Facebook aku minta berehat :)

Friday, December 31, 2010 Posted by Azizah Aling

Assalamualaikum buat kalian, pembaca yang budiman.

Semoga kalian sihat-sihat sahaja hendaknya dengan tugas sehari-hari. Wah! Esok kita akan melangkah ke tahun baru 2011. Selamat tahun baru aku ucapkan. Semoga perihal yang baik-baik sahaja mendatangi kalian nanti hendaknya. Aku? Masih setia di sini dengan tugasku sebagai anak, muslim dan mukmin. Aku semakin nakal? Oh! Tidak. Sudah berkurang nakalnya. Hehe. Aku semakin berani mengutarakan hujah? Hmm... Entahlah. Barangkali ya, barangkali tidak. Cuma, jika aku tahu sesuatu itu tidak betul dan tidak kena, laju sahaja mulutku ini berbicara. Aku ini sukar ditebak, kata seorang sahabat. Barangkali ada benarnya. Hehe~~


Semalam aku terpaksa 'deactivate' akaun Facebook buat seketika. Mengapa? Huh! Kerjaku menimbun bagaikan gunung. Aku perlu benar-benar fokus supaya natijahnya baik. Adil. Berhikmah. Asalnya aku bercuti minggu lalu. Hajatnya mahu berehat dan melepaskan lelah. Lalu, aku berlibur dengan teman-teman tersayang, memperuntukkan masa dengan ahli keluarga dan pelbagai aktiviti lain yang mengundang senyum dan tawa. Penyudahnya, tatkla aku kembali melangkah ke pejabat, mood malas itu menjadi-jadi dan memberat. Facebook itu bagaikan mempunyai daya magnet merayu-rayu aku membukanya. Haisy! Nakal ya kamu ini wahai Facebook.


Lantas, dengan pantas dan tuntas, aku terpaksa mengambil keputusan untuk 'deactivate' akaun Facebook. Aku akan bersegera kembali menyapa teman-teman setelah aku selesai melunaskan taklif. Januari - Mac aku padat. Aku tidak tahu sama ada aku bisa lolos untuk hal-hal kebajikan atau tidak. Harapnya aku bisa berbuat demikian. Kalian doakan aku ya. Selamat untuk kalian.

Mulanya di sini

Friday, December 10, 2010 Posted by Azizah Aling

Semoga belum terlambat untuk kuucapkan selamat datang tahun baru 1432 hijrah kepada kalian. Semoga kehadirannya bisa saja memberikan sinar baru, harapan baru, kisah baru, ilmu baru bahkan juga jejak baru untuk melengkapkan satu lagi kepingan hidup sepanjang kembara di dunia.


Bagaimanalah nanti natijahnya di alam sana setelah kepingan-kepingan itu dicantumkan menjadi satu kisah lengkap? Jika aku membaca novel, aku selalu mengharapkan penyudahnya yang indah-indah sahaja. Jika pengakhirannya tidak seperti yang kuharapkan, pasti sekali aku sedih dan mula mereka-reka penyudahnya sendiri. Itu tidak mengapalah. Sekadar novel. Lakaran gambaran dan khayalan citra manusia.


Tidak mampu kubayangkan pengakhiranku di alam akhirat nanti. Apakah penyudahnya seperti yang kuharapkan tatkala kubaca kisah manusia di dalam novel, atau sebaliknya... Hmm.. Moga Tuhan memandu akalku mencari kebenaran, menjaga iman dan memperbanyakkan amalan yang bisa membantuku di alam sana. Dan aku berdoa untuk kalian juga, mudah-mudahan kita semua beroleh husnul khatimah.


1431H - Aku soroti perjalanan yang telah ditinggalkan itu dengan kuntuman senyum yang lebar. Banyak catatan gembira sepanjang semusim yang lalu. Pastinya, aku akan simpan kemas-kemas dalam lipatan kenangan. Banyak perkara yang mendidik diri dan aku bersyukur kerana Tuhan sangat menyayangi aku walaupun adakalanya kakiku tergelincir. Tatkala jejakku tersadung, DIA sentiasa ada untukku, memberikanku sejuta pertolongan sehingga aku bisa bangkit kembali.


