BUNGA YANG MENCERIAKAN HARI-HARI SAYA

Monday, July 19, 2010 Posted by Azizah Aling

Teman-teman yang mengenali aku arif benar akan kesukaanku terhadap bunga. Apa sahaja yang "dihidangkan" kepada diri berkait dengan bunga, puisi, teater, persuratan melayu, perihal ilmiah dan seni budaya bangsa, akulah peminat setianya. Entah kenapa, ia seolah-olah menjadi terapi tatkala diri memerlukan aura tenang untuk menghilangkan lelah yang membelenggu diri saban hari.


Minggu lepas, sebelum aku berangkat pulang ke negeri kelahiran yang sangat dicintai, kaki ini sempat meninggalkan jejak di Tapak Floria 2010 - Presint 2 Putrajaya, yang terletak terlalu hampir dengan pejabat dan kediaman. Di bawah ini aku kongsikan beberapa keping gambar yang sempat aku rakamkan buat kenangan dan tatapan diri sendiri sebagai sebahagian daripada koleksi. Sayangnya kualiti gambar kurang indah. Walaupun ia sekadar ada, tetapi ia lebih baik daripada langsung tiada.


Aku benar-benar menginsafi akan kehebatan Allah SWT. Allah bisa menciptakan apapun dan memberikan segala macam ilham kepada akal manusia untuk menghasilkan cetusan karya yang segar sebagai penghibur manusia sepanjang kita berkelana di dunia. Melihat kepada tumbuh-tumbuhan dan bunga-bungaan yang dicipta Allah dengan penuh kasih sayang, benar-benar memberikan aku ketenangan. Aku hanyut, terbuai dan terpesona. Allahu Akbar! Allahu Maha Besar!


Di dunia aku sudah larut menyaksikan kehebatan ciptaan Allah, tentu sekali di syurga Allah nanti hiasannya pasti lebih indah dan lebih hebat berlipat kali ganda. Subhanallah! Maha Suci Allah.


Jika melihat hasil ciptaan daripada Allah ini mampu membangkitkan aura ketenangan, pasti sekali jika kita sendiri menghampirkan diri dengan Allah Yang Maha Mencipta, ketenangan yang luar biasa akan menjelma dan mengisi relung jiwa kita sebagai hamba.


Maka, ayuh perbaharui kecintaan kepada Allah. Jika bunga-bungaan ini bisa berkata-kata, pasti kita malu mendengar alunan zikir dan gurindam rindu mereka kerana ingin berterima kasih kepada Allah kerana ciptaan-Nya yang sungguh luar biasa.























Perlu ke? Hmmm..




0 comments:

Post a Comment