There is always sunshine after the rain...

Tuesday, December 29, 2009 Posted by Azizah Aling


"Certain things can happen and get us really really down. That’s a process that we need to go through. No one is immune to pain and suffering, to sadness and emptiness.

What is important is to hang in there. Remind yourself that things will always get better. After a storm, the sun will shine again. It may be a few minutes later, a few hours, or even a few days. But it will always happen.

This does not mean that the negative emotions you experience at the time are trivial. They are real, and they are important.

But remember that time heals wounds. The sadness will pass. Give yourself time."



It took me more than a week to jot down this entry. I really needed space for myself to get up and continue this precious life, treasure all the good things that's happening around me. Berdepan dengan kehilangan sememangnya sukar. Aku memerlukan masa yang panjang untuk bangkit kembali meneruskan rutin sebagaimana biasa dengan penuh kegembiraan. Sekalipun aku terasa seperti kekuatan untuk mendepani hari-hari mendatang makin menyempit, aku tetap perlu bangkit demi tugas dan tanggungjawab sebagai anak, sebagai pekerja, sebagai umat yang diperlukan dalam kecilnya untuk kemaslahatan serta manfaat yang lain.





Di suatu hari yang sangat tenang, aku menerima panggilan telefon daripada ibu teman baik yang berada nun jauh di Sarawak. Aku dapat mendengar esakan kecil di hujung talian, tapi aku malu untuk bertanya. Kemudiannya aku dimaklumkan bahawa sahabatku telah kembali ke rahmatullah semasa bermain badminton dengan teman-temannya. Ya Allah.. aku terduduk.. lama.. Layar ingatan terus menayangkan segala macam kenangan suka duka kami bersama.


Dia sahabatku yang sangat rapat sekalipun kami dipisahkan oleh Laut Cina Selatan. Dia memberikan aku semangat di saat aku jatuh terduduk, dia yang membantu aku menambahkan keyakinan di saat aku hilang kepercayaan kepada kemampuan diri, dia yang selalu memberi pesan kepada aku untuk terus dekat dengan Pencipta walau apa juga ujian membadai. Dia sahabat aku yang sangat baik yang memahami aku apa adanya aku.





Kali penghabisan kami bertemu adalah sewaktu aku melaksanakan tugasan rasmi di Sarawak awal Disember lalu. Kami menyusuri pinggiran Sungai Sarawak dan berbincang mengenai pelbagai perkara. "A person who has a golden heart and humble mind." Kalau aku menyayangi persaudaraan yang ada, Allah lebih lagi menyayanginya. Tak apalah, semoga kamu damai dan aman di sana. Kehilangan kamu tiada ganti. Kamu tetap kekal bersemadi sebagai saudaraku yang paling baik, yang paling memahami. Aku tidak mampu menahan sebak bersendirian apatah lagi aku tidak mempunyai waktu untuk menziarahi pusaranya di seberang laut sana. Tak apalah, daku doakan semoga kamu aman di sana.





Belum pun reda dengan kesedihan itu, aku dikejutkan lagi dengan kehilangan bapa kandung temanku sejak di bangku sekolah. Intan mengirimkan pesanan ringkas bahawa ayahnya telah kembali ke rahmatullah. Mengejut sahaja beritanya. Aku menangis lagi. Intan adalah antara teman yang rajin menghubungi aku, selalu bertanyakan tentang segala macam persoalan undang-undang. Ya Allah, Kau berilah sahabatku ini kekuatan untuk mendepani kehilangan dengan hati yang kental dan jiwa yang kuat. Intan, andai ini adalah batas pencarianmu tentang hakikat hidup, mudah-mudahan Allah memberikanmu kekuatan untuk menempuh segala ujian dalam perjuangan ini.



Intan - 2 dari kiri.



Hati menangis pedih berdepan dengan kehilangan insan yang dekat di hati. Apapun, aku tetap berdiri teguh melaksanakan rutin harian di pejabat sebagaimana biasa. Tiada sesiapapun tahu bahawa aku sebenarnya sedang menanggung kesedihan yang sangat dalam. Aku sandarkan sepenuh pergantungan kepada DIA yang Maha Kuasa. Aku tahu aku sedang diuji dengan kehilangan. Bukan mudah untuk dilalui. Tetapi aku yakin bahawa aku tidak berseorangan dan Allah sentiasa ada di sisi menemani.




Di sebalik kesibukan pada hari Khamis 17.12.2009, sebelum jam 1.00 tengahari aku dikejutkan dengan satu SMS daripada seorang teman memaklumkan bahawa ibu beliau telah kembali ke rahmatullah. Tanpa sedar, air mata mengalir laju membasahi pipi. Lama aku berteleku di meja. Aku kaku dan terkedu. Baru beberapa hari lepas aku dikejutkan dengan berita kematian, kali ini berita tentang kematian menyusul lagi. Aku terus bertemu teman sepejabat dan selepas berjumpa dengan boss, aku memutuskan untuk menziarahi arwah. Hajat di hati mahu menatap wajah arwah buat kali terakhir.




Beberapa hari sebelumnya, aku bermimpikan arwah mak cik. Aku beranggapan itu cuma mainan tidur, tetapi aku silap. Apa yang hadir ke dalam mimpi itu satu kenyataan. Ya Allah.. jikalau aku yang bukan siapa-siapa dalam kehidupan mak cik pun boleh bersedih, apatah lagi ahli keluarganya.. pastinya mereka lebih sedih mendepani kehilangan ini.




Semasa hayatnya, aku sempat menziarahi arwah di hospital Seri Manjung sewaktu aku mempunyai urusan di luar daerah setelah anaknya memberi izin. Arwah hanya terlantar di katil, dan sejujurnya aku sebak sendiri menyaksikan keperitan yang ditanggung beliau. Aku menatapnya terus dari hujung kepala hingga hujung kaki. Kedut di tangan dan wajahnya yang mewakili perjuangan hidupnya terlihat begitu jelas di mataku. Aku melihat dan menatap wanita kurus ini dengan penuh kesyahduan dan wajahnya begitu tenang di antara senyum simpulnya, dan wajah itu sentiasa dekat denganku.


Benar, ia terlukis sebagaimana coretan anaknya setiap kali kami bercerita mengenai ibunya. Aku berkawan dengan anaknya, bukanlah serapat mana tapi aku selesa dan kami berkongsi ilmu tentang banyak perkara. Sepanjang perjalanan, aku menangis di dalam kereta. Kalau dua kematian sebelum ini aku tidak mampu melakukan ziarah, aku berhasrat untuk melakukannya kali ini memandangkan keesokannya adalah hari cuti umum.




Kebetulannya aku sudah biasa dengan kawasan Pantai Remis kerana aku pernah berkhidmat di sini. Bertanya serba sedikit dengan orang sekitar, kami menjumpai rumah arwah. Alangkah hibanya hati apabila melihat temanku menangis di sebalik tirai. Selalunya penampilan beliau penuh keceriaan dan diwarnai senyuman menghiburkan penonton dengan hebahan ilmu untuk masyarakat mencicip setiap pagi sebagai bekalan sehari-hari. Tetapi kali ini, si pejuang bangsa terdiam menangis kebingungan, ganjil dengan kehilangan yang berlaku tiba-tiba barangkali. Aku menangis dengan penuh hiba di dalam hati. Aku berjanji pada diri untuk tidak menangis lagi.




