Denai Panjang Ke Jalan-Mu

Friday, July 30, 2010 Posted by Azizah Aling


Wahai Tuhan yang Maha Pengasih
Penyayang lagi Maha Pengampun
Syukurku rafakkan buat-Mu
Dari sekujur relung sukmaku
Kerana menghadirkan Ramadhan
Buatku cicipi sekali lagi
Amatku fahami akan denai jalan yang panjang ini
Tidak lain hanya yang pasti
Buat menuju kampung-Mu nan abadi.


Dalam semerbak rindu tibanya Ramadhan ini
Kusujudkan diri kepada-Mu
Merebahkan segala gusar gulana
Memohon segala kemaafan
Dalam kealpaan yang kulakukan
Dalam sedar mahupun lalai
Ketika terpana ujian nafsu.


Sebagaimana Kau belenggu
Si iblis laknatullah itu
Maka kupohonkan agar
Kau belenggulah nafsu dalam nurani ini
Sesungguhnya tiada yang paling kutakuti
Melainkan azab-Mu akibat angkara si nafsu itu
Dalam pasrah aku bermunajat
Agar sampaikanlah hajat
Untuk melangsaikan Ramadhan
Sebagaimana mereka yang telah
Kau berikan hidayah petunjuk jalan.


Ya Allah Rabbul Izzati
Sesungguhnya jalan iman dan taqwa terhadap-Mu itu
Amat lazat sekali
Lantas Kau perteguhkanlah jalan iman di dadaku
Melingkar berselirat dalam denyut nadi mengumpul kudrat
Agar sentiasa dapat melaksanakan
Perintah arah-Mu Ya Allah
Di atas hamparan Ramadhan
Yang wangi menyebar ini
Juga setulus rasa kupohon agar
Kau ampunilah mereka yang telah pulang
Lebih awal meninggalkan kami
Menuju kampung akhirat yang kekal bersemadi
Begitu juga buat para anbiya' dan syuhada' yang telah gugur
Megah bertempur membela agama-Mu
Tanpa gentar di sanubari.


Titipkanlah semangat waja
Buat membela taqwa itu di dalam sanubariku
Agar jalan panjang perjuangan demi agama-Mu
Bukan ketakutan dalam perjuangan yang bacul dan sia-sia
Biar kusambung usaha itu tanpa berpaling arah
Kerana seluruh atma rongga jiwaku adalah milik-Mu.


Terima kasih Ya Allah
Di atas ihsan belas-Mu menitipkan nikmat kepadaku
Sebagaimana nikmat yang telah Kau berikan
Buat mereka yang menjadi pilihan-Mu.


Pilihlah aku sebagai penerima ihsan nikmat-Mu
Selagi bulan dan mentari bersilih pancar di ufuk-ufuk-Mu
Lantas Kau berilah sisa usia di hari mendatang
Untukku terus menerima Ramadhan
Agar datang dan datang lagi.


Marhaban Ya Ramadhan dalam sinar maghfirah-Mu
Kerana akulah yang kerdil
Sentiasa memohon lembayung rahmat
Kemaafan di atas segala kelalaian
dalam mengingati-Mu.


"Hajah Aliyah Shari"

Friday, July 30, 2010 Posted by Azizah Aling




Cinta itu mengikut keadaan hati seseorang. Lebah akan menyeri sari pati bunga. Lalat akan menghurung bangkai. Jika hati itu terisi dengan cinta Allah, ia akan mencari dan memburu kebaikan. Tetapi jika hati itu terbiar kosong atau terisi oleh kebatilan, maka ia akan memburu kejahatan.

Walaupun tua, kita tetap punya hati. Dan selagi kita punya hati, selagi itulah ada cinta. Dalam satu hati tidak boleh ada dua cinta, setua mana pun kita pasti ada satu cinta yang bersemi dan mendominasi di dalam hati iaitu cinta Allah. Semakin tua ertinya semakin dekat perjalanan menuju Allah. Kematian itu ertinya pulang menemui Allah, pulang menemui cinta yang sejati dan abadi.



Ya Allah, kurniakan kami hati yang mudah dibawa kepada-MU. Jangan bebankan kami dengan ujian keindahan-keindahan fatamorgana yang telah menipu kami berulang kali. Ya Allah, kami menyerah pasrah. Jangan dibiarkan pengawasan dan pemantauan diri ini kepada diri kami sendiri. Jangan, jangan walaupun sekelip mata wahai Yang Maha Pengasih.

