Semoga Cepat Sembuh, Sahabatku..

Saturday, December 19, 2009 Posted by Azizah Aling

Di sebelah petang, bertolak ke Darussyifa', Bangi. Bahagian muka di sebelah kiri tidak dapat berfungsi dengan baik. Mata kiri tidak boleh ditutup, mulut juga tidak boleh tersenyum dan butir bicara yang dilontarkan juga tidak jelas bunyinya.



Di sebelah pagi, kami membawa sahabat ke Kolam Air Panas di Selayang. Hasrat kami cuma satu: mudah-mudahan saraf yang gagal berfungi boleh dilonggarkan dengan siraman air panas dan mengurangkan sakit yang dialami.



Orang lain tidak sampai hati menyiram tubuhnya dengan air panas. Tapi aku terpaksa menggagahkan hati memandikan dia. Aku bukan mahu bertindak kejam. Aku cuma mahu kamu sembuh. Maafkan aku sahabat!!





Hampir satu jam sahabat kami dimandikan. Sepanjang satu jam itulah dia menangis dan menjerit. Alhamdulillah, natijahnya memberangsangkan walaupun perit.



Sepanjang aku berada di Kuching menjalankan tugasan rasmi, tidak seorang pun daripada teman-teman memberitahu tentang sakit yang dialami oleh Aidah. Tidak mahu mengganggu konsenstrasi aku barangkali. Tapi, bila dikhabarkan tentang penyakit beliau dan meminta aku mendoakan kesejahteraannya, hati aku berasa ganjil. Aku mendengar tangisan kecil di hujung talian dengan jelas. Dari UM, aku terus menukar arah pemanduan ke Taman Permata, Ampang.


Sampai di sana, hati digamit sendu melihat sahabat yang selalu menceriakan kami apabila berkumpul terbaring kesakitan. Tiada lagi gurau senda, tiada lagi hilai tawa, tiada lagi usikan nakal menceriakan suasana. Aku sedih tapi aku sembunyikan kesedihan agar tiada sesiapa pun tahu. Aku tidak suka orang sekeliling tahu aku larut dalam kesedihan walaupun hatiku pilu.


Bayangkan dalam masa beberapa hari mata temanku tidak boleh berkelip. Kalau mahu berkelip, ia mesti digerakkan dengan tangan. Kalau mahu tidur, mata harus ditutup dan ditampalkan dengan alat penampal. Air juga tidak boleh diminum menggunakan straw kerana tidak mampu disedut. Pipi membengkak dan jatuh ke bawah. Beratnya ujian, beruntungnya dikau wahai teman dipilih Tuhan untuk diuji. Ujian datang untuk menguji sabar dan syukur dan sebagai penghapus dosa agar nanti kita kembali bertemu DIA dalam keadaan suci bersih di kemudian hari kelak.


Tidak berpuas hati dengan rawatan yang diberikan di sebuah Hospital Kerajaan yang sangat teruk di pandangan mata aku, kami membawa beliau ke Pusat Pakar Damai. Doktor mengesahkan bahawa temanku mengalami masalah saraf. Allahu akbar. I would rather conclude it as having a "mild stroke". Cuma dibimbangi sakit pada saraf itu akan menjalar ke bahagian otak, kerana ia boleh melumpuhkan sebahagian badan. Sabar Aidah, sikit sahaja ujian itu jika dibandingkan dengan mereka yang lagi teruk menderita di tempat lain.


Aku bawa temanku ini makan, alhamdulillah beliau boleh menjamah makanan. Sejujurnya selepas pulang, minda aku tidak diam berfikir dan mencongak apa yang patut aku bantu. Yang pasti, aku tidak akan membiarkan kamu bersendirian mengharungi dugaan ini sahabat. Ujian untukmu bererti ia juga ujian untuk aku dan teman-teman kita yang lain. mungkin di bibir aku kamu tidak akan mendengar betapa aku menghargai ukhuwwah yang telah terjalin sejak kita berumur 13 tahun, sejak kita di bangku persekolahan. Tapi, di hati aku Tuhan tetap tahu betapa aku sayangkan ukhuwwah ini. Aku terlelap barangkali kira-kira jam 3 pagi. Jam 5 pagi aku sudah bangun sebagaimana rutin aku yang biasa.


Awal pagi, usai solat subuh kami semua bertolak ke Kolam AIr Panas di Selayang. Hampir 1 jam setengah kami luangkan masa di sana. Tujuannya cuma satu: kami mahu mandikan dia dengan air panas agar saraf yang bermasalah dapat dikendurkan barang seketika. Hampir satu jam kami memandikan dia, meminta dia bertahan dengan suhu air yang agak panas. Kami bergerak ke kolam yang ke-2 terpanas dan asapnya sentiasa berkepul-kepul memecah ruang udara. Alhamdulillah, ada perubahan pada diri beliau. Sekurang-kurangnya dia berasa sedikit lega dan dapat tidur dengan lena kemudiannya.


Di sebelah petang, kami bawa dia ke Darussyifa'. Apa juga ikhtiar yang boleh dilakukan, kami akan cuba laksanakan, asalkan dia beroleh kesihatan yang baik dan dapat kembali menyambung tugas serta rutin harian sebagaimana biasa. Pesan ustaz juga sama agar temanku kerap melakukan fisioterapi. Mudah-mudahan dia dapat pulih dengan baik dan kembali seperti asal.


Temanku, harapanku cuma satu. Semoga kamu cepat sembuh. Jangan putus berdoa. Kita ada senjata paling berharga iaitu doa. Jangan putus asa dengan rahmat Allah. Allah menguji tanda sayang, maka syukurilah. Ujian datang sebagai peneman di jalan kehidupan. Bersama-sama kita mohon pertolongan daripada Allah dengan sabar dan solat. Aku tiada emas permata untuk diberikan. Tapi aku ada doa untuk kamu. Bersabarlah. Semoga cepat sembuh!!




0 comments:

Post a Comment