Aku tahu kamu kuat wahai temanku. Aku merasai kesedihan yang kamu lalui. Aku mahu sama-sama berdiri saling membahu bersama kamu mendepani ujian kehilangan ini kerana ukhuwwah kita bukan hanya sekadar di saat gembira. Saat duka juga wajar untuk kita kongsi bersama walaupun aku bukan siapa-siapa. Aku hanya teman kamu yang kecil tapi moga-moga ia memberikan manfaat dalam kecilnya. Aku tiada harta bertimbun untuk diberikan kepada kamu, tetapi aku ada doa.







Anggaplah segala yang menyedihkan sebagai ujian kedewasaan sikap kamu dalam membina dan membentuk diri, mental serta jiwa. Aku mahu kamu tetap kuat untuk mewujudkan harapan dan cita-cita ibu. Segala sesuatu memang harus dimulakan dengan pengorbanan. Teruslah berbakti untuk ibu walaupun dia sudah tiada kerana doa anak yang soleh tetap memberikan kebahagiaan buat ibu di sana. Tugas yang berat sedang menunggumu temanku. Aku tahu, ibu senantiasa berharap agar akan terlahir anak yang siap mengabdi dan menunjukkan baktinya yang ikhlas
. Dan anak itu adalah kamu.



Barangkali arwah ibumu mahu mengucapkan terima kasih kepadamu dan dia sentiasa merindui kamu sebagaimana kamu selalu merinduinya. Barangkali andai dia sempat berbicara sebelum dia pergi, dia ingin mengucapkan terima kasih kepadamu kerana telah membuatkan dirinya dan keluargamu bangga dengan apa yang kamu raih hari ini.




Aku tahu, pemergian ibumu membuatkan kamu sedih. Tetapi kita tidak mampu lari daripada takdir temanku. Betapapun kuatnya kita menolak dan mengelak, itu pasti terjadi. Jangan sesali garis takdir. Aku tahu, cita-citamu begitu besar untuk membalas dan membahagiakan ibumu. Tapi Allah telah menetapkan semua ini. Yakinlah bahawa Allah telah memberikan yang terbaik untukmu. Teruslah berdoa agar kelak, kalian mampu bertemu kembali dalam keadaan yang lebih baik. Kejarlah apa yang menjadi harapan dan cita-citamu selama ini. Itulah harapan ibumu terhadapmu, demi dia dan demi keluarga.




Walaupun haluan kita berbeza, sekalipun pendapat kita adakalanya bertingkah, impian kita tetap sama iaitu untuk menjadi anak yang boleh berbakti kepada ibu ayah seterusnya memburu mardhotillah. Aku tetap berdiri di sini mendoakan kesejahteraan kamu wahai temanku agar kita dapat saling membahu gagah mendepani keperitan akibat kehilangan. Maafkan aku sahabat kerana mencoretkan entri ini tanpa keizinan.

Little Walkabout (Anecdote on 27.12.2009)

Monday, December 28, 2009 Posted by Azizah Aling


Cik Ngah yang terlebih gembira membeli belah untuk barangan sekolah anak-anak buah. Zaman persekolahan sangat manis untuk dikenang. Semuanya indah belaka sebab kita tak ada masalah untuk difikirkan dalam hidup. Tapi, cikgu-cikgunya tetap pening kepala memikirkan cara terbaik melentur akhlak anak-anak agar menjadi insan berguna.




Kasutnya dapat bertahan 3 - 4 bulan sahaja. Nanti akan dibeli yang baru. Tak apalah, asalkan anak-anak buah bahagia, Cik Ngah tumpang bahagia.



My eldest sister with her prince and princess..




We love each other so much.

Venue: Jalan Tar
Date: 27.12.2009

GATHERING BLOGGERS

Monday, December 28, 2009 Posted by Azizah Aling

Juadahnya sangat banyak dan enak. Apa yang aku bebel sorang-sorang ni?




Whose bag is this?




Sebahagian yang hadir.



Ketupat.. :)



Tuan Tanah.. he he..



Suri dan permata hati Tuan Tanah... Sporting banget!!



Adam..



Another half..



Membaca blog Encik Mazidul seperti rutin kebiasaan telah menggerakkan hati aku dan Cik Ketupat untuk sama-sama ke FRIM. Sebenarnya, agenda asal bukanlah nak sangat ke gathering, tetapi kami teringin mengambil angin di luar dan melegakan ketegangan minda yang sarat dan tepu dengan pelbagai perkara di pejabat.




Tiada banner, tiada bunting, tiada penunjuk arah. Tapi Allah sebaik-baik penunjuk arah. Kami tiba di kawasan tempat letak kereta dan berjalan kaki mencari air terjun. Tidak bertanyakan sesiapa dan nasib menyebelahi kami apabila percubaan pertama berhasil apabila kami berjaya menemui kelompok bloggers yang dianjurkan Encik Mazidul. Wah.. maksudnya Allah ingin kami semua berjumpa dan berkumpul. Itu hikmahnya.




Perjumpaan yang bagus dan banyak perkara diperdebatkan. Seperti biasa, rutin aku untuk menjadi pendengar terus bersambung di FRIM ini. Tempatnya aman, dilitupi pepohon yang merimbun hijau, membangkitkan aura kesegaran yang agak luar biasa. Kalau memang dah kerjanya ditetapkan untuk menjadi pendengar tu, teruslah menjadi pendengar. Aku bahagia dapat mencedok pengalaman orang lain untuk dijadikan panduan agar tidak sesat di laluan kehidupan di masa akan datang.




Benar seperti kata Baginda Rasul SAW, perbezaan itu satu rahmat. Kita menyantuni dan menghormati kepelbagaian yang ada. Tanpa pernah mengenali antara satu sama lain, kita tetap mampu berukhuwwah seolah-olah kita semua sudah kenal lama. Selagi perjalanan ukhuwwahnya dibataskan dengan syarak, tidak salah untuk kita menyambung silaturrahim. Berkongsi idea. Bertukar-tukar pendapat. Mencari yang terbaik untuk anak bangsa. Menegakkan yang hak. Menghapuskan yang batil. Moga ianya ada manfaat dalam kecilnya.




Buat Encik Mazidul, terima kasih kerana memurnikan acara dengan penuh santai dan perkongsian pengalamannya sangat menggembirakan. Ia memberikan kami dimensi berbeza untuk berfikir dan menaakul. Semoga perjumpaan ini akan bersambung untuk sesi akan datang dan semoga Allah mengizinkan hamba untuk turut serta, walaupun kekangan masa sangat menjerut. Buat yang hadir, kamu semua sangat mantap!! Buat Kak Lin, akak sangat sporting. Teruslah menjadi pendokong paling setia buat suami ya.. Nanti saya akan tulis satu entri khusus untuk akak bila masa mengizinkan. Selamat berukhuwwah buat semua.

KEMALANGAN MAUT

Saturday, December 26, 2009 Posted by Azizah Aling


"Saya terlelap." Itu pengakuan pemandu bas dua tingkat Sani Express yang terbabas dan melanggar pembahagi jalan di KM272.8, Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara awal pagi semalam yang mengakibatkan 10 penumpang maut manakala dua lagi cedera. Lagi menyedihkan apabila ada yang putus kepala.


Secara peribadi, aku melihat kemalangan yang berlaku secara bermusim ini sangat menggerunkan. Statistik kian bertambah dari hari ke hari. Apa lagi langkah-langkah yang paling wajar perlu dilaksanakan agar ia dapat dibanteras daripada terus melarat, menambahkan parah dan membuak nanah?


