TERUSIK RINDU

Thursday, December 24, 2009 Posted by Azizah Aling

Hari ini 24.12.2009 semua pelajar PMR seluruh negara menerima keputusan masing-masing setelah bertungkus lumus menelaah pelajaran selama 3 tahun. Apa pun natijahnya, semoga kalian gembira dengan apa jua keputusan yang diperolehi dan jadikanlah ia sebagai pembakar semangat untuk terus menempa lebih banyak lagi kejayaan di masa akan datang.


Aku juga pernah melalui pengalaman yang sama seperti kalian, pengalaman yang manis dan indah (if I may put it in this word). Sejujurnya, bergelar penuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan (Agama) Naim Lilbanat, Kota Bharu, Kelantan adalah suatu kebanggaan buat diri aku. Itu idaman dan impian aku sejak berada di darjah 1 lagi. Kenapa? Kakak sulung (the only sister that i have anyway) merupakan pelajar di sana. Jarak umur kami selama 6 tahun menyebabkan kami agak berbeza latar pengalaman. Sewaktu kakak berada dalam Tingkatan 1, aku baru menjejakkan kaki ke darjah 1.


Kakak yang tinggal di asrama seringkali pulang ke kampung bercerita tentang keindahan hidup di sebuah sekolah agama yang mementingkan kedua-dua nilai hidup iaitu duniawi dan ukhrawi. Kisah kakak sentiasa mengusik hati aku, apatah lagi aku agak rapat dengan beliau memandangkan aku anak yang ke-2 dalam keluarga. Sedikit sebanyak, apabila setiap tahun bumi Naim kami jejaki saat menziarahi kakak dan melalui pembacaan majalah sekolah yang dikenali sebagai An-Naim dibawa pulang, ia menyuburkan jiwa aku untuk menjadi salah seorang penghuni di sana suatu masa nanti.


Mak selalu berpesan: kita bukan orang kaya.
Tiada apa yang mampu diberikan kepada anak-anak melainkan ilmu agama sebagai asas dan panduan untuk menjadi insan berguna kepada bangsa, agama dan tanah air. Hakikatnya, kami adalah anak-anak kampung yang datang dari latar belakang keluarga yang susah. Tapi aku punyai keyakinan bahawa kesusahan itu hanya berjaya ditebus dengan ilmu. Maruah diri akan mahal bukan dengan harta semata-mata, tetapi ia lebih mulia andai diri dihiasi akhlak dan budi pekerti mulia sebagaimana ajaran Nabi SAW.


Dengan tekad dan azam, aku berusaha dalam kepayahan untuk menempatkan diri di SMKA Naim Lilbanat, sekolah yang hanya menerima pelajar cemerlang atau Straight A's dalam UPSR. Zaman kami dulu, jumlah mata pelajaran untuk UPSR adalah 4 sahaja. Walaupun 4 subjek sahaja, tetap terasa kesukarannya kerana sumber rujukan hampir tiada kecuali buku teks yang dibekalkan pihak sekolah, itupun atas dasar bantuan. Apatah lagi kami sangat janggal dengan istilah tuisyen sebagaimana ianya dijadikan satu kemestian bagi anak-anak pelajar hari ini. Apapun aku tetap mensyukuri segala pemberian yang ditentukan Tuhan. Sesungguhnya, kesusahan itulah yang mengajar aku erti syukur dan sedar diri.


Alhamdulillah, berkat usaha dan bantuan guru-guru, aku berjaya meraih 4A dalam UPSR di sekolah rendah. Walaupun pelbagai tawaran untuk bersekolah di asrama penuh tiba ke pangkuan, semuanya tidak menarik minat. Apa yang ada di minda semasa penghujung tahun 1993 adalah aku ingin menjadi pelajar SMKA Naim, meneruskan legasi kejayaan kekanda tercinta demi mencari nilai agama untuk dijadikan bekalan diri sepanjang usia masih tersisa.


Alhamdulillah... Allah Maha Pemurah. Tawaran akhirnya aku terima dengan penuh kesyukuran. Bergelar pelajar SMKA Naim tahun 1994 adalah suatu pengalaman yang indah, hadiah kepada diri yang penuh kekurangan.


