"Musim Bunga Kerohanian"
Catatan ini telah ditulis semasa Ramadhan yang lalu. Ilmu ini kucicipi dalam siaran Malaysia Hari Ini (MHI) hasil buah fikir dan butir bicara Ustaz Uthman El-Muhammady, Fellow Yang Amat Utama ISTAC (International Institute of Islamic Thought & Civilization). Beliau menjengah pagi rakyat Malaysia dengan bual bicara mengenai Al-Qur’an sebagai bimbingan manusia Abad ke-21. Terima kasih Malaysia Hari Ini atas bual bicara yang sangat bagus.
Secara peribadi aku memang merindukan nasihat daripada sosok yang sangat dekat dengan kami di UIAM suatu waktu dahulu. Sementelahan kami sealiran fikrah dan anak-anak Ustaz juga adalah teman-teman seperjuanga ketika menuntut di Taman Ilmu dan Budi. Tokoh Maal Hijrah ini diakui sangat kaya dengan ilmu dan anak-anaknya juga mewarisi sifat faqih beliau. Lancar sebutannya dalam Bahasa Arab, apatah lagi Bahasa Melayu (tapi tetap ada dialek Kelantan – aku bangga dengannya) serta Bahasa Inggeris.
Bak kata Ustaz, Ramadhan datang bertamu kepada seluruh umat manusia bagaikan air bah membasuhi daki dunia. Walaupun ada khilaf ulama’ tentang bilakah tarikh sebenar Al-Qur’an diturunkan (sama ada pada 17 Ramadhan atau pada hari 10 akhir Ramadhan berdasarkan surah Al-Qadar bahawa Kitab ini diturunkan pada malam Lailatul Qadar).
Apa pun khilafnya, ia adalah disepakati bahawa Al-Qur’an diturunkan dalam bulan Ramadhan. Betapa mulia orang yang mahu mengimarahkan ramadhan – bulan 1000 rahmat dan bulan keampunan, madrasah terbaik mendidik jiwa mencuci daki yang terpalit sepanjang 11 bulan yang berlalu.
Al-Qur’an turun dalam keadaan konflik, yang mana pada masa itu umat manusia tidak mempunyai sifat bertimbang rasa, sanggup membunuh anak dan sahabat handai sendiri seolah-olah nyawa tiada harganya. Kalam suci ini diturunkan berdasarkan kasih sayang Allah yang tidak terhingga ke atas umat manusia agar mengenal Tuhan - Pemilik dan Pencipta seluruh jagat raya. Tuhan, yakni Allah yang menciptakan tujuh petala langit serta tujuh petala bumi berserta dengan isinya. Dan salah satu isinya adalah kita, makhluk yang merdeka yang diwajibkan untuk beribadah kepada-Nya. Alangkah hebatnya Al-Khaliq..
Turunnya Al-Qur’an adalah untuk memberikan rahmat yang tidak terkira kepada umat manusia. Justeru, adalah amat signifikan untuk kita menanam dalam qalbu (hati) rasa cinta yang tidak berbelah bahagi terhadap Al-Qur’an. Di dalamnya terkandung pelbagai penawar yang tidak terbanding. Ia adalah pancaran rahmat yang tidak terperi daripada Allah. Subhanallah.. Agung sekali kasih sayang Yang Maha Mencipta.
Al-Qur’an memancarkan pelbagai pesanan kasih sayang, diadun dalam Bahasa Arab iaitu bahasa syurga dengan penuh gemalai sebagai gambaran Maha Lembut dan Maha Pengasih Tuhan yang menurunkannya. Ia jelas menceritakan tentang keprihatinan dan pelbagai perkara positif yang wajib kita fahami dan amalkan. Ia tidak bermula sebagai satu gertakan dan ancaman.
Ia datang sebagai panduan hakiki untuk akal, qalbu, jiwa dan peribadi manusia untuk menjadi orang yang bahagia secara hakiki dalam hidup, sekarang dan akan datang. Sesungguhnya, tidak ada perkataan yang boleh menggambarkan Al-Qur’an kerana ia adalah ilmu Illahi. Ia turun ke alam kita dengan bahasa yang boleh difahami dan datang bertamu untuk memperkasa aqal manusia dengan betul.
Semoga berkat Ramadhan yang merupakan bulan musim bunga kerohanian (Spiritual Spring Season) masih mendampingi, ayuh kita imarahkan Ramadhan dengan tadarus. Semoga jiwa kita tidak mati untuk menyingkap pelbagai ilmu bermanfaat yang terkandung dalam Gurindam Paling Mulia ini.
0 comments:
Post a Comment