Aku pernah menggunakan perkhidmatan Sani Ekspres sekali semasa pulang ke kampung untuk tempoh singkat tahun lalu. Ternyata perkhidmatannya adalah selesa memandangkan bas yang digunakan adalah bas yang baru. Cuma, cara pemanduan agak menakutkan dan memaksa aku ke hadapan dan memberitahu pemandu agar memandu dengan kelajuan yang ditetapkan dan lebih berhati-hati. Memang pemandunya marah. Aku sempat berdebat dengan beliau dan aku nayatakan bahawa aku sebagai pengguna mempunyai hak untuk disantuni dan sekiranya ingkar, aku juga boleh bertindak mengikut saluran undang-undang yang betul. Jangan menidakkan hak seorang wanita kecil ini.


Apalah sangat yang ingin dipedulikan dengan amarah si pemandu jika dibandingkan dengan nyawa penumpang yang ramai. Ada seorang pak cik sempat bertanya, "anak tak takut ke pergi tegur pemandu?" aku jawab, "berani kerana benar, takut kerana salah pak cik." Aku tidak dapat lena di dalam bas sepanjang perjalanan. Apatah lagi, sudah hampir 5 tahun aku tidak menggunakan perkhidmatan bas ekspres untuk pulang ke kampung. Selalunya aku lebih selesa memandu sendirian walaupun perjalanannya jauh dan memakan masa yang lama. Kali ini aku terpaksa gunakan bas kerana badan terlalu letih untuk memandu, sedangkan aku hanya ada masa 24 jam sahaja untuk berada di kampung sebelum kembali meneruskan tugas di kuala Lumpur.


Namun, berapa ramai yang berani bersuara lantang? Ayuh wahai penumpang, kalau anda merasakan sesuatu yang tidak kena sedang berlaku, bersuaralah. Kita juga punya hak. Jangan hanya mengharapkan pihak berkuasa untuk bertindak. Kita juga mesti melaksanakan tugas. Ada masanya pihak berkuasa cekap menjalankan amanah, ada kalanya ia sekadar melepaskan batuk di tangga. Sudah menjadi amalan para penguasa, sesuatu isu hanya akan ditangani apabila ia mendapat perhatian masyarakat. Apabila geloranya reda, penguatkuasaan juga turut reda.


Syarikat bas ekspres yang terlalu mengaut keuntungan juga salah satu punca utama yang menyumbang kepada kemalangan. Pemandu bukan robot yang boleh diarah dan dikerah dengan kuasa bateri atau enjin. Manusia secara tabiinya perlukan rehat dan tidur yang cukup. Nyawa bukan barang dagangan yang boleh ditukar ganti dengan duit. Maka, janganlah bersifat haloba. Bukan boleh bawa duit yang berkepuk-kepuk ke dalam kubur pun.


Apa yang pasti, kemalangan maut yang disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 seolah-olah tidak memberi sebarang impak kepada si pesalah, walaupun ia adalah satu klasifikasi di bawah kes tangkapan. Hukuman mandatori penjara tidak kurang daripada 2 tahun, denda dan penggantungan lesen memandu seawal pertuduhan dibacakan (walaupun tiada pengakuan bersalah direkodkan Mahkamah) sepertinya tidak mendatangkan apa-apa kesan. Hatta andainya hukuman mati sekalipun yang bakal dilaksanakan oleh penguasa ke atas pesalah jalanraya, ia tetap tidak dapat mengurangkan kadar peningkatan jenayah trafik.


Apa yang penting adalah sikap pemandu itu sendiri. Aku mempunyai pengalaman yang banyak di atas lebuhraya berhadapan dengan pemandu bas ekspres yang memandu bas seperti orang gila apabila lebuhraya dijadikan trek perlumbaan. Sangat membahayakan. Apa pun, selagi sikap manusia yang ego, rakus dan bongkak di atas jalan raya tidak diubah, selagi itu kita akan terus disajikan dengan statistik kemalangan maut yang amat menyeramkan. Walau ada 1000 mekanisma diperkenalkan untuk mengurangkan kadar jenayah lalu lintas, sekiranya penduduk Malaysia yang bergelar pemandu tidak mempunyai kesedaran, ia tetap tidak memberi guna apa-apa. Pilihan di tangan masing-masing. Pilihlah jalan sendiri sama ada ianya jalan lurus atau bengkok!!

Mengenang TSUNAMI

Saturday, December 26, 2009 Posted by Azizah Aling

Air yang menjulang tinggi mencecah pepohon kelapa..





1. Sudah hampir 6 tahun Tsunami meninggalkan kesan yang parah dan dahsyat di beberapa buah negara yang berlautkan Lautan Hindi. Malaysia tidak terkecuali apabila Kota Kuala Muda (salah satu daripadanya) turut dilanda Tsunami. Di Indonesia, Banda Acheh antara yang menerima tempias paling dahsyat. Ada yang menggambarkan kejadian Tsunami itu sebagai 'Kiamat Kecil'. Sejujurnya, pelbagai iktibar yang boleh kita ambil dari bencana alam yang begitu dahsyat itu sehingga mengorbankan ribuan nyawa dan harta-benda hanya dalam sekelip mata.


2. Ada yang mengaitkan bencana tsunami dengan kisah Nabi Musa berguru dengan Nabi Hidir. Ringkasnya, kita tidak boleh mempersoalkan kenapa bencana tsunami melanda Acheh yg majoritinya adalah Islam dan sebahagian besarnya adalah kanak-kanak. Renungkan kisah apabila Nabi Hidir membunuh seorang kanak-kanak kecil dan dipersoalkan oleh Nabi Musa, di sana wujudnya rahmat di sebalik kejadian itu yg kita langsung tidak tahu. Kisah ini digambarkan dengan sangat lengkap oleh Allah SWT dalam Surah Al-Kahfi. Bacalah temanku semua. Ambillah 'ibrahnya.


3. Kita sebagai umat Islam di Malaysia perlu menjadikannya sebagai iktibar. Malaysia telah membatalkan perayaan menyambut tahun baru di tahun 2004 yang sebelum ini penuh dengan kemungkaran. Hakikatnya tsunami tahun 2004 telah dapat menghentikan perayaan menyambut tahun baru yang telah diamalkan sejak berpuluh tahun lamanya setelah kira-kira 66 rakyat Malaysia terkorban. Mengenang kembali saat kami menjalankan kerja kebajikan di Kota Kuala Muda, hati digamit sayu yang paling dalam apabila kebanyakan mangsa tsunami sangat kontang jiwanya mengenai aqidah. Pengalaman menguruskan emosi masyarakat yang sangat tidak keruan akibat trauma yang dialami sangat menguji keimanan. Benarlah, bahawa apa juga yang Allah ingin lakukan, semuanya bakal berlaku dalam sekelip mata apabila DIA mengatakan "Kun Fayakun."


4. Tetapi seperti hadis Nabi SAW, tahap iman manusia sentiasa berada dalam jari-jari Allah. Bila-bila masa sahaja iman kita boleh diterbalikkan kerana tingkatan iman kita sentiasa ada pasang-surut. Kalau kita mengingati Allah, Allah akan mengingati kita, begitu juga sebaliknya. Lihat saja di Pukhet. Kemungkaran telah kembali seperti sedia kala. Pelancong berbikini seolah-olah tidak pernah berlaku tsunami di Pukhet. Manusia memang pelupa.