1432H - Ada banyak impian dan hajat besar yang mahu aku lunaskan. Mudah-mudahan hajat itu dimakbulkan Tuhan. Ya, tarikannya sangat kuat. Aku mohon doa kalian semua agar apa yang aku impikan ini bisa saja menjadi suatu kenyataan. Amin. Mudah-mudahan semuanya baik-baik belaka. Aku juga doakan semoga hajat kalian juga terlaksana sebagaimana impian. Impian yang baik, pasti saja menjadi kenyataan asal saja kita tidak berputus asa dengan rahmat Allah.


Akan kupintal awan gemawan indah di langit
Untuk kujadikan hiasan hati.
Akan kudendangkan lagu damai buat penghuni dunia
biar kasih sayang itu abadi.
Akan kususun bilah-bilah bahagia menjadi selimut diri.
Mudah-mudahan hati kita terus tersenyum.
Moga-moga dunia ini aman dan tebaran kasturi cinta
terus mengharum.
Tiada dendam, tiada benci tiada murung.



Kongsi Bahagia - Kongsi Ceria

Friday, December 03, 2010 Posted by Azizah Aling

Kalian mahu tahu ke mana langkah kaki dibawa sepanjang tempoh dua bulan yang lalu? Ha! Inilah tempat terpilih ke mana derap kaki itu dibawa. Dalam ribut dan taufan kesibukan yang tidak mahu berhenti, Allah masih memberikan keizinan untuk aku mengenali makna diri melalui aktiviti yang sihat dari segi minda, emosi malahan spiritual juga.

Nah! Aku persembahkan untuk kalian dan kalian nilaikanlah sendiri ya. Ia berlaku di sekitar perkampungan orang asli Kampung Songkok, Ulu Yam, Bukit Tinggi dan Janda Baik.

Jika ada sesiapa di kalangan kalian yang berhati mulus mahu menderma, ayuh panjangkanlah hajat itu dankhabarkan ia kepadaku. Mudah-mudahan aku dapat lunaskan hasrat kalian untuk berbakti.






Lihat! Inilah realiti sebuah kehidupan.
Kita ada taklif untuk membantu.
Erti hidup pada memberi, bak kata Saifulislam.




Ini saat kami menjamah makanan di rumah Bonda Guru usai aktiviti.
Lokasinya: Janda Baik.
Aku jatuh cinta dengan Janda Baik.
Aman. Nyaman. Damai. Tenang. Ah! Semuanya indah belaka.

Buah Markisa - Prof. sendiri yang tanam di kebun beliau. Lazat yang amat.


















Inilah Sang Pelangi yang sering aku sebutkan lewat entri.
Anak muda yang berhati waja - kental - akhlaknya mulia.
Graduan dari Jepun.

















"Sang Pari-Pari"












Ustaz Asyraff - graduan dari Jordan.
Penulis buku.
Penterjemah Al-Qur'an.
Usahawan.
Sahabt yang baik dan matang.


Thursday, December 02, 2010 Posted by Azizah Aling

Assalamualaikum wrt. wbt.


Wah! Lama sungguh jejakku tertinggal di belakang. Aku benar-benar rindukan kalian semua yang sudi menyapaku lewat emel, Facebook juga talian telefon memohon aku kembali mencoret kisah di laman ini. Aduhai sahabat yang budiman, tahukah kalian mengapa aku diam membisu seribu bahasa?



Sebabnya, aku kehilangan kata laluan dan ingatanku yang tua ini lupa apakah kata laluan yang sahih untuk dimasukkan bagi mendapatkan akses ke blog ini. Tuhan Maha Kaya. Aku terjumpa catatan kecil di dalam dompet pagi tadi. Ya, di situ tertulis kata kunci laluan ke laman ini. Tahukan kalian, aku melompat keriangan seperti anak kecil mendapat aiskrim. Hahah! Maka benarlah hakikat bahawa aku sudah tua bukan? Ya, walaupun sudah tua, namun kudratku masih banyak. Hehe~~



Ya! Aku rindukan laman ini. Aku mahu kembali mencoret kisah dan bahasa hati buat tatapan anak generasiku nanti. Aku pasti akan kembali dengan entri yang lebih memberikan makna. Tunggu ya! Izinkan aku lunaskan taklifku terlebih dahulu. Nanti aku pasti bersegera kembali ke sini melakarkan kisah rindu yang menujah kalbu.



Azizah Aling.
Puteri Bunga Semalu.

