Terima Kasih Ahmad!

Tuesday, July 27, 2010 Posted by Azizah Aling


Tulisan ini dipaterikan sebagai tanda terima kasih untuk Ahmad atas segala bantuan dan pertolongan. Tatkala catatan ini ditulis, aku sudah sihat 80%. Aku demam selsema dan batuk-batuk sudah lebih sebulan. Pelbagai jenis ubat sudah diambil dan ia agak kurang memberikan kesan. Aku amat sedar bahawa yang akan menyembuhkan segala kesakitan di badan dan jiwa manusia adalah Allah SWT - bukan kuasa lain. Ubat hanyalah sebagai salah satu ikhtiar untuk mencari kesembuhan. Entah kenapa, kali ini demam yang aku alami agak luar biasa. Demam yang disulam dengan rindu barangkali. Susah untuk sembuh. Rindu ini bukan hanya rindu biasa seorang manusia terhadap manusia lain yang sangat dekat mengisi relung jiwa, tetapi juga rindu yang sangat dalam buat Kekasih Hati di Tanah Suci Madinah Al-Munawwarah dan rindu yang tidak terbanding terhadap Pemilik Cinta Yang Kekal Abadi, Allah Rabbul Izzati.


Sebagaimana biasa, tatkala diri berasa kurang sihat daripada biasa, aku akan kembali ke Petaling Jaya. Berada dekat dengan orang-orang tersayang mampu memberikan semangat untuk mencari kesembuhan di sebalik tabir kesibukan yang sentiasa mewarnai hari-hari di sini. Di suatu malam yang sangat memenatkan, badan terasa sangat bisa-bisa di sana-sini. Ubat berganti ubat, rehat berganti rehat. Tapi badan aku tetap terasa sangat penat. Anak-anak saudara sibuk di katil memerhatikan keadaan mak cik mereka yang lemah berbanding biasa. Biasanya aku akan melayan kerenah mereka dan berkongsi kisah-kisah seharian sebelum kami tidur.

Kasihan melihat keadaan aku yang longlai barangkali, Ahmad mengambil minyak urut dan melumurkan ke anggota badan. Digosok dengan penuh kasih sayang. Diurut agar aku berasa lebih selesa untuk tidur. Paling menyentuh hati, apabila dia mengatakan "Ahmad nak berdoa ni untuk Cik Ngah. Ya Allah, sembuhkanlah Cik Ngah. Ahmad kasihan tengok dia sakit. Nanti Ahmad sedih. Kalau Cik Ngah mati, nanti Ahmad tak ada auntie. Ahmad tak nak menangis."

Aku sangat sebak tapi aku diam. Sudah besar rupanya anak saudara aku ni. Sudah boleh memahami erti kehilangan, mencerna makna kasih sayang, menghargai hubungan kekeluargaan. Untuk Ahmad, Cik Ngah mahu ucapkan terima kasih kerana menjadi anak saudara yang baik dan bijak walaupun ada kalanya Ahmad sedikit nakal. Ahmad pasti akan baca catatan ini apabila dewasa nanti. Cik Ngah harapkan agar Ahmad sedar bahawa Ahmad adalah saham abadi buat kami sekeluarga. Walaupun Ahmad tahu kami semua sayangkan Ahmad segenap hati, tetapi harapnya Ahmad akan lebih mencintai Tuhan. Cik Ngah kasihi Ahmad dan semuanya. Semoga kalian membesar dalam limpahan kasih sayang. Kelak, yang bakal Ahmad temui setelah meninggalkan kehidupan ini adalah Allah. Jadi, jagalah diri. Penuhi kotak hati dengan kasih sayang dan ketaatan. Jadi anak soleh yang membahagiakan kami semua.

0 comments:

Post a Comment