5. Apakah kejadian tsunami sebagai tanda-tanda besar dunia akan kiamat? Tanda-tanda kiamat kecil sudah banyak berlaku seperti ramai golongan wanita daripada kalangan lelaki, terbinanya bangunan pencakar langit dan masing-masing ingin menyaingi ketinggian yang sedia ada di negara lain, banyaknya gempa bumi, banyak masjid dari jemaahnya (renungkan banyak masjid di Acheh tidak rosak sedangkan kawasan sekitarnya menjadi padang jarak padang tekukur), ayat al-quran hanya penghias dinding dan bukannya untuk dibaca dan diamalkan. Untuk bercerita pasal kiamat, mungkin masih lama lagi kerana tanda kiamat yang besar belum berlaku, mungkin tidak di zaman kita, atau anak kita atau cucu kita selagi ada manusia walau seorang sahaja yang menyeru nama Allah, Insya-Allah matahari tidak akan terbit dari barat. Tetapi siapa kita untuk mengintai rahsia Allah??


6. Pastinya ada pelbagai hikmah daripada musibah yang melanda. Musibah mampu mengeluarkan nilai-nilai ubudiyah doa yang selama ini terpendam. Musibah juga menggugah cinta kasih sesama manusia, semakin menyatukan rasa cinta kepada sesama manusia, dan saling mendoakan kepada yang sedang ditimpa, kerana sudah menjadi lumrah orang-orang merasa terpanggil untuk bertanggung jawab dan mencintai orang yang sedang ditimpa musibah dan mendapat ujian.


7. Musibah itu akan membukakan mata mereka kepada yang lebih besar kerana apa yang mereka lihat itu adalah kecil berbanding musibah lain yang lebih besar. Kemudian mereka menerima bahawa itu semua merupakan penebusan dosa dan kesalahan, sekaligus mendapat pahala dan ganjaran disisi Allah. Jika manusia menyedari bahawa semua ini adalah hasil yang boleh di petik dari musibah maka mereka akan menghadapinya dengan senang dan tenang.


8. Seperti mula-mula ombak Tsunami yang mengganas, kini keadaan telah kembali tenang. Begitulah kita manusia ini, akan cemas dan gelabah apabila sesuatu kejadian atau musibah terjadi ke atas diri atau di sekeliling kita. Kita akan melakukan apa sahaja untuk memulihkan keadaan kepada asalnya. Lantas apabila keadaan kembali tenang, kita akan menjalani kehidupan seperti biasa dan sedikit-sedikit kesakitan, kesusahan, kecemasan dan apa saja perasaan yang dialami pada mulanya, akan terus lenyap daripada diri dan ingatan. Begitulah juga dengan tsunami yang telah lama berlalu. Kesannya hampir tiada dan rutin membilang hikmahnya juga sudah beransur pergi. Maklumlah, mungkin kesan kesengsaraan yang dialami semasa ribut dan ombak Tsunami membadai dahulu kini semakin terhakis. Ingatan juga semakin terhakis detik demi detik. Semoga Allah menjaga tingkatan iman kita agar sentiasa bertambah setiap masa.


TERUSIK RINDU

Thursday, December 24, 2009 Posted by Azizah Aling

Hari ini 24.12.2009 semua pelajar PMR seluruh negara menerima keputusan masing-masing setelah bertungkus lumus menelaah pelajaran selama 3 tahun. Apa pun natijahnya, semoga kalian gembira dengan apa jua keputusan yang diperolehi dan jadikanlah ia sebagai pembakar semangat untuk terus menempa lebih banyak lagi kejayaan di masa akan datang.


Aku juga pernah melalui pengalaman yang sama seperti kalian, pengalaman yang manis dan indah (if I may put it in this word). Sejujurnya, bergelar penuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan (Agama) Naim Lilbanat, Kota Bharu, Kelantan adalah suatu kebanggaan buat diri aku. Itu idaman dan impian aku sejak berada di darjah 1 lagi. Kenapa? Kakak sulung (the only sister that i have anyway) merupakan pelajar di sana. Jarak umur kami selama 6 tahun menyebabkan kami agak berbeza latar pengalaman. Sewaktu kakak berada dalam Tingkatan 1, aku baru menjejakkan kaki ke darjah 1.


Kakak yang tinggal di asrama seringkali pulang ke kampung bercerita tentang keindahan hidup di sebuah sekolah agama yang mementingkan kedua-dua nilai hidup iaitu duniawi dan ukhrawi. Kisah kakak sentiasa mengusik hati aku, apatah lagi aku agak rapat dengan beliau memandangkan aku anak yang ke-2 dalam keluarga. Sedikit sebanyak, apabila setiap tahun bumi Naim kami jejaki saat menziarahi kakak dan melalui pembacaan majalah sekolah yang dikenali sebagai An-Naim dibawa pulang, ia menyuburkan jiwa aku untuk menjadi salah seorang penghuni di sana suatu masa nanti.


Mak selalu berpesan: kita bukan orang kaya.
Tiada apa yang mampu diberikan kepada anak-anak melainkan ilmu agama sebagai asas dan panduan untuk menjadi insan berguna kepada bangsa, agama dan tanah air. Hakikatnya, kami adalah anak-anak kampung yang datang dari latar belakang keluarga yang susah. Tapi aku punyai keyakinan bahawa kesusahan itu hanya berjaya ditebus dengan ilmu. Maruah diri akan mahal bukan dengan harta semata-mata, tetapi ia lebih mulia andai diri dihiasi akhlak dan budi pekerti mulia sebagaimana ajaran Nabi SAW.


Dengan tekad dan azam, aku berusaha dalam kepayahan untuk menempatkan diri di SMKA Naim Lilbanat, sekolah yang hanya menerima pelajar cemerlang atau Straight A's dalam UPSR. Zaman kami dulu, jumlah mata pelajaran untuk UPSR adalah 4 sahaja. Walaupun 4 subjek sahaja, tetap terasa kesukarannya kerana sumber rujukan hampir tiada kecuali buku teks yang dibekalkan pihak sekolah, itupun atas dasar bantuan. Apatah lagi kami sangat janggal dengan istilah tuisyen sebagaimana ianya dijadikan satu kemestian bagi anak-anak pelajar hari ini. Apapun aku tetap mensyukuri segala pemberian yang ditentukan Tuhan. Sesungguhnya, kesusahan itulah yang mengajar aku erti syukur dan sedar diri.


Alhamdulillah, berkat usaha dan bantuan guru-guru, aku berjaya meraih 4A dalam UPSR di sekolah rendah. Walaupun pelbagai tawaran untuk bersekolah di asrama penuh tiba ke pangkuan, semuanya tidak menarik minat. Apa yang ada di minda semasa penghujung tahun 1993 adalah aku ingin menjadi pelajar SMKA Naim, meneruskan legasi kejayaan kekanda tercinta demi mencari nilai agama untuk dijadikan bekalan diri sepanjang usia masih tersisa.


Alhamdulillah... Allah Maha Pemurah. Tawaran akhirnya aku terima dengan penuh kesyukuran. Bergelar pelajar SMKA Naim tahun 1994 adalah suatu pengalaman yang indah, hadiah kepada diri yang penuh kekurangan.


