KEMALANGAN MAUT

Saturday, December 26, 2009 Posted by Azizah Aling


"Saya terlelap." Itu pengakuan pemandu bas dua tingkat Sani Express yang terbabas dan melanggar pembahagi jalan di KM272.8, Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara awal pagi semalam yang mengakibatkan 10 penumpang maut manakala dua lagi cedera. Lagi menyedihkan apabila ada yang putus kepala.


Secara peribadi, aku melihat kemalangan yang berlaku secara bermusim ini sangat menggerunkan. Statistik kian bertambah dari hari ke hari. Apa lagi langkah-langkah yang paling wajar perlu dilaksanakan agar ia dapat dibanteras daripada terus melarat, menambahkan parah dan membuak nanah?


Aku pernah menggunakan perkhidmatan Sani Ekspres sekali semasa pulang ke kampung untuk tempoh singkat tahun lalu. Ternyata perkhidmatannya adalah selesa memandangkan bas yang digunakan adalah bas yang baru. Cuma, cara pemanduan agak menakutkan dan memaksa aku ke hadapan dan memberitahu pemandu agar memandu dengan kelajuan yang ditetapkan dan lebih berhati-hati. Memang pemandunya marah. Aku sempat berdebat dengan beliau dan aku nayatakan bahawa aku sebagai pengguna mempunyai hak untuk disantuni dan sekiranya ingkar, aku juga boleh bertindak mengikut saluran undang-undang yang betul. Jangan menidakkan hak seorang wanita kecil ini.


Apalah sangat yang ingin dipedulikan dengan amarah si pemandu jika dibandingkan dengan nyawa penumpang yang ramai. Ada seorang pak cik sempat bertanya, "anak tak takut ke pergi tegur pemandu?" aku jawab, "berani kerana benar, takut kerana salah pak cik." Aku tidak dapat lena di dalam bas sepanjang perjalanan. Apatah lagi, sudah hampir 5 tahun aku tidak menggunakan perkhidmatan bas ekspres untuk pulang ke kampung. Selalunya aku lebih selesa memandu sendirian walaupun perjalanannya jauh dan memakan masa yang lama. Kali ini aku terpaksa gunakan bas kerana badan terlalu letih untuk memandu, sedangkan aku hanya ada masa 24 jam sahaja untuk berada di kampung sebelum kembali meneruskan tugas di kuala Lumpur.


Namun, berapa ramai yang berani bersuara lantang? Ayuh wahai penumpang, kalau anda merasakan sesuatu yang tidak kena sedang berlaku, bersuaralah. Kita juga punya hak. Jangan hanya mengharapkan pihak berkuasa untuk bertindak. Kita juga mesti melaksanakan tugas. Ada masanya pihak berkuasa cekap menjalankan amanah, ada kalanya ia sekadar melepaskan batuk di tangga. Sudah menjadi amalan para penguasa, sesuatu isu hanya akan ditangani apabila ia mendapat perhatian masyarakat. Apabila geloranya reda, penguatkuasaan juga turut reda.


Syarikat bas ekspres yang terlalu mengaut keuntungan juga salah satu punca utama yang menyumbang kepada kemalangan. Pemandu bukan robot yang boleh diarah dan dikerah dengan kuasa bateri atau enjin. Manusia secara tabiinya perlukan rehat dan tidur yang cukup. Nyawa bukan barang dagangan yang boleh ditukar ganti dengan duit. Maka, janganlah bersifat haloba. Bukan boleh bawa duit yang berkepuk-kepuk ke dalam kubur pun.


Apa yang pasti, kemalangan maut yang disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 seolah-olah tidak memberi sebarang impak kepada si pesalah, walaupun ia adalah satu klasifikasi di bawah kes tangkapan. Hukuman mandatori penjara tidak kurang daripada 2 tahun, denda dan penggantungan lesen memandu seawal pertuduhan dibacakan (walaupun tiada pengakuan bersalah direkodkan Mahkamah) sepertinya tidak mendatangkan apa-apa kesan. Hatta andainya hukuman mati sekalipun yang bakal dilaksanakan oleh penguasa ke atas pesalah jalanraya, ia tetap tidak dapat mengurangkan kadar peningkatan jenayah trafik.


Apa yang penting adalah sikap pemandu itu sendiri. Aku mempunyai pengalaman yang banyak di atas lebuhraya berhadapan dengan pemandu bas ekspres yang memandu bas seperti orang gila apabila lebuhraya dijadikan trek perlumbaan. Sangat membahayakan. Apa pun, selagi sikap manusia yang ego, rakus dan bongkak di atas jalan raya tidak diubah, selagi itu kita akan terus disajikan dengan statistik kemalangan maut yang amat menyeramkan. Walau ada 1000 mekanisma diperkenalkan untuk mengurangkan kadar jenayah lalu lintas, sekiranya penduduk Malaysia yang bergelar pemandu tidak mempunyai kesedaran, ia tetap tidak memberi guna apa-apa. Pilihan di tangan masing-masing. Pilihlah jalan sendiri sama ada ianya jalan lurus atau bengkok!!

2 comments:

morase said...

Apa yg nak saya ulas spr semuanya telah ditulis oleh nor azizah aling (maaf dgn izin - naa)Fasal mengantuk ni tak boleh kompromi dah tau nak kerja memandu sebelum tu rehatlah scukupnya... Majikan perlu ambil perhatian ... yang tidak saya terpengaruh utk kagum bila terpampang nama bangunan WISMA DATO' SANI ego nampaknya turunkan jelah DATO' tu...spr minta disanjung..

Azizah Aling said...

Semuanya kerana gila dunia, seolah-olah kita ni boleh tongkat langit.

Post a Comment