Denai Panjang Ke Jalan-Mu
Wahai Tuhan yang Maha Pengasih
Penyayang lagi Maha Pengampun
Syukurku rafakkan buat-Mu
Dari sekujur relung sukmaku
Kerana menghadirkan Ramadhan
Buatku cicipi sekali lagi
Amatku fahami akan denai jalan yang panjang ini
Tidak lain hanya yang pasti
Buat menuju kampung-Mu nan abadi.
Dalam semerbak rindu tibanya Ramadhan ini
Kusujudkan diri kepada-Mu
Merebahkan segala gusar gulana
Memohon segala kemaafan
Dalam kealpaan yang kulakukan
Dalam sedar mahupun lalai
Ketika terpana ujian nafsu.
Sebagaimana Kau belenggu
Si iblis laknatullah itu
Maka kupohonkan agar
Kau belenggulah nafsu dalam nurani ini
Sesungguhnya tiada yang paling kutakuti
Melainkan azab-Mu akibat angkara si nafsu itu
Dalam pasrah aku bermunajat
Agar sampaikanlah hajat
Untuk melangsaikan Ramadhan
Sebagaimana mereka yang telah
Kau berikan hidayah petunjuk jalan.
Ya Allah Rabbul Izzati
Sesungguhnya jalan iman dan taqwa terhadap-Mu itu
Amat lazat sekali
Lantas Kau perteguhkanlah jalan iman di dadaku
Melingkar berselirat dalam denyut nadi mengumpul kudrat
Agar sentiasa dapat melaksanakan
Perintah arah-Mu Ya Allah
Di atas hamparan Ramadhan
Yang wangi menyebar ini
Juga setulus rasa kupohon agar
Kau ampunilah mereka yang telah pulang
Lebih awal meninggalkan kami
Menuju kampung akhirat yang kekal bersemadi
Begitu juga buat para anbiya' dan syuhada' yang telah gugur
Megah bertempur membela agama-Mu
Tanpa gentar di sanubari.
Titipkanlah semangat waja
Buat membela taqwa itu di dalam sanubariku
Agar jalan panjang perjuangan demi agama-Mu
Bukan ketakutan dalam perjuangan yang bacul dan sia-sia
Biar kusambung usaha itu tanpa berpaling arah
Kerana seluruh atma rongga jiwaku adalah milik-Mu.
Terima kasih Ya Allah
Di atas ihsan belas-Mu menitipkan nikmat kepadaku
Sebagaimana nikmat yang telah Kau berikan
Buat mereka yang menjadi pilihan-Mu.
Pilihlah aku sebagai penerima ihsan nikmat-Mu
Selagi bulan dan mentari bersilih pancar di ufuk-ufuk-Mu
Lantas Kau berilah sisa usia di hari mendatang
Untukku terus menerima Ramadhan
Agar datang dan datang lagi.
Marhaban Ya Ramadhan dalam sinar maghfirah-Mu
Kerana akulah yang kerdil
Sentiasa memohon lembayung rahmat
Kemaafan di atas segala kelalaian
dalam mengingati-Mu.
"Hajah Aliyah Shari"
1 comments:
ramadhan...renung2 ke arah sempadan
Post a Comment