Sabda Nabi SAW: "Aku di dunia ibarat musafir yang berteduh di bawah sebatang pokok, berehat dan kemudian meninggalkannya." (Riwayat At-Tirmizi).


Ya Allah, kami mahu menguatkan akar pohon iman, kami mohon untuk dikukuhkan ranting dan dahan pepohon ihsan agar daun-daun taqwa segar merimbun, buah-buahan amal masak meranum. Mudah-mudahan kelak ada yang dapat menumpang teduh, ada yang dapat mencicipi manis buah menghilangkan lapar dan dahaga. Hamba-hambaMU ini tahu bahawa pohon itu sudah tersedia, bantulah kami mencarinya di celahan hati yang paling dalam. Amin.

Cinta Allah sentiasa mekar dan mewangi

Wednesday, July 28, 2010 Posted by Azizah Aling

Aku benar-benar merasai pemberian Allah. Kekurangan itu ujian, kelebihan juga ujian-Nya. Mencari kekuatan untuk menyampaikan Islam pada saudara-saudariku yang bergelar umat Islam, bukan jalan yang mudah. Masa menjadi korban. Tuhan... tempat aku meluah kemahuan. Terima kasih Tuhan. Aku tidak mungkin berputus asa dengan DIA Yang Satu. Terima kasih atas doa kalian di qalbu, duhai sahabat-sahabatku. Ya Allah, aku benar-benar menghitung kekurangan dari segala kelebihan yang diberi. Allahummarzuqna hubbak! Allahumma sallimna wayassir lana umuurana.

Naughty me.

Wednesday, July 28, 2010 Posted by Azizah Aling

Looking at the babies downstairs make me feel so calm and cool. Suddenly I feel like having my own babies (babies ok, not baby! The more the merrier). The time will come, definitely! All I have to do is : keep on praying and I am strongly believed that Allah will answer my prayer and du'a in His own way. Nobody knows how deep is the love in my heart. But God knows.

Terima Kasih Ahmad!

Tuesday, July 27, 2010 Posted by Azizah Aling


Tulisan ini dipaterikan sebagai tanda terima kasih untuk Ahmad atas segala bantuan dan pertolongan. Tatkala catatan ini ditulis, aku sudah sihat 80%. Aku demam selsema dan batuk-batuk sudah lebih sebulan. Pelbagai jenis ubat sudah diambil dan ia agak kurang memberikan kesan. Aku amat sedar bahawa yang akan menyembuhkan segala kesakitan di badan dan jiwa manusia adalah Allah SWT - bukan kuasa lain. Ubat hanyalah sebagai salah satu ikhtiar untuk mencari kesembuhan. Entah kenapa, kali ini demam yang aku alami agak luar biasa. Demam yang disulam dengan rindu barangkali. Susah untuk sembuh. Rindu ini bukan hanya rindu biasa seorang manusia terhadap manusia lain yang sangat dekat mengisi relung jiwa, tetapi juga rindu yang sangat dalam buat Kekasih Hati di Tanah Suci Madinah Al-Munawwarah dan rindu yang tidak terbanding terhadap Pemilik Cinta Yang Kekal Abadi, Allah Rabbul Izzati.


Sebagaimana biasa, tatkala diri berasa kurang sihat daripada biasa, aku akan kembali ke Petaling Jaya. Berada dekat dengan orang-orang tersayang mampu memberikan semangat untuk mencari kesembuhan di sebalik tabir kesibukan yang sentiasa mewarnai hari-hari di sini. Di suatu malam yang sangat memenatkan, badan terasa sangat bisa-bisa di sana-sini. Ubat berganti ubat, rehat berganti rehat. Tapi badan aku tetap terasa sangat penat. Anak-anak saudara sibuk di katil memerhatikan keadaan mak cik mereka yang lemah berbanding biasa. Biasanya aku akan melayan kerenah mereka dan berkongsi kisah-kisah seharian sebelum kami tidur.

Kasihan melihat keadaan aku yang longlai barangkali, Ahmad mengambil minyak urut dan melumurkan ke anggota badan. Digosok dengan penuh kasih sayang. Diurut agar aku berasa lebih selesa untuk tidur. Paling menyentuh hati, apabila dia mengatakan "Ahmad nak berdoa ni untuk Cik Ngah. Ya Allah, sembuhkanlah Cik Ngah. Ahmad kasihan tengok dia sakit. Nanti Ahmad sedih. Kalau Cik Ngah mati, nanti Ahmad tak ada auntie. Ahmad tak nak menangis."

