabi Musa berguru dengan Nabi Hidir. Ringkasnya, kita tidak boleh mempersoalkan kenapa bencana tsunami melanda Acheh yg majoritinya adalah Islam dan sebahagian besarnya adalah kanak-kanak. Renungkan kisah apabila Nabi Hidir membunuh seorang kanak-kanak kecil dan dipersoalkan oleh Nabi Musa, di sana wujudnya rahmat di sebalik kejadian itu yg kita langsung tidak tahu. Kisah ini digambarkan dengan sangat lengkap oleh Allah SWT dalam Surah Al-Kahfi. Bacalah temanku semua. Ambillah 'ibrahnya.


3. Kita sebagai umat Islam di Malaysia perlu menjadikannya sebagai iktibar. Malaysia telah membatalkan perayaan menyambut tahun baru di tahun 2004 yang sebelum ini penuh dengan kemungkaran. Hakikatnya tsunami tahun 2004 telah dapat menghentikan perayaan menyambut tahun baru yang telah diamalkan sejak berpuluh tahun lamanya setelah kira-kira 66 rakyat Malaysia terkorban. Mengenang kembali saat kami menjalankan kerja kebajikan di Kota Kuala Muda, hati digamit sayu yang paling dalam apabila kebanyakan mangsa tsunami sangat kontang jiwanya mengenai aqidah. Pengalaman menguruskan emosi masyarakat yang sangat tidak keruan akibat trauma yang dialami sangat menguji keimanan. Benarlah, bahawa apa juga yang Allah ingin lakukan, semuanya bakal berlaku dalam sekelip mata apabila DIA mengatakan "Kun Fayakun."


4. Tetapi seperti hadis Nabi SAW, tahap iman manusia sentiasa berada dalam jari-jari Allah. Bila-bila masa sahaja iman kita boleh diterbalikkan kerana tingkatan iman kita sentiasa ada pasang-surut. Kalau kita mengingati Allah, Allah akan mengingati kita, begitu juga sebaliknya. Lihat saja di Pukhet. Kemungkaran telah kembali seperti sedia kala. Pelancong berbikini seolah-olah tidak pernah berlaku tsunami di Pukhet. Manusia memang pelupa.


5. Apakah kejadian tsunami sebagai tanda-tanda besar dunia akan kiamat? Tanda-tanda kiamat kecil sudah banyak berlaku seperti ramai golongan wanita daripada kalangan lelaki, terbinanya bangunan pencakar langit dan masing-masing ingin menyaingi ketinggian yang sedia ada di negara lain, banyaknya gempa bumi, banyak masjid dari jemaahnya (renungkan banyak masjid di Acheh tidak rosak sedangkan kawasan sekitarnya menjadi padang jarak padang tekukur), ayat al-quran hanya penghias dinding dan bukannya untuk dibaca dan diamalkan. Untuk bercerita pasal kiamat, mungkin masih lama lagi kerana tanda kiamat yang besar belum berlaku, mungkin tidak di zaman kita, atau anak kita atau cucu kita selagi ada manusia walau seorang sahaja yang menyeru nama Allah, Insya-Allah matahari tidak akan terbit dari barat. Tetapi siapa kita untuk mengintai rahsia Allah??


6. Pastinya ada pelbagai hikmah daripada musibah yang melanda. Musibah mampu mengeluarkan nilai-nilai ubudiyah doa yang selama ini terpendam. Musibah juga menggugah cinta kasih sesama manusia, semakin menyatukan rasa cinta kepada sesama manusia, dan saling mendoakan kepada yang sedang ditimpa, kerana sudah menjadi lumrah orang-orang merasa terpanggil untuk bertanggung jawab dan mencintai orang yang sedang ditimpa musibah dan mendapat ujian.


7. Musibah itu akan membukakan mata mereka kepada yang lebih besar kerana apa yang mereka lihat itu adalah kecil berbanding musibah lain yang lebih besar. Kemudian mereka menerima bahawa itu semua merupakan penebusan dosa dan kesalahan, sekaligus mendapat pahala dan ganjaran disisi Allah. Jika manusia menyedari bahawa semua ini adalah hasil yang boleh di petik dari musibah maka mereka akan menghadapinya dengan senang dan tenang.


8. Seperti mula-mula ombak Tsunami yang mengganas, kini keadaan telah kembali tenang. Begitulah kita manusia ini, akan cemas dan gelabah apabila sesuatu kejadian atau musibah terjadi ke atas diri atau di sekeliling kita. Kita akan melakukan apa sahaja untuk memulihkan keadaan kepada asalnya. Lantas apabila keadaan kembali tenang, kita akan menjalani kehidupan seperti biasa dan sedikit-sedikit kesakitan, kesusahan, kecemasan dan apa saja perasaan yang dialami pada mulanya, akan terus lenyap daripada diri dan ingatan. Begitulah juga dengan tsunami yang telah lama berlalu. Kesannya hampir tiada dan rutin membilang hikmahnya juga sudah beransur pergi. Maklumlah, mungkin kesan kesengsaraan yang dialami semasa ribut dan ombak Tsunami membadai dahulu kini semakin terhakis. Ingatan juga semakin terhakis detik demi detik. Semoga Allah menjaga tingkatan iman kita agar sentiasa bertambah setiap masa.


2 comments:

azieazah said...

Salam kenal AZIZAH...
Benar.. semoga apa yang terjadi menjadi iktibar kepada kita...

Azizah Aling said...

Salam perkenalan kembali Kak Azie. Mudah-mudahan kita tidak mudah larut dengan nikmat dunia yang dipinjamkan Tuhan buat sementara.

Post a Comment