Indahnya Ramadhan

Tuesday, July 20, 2010 Posted by Azizah Aling

Catatan ini telah lama tersimpan di dalam komputer. Aku berasa terpanggil untuk berkongsi titipan yang disampaikan oleh Y. Bhg. Dato' Dr. Fetma Al-Zahra di Istana Kehakiman semasa Ramadhan tahun lalu. Selamat mencerap ilmu yang bermanfaat. Ini adalah catatan berdasarkan pemahamanku yang dangkal, seorang hamba Allah yang jahil. Andainya ada khilaf, pohon untuk diperbetulkan.

1) Kenapa ibadah puasa disyariatkan di bulan Ramadhan? Ini kerana terdapat banyak peristiwa besar berlaku di bulan Ramadhan seperti peperangan (contoh: Perang Badar) serta turunnya Al-Qur'an. Pada bulan Ramadhan juga terdapatnya penghulu segala malam iaitu Lailatul Qadr - malam terindah yang melebihi seribu bulan.

2) Puasa disyariatkan agar di hujungnya nanti diharapkan agar orang-orang yang mengakui dirinya Muslim serta beriman kepad Allah Yang Satu dapat menjadi hamba yang bertaqwa. Dalam ayat pada Surah Al-Baqarah yang memerintahkan supaya kita berpuasa ada disebut: "Mudah-mudahan Kamu Bertaqwa".. kenapa disebut sebagai mudah-mudahan? Kerana Allah tidak mahu mencampakkan rasa taqwa itu tanpa sebarang usaha daripada kita sebagai hamba. Taqwa mesti direbut, dicari dan diburu.

3) Dalam bulan Ramadhan, tertutup semua pintu-pintu neraka, syaitan-syaitan dirantai dan yang tinggal hanyalah nafsu. Nafsu ini sifatnya melawan (resisting). Jikalau syaitan, ia tidak bersifat resisting. Sebab itu, apabila berasa gelisah dan dibaca lafaz at-ta'awuz (a'uzubillahi minassyaito nirrajim) syaitan akan lari. Tetapi tidak untuk nafsu. Jadi, berperang menentang nafsu perlu kuat agar aqal boleh mengawal nafsu ke tahap teratas.

4) Ramadhan adalah bulan penyucian (detox month) dan ICU ibadah selama sebulan. Sebab itu kita dapat lihat rahmat Ramadhan menyapa seluruh umat apabila yang tidak pernah bersolat akan bersolat, yang tidak pernah mengaji akan mengaji dan yang tidak pernah bersedekah akan bersedekah. Tinggal lagi, kita perlu istiqamah agar ia dapat diteruskan sepanjang 11 bulan yang lain.

5) Kekuatan aqal: Rasulullah SAW di sisi Allah SWT adalah lebih mulia berbanding Jibril. Kenapa? Kerana Rasulullah semasa Mikraj ke Siddratul Muntaha dijemput masuk ke Luh mahfuz tetapi tidak Jibril. Kenapa? kerana Rasulullah berjaya mengggunakan aqal utk melawan nafsu sehingga nafsu Baginda tertunduk ke paras terbawah.

6) Selalu ada yang bertanya, kenapa orang yang tidak tinggal solat, rajin bersedekah, tetapi masih melakukan banyak perkara munkar & fasiq? Kerana: solat yang dilakukan atau ibadah-ibadah lain yang dibuat tidak dilaksanakan dengan KHUSYUK & IKHLAS. They don't mean what they say in the prayer (mereka tidak menghayati ibadah yang dilakukan sepenuh jiwa). Allah memang menjanjikan di dalam Al-Qur'an bahawa sesiapa yang khushuk dan ikhlas dalam bersolat, akan terhindar daripada perkara-perkara keji dan munkar. Maka, duhai sahabat-sahabatku, ayuh kita perbetulkan tahap khusyuk dan ikhlas dalam solat kita yang dilaksanakan sehari-hari agar benih kehambaan terus subur. Ia bukan dilaksanakan kerana perasaan riya' atau mahu menunjuk-nunjuk. Astaghfirullahal 'azim... lemahnya diri kita. Rapuhnya iman kita.

