Menyingkap Tirai 1430H ~ Berlabuhnya Jendela 2009 M.

Sunday, January 03, 2010 Posted by Azizah Aling

1430 H telah melabuhkan tirai dan melengkapkan sebahagian daripada kitaran hidup manusia. Ketibaan 1431 H disambut dengan penuh keazaman untuk menjadi hamba yang lebih tawadhu' dan dekat hatinya dengan Yang Maha Esa. Jendela 2009 Masihi turut sama menguncupkan sayap dan memberi laluan lebar untuk 2010 M mencatat kesinambungan kisah hidup insan.


Sepanjang 1430 H dan 2009 M, banyak sekali proses kematangan diri dilalui ~ mendepani pelbagai bentuk cabaran yang adakalanya membuatkan aku jatuh terduduk, tergolek dan rebah tersungkur. Ada kalanya cabaran itu terasa seperti biasa-biasa sahaja dan adakalanya natijah dugaan itu kembang segar bagaikan bunga yang mekar harum di taman. Indah. Mekar. Harum dan berseri.




Sekalipun cabaran itu bagaikan duri-duri yang menusuk pedih ke ulu hati, tetapi ia tetap berseri dalam bentuknya yang tersendiri. Untuk menjadi hamba yang hebat dan kuat, imannya mestilah diuji. Beruntunglah orang yang seringkali diuji Allah kerana itu petanda bahawa anda masih dalam perhatian Yang Maha Esa untuk diangkat martabat keimanannya.

"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan : "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi." (Al-Ankabut : 2).




Pastinya, setiap ujian yang dikirimkan oleh Allah SWT itu ada hikmahnya yang tersendiri. Mencari hikmah yang hilang itu sememangnya sukar. Tetapi apabila pintu-pintu hikmah berjaya diketuk dan dimasuki, nescaya kita akan merasai kekaguman yang sangat luar biasa terhadap Tuhan kita. Bukalah pintu hikmah dengan mentadabbur, mengkaji, membaca dan menaa'kul. Maka atas dasar itulah, di saat kali pertama Baginda Rasul SAW berkhalwat di Gua Hira', wahyu pertama yang diturunkan adalah mengenai MEMBACA.

"Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan. DIA telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah.. dan Tuhanmu lah yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia dengan perantaraan kalam (perantaraan tulis baca). DIA yang mengajarkan manusia tentang apa yang tidak diketahui." (Al-'Alaq : 1 - 5).



Maka, apa lagi yang mahu ditunggu. Bacalah dan teruslah mengkaji. Kuasai medan ilmu dengan seikhlas mungkin, mudah-mudahan tamadun bangsa yang diteraskan dengan nilai agama yang tinggi akan terus dapat dibangunkan.




Inilah wajah kesayanganku yang banyak mengajarkan aku erti bahagia, derita, suka dan duka kehidupan. Alhamdulillah, hasrat kedua-dua ibu ayah untuk menjejakkan kaki ke Al-Haramain dikabulkan DIA Yang Maha Kuasa. Sesungguhnya Allah itu Maha Pemurah. Perjalanan ke Tanah Suci bukan satu perjalanan yang biasa. Ia adalah perjalanan memburu cinta Yang Maha Tinggi, mencari erti cinta sejati, mengabdi pada Yang Maha Suci.

Inilah hadiah hebat daripada Allah SWT untuk ibu ayah yang telah membesarkan aku dengan penuh kesusahan, melentur akhlak seorang anak sunti yang merantau jauh sejak berusia 13 tahun lagi. Kesusahan itu tidak akan berubah jika kita sendiri tidak mengubahnya. Apa yang penting, kaki harus tetap berada di jalan kebenaran dan jangan melencong ke arah lain.


"Maka tetaplah kamu pada jalan yang benar, sebagaimana diperintahkan kepadamu dan juga orang yang telah bertaubat berserta kamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya DIA maha melihat apa yang kamu kerjakan." (Surah Huud : Ayat 112).


Alhamdulillah, segala bentuk ujian yang penuh duri dan ranjau aku lalui dengan bantuan dan sokongan ahli keluarga yang sangat teguh berdiri di hadapan, di belakang, di kiri dan kanan. Mereka memberikan aku kekuatan dalam bentuk yang tersendiri. Terima kasih setinggi-tingginya dan semoga kasih sayang yang telah terbina dengan izin restu rahmat Yang Esa akan terus murni sampai ke hujung nyawa. Kita datang daripada keluarga sederhana, tetapi kita juga mampu mencipta pelbagai kehebatan dalam kesederhanaan.



Kami mempunyai seorang ibu yang sangat cekal hati mendepai segenap ujian getir saban hari. Dia memberikan kami nasihat tanpa henti. Walau adakalanya kami berbeza pandangan, tetapi itu bukan alasan untuk kami berhenti berbincang mencari penyelesaian terbaik. Terima kasih. Azizah sayang ibu sampai bila-bila...





