Friday, July 30, 2010 Posted by Azizah Aling




Cinta itu mengikut keadaan hati seseorang. Lebah akan menyeri sari pati bunga. Lalat akan menghurung bangkai. Jika hati itu terisi dengan cinta Allah, ia akan mencari dan memburu kebaikan. Tetapi jika hati itu terbiar kosong atau terisi oleh kebatilan, maka ia akan memburu kejahatan.

Walaupun tua, kita tetap punya hati. Dan selagi kita punya hati, selagi itulah ada cinta. Dalam satu hati tidak boleh ada dua cinta, setua mana pun kita pasti ada satu cinta yang bersemi dan mendominasi di dalam hati iaitu cinta Allah. Semakin tua ertinya semakin dekat perjalanan menuju Allah. Kematian itu ertinya pulang menemui Allah, pulang menemui cinta yang sejati dan abadi.



Ya Allah, kurniakan kami hati yang mudah dibawa kepada-MU. Jangan bebankan kami dengan ujian keindahan-keindahan fatamorgana yang telah menipu kami berulang kali. Ya Allah, kami menyerah pasrah. Jangan dibiarkan pengawasan dan pemantauan diri ini kepada diri kami sendiri. Jangan, jangan walaupun sekelip mata wahai Yang Maha Pengasih.

Sabda Nabi SAW: "Aku di dunia ibarat musafir yang berteduh di bawah sebatang pokok, berehat dan kemudian meninggalkannya." (Riwayat At-Tirmizi).


Ya Allah, kami mahu menguatkan akar pohon iman, kami mohon untuk dikukuhkan ranting dan dahan pepohon ihsan agar daun-daun taqwa segar merimbun, buah-buahan amal masak meranum. Mudah-mudahan kelak ada yang dapat menumpang teduh, ada yang dapat mencicipi manis buah menghilangkan lapar dan dahaga. Hamba-hambaMU ini tahu bahawa pohon itu sudah tersedia, bantulah kami mencarinya di celahan hati yang paling dalam. Amin.

0 comments:

Post a Comment