Mencanai Hikmah

Wednesday, September 01, 2010 Posted by Azizah Aling


"Andai dapat ku petik buah hikmah yang berjuntai dari tiap-tiap peristiwa yang hadir, alangkah indahnya!"

Memang benar, langkah yang dihayun, terkadang tersadung jua. Bukan tidak pernah cuba berjalan betul, namun batuan di jalanan itu adakala tidak terlihat dek pandangan mata. Barangkali ada butiran kaca halus yang bertaburan, namun atas kelemahan diri, bisa juga kaki ini memijaknya, lantas luka berdarah.


Aku insan biasa, manusia yang senantiasa melakukan kesilapan. Aku bukan malaikat, jauh sekali untuk aku mengaku Aku Insan Hebat! Gentarnya jiwa andai aku dilaknat kelak di akhirat! 'Ujub dan takabbur harus ku lempar jauh-jauh daripada terus mengisi kekosongan hati. Juga dengan duka yang berlebihan. Semua ini adalah santapan yang tidak sihat untuk rohani. Tuhan, aku rindukan rahmat dan keampunan-Mu untuk menampung kelompongan diri yang semakin berbuah lebat agar aku tidak patah semangat merentasi jalan yang tersangat sukar.



Aku menghitung hari, namun bukan saat diri menjadi raja sehari, tetapi jemputan ajal yang sedia menanti. Entah bilakah detik terakhir untukku melihat indahnya dunia yang palsu semata-mata. Aku pernah terbuai dengannya, dan aku tidak mahu kecundang. Aku malu untuk berhadapan dengan Sang Pencipta andai pakaian amalku masih carik di sana sini. Oh! Tuhan, andai masa boleh diputar kembali, pastilah aku memilih untuk tidak sekali-kali berpaling dari jalan-Mu.. Ampunkan daku.



Suluhan iman di dada semakin malap dek dosa yang menggelap. Dalam kesamaran, aku masih mencari ruang kosong untuk jasad kembali segar, jiwa semakin besar dan bunga suluhan iman yang semakin mekar agar aku bisa bangkit berdiri teguh. Ku soroti rentetan perjuangan yang semakin aku tinggalkan. Resah di hati bertalu-talu. Lalu aku bersyukur, dianugerahi sahabat yang sentiasa membahu gagah. Tanpa kenal erti penat lelah, mereka bisikkan padaku, kata berbuah mutiara hikmah! Kata mereka, jangan kenal erti penat lelah, kerana syurga itu indah!

"Musim Bunga Kerohanian"

Monday, August 30, 2010 Posted by Azizah Aling

Catatan ini telah ditulis semasa Ramadhan yang lalu. Ilmu ini kucicipi dalam siaran Malaysia Hari Ini (MHI) hasil buah fikir dan butir bicara Ustaz Uthman El-Muhammady, Fellow Yang Amat Utama ISTAC (International Institute of Islamic Thought & Civilization). Beliau menjengah pagi rakyat Malaysia dengan bual bicara mengenai Al-Qur’an sebagai bimbingan manusia Abad ke-21. Terima kasih Malaysia Hari Ini atas bual bicara yang sangat bagus.


Secara peribadi aku memang merindukan nasihat daripada sosok yang sangat dekat dengan kami di UIAM suatu waktu dahulu. Sementelahan kami sealiran fikrah dan anak-anak Ustaz juga adalah teman-teman seperjuanga ketika menuntut di Taman Ilmu dan Budi. Tokoh Maal Hijrah ini diakui sangat kaya dengan ilmu dan anak-anaknya juga mewarisi sifat faqih beliau. Lancar sebutannya dalam Bahasa Arab, apatah lagi Bahasa Melayu (tapi tetap ada dialek Kelantan – aku bangga dengannya) serta Bahasa Inggeris.


Bak kata Ustaz, Ramadhan datang bertamu kepada seluruh umat manusia bagaikan air bah membasuhi daki dunia. Walaupun ada khilaf ulama’ tentang bilakah tarikh sebenar Al-Qur’an diturunkan (sama ada pada 17 Ramadhan atau pada hari 10 akhir Ramadhan berdasarkan surah Al-Qadar bahawa Kitab ini diturunkan pada malam Lailatul Qadar).