Aku sangat sebak tapi aku diam. Sudah besar rupanya anak saudara aku ni. Sudah boleh memahami erti kehilangan, mencerna makna kasih sayang, menghargai hubungan kekeluargaan. Untuk Ahmad, Cik Ngah mahu ucapkan terima kasih kerana menjadi anak saudara yang baik dan bijak walaupun ada kalanya Ahmad sedikit nakal. Ahmad pasti akan baca catatan ini apabila dewasa nanti. Cik Ngah harapkan agar Ahmad sedar bahawa Ahmad adalah saham abadi buat kami sekeluarga. Walaupun Ahmad tahu kami semua sayangkan Ahmad segenap hati, tetapi harapnya Ahmad akan lebih mencintai Tuhan. Cik Ngah kasihi Ahmad dan semuanya. Semoga kalian membesar dalam limpahan kasih sayang. Kelak, yang bakal Ahmad temui setelah meninggalkan kehidupan ini adalah Allah. Jadi, jagalah diri. Penuhi kotak hati dengan kasih sayang dan ketaatan. Jadi anak soleh yang membahagiakan kami semua.

Bahagia itu ada di mana-mana.

Tuesday, July 27, 2010 Posted by Azizah Aling

Berhujung minggu dengan keluarga adalah saat-saat indah dalam hidup. Tidak kisahlah apa sekalipun aktivitinya, semuanya pasti membahagiakan asalkan semua kaum keluarga dapat sama-sama berkumpul dan berkongsi cerita. Tatkala berada bersama-sama keluarga, hal-hal lain pasti dikesampingkan. Itulah bahagia. Ia ada di mana-mana. Kita duduk dan makan sama-sama. Kita kongsi ilmu sama-sama. Semuanya ada kesatuan dalam hati dan jiwa. Di sana ada rindu. Di sana ada cinta.

Kata Irfan Sang Pelangi: "Jika rindu, adakah rindu kita lebih dalam daripada rindunya Rasulullah kepada kita, sejak kita belum dilahirkan lagi? Jika sedih, adakah sedih kita lebih syahdu dari sedihnya Rasulullah kepada kita, sewaktu Izrail menjemput rohnya pergi?"

Mujahidah Solehah

Thursday, July 22, 2010 Posted by Azizah Aling

Buatmu mujahidah solehah

Dengan kecantikanmu
kau lebih elok dari mentari..
Dengan akhlakmu, kau lebih wangi dari kasturi..
Dengan rendah hatimu
kau lebih tinggi dari rembulan..
Dengan kelembutanmu
kau lebih halus dari rintik hujan..
Maka pertahankanlah keindahan ini
agar kau terus-terusan menjadi sayap kiri,
perjuangan islami,
penegak kalimah Allah di muka bumi..

Indahnya Ramadhan

Tuesday, July 20, 2010 Posted by Azizah Aling

Catatan ini telah lama tersimpan di dalam komputer. Aku berasa terpanggil untuk berkongsi titipan yang disampaikan oleh Y. Bhg. Dato' Dr. Fetma Al-Zahra di Istana Kehakiman semasa Ramadhan tahun lalu. Selamat mencerap ilmu yang bermanfaat. Ini adalah catatan berdasarkan pemahamanku yang dangkal, seorang hamba Allah yang jahil. Andainya ada khilaf, pohon untuk diperbetulkan.

1) Kenapa ibadah puasa disyariatkan di bulan Ramadhan? Ini kerana terdapat banyak peristiwa besar berlaku di bulan Ramadhan seperti peperangan (contoh: Perang Badar) serta turunnya Al-Qur'an. Pada bulan Ramadhan juga terdapatnya penghulu segala malam iaitu Lailatul Qadr - malam terindah yang melebihi seribu bulan.

2) Puasa disyariatkan agar di hujungnya nanti diharapkan agar orang-orang yang mengakui dirinya Muslim serta beriman kepad Allah Yang Satu dapat menjadi hamba yang bertaqwa. Dalam ayat pada Surah Al-Baqarah yang memerintahkan supaya kita berpuasa ada disebut: "Mudah-mudahan Kamu Bertaqwa".. kenapa disebut sebagai mudah-mudahan? Kerana Allah tidak mahu mencampakkan rasa taqwa itu tanpa sebarang usaha daripada kita sebagai hamba. Taqwa mesti direbut, dicari dan diburu.