7) Clean up our money. Rajin-rajinlah bersedekah. Mulakan sedikit-sedikit tapi biarlah ia kekal berterusan. Memberi bukan sahaja dengan wang ringgit, tetapi juga memberi hasil-hasil yang bagus yang boleh dimanfaatkan yang lain agar hatinya tersentuh untuk melakukan perkara kebaikan. Bukan senang mendidik jiwa manusia untuk kekal rasa sifat kehambaan.

8) Puasa ada 2 jenis.
  • 1)Puasa umum - puasa biasa yang ada lapar dan dahaga tetapi masih membuat perkara tercela. Walaupun di bulan Ramadhan, masih tidak malu untuk keluar berdating, pegang-pegang tangan, pergi disko. Nauzubillah.. minta Allah simpangkan. Aku tidak mahu terlalu hanyut dengan cinta dunia.

  • 2) Puasa Khusus - puasa yang dihayati dengan sepenuh makna dan jiwa agar di hujungnya terbit benih-benih taqwa yang akan memandu diri ke jalan kebenaran.

9) Hisablah diri selalu, agar kita dapat memberikan yang terbaik untuk Ramadhan kerana belum tentu kita akan bertemu dengan Ramadhan yang akan datang. Isilah jiwa dengan perkara kebaikan agar hati tidak mati. Dalam Ramadhan terutamanya, jangan korek aib orang, jangan sebarkan aib orang kerana ia boleh menjadi fitnah dan menyebabkan berlakunya buruk sangka. Kita belum tahu nasib kita bagaimana di kemudian hari.

10) Bersilaturrahimlah dengan ibu bapa. Jangan dilupakan mereka. Kalaupun kita berharta, berpangkat dan disanjung manusia, jangan lupa bahawa asalnya kita adalah daripada cantuman benih cinta ibu ayah. Kalaupun sudah berkahwin, selalu-selalulah bersilaturrahim dengan ibu ayah, kerana mereka penyebab kita lahir ke dunia ini dengan izin Allah. 3 wajah yang mana Allah tidak sudi memandang di hari kiamat:

  • 1) Orang yang derhaka kepada ibu bapa

  • 2) Orang yang bakhil

  • 3) Orang yang selalu mabuk arak. Mereka bukan setakat tidak dipandang Tuhan, tetapi juga tidak akan mencium bau syurga.

11) Jangan berputus asa dengan rahmat Allah. Jangan tabi'i kan kedekut. Teruslah meminta-minta dengan Allah, bukan dengan kuasa-kuasa lain. Perbanyakkan taubat di bulan Ramadhan. Orang-orang yang tidak mahu bertaubat adalah orang-orang yang menolak rezeki. Bermuhasabahlah mencari kelemahan diri. Keluarkanlah zakat moga-moga harta yang ada menjadi suci. Allah sentiasa memberikan kita peluang tetapi kita selalu mensia-siakan peluang yang diberikan.

12) Taqwa = Letaknya di hati. Hati yang baik sahaja yang boleh menolong diri kita, baik di dunia mahupun di akhirat. Jihad melawan hawa nafsu adalah jihad paling besar dalam hidup. Jadi, masa paling sesuai untuk melentur dan membersihkan hati ialah di bulan Ramadhan di saat banyak pintu kedurjanaan ditutup Allah.

13) Mudah-mudahan selepas Ramadhan nanti, kita akan terus istiqamah. Sahur juga merupakan sebahagian daripada jihad melawan hawa nafsu. Bangunlah sahur, bangkitlah berqiamullail mengadu meminta dan bertafakkur memohon dengan Allah. Malaikat akan turun membawa rahmat dan permintaan hamba akan diangkat. Qadha' yang buruk bisa terangkat dengan doa, dan Allah akan menggantikan dengan qadha' yang lebih baik di Luh Mahfuz apabila kita terus-terusan merayu dan meminta.

14) Jagalah pandangan mata sepanjang Ramadhan. Zina bermula dengan mata. Bukalah mata bila perlu, tutuplah ia bila perlu. Jagalah lidah apabila mengungkap kata-kata kerana 19 dosa-dosa besar adalah berawal daripada lidah. Jaga kehormatan diri sepanjang Ramadhan, mudah-mudahan ia akan terus terjaga di bulan-bulan yang lain. Jaga aurat (tetapi aurat lelaki tidak seberat aurat wanita). Tetapi ia tidak berat pun sebenarnya apabila dilaksanakan dengan hati paling ikhlas. Jagalah kedua-dua tangan agar ia tidak membuat kebinasaan.