Apa pun khilafnya, ia adalah disepakati bahawa Al-Qur’an diturunkan dalam bulan Ramadhan. Betapa mulia orang yang mahu mengimarahkan ramadhan – bulan 1000 rahmat dan bulan keampunan, madrasah terbaik mendidik jiwa mencuci daki yang terpalit sepanjang 11 bulan yang berlalu.


Al-Qur’an turun dalam keadaan konflik, yang mana pada masa itu umat manusia tidak mempunyai sifat bertimbang rasa, sanggup membunuh anak dan sahabat handai sendiri seolah-olah nyawa tiada harganya. Kalam suci ini diturunkan berdasarkan kasih sayang Allah yang tidak terhingga ke atas umat manusia agar mengenal Tuhan - Pemilik dan Pencipta seluruh jagat raya. Tuhan, yakni Allah yang menciptakan tujuh petala langit serta tujuh petala bumi berserta dengan isinya. Dan salah satu isinya adalah kita, makhluk yang merdeka yang diwajibkan untuk beribadah kepada-Nya. Alangkah hebatnya Al-Khaliq..


Turunnya Al-Qur’an adalah untuk memberikan rahmat yang tidak terkira kepada umat manusia. Justeru, adalah amat signifikan untuk kita menanam dalam qalbu (hati) rasa cinta yang tidak berbelah bahagi terhadap Al-Qur’an. Di dalamnya terkandung pelbagai penawar yang tidak terbanding. Ia adalah pancaran rahmat yang tidak terperi daripada Allah. Subhanallah.. Agung sekali kasih sayang Yang Maha Mencipta.


Al-Qur’an memancarkan pelbagai pesanan kasih sayang, diadun dalam Bahasa Arab iaitu bahasa syurga dengan penuh gemalai sebagai gambaran Maha Lembut dan Maha Pengasih Tuhan yang menurunkannya. Ia jelas menceritakan tentang keprihatinan dan pelbagai perkara positif yang wajib kita fahami dan amalkan. Ia tidak bermula sebagai satu gertakan dan ancaman.


Ia datang sebagai panduan hakiki untuk akal, qalbu, jiwa dan peribadi manusia untuk menjadi orang yang bahagia secara hakiki dalam hidup, sekarang dan akan datang. Sesungguhnya, tidak ada perkataan yang boleh menggambarkan Al-Qur’an kerana ia adalah ilmu Illahi. Ia turun ke alam kita dengan bahasa yang boleh difahami dan datang bertamu untuk memperkasa aqal manusia dengan betul.


Semoga berkat Ramadhan yang merupakan bulan musim bunga kerohanian (Spiritual Spring Season) masih mendampingi, ayuh kita imarahkan Ramadhan dengan tadarus. Semoga jiwa kita tidak mati untuk menyingkap pelbagai ilmu bermanfaat yang terkandung dalam Gurindam Paling Mulia ini.

SYAIR IMAM SHAFIE

Tuesday, August 24, 2010 Posted by Azizah Aling


Credit to: Kak Azzah Abdul Rahman.

BAHAYA SUM'AH

Monday, August 23, 2010 Posted by Azizah Aling


Biarpun manusia tidak berupaya untuk melihat, mengesan malah mencium betapa busuknya penyakit-penyakit mazmumah di dalam diri sekalian manusia yang lain, namun, Allah SWT dengan keagungan sifat Basar (melihat) dan 'Alim (mengetahui) langsung tidak terhijab untuk melihatnya dengan nyata. Bahkana DIA dapat menghidu lewat tujuh petala langit dan tujuh petala bumi akan hanyir dan jeliknya sifat-sifat mazmumah yang semakin membarah di kolong hati. Ini kerana ia tersorok jauh di dalam hati manusia lebih-lebih lagi ia tumbuh di dalam hati si 'abid yang nampak tekun beribadat siang dan malamnya, pagi dan petangnya. Namun, sifat-sifat mazmumah itulah yang menjadikannya manusia yang jatuh ke dalam telaga ghurur dan segala amal ibadat hilang begitu sahaja.


Justeru, Allah dan Rasul memerintahkan kita supaya beramal dengan ilmu, bertindak dengan kefahaman yang mendalam berpaksikan ikhlas yang bertunjang kemas di dalam jiwa supaya ibadat dan kebaikan yang banyak kita lakukan tidak menjadi sebagaimana pepatah "yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran."