Di bumi Naim inilah aku diajar pelbagai perkara. AKu diajar makna berakhlak mulia, belajar agama, mengenal Allah, mempertautkan ukhuwwah dan bersilaturrahim sesama saudara dan pelbagai lagi. Aku sangat bersyukur. Nilai tambah kepada diri adalah asas ketaqwaan yang jitu dan teguh kepada DIA Yang Satu. Di sini, aku membina keyakinan, membina kemahiran dan kekuatan dalaman dan luaran. Azamku: aku mahu menjadi anak yang berjaya dan akhirnya mengembalikan kejayaan itu kepada agama dan bangsaku yang dicintai.



Tahun 1996 - tahun yang sangat menggusarkan kerana kami akan menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah. Satu peperiksaan yang besar untuk sejarah peribadi. Alhamdulillah aku berada di kelas pertama dalam 5 kelas yang ada sewaktu itu. Ummu Aiman, Ummu Habibah, Ummu Kalthom, Ummu Salamah dan Ummu Umarah. Kelas kami mempunyai seramai 33 orang pelajar. 8 orang sahaja yang mendiami ASPURINA (Asrama Puteri Naim) dan selebihnya mereka adalah pelajar harian yang berulang alik ke sekolah kerana tinggal berdekatan dengan sekolah. Tetapi sebenarnya 70% daripada pelajar di SMKA Naim memilih untuk menjadi penghuni asrama kerana aktiviti yang diadakan selepas waktu persekolahan lebih bermakna dalam mendidik sahsiah pelajar.



Kami tidak kenal makna tuisyen. Tumpuan diberikan sepenuhnya di dalam kelas sepanjang sesi persekolahan bermula seawal jam 7.40 am - 2.50 pm, kemudian menunaikan solat zohor berjemaah dan kembali ke kelas persediaan (preparation class) jam 3.30 pm sehingga jam 5.00 pm. Seterusnya kami diwajibkan untuk solat Asar juga secara berjemaah dan kemudiannya kami beriadhah sebelum menanti untuk solat berjemaah Maghrib dan Isya' di Masjid sekolah.


Penghujung tahun 1996 menyaksikan sekali lagi sejarah tercipta apabila sekolah kami muncul sebagai sekolah terbaik dalam pencapaian kecemerlangan dalam PMR, menewaskan MRSM Pengkalan Chepa dan SMS Tengku Mohamad Faris Petra (yang terkenal pada waktu itu).


29 daripada 33 orang pelajar dalam kelas kami memperolehi 9A dalam semua mata pelajaran dan aku salah seorang daripada mereka. 86 orang yang lain dari kelas berbeza memperolehi pencapaian 8A dan selebihnya 7A. Pihak media bertandang ke sekolah kami dan akhirnya wajah aku dan teman-teman lain dirakamkan sebagai pelajar cemerlang dan keesokan harinya muka yang lemah ini muncul di kaca TV dan menghiasi dada-dada akhbar.


Alhamdulillah. Jauhkan kami daripada rasa riya' dan ujub Ya Allah. Hakikatnya, kupersembahkan kejayaan ini buat bonda tercinta yang terlalu banyak berkorban untuk membantu aku mencapai kecemerlangan. Pengorbanannya penuh kepayahan. Namun dalam kepayahan itulah Allah memberikan ganjaran dan kurniaan yang tak ternilai. Tanpa tuisyen, tanpa buku rujukan mahal, tanpa alatan canggih, kita juga mampu menempa kejayaan asalkan kita punya keinganan yang tulus diiringi kegigihan dan usaha.


Segala puji dan syukur hanyalah milik-Mu Ya Allah. Ini hadiah buat ibu yang banyak berjasa. Tak terbalas jasanya yang mengasuh dan mendidik aku sehingga aku kuat menempuh lorong waktu yang panjang berliku.


(Nanti aku akan sambung kisah ini apabila masa yang sesuai tiba - bagaimana aku melalui hari-hari di bumi Naim di Tingkatan 4 dan 5 sebelum aku melangkah ke universiti).

Doa setiap pagi di padang perhimpunan sekolah walaupun hanya 5 minit.


Masjid - pusat riadhah dan halaqah dan tempat kami berkhalwat mencari damai di hati.




RINDU DI KALBU

Thursday, December 24, 2009 Posted by Azizah Aling

Kuala Lumpur - senyumanmu, di pagi ini..




Senja melabuhkan tirai


AZAN

Thursday, December 24, 2009 Posted by Azizah Aling


Laungan azan di kala dinihari yang lemak sedap membuai jiwa yang tandus dan hampir mati pastinya akan memberikan kesan yang mendalam kepada sesiapa sahaja yang mendengar. Laungan azan itu bisa menghidupkan hati dan menyegarkan semangat yang tidak bermaya. Waktu itulah jiwa yang alpa dan lalai akan terkesan akibat terlalu taksub dengan keseronokan dunia.



Bagi aku, azan adalah sejenis lagu yang dikumandangkan untuk memberitahu, untuk berdakwah bahawa inilah keindahan muzik dalam Islam. Azan bukan sahaja membesarkan Allah, memperakukan kerasulan Nabi Muhammad SAW tetapi juga membawa mesej kemanusiaan yang jitu.



Lagu azan bukan sekadar satu ritma, satu melodi, tetapi ia suatu goncangan hati dan kesedaran untuk iman yang luar biasa. Ia akan dirasai oleh hati yang tidak ditutup oleh dunia dengan keseronokan semata-mata.



Hayya 'alal falah ~ Marilah menuju kejayaan. Kejayaannya begitu banyak diungkapkan dalam Al-Qur'an. Orang yang berjaya adalah orang yang melakukan tazkiyyah diri, berzikir dan mendirikan solat.



Jika rapat dengan Allah, akan diberi banyak kelebihan, kekuatan dan ujian. Tetapi jika jauh daripada Allah nescaya jiwa akan dinestapakan. Tetapi ada juga kalanya mereka yang jauh daripada Tuhan itu diberi macam-macam kelebihan (seperti iblis dan syaitan). Itu kerana Tuhan mahu mereka terus alpa dengan kejauhan lalu tidak bertemu jalan kebaikan lagi selama-lamanya. Itulah yang disebut sebagai istidraj sebagaimana termaktub dalam Surah Al-Baqarah ayat 10, Dalam hati mereka ada penyakit, dan Allah tambahkan penyakit kepada mereka itu.



Ya Allah, limpahkanlah kami dengan hidayah yang berpanjangan. Jangan tinggalkan kami berseorangan dalam melunaskan tugas dan tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi ini.

SOLAT

Wednesday, December 23, 2009 Posted by Azizah Aling

Kembara hati menuju Illahi


"Dan kalian mintalah pertolongan dengan kesabaran dan solat, dan sesungguhnya (solat itu) sungguh besar dan berat kecuali bagi orang-orang yang yang khusyuk (tunduk hatinya kepada Allah)"
~Al-Baqarah : 45~



Berdoalah jangan putus. Pertolongan Allah pasti datang dalam bentuk yang tidak terduga.



Duhai anak, teruslah berdoa..



"Bukan kita hidup mencari puji, bukan pula supaya kita paling atas di dalam segala hal. Meskipun itu tidak kita cari, kalau kita menjaga kebersihan, kita akan dihormati orang juga". Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w: "Perbaguslah pakaianmu, perbaiki tunggangan (kenderaan) mu, sehingga kamu laksana sebutir tahi lalat di tengah-tengah pipi, di dalam pergaulan dengan orang banyak". Pak HAMKA.


