BAHAYA SUM'AH

Monday, August 23, 2010 Posted by Azizah Aling


Biarpun manusia tidak berupaya untuk melihat, mengesan malah mencium betapa busuknya penyakit-penyakit mazmumah di dalam diri sekalian manusia yang lain, namun, Allah SWT dengan keagungan sifat Basar (melihat) dan 'Alim (mengetahui) langsung tidak terhijab untuk melihatnya dengan nyata. Bahkana DIA dapat menghidu lewat tujuh petala langit dan tujuh petala bumi akan hanyir dan jeliknya sifat-sifat mazmumah yang semakin membarah di kolong hati. Ini kerana ia tersorok jauh di dalam hati manusia lebih-lebih lagi ia tumbuh di dalam hati si 'abid yang nampak tekun beribadat siang dan malamnya, pagi dan petangnya. Namun, sifat-sifat mazmumah itulah yang menjadikannya manusia yang jatuh ke dalam telaga ghurur dan segala amal ibadat hilang begitu sahaja.


Justeru, Allah dan Rasul memerintahkan kita supaya beramal dengan ilmu, bertindak dengan kefahaman yang mendalam berpaksikan ikhlas yang bertunjang kemas di dalam jiwa supaya ibadat dan kebaikan yang banyak kita lakukan tidak menjadi sebagaimana pepatah "yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran."


Dalam beribadat, selain dilarang bersifat riya' (menunjuk-menunjuk) dan 'ujub (kagum pada diri sendiri), kita juga ditegah daripada bersikap sum'ah. Walaupun jarang orang bercakap mengenainya, realitinya penyakit jiwa ini telah menimpa ramai orang termasuk dari kalangan ahli ibadat yang jahil dan ghurur.


SUM'AH : adalah perbuatan seseorang yang menceritakan amalan-amalannya agar didengar oleh orang lain lalu mereka memuji dirinya. Maknanya, dalam dunia moden hari ini, ia boleh dikatakan sebagai GILA PUJI ataupun GILA GLAMOUR. Pujian orang lain ibarat nyawa bagi mereka. Kalau tiada orang yang memuji, dia akan berasa tertekan dan barangkali sudah tidak berdaya untuk hidup lagi. Aduhai.... Na'uzubillahi min zalik.


Sum'ah adalah perbuatan yang dilakukan dengan maksud agar amalan-amalan yang dilakukannya didengar dan dipuji orang lain. Misalnya, seseorang yang membaca Al-Qur'an lalu memperindahkan suara dan lagunya tatkala mengetahui ada orang lain yang mendengar dan memerhatikannya lalu beroleh pujian di hujungnya.


SUM'AH adalah sikap sengaja menceritakan kepada khalayak segala amal ibadahnya bahawa dia beramal dengan ikhlas kerana Allah agar orang lain memberikan pujian dan sanjungan tinggi kepadanya.


Seperti yang terkandung dalam hadith Jundub r.a., telah bersabda Nabi SAW: "Sesiapa melakukan perbuatan sum'ah nescaya Allah akan memperdengarkan aibnya dan sesiapa melakukan perbuatan riya', nescaya Allah akan memperlihatkan aibnya." (Riwayat Bukhari & Muslim).


Imam An-Nawawi telah menyebutkan bahawa para ulama' telah berkata, makna hadith di atas ialah sesiapa yang riya' dan sum'ah (memperdengarkan) amalannya kepada manusia lain supaya mereka bercakap-cakap tentang kehebatan amalannya, memuliakannya dan menganggapnya sebagai orang baik, maka Allah SWT akan memperdengarkan serta mendedahkan keaibannya pada hari kiamat nanti.


Apabila aib kita terbuka di dunia pun, kita sudah teramat malu. Entah di mana mahu meletakkan muka. Bayangkan saat malunya manusia di hadapan Allah kelak ketika fiil amalan yang rosak didedahkan Allah. Makanya, ayuhlah bersama-sama kita memantau dan memelihara perjalanan hati kita supaya amalan kita makbul sejahtera dan indah gemilang dijulang menghadap Rabbul Jalil. Adakala kita tersilap langkah, tetapi tatkala kita tersedar daripada lalai, leka dan alpa, ayuh cepat-cepat kembali ke pangkal jalan. Tidak bernama manusia jika tidak pernah membuat kesilapan.

0 comments:

Post a Comment