Dalam beribadat, selain dilarang bersifat riya' (menunjuk-menunjuk) dan 'ujub (kagum pada diri sendiri), kita juga ditegah daripada bersikap sum'ah. Walaupun jarang orang bercakap mengenainya, realitinya penyakit jiwa ini telah menimpa ramai orang termasuk dari kalangan ahli ibadat yang jahil dan ghurur.


SUM'AH : adalah perbuatan seseorang yang menceritakan amalan-amalannya agar didengar oleh orang lain lalu mereka memuji dirinya. Maknanya, dalam dunia moden hari ini, ia boleh dikatakan sebagai GILA PUJI ataupun GILA GLAMOUR. Pujian orang lain ibarat nyawa bagi mereka. Kalau tiada orang yang memuji, dia akan berasa tertekan dan barangkali sudah tidak berdaya untuk hidup lagi. Aduhai.... Na'uzubillahi min zalik.


Sum'ah adalah perbuatan yang dilakukan dengan maksud agar amalan-amalan yang dilakukannya didengar dan dipuji orang lain. Misalnya, seseorang yang membaca Al-Qur'an lalu memperindahkan suara dan lagunya tatkala mengetahui ada orang lain yang mendengar dan memerhatikannya lalu beroleh pujian di hujungnya.


SUM'AH adalah sikap sengaja menceritakan kepada khalayak segala amal ibadahnya bahawa dia beramal dengan ikhlas kerana Allah agar orang lain memberikan pujian dan sanjungan tinggi kepadanya.


Seperti yang terkandung dalam hadith Jundub r.a., telah bersabda Nabi SAW: "Sesiapa melakukan perbuatan sum'ah nescaya Allah akan memperdengarkan aibnya dan sesiapa melakukan perbuatan riya', nescaya Allah akan memperlihatkan aibnya." (Riwayat Bukhari & Muslim).


Imam An-Nawawi telah menyebutkan bahawa para ulama' telah berkata, makna hadith di atas ialah sesiapa yang riya' dan sum'ah (memperdengarkan) amalannya kepada manusia lain supaya mereka bercakap-cakap tentang kehebatan amalannya, memuliakannya dan menganggapnya sebagai orang baik, maka Allah SWT akan memperdengarkan serta mendedahkan keaibannya pada hari kiamat nanti.


Apabila aib kita terbuka di dunia pun, kita sudah teramat malu. Entah di mana mahu meletakkan muka. Bayangkan saat malunya manusia di hadapan Allah kelak ketika fiil amalan yang rosak didedahkan Allah. Makanya, ayuhlah bersama-sama kita memantau dan memelihara perjalanan hati kita supaya amalan kita makbul sejahtera dan indah gemilang dijulang menghadap Rabbul Jalil. Adakala kita tersilap langkah, tetapi tatkala kita tersedar daripada lalai, leka dan alpa, ayuh cepat-cepat kembali ke pangkal jalan. Tidak bernama manusia jika tidak pernah membuat kesilapan.

Lakukan Yang Terbaik Selagi Ada Ruang!

Monday, August 23, 2010 Posted by Azizah Aling

Cepat sungguh waktu berlalu. Macam baru sehari dua Ramadhan mengetuk pintu rumah. Tup tup hari ini kita semua sudah berada di 13 Ramadhan 1431 H. Ramadhan sudah beransur-ansur menghampiri penghujung. Andai dapat ditekan "BRAKE" kaki dan tangan, mahu rasanya aku menekannya agar Ramadhan berlabuh dengan lebih lama.

Itulah hakikat yang menunjukkan bahawa bumi sudah terlalu tua. Apatah lagi seluruh isi alamnya. Pun begitu, sedarkah kita bahawa apakah pada setiap detik yang berlalu itu sudah kita manfaatkan dengan hal-hal yang menimbulkan kebaikan? Jika belum, eloklah kita perkemaskan jadual kehidupan. Hendaknya jadual itu diisi dengan segala keperluan yang masih jauh ketinggalan. Rezeki - Harta - Ajal - Umur adalah hak-NYa. Dia berhak mengambil pada bila-bila masa dan pada bila-bila waktu dalam suratan takdir-Nya.