1. Entri ini aku tulis kerana aku kecewa dengan beberapa individu di sekeliling yang meremehkan solat. Mulut ini belum lagi lantang dengan teguran yang berhikmah, baru sekadar menyampaikan isyarat bahawa aku tidak selesa dengan pilihan untuk tidak bersolat walaupun masa dan ruang yang ada sangat terbuka luas untuk terus mengabdikan diri kepada Pencipta.


2. Janganlah mendabik dada menyatakan kebanggaan kerana tidak bersolat. Bagi aku, golongan ini aku sifatkan sebagai si bakhil dan si tolol. Tidakkah kita malu, kita menumpang di bumi DIA dengan pelbagai kenikmatan namun kita tidak mahu mensyukuri segenap pemberian dengan penuh rasa sifat kehambaan. Kalau janji dengan Yang Maha Tinggi tidak tertunai, aku beranggapan janji dengan manusia juga kamu tidak mampu langsaikan dengan sebaiknya. Andainya ketaatan terhadap Tuhan belum diletakkan di tangga teratas, aku tidak dapat membayangkan kemungkiran kecintaan dan kasih sayang di antara kamu dengan sesama makhluk Tuhan, tentunya berada di tahap terbawah dan langsung tidak memberikan makna apa-apa.


3. Memilih untuk tidak bersolat bermakna memilih untuk tidak menghormati diri sendiri. Andainya kita mampu menyediakan masa berjam-jam di hadapan komputer melayari internet, berbual kosong dan pelbagai lagi rutin yang menyiakan, apalah salahnya andai dimanfaatkan barang 20 minit untuk menjadi tetamu DIA, berkomunikasi dan bercerita dengan DIA yang sentiasa mencurahkan nikmat, rahmat dan kasih sayang segenap masa? Apakah kita terlalu bongkak untuk tunduk dan sujud, menyatakan sepenuh kecintaan buat DIA yang memiliki setiap hati?


4. Andai kamu seorang wanita, tidakkah ada simpati pada bakal zuriat yang dikandung nanti bahawa dia menumpang di rahim ibu yang sangat bongkak dan tolol kerana keengganan untuk bersujud dan patuh kepada Yang Maha Kuasa? Andai kamu belum berkahwin, tidakkah kamu malu untuk memegang status sebagai anak sunti yang takbur dengan segala nikmat-NYA yang mengurniakan kamu keperawanan yang mulia di sisi agama? Andainya kamu seorang lelaki, tidakkah kamu malu bahawa status kamu sebagai pemimpin yang dipandang tinggi oleh anak-anak dan isteri adalah seorang yang zalim kerana keengganan untuk bersujud dan tunduk kepada Illahi? Tepuk dada, tanyalah iman. Lorong mana yang menjadi pilihan. Apakah denai yang sarat dengan semak samun yang ingin diredahi atau jalan lurus yang penuh cahaya Rabbul Izzati menjadi pilihan hati? Pilihan di tanganmu.
HIKMAH SOLAT

1. Mengingati Tuhan, pencipta alam


Ibadah solat akan mengingatkan seorang hamba kepada penciptanya iaitu Allah. Firman Allah s.w.t dalam surah Toha ayat ke-14 yang bermaksud: "Dan dirikanlah solat untuk mengingati-Ku."
Ingatan kepada Allah akan menimbulkan perasaan takut dan tunduk serta taat kepada-Nya. Ia juga akan menimbulkan perasaan mengagungkan dan membesarkan-Nya dengan sepenuh hati tanpa ada tandingan lagi.



2. Menghalang perbuatan keji dan mungkar


Solat akan menjadi penghalang kepada perlakuan buruk dan keji. Firman Allah dalam surah Al-Ankabut ayat 45 yang bermaksud: "Dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah dari angkara keji dan perbuatan durjana, dan sesungguhnya mengingati Allah itu adalah lebih besar (faedah dan kesannya), dan (ingatlah) Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan." Dengan mengadap Allah sekurang-kurangnya lima kali sehari semalam akan menimbulkan rasa kehebatan, kebesaran dan keagungan Allah serta merasa gerun dan takut terhadap kemurkaan-Nya. Sebetulnya, ia sudah cukup untuk menjadi pengawal kepada segala kejahatan dan pencegah kepada segala jenis kemungkaran.



3. Melahirkan ketenangan jiwa

Solat mampu melahirkan ketenangan jiwa, ketenteraman fikiran, menjadikan hati tabah dan ampuh menerima segenap inci cubaan, damai lagi pemurah. Firman Allah dalam surah Al-Ma'arij ayat 19 hingga 23 yang bermaksud: "Sesungguhnya manusia itu diciptakan bertabiat keluh kesah (lagi kikir). Apabila dia ditimpa kesusahan, dia sangat berkeluh kesah, dan apabila dia beroleh kesenangan, dia amat kikir, kecuali orang-orang yang bersolat, yang adalah mereka itu terus berkekalan melaksanakan solat mereka itu."


Andai kalian tidak percaya, cubalah. Tersingkap segala kegusaran dalam hati. Akhirnya, dapat dirasai bahawa saat yang paling indah adalah apabila dapat bersujud dan memuji keagungan Allah, jiwa merasai nikmat ketenangan yang meresap ke dalam relung hati yang paling dalam. Terasa bagaikan dipeluk dan disayangi.



4. Mendidik akhlak mulia

Perbuatan dan bacaan dalam solat mampu mendidik dan mengasuh seseorang untuk berakhlak mulia seperti ikhlas, bersopan santun, baik tutur kata dan menjaga maruah diri. Akhlak sebegini secara tidak langsung memberi rasa malu kepada seseorang itu untuk mendedahkan aurat di khalayak ramai yang kadangkala seolah-olah seperti bertelanjang sekalipun mengenakan pakaian.

EXTRADITION

Wednesday, December 23, 2009 Posted by Azizah Aling

Kebelakangan ini ramai yang mula bertanya apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan ekstradisi atau lebih dikenali sebagai "Extradition" di kalangan pengamal undang-undang. Isu ini timbul apabila pihak PDRM ingin membuat permohonan ekstradisi terhadap seorang rakyat Malaysia yang dikatakan kini berada di Negeri Orang Putih.

Ini fenomena biasa rakyat negara ini. Apabila wujud suatu isu baru, istilah baru akan muncul dan masyarakat kebiasaannya akan mengambil kisah kerana tidak mahu ketinggalan dalam arus perbincangan.


Mengikut tafsiran kamus undang-undang Oxford, edisi 5, di muka surat 181:

EXTRADITION: bermaksud The surrender by one state to another of a person accused of committing an offence in the latter. Extradition from the UK relates to surrender to foreign states and is governed by the Extradition Act 1989. There must be an extradition treaty between the UK and the state requiring the surrender. The offence alleged must be a crime in the UK as well as in the requesting state, it must be both covered by the treaty and within the list of extraditable offences contained in the Act itself, and it must not be of a political character.


Maksudnya begini:


1. Jika (A) didapati melakukan kesalahan di negara kita (walaupun belum disabitkan oleh Mahkamah tetapi ia mempunyai merit), kemudiannya (A) melarikan diri ke luar negara e.g. UK, pihak berkuasa tempatan boleh memohon dengan pihak pentadbiran UK untuk mengembalikan semula (A) bagi menjalani proses keadilan selanjutnya.


2. Terdapat syarat yang perlu dipatuhi. Negara kita dengan UK hendaklah mempunyai satu Perjanjian (dikenali sebagai Treaty) dan mempunyai terma-terma tertentu yang dipersetujui kedua-dua pihak. Treaty sangat penting kerana ia menggambarkan kesalingan kedua-dua buah negara untuk terikat dengan perjanjian dan mematuhinya apabila diminta.


