There is always sunshine after the rain...
"Certain things can happen and get us really really down. That’s a process that we need to go through. No one is immune to pain and suffering, to sadness and emptiness.
What is important is to hang in there. Remind yourself that things will always get better. After a storm, the sun will shine again. It may be a few minutes later, a few hours, or even a few days. But it will always happen.
This does not mean that the negative emotions you experience at the time are trivial. They are real, and they are important.
But remember that time heals wounds. The sadness will pass. Give yourself time."
It took me more than a week to jot down this entry. I really needed space for myself to get up and continue this precious life, treasure all the good things that's happening around me. Berdepan dengan kehilangan sememangnya sukar. Aku memerlukan masa yang panjang untuk bangkit kembali meneruskan rutin sebagaimana biasa dengan penuh kegembiraan. Sekalipun aku terasa seperti kekuatan untuk mendepani hari-hari mendatang makin menyempit, aku tetap perlu bangkit demi tugas dan tanggungjawab sebagai anak, sebagai pekerja, sebagai umat yang diperlukan dalam kecilnya untuk kemaslahatan serta manfaat yang lain.
Di suatu hari yang sangat tenang, aku menerima panggilan telefon daripada ibu teman baik yang berada nun jauh di Sarawak. Aku dapat mendengar esakan kecil di hujung talian, tapi aku malu untuk bertanya. Kemudiannya aku dimaklumkan bahawa sahabatku telah kembali ke rahmatullah semasa bermain badminton dengan teman-temannya. Ya Allah.. aku terduduk.. lama.. Layar ingatan terus menayangkan segala macam kenangan suka duka kami bersama.
Dia sahabatku yang sangat rapat sekalipun kami dipisahkan oleh Laut Cina Selatan. Dia memberikan aku semangat di saat aku jatuh terduduk, dia yang membantu aku menambahkan keyakinan di saat aku hilang kepercayaan kepada kemampuan diri, dia yang selalu memberi pesan kepada aku untuk terus dekat dengan Pencipta walau apa juga ujian membadai. Dia sahabat aku yang sangat baik yang memahami aku apa adanya aku.
Kali penghabisan kami bertemu adalah sewaktu aku melaksanakan tugasan rasmi di Sarawak awal Disember lalu. Kami menyusuri pinggiran Sungai Sarawak dan berbincang mengenai pelbagai perkara. "A person who has a golden heart and humble mind." Kalau aku menyayangi persaudaraan yang ada, Allah lebih lagi menyayanginya. Tak apalah, semoga kamu damai dan aman di sana. Kehilangan kamu tiada ganti. Kamu tetap kekal bersemadi sebagai saudaraku yang paling baik, yang paling memahami. Aku tidak mampu menahan sebak bersendirian apatah lagi aku tidak mempunyai waktu untuk menziarahi pusaranya di seberang laut sana. Tak apalah, daku doakan semoga kamu aman di sana.
Belum pun reda dengan kesedihan itu, aku dikejutkan lagi dengan kehilangan bapa kandung temanku sejak di bangku sekolah. Intan mengirimkan pesanan ringkas bahawa ayahnya telah kembali ke rahmatullah. Mengejut sahaja beritanya. Aku menangis lagi. Intan adalah antara teman yang rajin menghubungi aku, selalu bertanyakan tentang segala macam persoalan undang-undang. Ya Allah, Kau berilah sahabatku ini kekuatan untuk mendepani kehilangan dengan hati yang kental dan jiwa yang kuat. Intan, andai ini adalah batas pencarianmu tentang hakikat hidup, mudah-mudahan Allah memberikanmu kekuatan untuk menempuh segala ujian dalam perjuangan ini.
Intan - 2 dari kiri.
Hati menangis pedih berdepan dengan kehilangan insan yang dekat di hati. Apapun, aku tetap berdiri teguh melaksanakan rutin harian di pejabat sebagaimana biasa. Tiada sesiapapun tahu bahawa aku sebenarnya sedang menanggung kesedihan yang sangat dalam. Aku sandarkan sepenuh pergantungan kepada DIA yang Maha Kuasa. Aku tahu aku sedang diuji dengan kehilangan. Bukan mudah untuk dilalui. Tetapi aku yakin bahawa aku tidak berseorangan dan Allah sentiasa ada di sisi menemani.
Di sebalik kesibukan pada hari Khamis 17.12.2009, sebelum jam 1.00 tengahari aku dikejutkan dengan satu SMS daripada seorang teman memaklumkan bahawa ibu beliau telah kembali ke rahmatullah. Tanpa sedar, air mata mengalir laju membasahi pipi. Lama aku berteleku di meja. Aku kaku dan terkedu. Baru beberapa hari lepas aku dikejutkan dengan berita kematian, kali ini berita tentang kematian menyusul lagi. Aku terus bertemu teman sepejabat dan selepas berjumpa dengan boss, aku memutuskan untuk menziarahi arwah. Hajat di hati mahu menatap wajah arwah buat kali terakhir.
Beberapa hari sebelumnya, aku bermimpikan arwah mak cik. Aku beranggapan itu cuma mainan tidur, tetapi aku silap. Apa yang hadir ke dalam mimpi itu satu kenyataan. Ya Allah.. jikalau aku yang bukan siapa-siapa dalam kehidupan mak cik pun boleh bersedih, apatah lagi ahli keluarganya.. pastinya mereka lebih sedih mendepani kehilangan ini.
