EID MILAD SAE'ID

Friday, December 18, 2009 Posted by Azizah Aling

An-Nabawi - Cintaku tertinggal di sini.


Semasa kami tiba, bandar Madinah Al-Munawwarah agak lengang kerana kami sedang berada di musim panas. Suhunya telah pun menjangkau 40`c. Tapi air zam-zam yang diletakkan di segenap ruang sangat membantu membasahkan tekak, menghilangkan haus.


Marmar di luar An-Nabawi inilah yang menjadi "ubat" untuk aku. Ziarah Bandar Madinah di hari kedua. Ke manapun kaki melangkah, An-Nabawi sangat dekat di hati. Lebih-lebih lagi alunan merdu ayat-ayat Allah oleh Imam Sheikh Misyari Rashid Al-Afaasy yang merupakan Imam masjid An-Nabawi menjadi kegemaranku sejak di bangku sekolah. Bacaan Al-Qur'an yang mengusik jiwa dan mengetuk hati yang keras seperti batu.



Aman.. Damai.. Tenteram..
(Gambar yang menghiasi "muka depan" komputer riba aku sejak sekian lama.)




Jannatul Baqi'.. Taman Syurga. Ramai jasad para sahabat disemadikan di sini. Kaum hawa tidak lagi dibenarkan menziarahi Al-Baqi' atas alasan yang aku kira sangat munasabah.



An-Nabawi dari bilik hotel.



Sayu..



Selamat datang tahun baru Hijrah. Hari ini genaplah 1431 tahun Nabi Muhammad SAW melakukan penghijrahan dari Kota Makkah ke Kota Madinah. Kota Suci yang terkandung tamaddun Islam yang sangat cantik, unik, mulia dan penuh kisah suka duka seorang kekasih Allah.


Terkenang kembali saat menjejakkan kaki ke Kota Madinah tahun lalu. Laju air mata mengalir membasahi pipi, apatah lagi perjalanan yang jauh itu diharungi bersendirian. Mulut bagaikan terkunci rapat melihat Kubah Hijau di Masjid Nabawi, tempat di mana jasad insan agung bersemadi. Tuhan sahaja yang tahu apa yang bermain di benak aku saat itu. Indahnya An-Nabawi. Hebatnya panas marmar yang mengelilingi masjid dan indahnya susunan Jannatul Baqi'.


"Assalamualaikum Ya Rasulullah. Aku datang menjadi tetamumu wahai Rasulullah. Aku terlalu rindukanmu wahai kekasih Allah. Kau pemilik cintaku setelah Allah. Terima kasih kerana menunjukkan kami jalan yang lurus, jalan yang diredhai Tuhan sepanjang zaman."


Kalau diperhatikan, susun atur bangunan di Madinah agak rapi jika dibandingkan dengan Makkah Al-Mukarramah. Malahan disyaratkan bahawa apa juga bangunan yang ingin didirikan, ketinggiannya tidak boleh melebihi menara Masjid itu sendiri. Sebab itu, jika kita berdiri di mana-mana pun, kita akan dapat melihat mercu Masjid An-Nabawi. Itulah uniknya tamaddun.


Kali ini Tahun Baru Hijrah tiba lagi, mengingatkan semua umat manusia bahawa perjalanan kita semakin jauh dan semakin menghampiri titik akhir. Semoga pengakhirannya bagus-bagus belaka. Harapanku setinggi langit agar segala sengketa sesama negara Islam yang sering bergolak dan menjadi musuh dalam selimut dapat dileraikan. Kita mesti bersatu demi kemuliaan agama dan memulihkan kembali martabat agama yang dicalari tangan-tangan rakus. Kita kuat sekiranya kita bersatu sekalipun latar belakang kita berbeza. Kita ketepikan keegoan masing-masing demi kesejahteraan agama yang suci daripada terus diperlekehkan oleh zionis dan puak-puak lain yang sangat gilakan "dunia".


Menjadi impian aku untuk terus menyaksikan umat di negara ini mengamalkan ajaran Islam dengan baik dan tidak menggadaikan kesucian agama demi kuasa yang sementara. Kuasa bukanlah satu tasyrif (kemuliaan) tetapi ia suatu taklif (tanggungjawab). Jangan nanti kita tidak mampu mempersembahkan jawapan saat pertanyaan dilontarkan para malaikat akan tanggungjawab yang terpikul di bahu, setakat manakah ia ditunaikan. Kita diberi pinjam dengan kuasa yang sementara untuk menguji sejauh mana kemampuan kita mensyukuri kelebihan yang diberikan. Ia bukan untuk dibangga-banggakan sehingga orang lain dipandang kecil, meremehkan yang lemah dan meninggikan darjat mereka yang berharta.


Kau lindungi aku dan semua saudaraku ya Allah. Kau pimpinlah kami ke jalan yang lurus. Jadikan kami hamba yang kekal berdoa memohon rahmat dan maghfirah daripada-Mu. Jangan jadikan hati kami terlalu terikat dengan dunia sehinggakan kami lupa untuk beramal mengumpul bekalan untuk kami gunakan di sepanjang penghidupan kami di alam baqa'. Kau limpahkan rahmat kepada kami, berikan kami kesatuan yang jitu agar kami dapat saling membahu gagah menentang musuh-musuh-MU ya Allah.

0 comments:

Post a Comment