3. Kesalahan yang dikatakan dilakukan di negara kita hendaklah juga merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang UK.


4. Sekiranya semua syarat dipatuhi, maka ekstradisi boleh berlaku dan (A) secara sah akan dikembalikan ke negara ini bagi menjalani apa-apa proses mellibatkan perundangan negara.

SELAMAT MELANGKAH KE ALAM BARU

Tuesday, December 22, 2009 Posted by Azizah Aling

Marriage is not about finding perfection. It is not about looking for above expectation. It is about complimenting each other and filling all the gaps to reach the utmost happiness.


Ayah Su dengan Maksu Na



Suhail dan Nadzifa



Alan dan Lid


"Sesungguhnya apabila suami menatap isterinya dan isterinya membalas pandangan (dengan cinta dan kasih), maka Allah menatap mereka dengan pandangan kasih sayang dan jika suami membelai tangan isterinya, maka dosa mereka jatuh berguguran di celah-celah jari tangan mereka."

(Diriwayatkan oleh Maisarah bin Ali dari Abu Said Al-Khudri).

Semoga rumahtangganya kekal sakinah, dilimpahi mawaddah dan rahmat. Amin.

ANECDOTE 1

Monday, December 21, 2009 Posted by Azizah Aling

Sepanjang Jalan Kenangan

I've been here in 2007


Khamis dan Jumaat lepas, aku berada di Seri Manjung atas urusan tertentu. Kebiasaannya di sebelah pagi meneruskan rutin hari cuti, aku akan ke pasar. Sudah hampir setahun setengah aku meninggalkan Manjung dan Pantai Remis untuk menyambung tugas di Putrajaya.



Pakaian aku sangat selekeh untuk ke pasar sebab aku tak mahu sesiapapun dapat mengecam aku (berhati-hati berdasarkan pengalaman lalu). Aku pakai kain batik dengan T-Shirt lengan panjang lusuh dan tudung mak aji. Dulu kalau nak pergi pasar pun, mesti pergi masa orang tak ada, kena pilih masa. Kekangan kerja yang menyebabkan aku rasa nak meronta-ronta. Susah nak bawa diri bila sepanjang masa sentiasa bersendirian. BORING.



Masa nak beli ketam dan udang (my favourite), aku tanya berapa harga yang adik penjual ni nak bagi. Sekali dia cakap macam ni: "Eh, macam kenal la. Akak kerja di Mahkamah kan. Kakak ni lah yang bagi penjara kat saya hari tu. Akak ingat tak kes dadah tu. Sekarang saya dah lepas. Saya insaf aaa kak.. Terima kasih la hukum saya. Takpe, saya bagi akak setengah harga jekk. Akak nak berapa kilo?"



Hah???? Aduhai.. aku terus tinggalkan stall dia dengan terpinga-pinga. Susahnya.. Terus tak jadi beli, dan ia telah memaksa aku ke tempat lain. Aduhai, mana la aku ingat muka hangpa.. Bukan ada satu kes dalam sehari, apa lagi kes kamu dah makan tahun. Mana la nak ingat. Berapa ramai tertuduh datang setiap hari. Ingatkan dah lama tinggalkan Manjung dan Pantai Remis, aku dah boleh berasa BEBAS setiap kali aku ada hal di sana. Rupanya belum. Tak apa, aku akan bagi masa. Kalau aku pergi lagi 5 tahun dari sekarang, hangpa dah tak cam aku sebab aku dah tua masa tu (maknanya aku masih muda la sekarang ni).. ha ha ha..

FRIENDSHIP

Monday, December 21, 2009 Posted by Azizah Aling

Friend is unnecessary.. like philosophy, like art. It has no survival value, rather it is one of those things that give value to survival.



Semoga Cepat Sembuh, Sahabatku..

Saturday, December 19, 2009 Posted by Azizah Aling

Di sebelah petang, bertolak ke Darussyifa', Bangi. Bahagian muka di sebelah kiri tidak dapat berfungsi dengan baik. Mata kiri tidak boleh ditutup, mulut juga tidak boleh tersenyum dan butir bicara yang dilontarkan juga tidak jelas bunyinya.



Di sebelah pagi, kami membawa sahabat ke Kolam Air Panas di Selayang. Hasrat kami cuma satu: mudah-mudahan saraf yang gagal berfungi boleh dilonggarkan dengan siraman air panas dan mengurangkan sakit yang dialami.



Orang lain tidak sampai hati menyiram tubuhnya dengan air panas. Tapi aku terpaksa menggagahkan hati memandikan dia. Aku bukan mahu bertindak kejam. Aku cuma mahu kamu sembuh. Maafkan aku sahabat!!





Hampir satu jam sahabat kami dimandikan. Sepanjang satu jam itulah dia menangis dan menjerit. Alhamdulillah, natijahnya memberangsangkan walaupun perit.



Sepanjang aku berada di Kuching menjalankan tugasan rasmi, tidak seorang pun daripada teman-teman memberitahu tentang sakit yang dialami oleh Aidah. Tidak mahu mengganggu konsenstrasi aku barangkali. Tapi, bila dikhabarkan tentang penyakit beliau dan meminta aku mendoakan kesejahteraannya, hati aku berasa ganjil. Aku mendengar tangisan kecil di hujung talian dengan jelas. Dari UM, aku terus menukar arah pemanduan ke Taman Permata, Ampang.


Sampai di sana, hati digamit sendu melihat sahabat yang selalu menceriakan kami apabila berkumpul terbaring kesakitan. Tiada lagi gurau senda, tiada lagi hilai tawa, tiada lagi usikan nakal menceriakan suasana. Aku sedih tapi aku sembunyikan kesedihan agar tiada sesiapa pun tahu. Aku tidak suka orang sekeliling tahu aku larut dalam kesedihan walaupun hatiku pilu.


Bayangkan dalam masa beberapa hari mata temanku tidak boleh berkelip. Kalau mahu berkelip, ia mesti digerakkan dengan tangan. Kalau mahu tidur, mata harus ditutup dan ditampalkan dengan alat penampal. Air juga tidak boleh diminum menggunakan straw kerana tidak mampu disedut. Pipi membengkak dan jatuh ke bawah. Beratnya ujian, beruntungnya dikau wahai teman dipilih Tuhan untuk diuji. Ujian datang untuk menguji sabar dan syukur dan sebagai penghapus dosa agar nanti kita kembali bertemu DIA dalam keadaan suci bersih di kemudian hari kelak.


Tidak berpuas hati dengan rawatan yang diberikan di sebuah Hospital Kerajaan yang sangat teruk di pandangan mata aku, kami membawa beliau ke Pusat Pakar Damai. Doktor mengesahkan bahawa temanku mengalami masalah saraf. Allahu akbar. I would rather conclude it as having a "mild stroke". Cuma dibimbangi sakit pada saraf itu akan menjalar ke bahagian otak, kerana ia boleh melumpuhkan sebahagian badan. Sabar Aidah, sikit sahaja ujian itu jika dibandingkan dengan mereka yang lagi teruk menderita di tempat lain.