3) Dalam bulan Ramadhan, tertutup semua pintu-pintu neraka, syaitan-syaitan dirantai dan yang tinggal hanyalah nafsu. Nafsu ini sifatnya melawan (resisting). Jikalau syaitan, ia tidak bersifat resisting. Sebab itu, apabila berasa gelisah dan dibaca lafaz at-ta'awuz (a'uzubillahi minassyaito nirrajim) syaitan akan lari. Tetapi tidak untuk nafsu. Jadi, berperang menentang nafsu perlu kuat agar aqal boleh mengawal nafsu ke tahap teratas.

4) Ramadhan adalah bulan penyucian (detox month) dan ICU ibadah selama sebulan. Sebab itu kita dapat lihat rahmat Ramadhan menyapa seluruh umat apabila yang tidak pernah bersolat akan bersolat, yang tidak pernah mengaji akan mengaji dan yang tidak pernah bersedekah akan bersedekah. Tinggal lagi, kita perlu istiqamah agar ia dapat diteruskan sepanjang 11 bulan yang lain.

5) Kekuatan aqal: Rasulullah SAW di sisi Allah SWT adalah lebih mulia berbanding Jibril. Kenapa? Kerana Rasulullah semasa Mikraj ke Siddratul Muntaha dijemput masuk ke Luh mahfuz tetapi tidak Jibril. Kenapa? kerana Rasulullah berjaya mengggunakan aqal utk melawan nafsu sehingga nafsu Baginda tertunduk ke paras terbawah.

6) Selalu ada yang bertanya, kenapa orang yang tidak tinggal solat, rajin bersedekah, tetapi masih melakukan banyak perkara munkar & fasiq? Kerana: solat yang dilakukan atau ibadah-ibadah lain yang dibuat tidak dilaksanakan dengan KHUSYUK & IKHLAS. They don't mean what they say in the prayer (mereka tidak menghayati ibadah yang dilakukan sepenuh jiwa). Allah memang menjanjikan di dalam Al-Qur'an bahawa sesiapa yang khushuk dan ikhlas dalam bersolat, akan terhindar daripada perkara-perkara keji dan munkar. Maka, duhai sahabat-sahabatku, ayuh kita perbetulkan tahap khusyuk dan ikhlas dalam solat kita yang dilaksanakan sehari-hari agar benih kehambaan terus subur. Ia bukan dilaksanakan kerana perasaan riya' atau mahu menunjuk-nunjuk. Astaghfirullahal 'azim... lemahnya diri kita. Rapuhnya iman kita.

7) Clean up our money. Rajin-rajinlah bersedekah. Mulakan sedikit-sedikit tapi biarlah ia kekal berterusan. Memberi bukan sahaja dengan wang ringgit, tetapi juga memberi hasil-hasil yang bagus yang boleh dimanfaatkan yang lain agar hatinya tersentuh untuk melakukan perkara kebaikan. Bukan senang mendidik jiwa manusia untuk kekal rasa sifat kehambaan.

8) Puasa ada 2 jenis.
  • 1)Puasa umum - puasa biasa yang ada lapar dan dahaga tetapi masih membuat perkara tercela. Walaupun di bulan Ramadhan, masih tidak malu untuk keluar berdating, pegang-pegang tangan, pergi disko. Nauzubillah.. minta Allah simpangkan. Aku tidak mahu terlalu hanyut dengan cinta dunia.

  • 2) Puasa Khusus - puasa yang dihayati dengan sepenuh makna dan jiwa agar di hujungnya terbit benih-benih taqwa yang akan memandu diri ke jalan kebenaran.

9) Hisablah diri selalu, agar kita dapat memberikan yang terbaik untuk Ramadhan kerana belum tentu kita akan bertemu dengan Ramadhan yang akan datang. Isilah jiwa dengan perkara kebaikan agar hati tidak mati. Dalam Ramadhan terutamanya, jangan korek aib orang, jangan sebarkan aib orang kerana ia boleh menjadi fitnah dan menyebabkan berlakunya buruk sangka. Kita belum tahu nasib kita bagaimana di kemudian hari.