Semasa hayatnya, aku sempat menziarahi arwah di hospital Seri Manjung sewaktu aku mempunyai urusan di luar daerah setelah anaknya memberi izin. Arwah hanya terlantar di katil, dan sejujurnya aku sebak sendiri menyaksikan keperitan yang ditanggung beliau. Aku menatapnya terus dari hujung kepala hingga hujung kaki. Kedut di tangan dan wajahnya yang mewakili perjuangan hidupnya terlihat begitu jelas di mataku. Aku melihat dan menatap wanita kurus ini dengan penuh kesyahduan dan wajahnya begitu tenang di antara senyum simpulnya, dan wajah itu sentiasa dekat denganku.
Benar, ia terlukis sebagaimana coretan anaknya setiap kali kami bercerita mengenai ibunya. Aku berkawan dengan anaknya, bukanlah serapat mana tapi aku selesa dan kami berkongsi ilmu tentang banyak perkara. Sepanjang perjalanan, aku menangis di dalam kereta. Kalau dua kematian sebelum ini aku tidak mampu melakukan ziarah, aku berhasrat untuk melakukannya kali ini memandangkan keesokannya adalah hari cuti umum.
Kebetulannya aku sudah biasa dengan kawasan Pantai Remis kerana aku pernah berkhidmat di sini. Bertanya serba sedikit dengan orang sekitar, kami menjumpai rumah arwah. Alangkah hibanya hati apabila melihat temanku menangis di sebalik tirai. Selalunya penampilan beliau penuh keceriaan dan diwarnai senyuman menghiburkan penonton dengan hebahan ilmu untuk masyarakat mencicip setiap pagi sebagai bekalan sehari-hari. Tetapi kali ini, si pejuang bangsa terdiam menangis kebingungan, ganjil dengan kehilangan yang berlaku tiba-tiba barangkali. Aku menangis dengan penuh hiba di dalam hati. Aku berjanji pada diri untuk tidak menangis lagi.
Aku tahu kamu kuat wahai temanku. Aku merasai kesedihan yang kamu lalui. Aku mahu sama-sama berdiri saling membahu bersama kamu mendepani ujian kehilangan ini kerana ukhuwwah kita bukan hanya sekadar di saat gembira. Saat duka juga wajar untuk kita kongsi bersama walaupun aku bukan siapa-siapa. Aku hanya teman kamu yang kecil tapi moga-moga ia memberikan manfaat dalam kecilnya. Aku tiada harta bertimbun untuk diberikan kepada kamu, tetapi aku ada doa.
Anggaplah segala yang menyedihkan sebagai ujian kedewasaan sikap kamu dalam membina dan membentuk diri, mental serta jiwa. Aku mahu kamu tetap kuat untuk mewujudkan harapan dan cita-cita ibu. Segala sesuatu memang harus dimulakan dengan pengorbanan. Teruslah berbakti untuk ibu walaupun dia sudah tiada kerana doa anak yang soleh tetap memberikan kebahagiaan buat ibu di sana. Tugas yang berat sedang menunggumu temanku. Aku tahu, ibu senantiasa berharap agar akan terlahir anak yang siap mengabdi dan menunjukkan baktinya yang ikhlas. Dan anak itu adalah kamu.
Barangkali arwah ibumu mahu mengucapkan terima kasih kepadamu dan dia sentiasa merindui kamu sebagaimana kamu selalu merinduinya. Barangkali andai dia sempat berbicara sebelum dia pergi, dia ingin mengucapkan terima kasih kepadamu kerana telah membuatkan dirinya dan keluargamu bangga dengan apa yang kamu raih hari ini.
Aku tahu, pemergian ibumu membuatkan kamu sedih. Tetapi kita tidak mampu lari daripada takdir temanku. Betapapun kuatnya kita menolak dan mengelak, itu pasti terjadi. Jangan sesali garis takdir. Aku tahu, cita-citamu begitu besar untuk membalas dan membahagiakan ibumu. Tapi Allah telah menetapkan semua ini. Yakinlah bahawa Allah telah memberikan yang terbaik untukmu. Teruslah berdoa agar kelak, kalian mampu bertemu kembali dalam keadaan yang lebih baik. Kejarlah apa yang menjadi harapan dan cita-citamu selama ini. Itulah harapan ibumu terhadapmu, demi dia dan demi keluarga.
Walaupun haluan kita berbeza, sekalipun pendapat kita adakalanya bertingkah, impian kita tetap sama iaitu untuk menjadi anak yang boleh berbakti kepada ibu ayah seterusnya memburu mardhotillah. Aku tetap berdiri di sini mendoakan kesejahteraan kamu wahai temanku agar kita dapat saling membahu gagah mendepani keperitan akibat kehilangan. Maafkan aku sahabat kerana mencoretkan entri ini tanpa keizinan.
2 comments:
kehilangan org tersayang mmg sgt2 sukar. Aku dah go through utk parent. Kata2 semangat dan dorongan org sekeliling mmg sgt diperlukan. tabahlah kawan
Kesukaran itulah yang mengajar makna kehidupan. Allah memberikan pendidikan dalam bentuk yang tersendiri.
Post a Comment