Aku bawa temanku ini makan, alhamdulillah beliau boleh menjamah makanan. Sejujurnya selepas pulang, minda aku tidak diam berfikir dan mencongak apa yang patut aku bantu. Yang pasti, aku tidak akan membiarkan kamu bersendirian mengharungi dugaan ini sahabat. Ujian untukmu bererti ia juga ujian untuk aku dan teman-teman kita yang lain. mungkin di bibir aku kamu tidak akan mendengar betapa aku menghargai ukhuwwah yang telah terjalin sejak kita berumur 13 tahun, sejak kita di bangku persekolahan. Tapi, di hati aku Tuhan tetap tahu betapa aku sayangkan ukhuwwah ini. Aku terlelap barangkali kira-kira jam 3 pagi. Jam 5 pagi aku sudah bangun sebagaimana rutin aku yang biasa.


Awal pagi, usai solat subuh kami semua bertolak ke Kolam AIr Panas di Selayang. Hampir 1 jam setengah kami luangkan masa di sana. Tujuannya cuma satu: kami mahu mandikan dia dengan air panas agar saraf yang bermasalah dapat dikendurkan barang seketika. Hampir satu jam kami memandikan dia, meminta dia bertahan dengan suhu air yang agak panas. Kami bergerak ke kolam yang ke-2 terpanas dan asapnya sentiasa berkepul-kepul memecah ruang udara. Alhamdulillah, ada perubahan pada diri beliau. Sekurang-kurangnya dia berasa sedikit lega dan dapat tidur dengan lena kemudiannya.


Di sebelah petang, kami bawa dia ke Darussyifa'. Apa juga ikhtiar yang boleh dilakukan, kami akan cuba laksanakan, asalkan dia beroleh kesihatan yang baik dan dapat kembali menyambung tugas serta rutin harian sebagaimana biasa. Pesan ustaz juga sama agar temanku kerap melakukan fisioterapi. Mudah-mudahan dia dapat pulih dengan baik dan kembali seperti asal.


Temanku, harapanku cuma satu. Semoga kamu cepat sembuh. Jangan putus berdoa. Kita ada senjata paling berharga iaitu doa. Jangan putus asa dengan rahmat Allah. Allah menguji tanda sayang, maka syukurilah. Ujian datang sebagai peneman di jalan kehidupan. Bersama-sama kita mohon pertolongan daripada Allah dengan sabar dan solat. Aku tiada emas permata untuk diberikan. Tapi aku ada doa untuk kamu. Bersabarlah. Semoga cepat sembuh!!




EID MILAD SAE'ID

Friday, December 18, 2009 Posted by Azizah Aling

An-Nabawi - Cintaku tertinggal di sini.


Semasa kami tiba, bandar Madinah Al-Munawwarah agak lengang kerana kami sedang berada di musim panas. Suhunya telah pun menjangkau 40`c. Tapi air zam-zam yang diletakkan di segenap ruang sangat membantu membasahkan tekak, menghilangkan haus.


Marmar di luar An-Nabawi inilah yang menjadi "ubat" untuk aku. Ziarah Bandar Madinah di hari kedua. Ke manapun kaki melangkah, An-Nabawi sangat dekat di hati. Lebih-lebih lagi alunan merdu ayat-ayat Allah oleh Imam Sheikh Misyari Rashid Al-Afaasy yang merupakan Imam masjid An-Nabawi menjadi kegemaranku sejak di bangku sekolah. Bacaan Al-Qur'an yang mengusik jiwa dan mengetuk hati yang keras seperti batu.



Aman.. Damai.. Tenteram..
(Gambar yang menghiasi "muka depan" komputer riba aku sejak sekian lama.)




Jannatul Baqi'.. Taman Syurga. Ramai jasad para sahabat disemadikan di sini. Kaum hawa tidak lagi dibenarkan menziarahi Al-Baqi' atas alasan yang aku kira sangat munasabah.



An-Nabawi dari bilik hotel.



Sayu..



Selamat datang tahun baru Hijrah. Hari ini genaplah 1431 tahun Nabi Muhammad SAW melakukan penghijrahan dari Kota Makkah ke Kota Madinah. Kota Suci yang terkandung tamaddun Islam yang sangat cantik, unik, mulia dan penuh kisah suka duka seorang kekasih Allah.


Terkenang kembali saat menjejakkan kaki ke Kota Madinah tahun lalu. Laju air mata mengalir membasahi pipi, apatah lagi perjalanan yang jauh itu diharungi bersendirian. Mulut bagaikan terkunci rapat melihat Kubah Hijau di Masjid Nabawi, tempat di mana jasad insan agung bersemadi. Tuhan sahaja yang tahu apa yang bermain di benak aku saat itu. Indahnya An-Nabawi. Hebatnya panas marmar yang mengelilingi masjid dan indahnya susunan Jannatul Baqi'.


"Assalamualaikum Ya Rasulullah. Aku datang menjadi tetamumu wahai Rasulullah. Aku terlalu rindukanmu wahai kekasih Allah. Kau pemilik cintaku setelah Allah. Terima kasih kerana menunjukkan kami jalan yang lurus, jalan yang diredhai Tuhan sepanjang zaman."


Kalau diperhatikan, susun atur bangunan di Madinah agak rapi jika dibandingkan dengan Makkah Al-Mukarramah. Malahan disyaratkan bahawa apa juga bangunan yang ingin didirikan, ketinggiannya tidak boleh melebihi menara Masjid itu sendiri. Sebab itu, jika kita berdiri di mana-mana pun, kita akan dapat melihat mercu Masjid An-Nabawi. Itulah uniknya tamaddun.


Kali ini Tahun Baru Hijrah tiba lagi, mengingatkan semua umat manusia bahawa perjalanan kita semakin jauh dan semakin menghampiri titik akhir. Semoga pengakhirannya bagus-bagus belaka. Harapanku setinggi langit agar segala sengketa sesama negara Islam yang sering bergolak dan menjadi musuh dalam selimut dapat dileraikan. Kita mesti bersatu demi kemuliaan agama dan memulihkan kembali martabat agama yang dicalari tangan-tangan rakus. Kita kuat sekiranya kita bersatu sekalipun latar belakang kita berbeza. Kita ketepikan keegoan masing-masing demi kesejahteraan agama yang suci daripada terus diperlekehkan oleh zionis dan puak-puak lain yang sangat gilakan "dunia".


Menjadi impian aku untuk terus menyaksikan umat di negara ini mengamalkan ajaran Islam dengan baik dan tidak menggadaikan kesucian agama demi kuasa yang sementara. Kuasa bukanlah satu tasyrif (kemuliaan) tetapi ia suatu taklif (tanggungjawab). Jangan nanti kita tidak mampu mempersembahkan jawapan saat pertanyaan dilontarkan para malaikat akan tanggungjawab yang terpikul di bahu, setakat manakah ia ditunaikan. Kita diberi pinjam dengan kuasa yang sementara untuk menguji sejauh mana kemampuan kita mensyukuri kelebihan yang diberikan. Ia bukan untuk dibangga-banggakan sehingga orang lain dipandang kecil, meremehkan yang lemah dan meninggikan darjat mereka yang berharta.


Kau lindungi aku dan semua saudaraku ya Allah. Kau pimpinlah kami ke jalan yang lurus. Jadikan kami hamba yang kekal berdoa memohon rahmat dan maghfirah daripada-Mu. Jangan jadikan hati kami terlalu terikat dengan dunia sehinggakan kami lupa untuk beramal mengumpul bekalan untuk kami gunakan di sepanjang penghidupan kami di alam baqa'. Kau limpahkan rahmat kepada kami, berikan kami kesatuan yang jitu agar kami dapat saling membahu gagah menentang musuh-musuh-MU ya Allah.