10) Bersilaturrahimlah dengan ibu bapa. Jangan dilupakan mereka. Kalaupun kita berharta, berpangkat dan disanjung manusia, jangan lupa bahawa asalnya kita adalah daripada cantuman benih cinta ibu ayah. Kalaupun sudah berkahwin, selalu-selalulah bersilaturrahim dengan ibu ayah, kerana mereka penyebab kita lahir ke dunia ini dengan izin Allah. 3 wajah yang mana Allah tidak sudi memandang di hari kiamat:

  • 1) Orang yang derhaka kepada ibu bapa

  • 2) Orang yang bakhil

  • 3) Orang yang selalu mabuk arak. Mereka bukan setakat tidak dipandang Tuhan, tetapi juga tidak akan mencium bau syurga.

11) Jangan berputus asa dengan rahmat Allah. Jangan tabi'i kan kedekut. Teruslah meminta-minta dengan Allah, bukan dengan kuasa-kuasa lain. Perbanyakkan taubat di bulan Ramadhan. Orang-orang yang tidak mahu bertaubat adalah orang-orang yang menolak rezeki. Bermuhasabahlah mencari kelemahan diri. Keluarkanlah zakat moga-moga harta yang ada menjadi suci. Allah sentiasa memberikan kita peluang tetapi kita selalu mensia-siakan peluang yang diberikan.

12) Taqwa = Letaknya di hati. Hati yang baik sahaja yang boleh menolong diri kita, baik di dunia mahupun di akhirat. Jihad melawan hawa nafsu adalah jihad paling besar dalam hidup. Jadi, masa paling sesuai untuk melentur dan membersihkan hati ialah di bulan Ramadhan di saat banyak pintu kedurjanaan ditutup Allah.

13) Mudah-mudahan selepas Ramadhan nanti, kita akan terus istiqamah. Sahur juga merupakan sebahagian daripada jihad melawan hawa nafsu. Bangunlah sahur, bangkitlah berqiamullail mengadu meminta dan bertafakkur memohon dengan Allah. Malaikat akan turun membawa rahmat dan permintaan hamba akan diangkat. Qadha' yang buruk bisa terangkat dengan doa, dan Allah akan menggantikan dengan qadha' yang lebih baik di Luh Mahfuz apabila kita terus-terusan merayu dan meminta.

14) Jagalah pandangan mata sepanjang Ramadhan. Zina bermula dengan mata. Bukalah mata bila perlu, tutuplah ia bila perlu. Jagalah lidah apabila mengungkap kata-kata kerana 19 dosa-dosa besar adalah berawal daripada lidah. Jaga kehormatan diri sepanjang Ramadhan, mudah-mudahan ia akan terus terjaga di bulan-bulan yang lain. Jaga aurat (tetapi aurat lelaki tidak seberat aurat wanita). Tetapi ia tidak berat pun sebenarnya apabila dilaksanakan dengan hati paling ikhlas. Jagalah kedua-dua tangan agar ia tidak membuat kebinasaan.

15) Ciri2-ciri orang bertaqwa:

  • (a) berlumba-lumba dalam membuat kebaikan dan kebajikan. Setiap hari bila berbuka puasa, tanya pada diri adakah puasa kita diterima pada hari ini. Ya Allah, hamba sangat sebak dan sangat hiba. Aku hamba-Mu yang terlalu kerdil Ya Allah. Terlalu kecil. Seekor semut lebih mulia daripada diriku wahai Tuhanku!

  • (b) Banyakkan bersedekah. Kedekut adalah sifat orang yang hatinya sakit. Rasulullah SAW tidak pernah berhenti bersedekah di bulan Ramadhan.

  • (c) Kawal kemarahan. Marah adalah datangnya daripada syaitan. Orang yang paling hebat adalah orang yang boleh mengawal kemarahan.

  • (d) Bermaaf-maafan sesama manusia.

16) Perbanyakkan bertahajud. Ia penyeri wajah dan pengubat hati sakit. Didiklah hati dengan qiyamullail. Kalaupun kita VVIP di dunia, belum tentu kita VVIP di akhirat. VVIP di akhirat ialah orang yang tinggi takah taqwa terhadap Allah SWT.

17) Bila berbuat dosa, beristighfar lah. Ingat tuhan kembali sekuat-kuatnya. Istighfar sementara tunggu sahur 70x, lepas sahur 70x. Allah suka nombor 7. Menangislah untuk Allah. Dosa walau sebesar manapun, ia akan diampunkan jika beriringan dengan taubat nasuha. Jangan putus asa dengan rahmat Allah. Bertaubatlah dengan ilmu. Bagaimanakah caranya untuk kita mengetahui bahawa apa yang kita lakukan itu terarah kepada dosa?

