Ahlan Wa Sahlan Wa Marhaban Ya Ramadhan.
Pelbagai perkara berlaku di Malaysia mutakhir ini yang boleh kita jadikan renungan. Pembuangan bayi yang sepertinya tidak mahu berkesudahan, bersekedudukan tanpa 'aqad yang sah, maksiat yang kian bermaharajalela, kes-kes jenayah yang semakin meruncing saban hari sekalipun tidak dilaporkan di media massa. Soalan menerjah benakku: sama ada manusia di akhir zaman ini sudah hilang sifat kasih dan sayang, sifat belas dan ihsan, sifat tawadhu' dan rasa kehambaan? Apakah kita mahu hidup dalam dunia yang penuh konflik, kaya dengan sifat kebencian dan pertelingkahan?
Aku termenung sendiri mengenangkan nasib bangsa dan agama suci ini di kemudian hari. Meniti batas masa dengan ujian daripada DIA, apakah ummat akhir zaman mampu menongkah arus dan bangkit menjadi ummat yang kembali menyinar dan gemilang? Aku berkesempatan bertemu sahabat. Dalam ulas bicara dia berpesan, "ini semua musibah Tuhan di atas kelalaian manusia. Apabila musibah turun, semua orang akan turut terkena tempiasnya. Tapi jangan merungut kerana inilah ujian yang mampu menghapus dosa kita saat kembali bertemu Dia, dengan syarat kita jangan merungut dengan kepayahan ini.." Aku terkedu sendiri..
Seorang teman baik bertanya kepadaku: “Zah, sudah bersedia untuk berpuasa di bulan Ramadhan?” Aku jawab setulus mungkin, “Saya sudah bersedia. Saya menanti Ramadhan bagaikan seorang perindu yang merindui cinta hatinya yang telah lama menghilang..” Lama kami berkongsi kisah. Bukan apa, aku mahu selitkan dunia DIA yang Maha Kuasa untuk dibandingkan dengan apa yang kita lakukan sepanjang tempoh mengembara di bumi yang dipinjamkan DIA kepada kita.
Adat kayu berdiri tegak
Tegak berdiri besar bertambah
Adat Melayu bersendi syarak
Syarak bersendi ke Kitabullah.
Pahat mana yang kita pegang
Pahat besi bergagang kayu
Adat mana yang kita pegang
Adat jati orang Melayu.
Urat mana yang kita cencang
Urat kayu di tengah laman
Adat mana yang kita pegang
Adat Melayu zaman berzaman.
Berjuanglah teman-teman dalam mencari hidayah Tuhan. Hanya jasad pejuang yang akan mati, namun semangat dan perjuangannya akan terus hidup. Moga Allah redha terhadap usaha kita yang sedikit ini. Sekalipun laluan kita tergelincir dan jatuh, yang penting, kita sedar kita jatuh. Jadi, bolehlah kita bangun. Islam itu mudah. Mulakan dengan sebaik mungkin. Kalau tidak terdaya tidak mengapa, Allah tahu kekuatan kamu asalkan usaha benar-benar dijana.
Tidak sabar mahu menyambut ketukan Ramadhan di pintu rumah. Aku benar-benar rindukan suasana hening, bening dan pastinya Ramadhan akan kusambut dengan linangan air mata bersama sebahagian ahli keluarga di Petaling Jaya nanti. Sementelahan pula kesihatanku agak meruncing sejak akhir-akhir ini. Itu juga kasih sayang Tuhan. Terima kasih Ya Allah. Semoga Allah masih memberikan kesempatan buat diriku dan kalian semua untuk kesekian kalinya bertemu Ramadhan. Semoga Ramadhan kali ini penuh dengan makna. Ya Allah, bukakanlah pintu rahmat seluas-luasnya buat kami.
Ramadhan - Kehadirannya sangat dinantikan. Bulan penuh rahmat, keampunan dan pelepasan seksa neraka ini adalah peluang untuk bermuhasabah dan memperbaiki diri. Besar kemungkinan kalau tiada bulan khas ibadah sebegini, sepanjang tahunlah manusia diselubungi kealpaan. Dalam banyak ceramah, selalu diceritakan kisah-kisah nabi dan sahabat yang menempuhi ujian dan cabaran dalam bulan Ramadhan. Tarbiyyah rohani inilah yang mendidik jiwa para pejuang menjadi kental dan tabah.
Agak-agak sanggupkah kita bermusafir di bawah panas terik matahari, dengan tiupan angin yang membawa debu, sambil memikul senjata dan memacu kuda, lalu berperang di siang hari? Tepuk dada, tanyalah iman. Erti hidup pada memberi dengan sebanyak-banyaknya, bukan menerima dengan sebanyak-banyaknya. Ayuh sahabat, kita terus-terusan memberi apa yang kita mampu dalam bulan Ramadhan ini sebagai tanda syukur kepada Yang Maha Memberi dan sebagai tanda kasih kepada insan yang diberi. Memberi dengan kasih sayang, insya Allah akan hadir kepuasan dalam jiwa. Kepada semua, selamat menyambut Ramadhan dan hayatilah ia sementara kesempatan masih dikurniakan. Moga Allah memberkati usaha kita. Maaf dipinta atas segala kesilapan lalu yang aku lakukan dalam sedar ataupun tidak. Aku hamba yang kerdil dan lemah. Mohon doa semua agar aku diberikan kekuatan meneruskan perjuangan kekasih-Nya.
Al-faqirah Ilallah
~Azizah Aling~
3 comments:
Selamat berpuasa.. :)
selamat berpuasa zah. moga bulan penyucian jiwa ini bg seribu makna dan penghayatan. hanya setahun sekali..jgn lepas kan peluang. insyaallah buat yg terbaik
p/s : nnt ada masa buka posa ramai2. hehe
Rabi: Selamat berpuasa kembali. Ramadhan Kareem.
Pooh: Selamat kembali untukmu sahabat. Nanti jemputlah bertandang ke rumah. Kita makan sama-sama. Hamba masak apa juga yang kawan-kawan mahu.
Post a Comment