Di bumi Naim inilah aku diajar pelbagai perkara. AKu diajar makna berakhlak mulia, belajar agama, mengenal Allah, mempertautkan ukhuwwah dan bersilaturrahim sesama saudara dan pelbagai lagi. Aku sangat bersyukur. Nilai tambah kepada diri adalah asas ketaqwaan yang jitu dan teguh kepada DIA Yang Satu. Di sini, aku membina keyakinan, membina kemahiran dan kekuatan dalaman dan luaran. Azamku: aku mahu menjadi anak yang berjaya dan akhirnya mengembalikan kejayaan itu kepada agama dan bangsaku yang dicintai.



Tahun 1996 - tahun yang sangat menggusarkan kerana kami akan menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah. Satu peperiksaan yang besar untuk sejarah peribadi. Alhamdulillah aku berada di kelas pertama dalam 5 kelas yang ada sewaktu itu. Ummu Aiman, Ummu Habibah, Ummu Kalthom, Ummu Salamah dan Ummu Umarah. Kelas kami mempunyai seramai 33 orang pelajar. 8 orang sahaja yang mendiami ASPURINA (Asrama Puteri Naim) dan selebihnya mereka adalah pelajar harian yang berulang alik ke sekolah kerana tinggal berdekatan dengan sekolah. Tetapi sebenarnya 70% daripada pelajar di SMKA Naim memilih untuk menjadi penghuni asrama kerana aktiviti yang diadakan selepas waktu persekolahan lebih bermakna dalam mendidik sahsiah pelajar.



Kami tidak kenal makna tuisyen. Tumpuan diberikan sepenuhnya di dalam kelas sepanjang sesi persekolahan bermula seawal jam 7.40 am - 2.50 pm, kemudian menunaikan solat zohor berjemaah dan kembali ke kelas persediaan (preparation class) jam 3.30 pm sehingga jam 5.00 pm. Seterusnya kami diwajibkan untuk solat Asar juga secara berjemaah dan kemudiannya kami beriadhah sebelum menanti untuk solat berjemaah Maghrib dan Isya' di Masjid sekolah.


Penghujung tahun 1996 menyaksikan sekali lagi sejarah tercipta apabila sekolah kami muncul sebagai sekolah terbaik dalam pencapaian kecemerlangan dalam PMR, menewaskan MRSM Pengkalan Chepa dan SMS Tengku Mohamad Faris Petra (yang terkenal pada waktu itu).


29 daripada 33 orang pelajar dalam kelas kami memperolehi 9A dalam semua mata pelajaran dan aku salah seorang daripada mereka. 86 orang yang lain dari kelas berbeza memperolehi pencapaian 8A dan selebihnya 7A. Pihak media bertandang ke sekolah kami dan akhirnya wajah aku dan teman-teman lain dirakamkan sebagai pelajar cemerlang dan keesokan harinya muka yang lemah ini muncul di kaca TV dan menghiasi dada-dada akhbar.


Alhamdulillah. Jauhkan kami daripada rasa riya' dan ujub Ya Allah. Hakikatnya, kupersembahkan kejayaan ini buat bonda tercinta yang terlalu banyak berkorban untuk membantu aku mencapai kecemerlangan. Pengorbanannya penuh kepayahan. Namun dalam kepayahan itulah Allah memberikan ganjaran dan kurniaan yang tak ternilai. Tanpa tuisyen, tanpa buku rujukan mahal, tanpa alatan canggih, kita juga mampu menempa kejayaan asalkan kita punya keinganan yang tulus diiringi kegigihan dan usaha.


Segala puji dan syukur hanyalah milik-Mu Ya Allah. Ini hadiah buat ibu yang banyak berjasa. Tak terbalas jasanya yang mengasuh dan mendidik aku sehingga aku kuat menempuh lorong waktu yang panjang berliku.


(Nanti aku akan sambung kisah ini apabila masa yang sesuai tiba - bagaimana aku melalui hari-hari di bumi Naim di Tingkatan 4 dan 5 sebelum aku melangkah ke universiti).

Doa setiap pagi di padang perhimpunan sekolah walaupun hanya 5 minit.


Masjid - pusat riadhah dan halaqah dan tempat kami berkhalwat mencari damai di hati.




3 comments:

UglyPooh said...

wah..remind me the sweet sour memories there. haha...
kakak aku pon skolah sana. sbb tu aku pi sana

Azizah Aling said...

Pah: Momentous experience..

Semarak Api said...

slm kak jijah. sy amik satu pic kt cni. pic bebudak naim tu. msuk dlm blog. mntk izin ye kak..syukran..

rindunye kt naim bl bc entry ni T_T

Post a Comment