AZAN

Thursday, December 24, 2009 Posted by Azizah Aling


Laungan azan di kala dinihari yang lemak sedap membuai jiwa yang tandus dan hampir mati pastinya akan memberikan kesan yang mendalam kepada sesiapa sahaja yang mendengar. Laungan azan itu bisa menghidupkan hati dan menyegarkan semangat yang tidak bermaya. Waktu itulah jiwa yang alpa dan lalai akan terkesan akibat terlalu taksub dengan keseronokan dunia.



Bagi aku, azan adalah sejenis lagu yang dikumandangkan untuk memberitahu, untuk berdakwah bahawa inilah keindahan muzik dalam Islam. Azan bukan sahaja membesarkan Allah, memperakukan kerasulan Nabi Muhammad SAW tetapi juga membawa mesej kemanusiaan yang jitu.



Lagu azan bukan sekadar satu ritma, satu melodi, tetapi ia suatu goncangan hati dan kesedaran untuk iman yang luar biasa. Ia akan dirasai oleh hati yang tidak ditutup oleh dunia dengan keseronokan semata-mata.



Hayya 'alal falah ~ Marilah menuju kejayaan. Kejayaannya begitu banyak diungkapkan dalam Al-Qur'an. Orang yang berjaya adalah orang yang melakukan tazkiyyah diri, berzikir dan mendirikan solat.



Jika rapat dengan Allah, akan diberi banyak kelebihan, kekuatan dan ujian. Tetapi jika jauh daripada Allah nescaya jiwa akan dinestapakan. Tetapi ada juga kalanya mereka yang jauh daripada Tuhan itu diberi macam-macam kelebihan (seperti iblis dan syaitan). Itu kerana Tuhan mahu mereka terus alpa dengan kejauhan lalu tidak bertemu jalan kebaikan lagi selama-lamanya. Itulah yang disebut sebagai istidraj sebagaimana termaktub dalam Surah Al-Baqarah ayat 10, Dalam hati mereka ada penyakit, dan Allah tambahkan penyakit kepada mereka itu.



Ya Allah, limpahkanlah kami dengan hidayah yang berpanjangan. Jangan tinggalkan kami berseorangan dalam melunaskan tugas dan tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi ini.

0 comments:

Post a Comment