SOLAT

Wednesday, December 23, 2009 Posted by Azizah Aling

Kembara hati menuju Illahi


"Dan kalian mintalah pertolongan dengan kesabaran dan solat, dan sesungguhnya (solat itu) sungguh besar dan berat kecuali bagi orang-orang yang yang khusyuk (tunduk hatinya kepada Allah)"
~Al-Baqarah : 45~



Berdoalah jangan putus. Pertolongan Allah pasti datang dalam bentuk yang tidak terduga.



Duhai anak, teruslah berdoa..



"Bukan kita hidup mencari puji, bukan pula supaya kita paling atas di dalam segala hal. Meskipun itu tidak kita cari, kalau kita menjaga kebersihan, kita akan dihormati orang juga". Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w: "Perbaguslah pakaianmu, perbaiki tunggangan (kenderaan) mu, sehingga kamu laksana sebutir tahi lalat di tengah-tengah pipi, di dalam pergaulan dengan orang banyak". Pak HAMKA.


1. Entri ini aku tulis kerana aku kecewa dengan beberapa individu di sekeliling yang meremehkan solat. Mulut ini belum lagi lantang dengan teguran yang berhikmah, baru sekadar menyampaikan isyarat bahawa aku tidak selesa dengan pilihan untuk tidak bersolat walaupun masa dan ruang yang ada sangat terbuka luas untuk terus mengabdikan diri kepada Pencipta.


2. Janganlah mendabik dada menyatakan kebanggaan kerana tidak bersolat. Bagi aku, golongan ini aku sifatkan sebagai si bakhil dan si tolol. Tidakkah kita malu, kita menumpang di bumi DIA dengan pelbagai kenikmatan namun kita tidak mahu mensyukuri segenap pemberian dengan penuh rasa sifat kehambaan. Kalau janji dengan Yang Maha Tinggi tidak tertunai, aku beranggapan janji dengan manusia juga kamu tidak mampu langsaikan dengan sebaiknya. Andainya ketaatan terhadap Tuhan belum diletakkan di tangga teratas, aku tidak dapat membayangkan kemungkiran kecintaan dan kasih sayang di antara kamu dengan sesama makhluk Tuhan, tentunya berada di tahap terbawah dan langsung tidak memberikan makna apa-apa.


3. Memilih untuk tidak bersolat bermakna memilih untuk tidak menghormati diri sendiri. Andainya kita mampu menyediakan masa berjam-jam di hadapan komputer melayari internet, berbual kosong dan pelbagai lagi rutin yang menyiakan, apalah salahnya andai dimanfaatkan barang 20 minit untuk menjadi tetamu DIA, berkomunikasi dan bercerita dengan DIA yang sentiasa mencurahkan nikmat, rahmat dan kasih sayang segenap masa? Apakah kita terlalu bongkak untuk tunduk dan sujud, menyatakan sepenuh kecintaan buat DIA yang memiliki setiap hati?


4. Andai kamu seorang wanita, tidakkah ada simpati pada bakal zuriat yang dikandung nanti bahawa dia menumpang di rahim ibu yang sangat bongkak dan tolol kerana keengganan untuk bersujud dan patuh kepada Yang Maha Kuasa? Andai kamu belum berkahwin, tidakkah kamu malu untuk memegang status sebagai anak sunti yang takbur dengan segala nikmat-NYA yang mengurniakan kamu keperawanan yang mulia di sisi agama? Andainya kamu seorang lelaki, tidakkah kamu malu bahawa status kamu sebagai pemimpin yang dipandang tinggi oleh anak-anak dan isteri adalah seorang yang zalim kerana keengganan untuk bersujud dan tunduk kepada Illahi? Tepuk dada, tanyalah iman. Lorong mana yang menjadi pilihan. Apakah denai yang sarat dengan semak samun yang ingin diredahi atau jalan lurus yang penuh cahaya Rabbul Izzati menjadi pilihan hati? Pilihan di tanganmu.
HIKMAH SOLAT

1. Mengingati Tuhan, pencipta alam


Ibadah solat akan mengingatkan seorang hamba kepada penciptanya iaitu Allah. Firman Allah s.w.t dalam surah Toha ayat ke-14 yang bermaksud: "Dan dirikanlah solat untuk mengingati-Ku."
Ingatan kepada Allah akan menimbulkan perasaan takut dan tunduk serta taat kepada-Nya. Ia juga akan menimbulkan perasaan mengagungkan dan membesarkan-Nya dengan sepenuh hati tanpa ada tandingan lagi.



2. Menghalang perbuatan keji dan mungkar


Solat akan menjadi penghalang kepada perlakuan buruk dan keji. Firman Allah dalam surah Al-Ankabut ayat 45 yang bermaksud: "Dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah dari angkara keji dan perbuatan durjana, dan sesungguhnya mengingati Allah itu adalah lebih besar (faedah dan kesannya), dan (ingatlah) Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan." Dengan mengadap Allah sekurang-kurangnya lima kali sehari semalam akan menimbulkan rasa kehebatan, kebesaran dan keagungan Allah serta merasa gerun dan takut terhadap kemurkaan-Nya. Sebetulnya, ia sudah cukup untuk menjadi pengawal kepada segala kejahatan dan pencegah kepada segala jenis kemungkaran.



3. Melahirkan ketenangan jiwa

Solat mampu melahirkan ketenangan jiwa, ketenteraman fikiran, menjadikan hati tabah dan ampuh menerima segenap inci cubaan, damai lagi pemurah. Firman Allah dalam surah Al-Ma'arij ayat 19 hingga 23 yang bermaksud: "Sesungguhnya manusia itu diciptakan bertabiat keluh kesah (lagi kikir). Apabila dia ditimpa kesusahan, dia sangat berkeluh kesah, dan apabila dia beroleh kesenangan, dia amat kikir, kecuali orang-orang yang bersolat, yang adalah mereka itu terus berkekalan melaksanakan solat mereka itu."


Andai kalian tidak percaya, cubalah. Tersingkap segala kegusaran dalam hati. Akhirnya, dapat dirasai bahawa saat yang paling indah adalah apabila dapat bersujud dan memuji keagungan Allah, jiwa merasai nikmat ketenangan yang meresap ke dalam relung hati yang paling dalam. Terasa bagaikan dipeluk dan disayangi.



4. Mendidik akhlak mulia

Perbuatan dan bacaan dalam solat mampu mendidik dan mengasuh seseorang untuk berakhlak mulia seperti ikhlas, bersopan santun, baik tutur kata dan menjaga maruah diri. Akhlak sebegini secara tidak langsung memberi rasa malu kepada seseorang itu untuk mendedahkan aurat di khalayak ramai yang kadangkala seolah-olah seperti bertelanjang sekalipun mengenakan pakaian.

2 comments:

UglyPooh said...

solat rukun ke dua islam....tidak complete islam orang yang tidak solat.

Azizah Aling said...

True indeed!! Sayangnya solat itu diremehkan, seolah-olah manusia ini sangat besar dan hebat serta mampu menongkat langit.

Post a Comment