  • 1) Tatkala kita berbuat sesuatu, hati rasa sangat tidak aman untuk melakukannya.

  • 2) Kita menjadi risau kerana takut bahawa perbuatan yang kita buat itu diketahui orang.

18) Taubat Nasuha:

  • 1) Stop the sin - No More! Contoh: isteri janganlah berterusan menderhaka kepada suami. Keredhaan suami dan ibu bapa adalah sangat mustahak.

  • 2) Menyesal atas dosa yang telah dilakukan - Cry to God to remove your sin. Allah loves people who cry to him. Mata yang tidak akan menjadi ahli neraka ialah mata yang menangis kerana takut kepada Tuhan.

  • 3) Berazam tidak akan membuat lagi dosa yang sama di lain kali. Amalan kita bergantung kepada pengakhiran hidup. Adakah kita mati di disko, atau mati ketika bersujud, atau mati di masjid, atau mati ketika bersolat.

  • 4) Taubat itu akan menasihati hati sendiri agar tidak kembali kepada dosa-dosa yang lama.

19) Hayatilah dengan bersungguh-sungguh 10 hari terakhir Ramadhan. Bangun malam. Tanda-tanda lailatul qadar:

  • There exists an extra-ordinary light (bukan daripada simbahan cahaya lampu)
  • Pokok-pokok seperti bersujud
  • Sunyi, bening dan hening pada malamnya
  • Tiada bunyi salakan anjing
  • Bayi tidak menangis (kenapa? kerana terkejut mendengar suara malaikat)
  • Sunnah untuk memberitahu yang lain akan kehadiran malam lailatul qadar.
  • Duhai suami isteri, anak-anak dan ibu bapa, janganlah bergaduh di malam al-qadar.


Artikel ini benar-benar panjang. Ampunkan daku atas ketidakteraturan bahasa kerana tatkala catatan ini ditulis pada tahun lalu, aku belum lagi benar-benar menghormati laras bahasa ibundaku sendiri. Malu! Apapun, tidak ada sekelumit dalam diriku perasaan riya' dengan perkongsian ini sahabatku. Ampuni daku andai ada khilaf dalam bicara ini.

-Al-faqirah ilallah-
Azizah Aling

Kerana Kita Sangat Berharga

Tuesday, July 20, 2010 Posted by Azizah Aling

Yang Maha Pencipta dan Rasulullah SAW sendiri memberi peringatan kepada wanita akan keterbatasan berbanding lelaki. Dan lelaki tetap punya hadnya tersendiri dalam beberapa perkara berbanding wanita.

  • Lelaki - kerana ALLAH sayangkan anda kerana kegagahan anda dalam menjadi ‘imam’ pada sebuah kehidupan.

  • Wanita - kerana ALLAH sayangkan kita atas kelembutan yang bukan sebenarnya satu kelemahan, tetapi ‘harta’ yang perlu dijaga dan sangat berharga, sebagai pengemudi juga buat penguat sebuah kehidupan.

  • Manusia - kita semua ada peranannya walau berbeza tetapi itulah pelengkap putaran hidup manusia. Seperti roda, manusia selalu memanifestasikan roda sebagai suatu putaran yang ada bawah dan ada atasnya, namun jauh daripada itu, ia memberi makna bahawa setiap inci putaran ada tanggungjawab yang digalasnya - biar setiap bulatan merasa sakitnya terkena batu supaya tak menggelakkan yang di bawah, dan biar di atas merasa nyamannya sentuhan angin yang ditongkah, biar ia ada rasa syukur atas setiap yang dikurniakan oleh-NYA.

Berasa bahagialah walau siapapun kita, "kerana kita sangat berharga’.

BUNGA YANG MENCERIAKAN HARI-HARI SAYA

Monday, July 19, 2010 Posted by Azizah Aling

Teman-teman yang mengenali aku arif benar akan kesukaanku terhadap bunga. Apa sahaja yang "dihidangkan" kepada diri berkait dengan bunga, puisi, teater, persuratan melayu, perihal ilmiah dan seni budaya bangsa, akulah peminat setianya. Entah kenapa, ia seolah-olah menjadi terapi tatkala diri memerlukan aura tenang untuk menghilangkan lelah yang membelenggu diri saban hari.