15) Ciri2-ciri orang bertaqwa:

  • (a) berlumba-lumba dalam membuat kebaikan dan kebajikan. Setiap hari bila berbuka puasa, tanya pada diri adakah puasa kita diterima pada hari ini. Ya Allah, hamba sangat sebak dan sangat hiba. Aku hamba-Mu yang terlalu kerdil Ya Allah. Terlalu kecil. Seekor semut lebih mulia daripada diriku wahai Tuhanku!

  • (b) Banyakkan bersedekah. Kedekut adalah sifat orang yang hatinya sakit. Rasulullah SAW tidak pernah berhenti bersedekah di bulan Ramadhan.

  • (c) Kawal kemarahan. Marah adalah datangnya daripada syaitan. Orang yang paling hebat adalah orang yang boleh mengawal kemarahan.

  • (d) Bermaaf-maafan sesama manusia.

16) Perbanyakkan bertahajud. Ia penyeri wajah dan pengubat hati sakit. Didiklah hati dengan qiyamullail. Kalaupun kita VVIP di dunia, belum tentu kita VVIP di akhirat. VVIP di akhirat ialah orang yang tinggi takah taqwa terhadap Allah SWT.

17) Bila berbuat dosa, beristighfar lah. Ingat tuhan kembali sekuat-kuatnya. Istighfar sementara tunggu sahur 70x, lepas sahur 70x. Allah suka nombor 7. Menangislah untuk Allah. Dosa walau sebesar manapun, ia akan diampunkan jika beriringan dengan taubat nasuha. Jangan putus asa dengan rahmat Allah. Bertaubatlah dengan ilmu. Bagaimanakah caranya untuk kita mengetahui bahawa apa yang kita lakukan itu terarah kepada dosa?

  • 1) Tatkala kita berbuat sesuatu, hati rasa sangat tidak aman untuk melakukannya.

  • 2) Kita menjadi risau kerana takut bahawa perbuatan yang kita buat itu diketahui orang.

18) Taubat Nasuha:

  • 1) Stop the sin - No More! Contoh: isteri janganlah berterusan menderhaka kepada suami. Keredhaan suami dan ibu bapa adalah sangat mustahak.

  • 2) Menyesal atas dosa yang telah dilakukan - Cry to God to remove your sin. Allah loves people who cry to him. Mata yang tidak akan menjadi ahli neraka ialah mata yang menangis kerana takut kepada Tuhan.

  • 3) Berazam tidak akan membuat lagi dosa yang sama di lain kali. Amalan kita bergantung kepada pengakhiran hidup. Adakah kita mati di disko, atau mati ketika bersujud, atau mati di masjid, atau mati ketika bersolat.

  • 4) Taubat itu akan menasihati hati sendiri agar tidak kembali kepada dosa-dosa yang lama.

19) Hayatilah dengan bersungguh-sungguh 10 hari terakhir Ramadhan. Bangun malam. Tanda-tanda lailatul qadar:

  • There exists an extra-ordinary light (bukan daripada simbahan cahaya lampu)
  • Pokok-pokok seperti bersujud
  • Sunyi, bening dan hening pada malamnya
  • Tiada bunyi salakan anjing
  • Bayi tidak menangis (kenapa? kerana terkejut mendengar suara malaikat)
  • Sunnah untuk memberitahu yang lain akan kehadiran malam lailatul qadar.
  • Duhai suami isteri, anak-anak dan ibu bapa, janganlah bergaduh di malam al-qadar.


Artikel ini benar-benar panjang. Ampunkan daku atas ketidakteraturan bahasa kerana tatkala catatan ini ditulis pada tahun lalu, aku belum lagi benar-benar menghormati laras bahasa ibundaku sendiri. Malu! Apapun, tidak ada sekelumit dalam diriku perasaan riya' dengan perkongsian ini sahabatku. Ampuni daku andai ada khilaf dalam bicara ini.

-Al-faqirah ilallah-
Azizah Aling

0 comments:

Post a Comment