Waktu tidak pernah menanti kita. Kerana itulah kita mesti bersiap sedia mengisi setiap detik dengan segala yang perlu. Bukan dengan segala yang kita mahu mengikut tuntutan nafsu. Bukankah kita dicipta kerana DIA? Sudah lengkapkah kesyukuran dan balasan baik kita persembahkan untuk-Nya pada setiap waktu yang singgah ke dalam kehidupan kita sehari-hari? Dalam soal ini, kita tiada hak untuk menjawab bagi pihak orang lain. Melainkan, tepuk dada... tanyalah iman. Andai kurang, tambahkanlah yang terbaik.

Dalam usaha untuk memulakan sesuatu yang baru, tidak pernah ada istilah terlambat. Yang penting adalah kesedaran dan usaha. Sebagai contoh, andai dalam masalah solat dan ibadat wajib ada kekurangan, maka berusahalah kita mencari jalan untuk menambahkan mana yang kurang. Sesungguhnya memang fitrah manusia untuk mencari segala sesuatu mengenai Penciptanya (iaitu Allah). Sebab itulah, tatkala sudah punyai kesedaran, janganlah dilalaikan dengan urusan dunia yang tidak pernah mahu habis. Berusaha untuk memperbaiki kekurangan. Dasari dengan ilmu pengetahuan. Inilah pesanan buat diri sendiri yang sangat dan terlalu hina di sisi DIA. Aku benar-benar hamba yang lemah Ya Allah.

Apa yang kutahu, ada suatu kebahagiaan mengenai ilmu pengetahuan. Semakin dicari, digali dan dipelajari, rupanya semakin banyak yang aku tidak tahu. Tatkala bertemu titik hikmah dalam menuntut ilmu, aku menjadi terlalu malu dengan-Mu Tuhanku.

Memenuhi kehendak untuk mengisi kantung ilmu pengetahuan memang banyak kaedahnya. Namun, ia mestilah dilakukan secara berhati-hati agar dapat bertemu dengan segala yang bersifat murni dan tulen. Jangan menyimpan harapan untuk cepat pandai sehingga tergadai keimanan akibat menggunakan jalan pintas yang salah. Menerapkan ilmu pengetahuan yang sudah dipelajari agar dapat diamal dan dicerna menjadi budaya dalam kehidupan memerlukan usaha yang sangat konsisten.

Apabila telah berubah menjadi keadaan yang lebih baik, kita juga mesti berusaha meninggalkan persekitaran yang tidak membantu ke arah kebaikan. Walaupun bukan jalan yang mudah, tetapi usaha mestilah dilakukan dengan gigih. AZIZAH!! Jangan mudah putus asa. Sekali gagal bukan bererti kehidupan telah berkecai. Usaha mesti disertai dengan kesabaran yang berlipat ganda. Selamat memaknakan Ramadhan dengan sebaik-baik amal.

Kembara Seorang Hamba

Friday, August 20, 2010 Posted by Azizah Aling


Allahu Akbar...
Aku masih lagi mahu terus mengembara
Aku masih mahu terus menjadi pengembara
Bumi ini masih banyak yang ingin aku terokai
Butir-butir hikmah yang bertaburan masih belum cukup aku miliki
Ruang lompong kehidupan masih belum aku penuhi.


Jasad ini masih belum banyak menyumbang
Iman dan amal masih belum seimbang
Pada tingkah laku yang terkadang sumbang
Pada kata-kata yang ada ketika masih 'ter'simpang..
Pada ekor mata yang adakala masih rambang.


Allahu Akbar...
Aku masih punya segunung impian
Jasaku pada orang tua yang menaruh setinggi harapan
Istana cinta fitrahku yang masih dalam samar bayangan
Juga pada impian memiliki zuriat yang beriman
dan pastinya pada cita-citaku untuk menjadi isteri solehah dan budiman.


Allahu Akbar..
Aku sedang mengembara
Dan akulah pengembara
Dan aku masih mahu terus mengembara
Sehingga sampai satu detik masa
Aku ditakdirkan berhenti
Tatkala itu aku akur
dan...saat itu
Moga aku sudah puas mengembara...

" A meow massages the heart"

Tuesday, August 17, 2010 Posted by Azizah Aling

I am enjoying every moment with the cats. It gives me a lot of pleasure. A cat has absolute emotional honesty. Human beings, for one reason or another, may hide their feelings, but a cat does not.