Minggu lepas, sebelum aku berangkat pulang ke negeri kelahiran yang sangat dicintai, kaki ini sempat meninggalkan jejak di Tapak Floria 2010 - Presint 2 Putrajaya, yang terletak terlalu hampir dengan pejabat dan kediaman. Di bawah ini aku kongsikan beberapa keping gambar yang sempat aku rakamkan buat kenangan dan tatapan diri sendiri sebagai sebahagian daripada koleksi. Sayangnya kualiti gambar kurang indah. Walaupun ia sekadar ada, tetapi ia lebih baik daripada langsung tiada.


Aku benar-benar menginsafi akan kehebatan Allah SWT. Allah bisa menciptakan apapun dan memberikan segala macam ilham kepada akal manusia untuk menghasilkan cetusan karya yang segar sebagai penghibur manusia sepanjang kita berkelana di dunia. Melihat kepada tumbuh-tumbuhan dan bunga-bungaan yang dicipta Allah dengan penuh kasih sayang, benar-benar memberikan aku ketenangan. Aku hanyut, terbuai dan terpesona. Allahu Akbar! Allahu Maha Besar!


Di dunia aku sudah larut menyaksikan kehebatan ciptaan Allah, tentu sekali di syurga Allah nanti hiasannya pasti lebih indah dan lebih hebat berlipat kali ganda. Subhanallah! Maha Suci Allah.


Jika melihat hasil ciptaan daripada Allah ini mampu membangkitkan aura ketenangan, pasti sekali jika kita sendiri menghampirkan diri dengan Allah Yang Maha Mencipta, ketenangan yang luar biasa akan menjelma dan mengisi relung jiwa kita sebagai hamba.


Maka, ayuh perbaharui kecintaan kepada Allah. Jika bunga-bungaan ini bisa berkata-kata, pasti kita malu mendengar alunan zikir dan gurindam rindu mereka kerana ingin berterima kasih kepada Allah kerana ciptaan-Nya yang sungguh luar biasa.























Perlu ke? Hmmm..




Indahnya akhlak mulia

Saturday, July 17, 2010 Posted by Azizah Aling

"Buah mempelam itu manis, pokok rendang. Namun, ia hasil daripada biji benih yang lemah dahulunya. Dibaja, disemai, disirami, dicahayai dan memerlukan masa bertahun-tahun untuk kuat seperti sekarang."

Akhlak mulia juga seperti itu. Ia perlu dibaja, disemai, disirami dan dicahayai dengan baik. Jagalah diri, kerana di sisi kita malaikat Munkar dan Nakir sentiasa menunggu mencatat segenap amal kebaikan dan kejahatan kita sebagai hamba. Selamat memakai pakaian diri yang bersalut akhlak mulia.

Pesona Maaf

Tuesday, July 06, 2010 Posted by Azizah Aling

Ada masanya hati manusia terlalu sukar untuk memaafkan. Tetapi, jangan terus takbur dan kedekut untuk memaafkan. Apa untungnya jika mahu disimpan rasa ego dan dendam terus kekal bersarang di hati. Kelak, diri sendiri yang menanggung bebanan dan syaitan bakal mengambil tempat untuk menjadi penghasut tidak bergaji.

Maka, ayuh saling memaafkan. Andai ada kekhilafan, serahkan segalanya kepada Tuhan. Dia punya jawapan yang sangat mahal untuk manusia bergelar hamba menghadami. Pelihara hati agar tidak selalu terluka dengan pernyataan sendiri. Insya Allah, di hujung jalan nanti ada pesona keindahan hidup yang tersendiri yang bakal dianugerahkan Illahi.

Paling penting, jika sekalipun kita dizalimi, tadahkan tangan panjatkan doa kepada Tuhan. Kita bukan siapa-siapa untuk membalas segala kezaliman dan kejahatan manusia kerana kita juga bukan manusia sempurna. Ayuh saling memaafkan, moga-moga di hujung jalan nanti ada cahaya menanti buat semua umat buat bekal perjalanan di dunia yang sudah hampir menjejaki garis akhir.

Kenapa kerjaya ini kupilih?

Saturday, July 03, 2010 Posted by Azizah Aling

Ramai yang bertanyakanku mengapa kerjaya di bidang perundangan ini yang dipilih untuk mencari rezeki buat keluarga tercinta. Apakah untuk tujuan kuasa, pangkat, kedudukan, nama, kekayaan, kemasyhuran dan untuk dipuji puja? Jawapan aku mudah sahaja. Tiada satu pun yang disebutkan di atas menjadi sebab mengapa aku memilih kerjaya ini. Semuanya berlaku atas aturan dan ketetapan Allah selepas aku selesai menunaikan istikharah memohon petunjuk sejak dari dulu sehingga kini, tidak pernah berhenti.


