Lakukan Yang Terbaik Selagi Ada Ruang!

Monday, August 23, 2010 Posted by Azizah Aling

Cepat sungguh waktu berlalu. Macam baru sehari dua Ramadhan mengetuk pintu rumah. Tup tup hari ini kita semua sudah berada di 13 Ramadhan 1431 H. Ramadhan sudah beransur-ansur menghampiri penghujung. Andai dapat ditekan "BRAKE" kaki dan tangan, mahu rasanya aku menekannya agar Ramadhan berlabuh dengan lebih lama.

Itulah hakikat yang menunjukkan bahawa bumi sudah terlalu tua. Apatah lagi seluruh isi alamnya. Pun begitu, sedarkah kita bahawa apakah pada setiap detik yang berlalu itu sudah kita manfaatkan dengan hal-hal yang menimbulkan kebaikan? Jika belum, eloklah kita perkemaskan jadual kehidupan. Hendaknya jadual itu diisi dengan segala keperluan yang masih jauh ketinggalan. Rezeki - Harta - Ajal - Umur adalah hak-NYa. Dia berhak mengambil pada bila-bila masa dan pada bila-bila waktu dalam suratan takdir-Nya.

Waktu tidak pernah menanti kita. Kerana itulah kita mesti bersiap sedia mengisi setiap detik dengan segala yang perlu. Bukan dengan segala yang kita mahu mengikut tuntutan nafsu. Bukankah kita dicipta kerana DIA? Sudah lengkapkah kesyukuran dan balasan baik kita persembahkan untuk-Nya pada setiap waktu yang singgah ke dalam kehidupan kita sehari-hari? Dalam soal ini, kita tiada hak untuk menjawab bagi pihak orang lain. Melainkan, tepuk dada... tanyalah iman. Andai kurang, tambahkanlah yang terbaik.

Dalam usaha untuk memulakan sesuatu yang baru, tidak pernah ada istilah terlambat. Yang penting adalah kesedaran dan usaha. Sebagai contoh, andai dalam masalah solat dan ibadat wajib ada kekurangan, maka berusahalah kita mencari jalan untuk menambahkan mana yang kurang. Sesungguhnya memang fitrah manusia untuk mencari segala sesuatu mengenai Penciptanya (iaitu Allah). Sebab itulah, tatkala sudah punyai kesedaran, janganlah dilalaikan dengan urusan dunia yang tidak pernah mahu habis. Berusaha untuk memperbaiki kekurangan. Dasari dengan ilmu pengetahuan. Inilah pesanan buat diri sendiri yang sangat dan terlalu hina di sisi DIA. Aku benar-benar hamba yang lemah Ya Allah.

Apa yang kutahu, ada suatu kebahagiaan mengenai ilmu pengetahuan. Semakin dicari, digali dan dipelajari, rupanya semakin banyak yang aku tidak tahu. Tatkala bertemu titik hikmah dalam menuntut ilmu, aku menjadi terlalu malu dengan-Mu Tuhanku.

Memenuhi kehendak untuk mengisi kantung ilmu pengetahuan memang banyak kaedahnya. Namun, ia mestilah dilakukan secara berhati-hati agar dapat bertemu dengan segala yang bersifat murni dan tulen. Jangan menyimpan harapan untuk cepat pandai sehingga tergadai keimanan akibat menggunakan jalan pintas yang salah. Menerapkan ilmu pengetahuan yang sudah dipelajari agar dapat diamal dan dicerna menjadi budaya dalam kehidupan memerlukan usaha yang sangat konsisten.

Apabila telah berubah menjadi keadaan yang lebih baik, kita juga mesti berusaha meninggalkan persekitaran yang tidak membantu ke arah kebaikan. Walaupun bukan jalan yang mudah, tetapi usaha mestilah dilakukan dengan gigih. AZIZAH!! Jangan mudah putus asa. Sekali gagal bukan bererti kehidupan telah berkecai. Usaha mesti disertai dengan kesabaran yang berlipat ganda. Selamat memaknakan Ramadhan dengan sebaik-baik amal.

2 comments:

azieazah said...

Sama-samalah kita berusaha menjadi lebih baik dari hari semalam..

Post a Comment