Sleeping on the keyboard? Is it too cosy? :)
Like me.. when I am too tired doing the legal writing, I will end up with sleeping at the side of my lappy especially at night.


What? You are not satisfied with me on certain issues?
Ok, come on here and sit down.
We can ventilate and discuss everything and clear up the air.
But don't leave it blank just like that. I deserve an explanation. Says the cat. He he..

If you hold a cat by the tail, you learn things you cannot learn any other way.

The cat is above all things, a dramatist. Unluckily, I am not a dramatist. Sad though..


The cat is the only animal without visible means of support
who still manages to find a living in the city.
But I have the means of support.
And fair enough, I have acquired
a very blissful life down here.
I will raise my hands and will thank Allah forever,
for each and every gift He has given me and
for every blessing that He has bestowed upon me.



Hide and seek - That is the actual me. I will appear should my presence is necessary. Otherwise, I would not even bother about what is going on and on around me.

Istimewanya Ramadhan

Tuesday, August 17, 2010 Posted by Azizah Aling

Ibnu Manzur telah berkata dalam kitabnya, Lisan Al-Arab bahawa kalimat Ramadhan membawa erti panas yang terik atau batu yang panas kerana terkena sinaran matahari. Ada juga yang mengatakan bahawa dinamakan bulan ini dengan nama Ramadhan kerana gugurnya dosa-dosa seseorang Muslim disebabkan amal ibadah dan perbuatan-perbuatannya yang baik dan mendatangkan pahala.

Allah telah memilih bulan Ramadhan sebagai bulan medan ujian bagi umat Islam dengan diwajibkan berpuasa, menahan lapar dan dahaga sehinggalah sampai waktu berbuka. Dengan berpuasa, seorang hamba Allah SWT akan menjadi seorang yang sabar, bersyukur dan bertaqwa kepada Allah SWT serta dapat mendidik jiwa supaya merenung kebesaran dan keagungan Allah Yang Maha Kuasa.

Apa istimewanya Ramadhan?

1. DIJANJIKAN SYURGA – Rasulullah SAW bersabda: “Berterusanlah kamu dengan sesuatu yang dapat mengetuk pintu syurga. Maka Sayyidah Aisyah rha berkata: “Dengan apakah caranya wahai Rasulullah?” Sabda Nabi SAW, “Dengan berlapar (memperbanyakkan puasa).”

2. GANJARAN BERGANDA – Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah SAW bersabda: “Setiap amalan anak adam adalah baginya, satu kebaikan dibalas dengan 10 ganjaran hingga 700 kali ganda.”

3. PUASA HAK ALLAH – Firman Allah SWT “…Dia (orang yang berpuasa) meninggalkan syahwat, makanan dan minumannya semata-mata kerana aku. Puasa bagi-Ku dan Aku yang akan membalasnya.”

4. DIMULIAKAN ALLAH – Rasulullah SAW bersabda: “Dan bau mulut orang yang berpuasa adalah lebih wangi di sisi Allah SWT daripada bau kasturi.” [Riwayat Muslim].

5. DIAMPUNKAN DOSA – Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharap pahala daripada Allah SWT, maka akan diampuni dosanya yang telah lalu.” [Riwayat Bukhari].

6. PINTU NERAKA DITUTUP – Diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim daripada Abu Hurairah r.a., berkata Rasulullah SAW “Apabila telah masuk bulan Ramadhan, maka pintu-pintu langit dibuka, pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan-syaitan dibelenggu.”

7. BULAN YANG DIBERKATI – Nabi SAW bersabda: “Sekiranya umatku mengerti rahsia yang terkandung pada bulan Ramadhan, nescaya umatku akan mengharapkan agar seluruh tahun menjadi bulan Ramadhan.”

Justeru, ulama’ salafussoleh sentiasa memohon kepada Allah SWT selama enam bulan agar Allah menyampaikan usia mereka hingga tiba pada bulan Ramadhan yang mulia. Kemudian mereka berdoa enam bulan agar Allah SWT menerima amal mereka. Demikianlah sifat kebiasaan salafussoleh dalam melaksanakan puasa pada bulan Ramadhan dengan mengharap kepada Allah agar mengasihi mereka dalam setiap urusan. Sesiapa yang hidupnya dalam ketaatan kepada Allah SWT, maka sesungguhnya Allah memerhati dan menjaganya dalam setiap keadaan.