Tujuanku cuma satu iaitu untuk menjadikan landasan ini sebagai medan beribadah dan untuk meletakkan keadilan di mana selayaknya. Inilah tekad yang tersemat dan beralun di dalam doa pada langkahan kaki yang diatur dari rumah ke pejabat setiap pagi, jauh mendasar ke hati. Dakwah harus tersebar bukan hanya di masjid-masjid, surau-surau dan di dewan kuliah. Ia mesti berlaku di mana-mana dan tugas seorang dai'e tidak boleh berhenti selagi nyawa masih bersatu dengan jasad.


Ada yang bertanya, tidak sibukkah kerjaya di lapangan ini? Jujur aku katakan, kesibukan itu ada di mana-mana. Hatta jika kita bekerja sebagai suri rumahtangga sepenuh masa sekalipun, istilah sibuk dan tidak cukup masa pasti melingkari dan membebani diri. Bagi aku, aku sangat bersyukur kepada Allah Yang Satu. Benar, kerjanya banyak. Tetapi aku masih mampu pulang ke rumah seawal jam 5.00 petang untuk mengisi waktu dengan keluarga atau untuk diri sendiri, untuk masyarakat dan untuk umat keseluruhannya. Memang ada kalanya kita perlu pulang lewat, tetapi selalu dipastikan aku tidak akan menjadikan ia sebagai satu amalan. Jika belum selesai juga, akan dibawa pulang ke rumah untuk dilunaskan di awal pagi tatkala minda tersangat segar untuk membuat keputusan dan pertimbangan. Apapun, aku bahagia berada di dalamnya.


Ada yang mengeluh mengatakan kerjaya di bidang ini terlalu terdedah dengan pelbagai rencam ragam manusia yang suka "menyuap". Bagi aku, tepuk dada, tanya iman dan akal waras. Apakah kita mahu menghumbankan diri sendiri ke dalam neraka jahannam? Tentu sekali tidak kan. Pilihan di tangan sendiri. Pilihlah kerjaya apa pun, jika kita sedar akan taklif dan tugas hakiki sebagai KHALIFAH, Insya Allah kita tidak akan tersasar jauh. Apa yang penting, keikhlasan membenih kukuh di hati dan peliharalah akhlak dan maruah diri. Ujian pasti bertamu tatkala diri berada di puncak. Jangan cepat melatah. Alirkan rasa gundah di tikar sejadah memohon petunjuk Allah. Selangkah kaki kita mendekat dengan DIA, seribu langkah Allah datang memeluk dan melimpahkan rahmat untuk kita. Yakinlah.. Allah terlalu hampir dengan kita, penuh rahmat dan kasih sayang.


Alhamdulillah, aku bahagia menjadi sebahagian penghuni di Istana ini. Wajah-wajah di bawah ini senantiasa meredakan kelelahan aku dan menghadirkan kebahagiaan buatku. Terima kasih semuanya atas bantuan dan sokongan. Azizah Aling sangat sayangkan kamu semua. Nama kalian ada dalam doaku saban waktu. Tanpa jemu.


Wajah alam yang pasti dirakamkan di setiap pagi dari bilik tidur. I am a morning person.

"ANAK" saya di pejabat, menggantikan Zhafran.





Kacau aktiviti Auntie Bijah pagi-pagi :)



Nadia yang sangat nakal tetapi sangat comel dan baik hati.




Sayang kamu!
(Persidangan bulanan Mahkamah Persekutuan Malaysia, Istana Kehakiman)




Siapa Aku? Seorang yang sangat sederhana dan sangat pemalu dalam keadaan tertentu.
Tetapi aku seorang yang sangat berdikari. He he..


Sangat sayangkan kamu berdua sampai hujung nyawa.
Mahu bersahabat dengan kalian sehingga di syurga.











"Guru" dan sahabat yang tidak pernah lokek ilmu -
kaya pengalaman dan kaya penyelesaian.






Inilah "boss" kami. Sporting dan baik hati.


Puan yang akan terbang ke Brisbane, Australia
bagi menyambung pengajian di peringkat Masters.
Bittaufiq wan najah fil hayah.

Inilah mentor yang sangat aku sayangi dan hormati.
Dia banyak mengajar aku mengenai selok belok amanah di sini.
Terima kasih puan. Jasamu akan kukenang sampai ke hujung hayat.