Izinkan daku meminjam semangatmu dan menjadi insan yang tabah sepertimu. Doakan daku selalu kerana doamu sangat mudah didengar dan dimaqbulkan Tuhan. Maafkan daku andai diri ini pernah menyakitimu dalam sedar atau tidak. Hari-hari yang indah bersamamu sangat hebat untuk dilalui.

Buat teman-teman, sama-sama ingati pesanan ini..

"Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ayah ibu
Menumpang di segenap ruang
Yang ada di lubuk perkasihan
Begitu indah setiap detik di dalam rahimmu
Sehingga teramat asyik, setiap saat di pangkuanmu
Keperitan itu kau rasa indah demi anakmu.
Setitis air mata ibu
Yang gugur kerana kesedihan
Segaris luka di hati ibu kerana kederhakaan
Tertutup pintu syurga
Jika tiada keampunannya
azimat ini kutanam di lubuk hati yang dalam."
(Far East - Azimat Ibunda)



Inilah adik yang sentiasa teguh berdiri menemani dan menjaga keselamatan aku di perantauan. Sang Saka bangsa yang adakalanya agak sukar difahami tetapi dia berada dalam kategori seorang adik yang taat kepada kakak-kakaknya. Sangat mudah membantu. Manja dan memerlukan sokongan kami kakak-kakaknya dalam membuat keputusan. Mungkin fitrah anak kembar, sentiasa berdua sejak di dalam rahim ibu lagi. Tidak betah bersendirian. Dia tidak kuat andai dia berseorangan, dan kami sentiasa menyokong cita-citanya selagi mana dia tidak menderhakai Tuhan.

Kami mahu kamu menjadi anak yang soleh, yang tahu meletakkan keutamaan dan tidak mudah lupa diri. Selalulah menoleh ke belakang apabila mahu menyusun langkah laju ke hadapan agar jalanmu tidak tersasar jauh dari landasan yang lurus.



Inilah kakak, inilah sahabat, inilah teman, inilah ustazah, inilah pendamping aku yang sentiasa bersama-sama tanpa jemu. Dia membenarkan aku di saat orang lain mendustakan. Besar sekali kasih sayang dan pengorbanannya dalam menjaga aku di sini, menyebabkan aku tidak pernah berasa bersendirian menjalani kehidupan di rantau orang. Putrajaya - Petaling Jaya sangat dekat. Terima kasih kakakku. Aku menghormati dan menyayangi kamu setiap masa.




Kucing - kisah seribu erti. Nanti aku kongsikan entri khas tentang si comel yang sangat manja.




Aku dan aktiviti luar sangat tidak boleh dipisahkan. Seringkali aku keluar menyertai diskusi tertentu dan menhadiri usrah serta kuliah agama. Pengalaman berukhuwwah dengan orang yang mampu menarik kita ke arah kebaikan sangat indah. Bukan senang mencari sahabat sejati, sahabat yang sentiasa menemani kita di saat suka dan duka. Namun aku bersyukur, sepanjang aku menyelusuri jalan kehidupan selama ini, aku sering dipertemukan dengan sahabat yang cintakan ilmu dan kebaikan, sahabat yang sentiasa memberi pesan agar aku tidak lupa untuk terus bersyukur dengan pelbagai nikmat yang Allah berikan. Terima kasih sahabatku semua, kamu adalah anugerah Allah untuk aku yang tidak ternilai.



Kursus Motivasi di Kelantan
.
Sememangnya, hidup bukan sahaja untuk menerima tetapi ia lebih memberi erti andai kita sentiasa memberi. Memberi bukan sahaja dalam bentuk wang ringgit, tetapi memberi juga boleh jadi dengan bentuk yang boleh memberi manfaat seperti nasihat, berkongsi naskhah ilmu dan melorongkan pintu kejayaan untuk orang lain.



Rakan sepejabat yang banyak membantu. Nanti aku tulis entri khusus buat kamu semua sebagai dedikasi dan penghargaan kerana menceriakan hari-hari yang "tegang" di pejabat.



Di sinilah tempat aku mencari rezeki. Banyak sekali dugaan yang mesti dilalui. Hakikatnya, aku bahagia dan aman di sini. Aku belajar tentang banyak perkara sepanjang aku berkhidmat di sini. Aku sangat sukakan dan impikan kesederhanaan.




Rutin setiap hari. Helaian demi helain mesti dibaca agar kesimpulannya tepat dan memberi keadilan untuk semua. Tanpa jemu. Tanpa lelah. Tanpa resah. Ia sangat menguji ketangkasan minda, keupayaan menaakul dan mencari jalan keluar terbaik, walaupun adakalanya minda sangat letih memahami erti di sebalik percaturan pihak-pihak terlibat. Kadangkala pertelingkahan yang tertulis terbawa-bawa ke dalam mimpi. Mengganggu emosi. Tetapi itulah hakikat sebuah kehidupan.




0 comments:

Post a Comment