NATRAH

Saturday, December 12, 2009 Posted by Azizah Aling

Masih berpakaian pejabat..


"Cunnie" - a good friend of mine




"Bunting"

Madam Mazleena (My Criminal Law lecturer)


I love the words..




Tanggal 4.12.2009, aku bersama-sama dengan teman sepejabat i.e. "Cunnie" ke Istana Budaya untuk menonton lakaran kisah Natrah garapan Sutradara terkenal Puan Erma Fatima. Melihat kepada kepadatan jadual harian, terasa seperti agak mustahil untuk melakukannya memandangkan aku berada dalam "briefing week" sebelum ke Sarawak untuk persidangan Mahkamah rayuan di sana. Tapi kalau hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.



Selepas sesi "Book Review" di Jabatan Peguam Negara dan sesi minum petang dengan YB Peguam Negara selesai, kami bergegas ke IB, lengkap berpakaian pejabat. Ha ha.. Apa nak dimalukan. Alhamdulillah jalan tidak sesesak biasa, mungkin kerana cuti persekolahan telah bermula. Aku sempat berjumpa dengan ramai teman lain dari pelbagai lokasi dan kesemuanya masih lengkap berpakaian pejabat. Wah.. penangan NATRAH sangat kuat untuk menarik masyarakat menghayati sekeping kisah Sejarah Cinta Berdarah.




Usai makan malam bersama-sama Maya Karin (Natrah) di kafeteria IB, kami menghala ke surau untuk bersolat. Selepas solat, sementara menunggu pintu dibuka, terserempak pula dengan pensyarah yang digemari semasa di Universiti. Bila aku pusing dan menghala ke sisi, Madam Mazleena berdiri di sebelah. Kami bersembang agak lama juga tentang Natrah dan perihal kerjaya masing-masing yang sangat berkait rapat dengan undang-undang.




Apabila persembahan dimulai, aku agak terpinga-pinga kerana monolog seorang Natrah di usia lewat 70-an agak panjang meleret. Aku faham Sofea Jane cuba menghayati bait-bait monolog secara mendalam. Tapi ia tak sampai ke dalam hati aku. Selepas itu, bila watak dan penceritaan diteruskan oleh Umie Aida dan Maya Karin, baru aku kembali ke dalam situasi dan cerita Natrah. Umie Aida is a great actress, as well as Maya Karin. U both did a good job.





Natrah anak kelahiran Belanda yang diberikan kepada Che Aminah untuk dijaga semasa bapa Natrah iaitu Petruse Hertogh menjadi tawanan perang (prisoner of war). Ia menjadi sangat sensitif apabila ia bukan hanya melibatkan soal hak penjagaan (custody, care and control), tetapi ia juga sebenarnya turut melibatkan soal akidah. Pada masa itu, kesatuan umat melayu sangat kental dan bara obor perjuangan sentiasa menyala dan mereka sentiasa bersatu dalam kepelbagaian latar belakang mempertahankan kesucian dan kemurnian akidah seorang anak kecil. Alangkah indahnya jika perihal yang sama masih dapat dikekalkan pada hari ini.




Kisah Natrah telah dipelajari semasa aku masih menuntut di Universiti. Setelah menapak ke alam kerjaya, aku membuat pembacaan serta penelitian berdasarkan kedudukan undang-undang negara dan kesan yang dialami hasil keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan yang bersidang di Singapura tahun 1951.


Secara undang-undang, sememangnya Ibu Kandung Natrah berhak ke atas anaknya. Tapi kita juga mahukan Natrah kekal menjadi penganut agama Islam yang suci sampai hujung usia. Sayangnya ia tak berlaku sedemikian.


Sepanjang perbicaraan dijalankan melalui Saman Pemula (Originating Summons - trial by an affidavit), semua fakta yang terselindung dibuka untuk pertimbangan Mahkamah di dalam affidavit. Malangnya keputusan yang disampaikan pada 30.8.1951 oleh Chief Justice Foster Sutton, Spencer-Wilkinson J & Wilson J di Singapura terlalu menggunapakai undang-undang Hollands dan Article 86 Netherlands Civil Code dan mengisytiharkan bahawa perkahwinan Natrah & Mansor Adabi tidak sah sejak permulaan (Void ab initio). Muhammadan Law telah diabaikan walaupun Common Law and Equity menghargai kewujudan adat setempat dan undang-undang Islam.

Apa yang menarik, semasa di Mahkamah Tinggi, Hakim turut membuat pemerhatian mengenai demeanour Natrah dan dinyatakan di dalam Penghakiman: "Judged by the standard of a European child, she (Natrah) is older than her years." Ini bermakna, Natrah adalah seorang kanak-kanak yang matang dan boleh membuat keputusan waras tanpa pengaruh dan paksaan walaupun beliau masih di bawah umur. To me, the learned Judge has contradicted himself on this point. Credit should be given to this phrase. Yet law remains as it is.


Apapun, sekalung tahniah kepada Pengarah dan Pasukan beliau atas pementasan yang baik. Ia ada kualiti tersendiri walaupun agak banyak ruang kosong yang boleh diperbaiki. Aku faham Pengarah tak boleh terlalu membawakan isu yang berat kerana ia agak susah diterima masyarakat Malaysia. Masyarakat lebih cenderung kepada kisah-kisah cinta dan atas dasar itulah, penceritaan mengenai babak-babak cinta diolah agak panjang dan aku kurang bersetuju.


Aku suka dengan lagu yang dinyanyikan. Ada sesetengah bait masih terngiang-ngiang di telinga dan ada yang aku sempat hafal semasa mendengar dan menonton pementasan. Lagu yang merdu mudah sebati dengan jiwa. Semoga masyarakat bukan sekadar menonton pementasan ini untuk mengiburkan hati, tetapi mengambil 'ibrah atas apa yang terjadi dan menyematkan dalam hati erti kedamaian, kasih sayang, ketuanan bangsa dan kebebasan beragama. Kita berdiri dan menginjak pada tanah ini bukan untuk ditertawakan, tapi kita berpijak dengan penuh kebanggaan menjunjung maruah bangsa dan agama agar ia tidak dihumban mereka yang rakus tanpa rasa ihsan dalam jiwa.

0 comments:

Post a Comment