Terima kasih cikgu!

Sunday, May 16, 2010 Posted by Azizah Aling

Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepalang ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi.

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama' yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.



Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan didulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG 1979


Buat guru-guru Tadika - guru-guru di SKK3 -
SMKA Naim Lilbanat Kota Bharu -
Pusat Matrikulasi UIAM - Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim UIAM Gombak..
Terima kasih kerana menginsankan aku, hamba kerdil bernama Azizah..
Terima kasih kerana memberi bekas dalam penghayatan aqidah..
Terima kasih atas kasih sayang yang tidak pernah bernoktah.

Buat ibu ayah..
Kalian adalah guru pertama yang mengajarkan hamba tulis baca
Guru pertama yang memandaikan hamba mengenal cinta kasih Yang Maha Esa.
Jika tidak kerana kasih sayang dan perhatian kalian, aku tidak betah berdiri di sini membawa segunung harapan buat memandaikan bangsa.

Bisikan senja

Saturday, May 15, 2010 Posted by Azizah Aling


Saya rindu dan sememangnya saya rindu. Cuma kadang-kadang ada perkara yang menghalang saya untuk menterjemahkan rasa rindu saya. Antaranya adalah ketentuan takdir dan keimanan hati yang mengatakan 'cukup' dan juga apa yang telah berlaku yang membuatkan saya harus mengatakan 'tergamaknya....'. Apa-apa juga yang tersimpan dalam hati saya adalah perasaan rindu yang saya pura-pura sorokkan atau sengaja abaikan supaya resah tidak menguasai hati saya dan sedih tidak menyapa hari-hari saya! Apapun, semoga saya kekal cekal dan kuat di perlembahan ini. Saya tetap iringi perjuangan teman-teman semua dengan setulus doa.

Adilkah untuk terus menghukum?

Monday, May 10, 2010 Posted by Azizah Aling

Banyak kisah mengenai PDRM kedengaran di mana-mana. Bara dan percikan api kemarahan meluap-luap di sana-sini. Lihat saja apa yang terpampang di dinding-dinding Facebook. PDRM dipandang sebagai musuh utama dan ungkapan "Tiada Maaf Bagimu" adalah frasa padat dan lengkap untuk menzahirkan rasa amarah dan benci. Tapi jiwa aku tetap beku. Kaku. Suhunya kekal pada aras biasa. Kenapa? Ini sebabnya.

1. Aku tidak mahu menjadi orang yang lupa untuk berterima kasih kepada PDRM atas jaminan keselamatan yang diberikan sehinggakan aku bebas bergerak ke mana-mana sahaja. Aku bisa membawa kaki melangkah ke segenap penjuru tanah yang dipayungi nama Malaysia dengan aman tanpa rasa takut, resah dan was-was terlampau.


2. Aku tidak mahu menjadi orang yang bongkak dan melupakan bakti mereka menyelamatkan negara dan masyarakat daripada pelbagai kes yang merumitkan. Jika ia tidak ditangani sebaiknya, ia bakal mencetuskan huru-hara tidak bernoktah. Lihat sahaja usaha yang dilakukan untuk mengekang kemaraan puak Al-Ma'unah, strategi yang disusun untuk menangkap para penjenayah yang bebas bergerak menghancurkan dan memusnahkan harta-benda masyarakat tanpa belas sebagaimana yang terpapar luas di media massa dan pelbagai kes lagi. Maka, bilanglah kesalahan yang dilakukan dan bandingkan dengan budi yang ditaburkan, timbangan mana lebih berat. Tepuk dada, tanya minda.


3. Bukanlah aku mengatakan PDRM itu sempurna sifatnya. Barangkali ada khilaf yang dilakukan yang tidak adil di mata Tuhan apatah lagi di mata manusia yang terbatas sifat 'aqlinya, tetapi hentaman demi hentaman bukanlah caranya. Jika benar ada yang bertindak menyalahgunakan batas kuasa yang ada, kita hadapkan mereka ke muka pengadilan dan kita bentangkan bukti sebaiknya. Biar mereka diadili dan dihakimi dan dihukum setimpal khilaf yang dilaksana. Siapa kita untuk mudah dan terus menghukum? Apakah kita sudah menjadi bangsa yang mudah melatah dan lupa untuk berterima kasih? Apakah kita cukup sempurna dalam melunaskan tugas hakiki tanpa sebarang kesilapan? Ayuh, jangan mudah menuding jari. Kita tangani sebarang isu dengan berhemah, dengan akal waras agar kita tidak sama terpekik perlolong, terlompat dan akhirnya terjatuh ke dalam lopak dan becah yang busuk baunya. Nanti kita termalu sendiri.


4. Apa yang perlu kita buat? Kita jaga diri kita sendiri. Pertimbangkan segenap perbuatan secara matang. Apakah wajar untuk kita melepaskan anak-anak menjadi penghuni jalanan saat matahari telah lama melabuhkan tirai dan senja mengambil tempat. Kalau benar kita ibu bapa yang bertanggungjawab, pasti kita tidak akan membiarkan anak-anak menjadi tetamu jalanan di saat selayaknya mereka tidur di pembaringan, atau lebih mulia lagi mereka sedang berteleku di sejadah bermunajat memohon keampunanan daripada Tuhan semesta alam.


Pilihan benar-benar di tangan kita sendiri. Kita pilih jalan mana yang ingin dilalui. Apa pun, jangan mudah menghukum semata-mata mahu memuaskan hati sendiri dan melindungi diri yang gagal membentuk zuriat masing-masing ke takah tertinggi. Segala sesuatu yang berlaku pasti ada hikmahnya dan mencari hikmah yang hilang itu adakalanya sangatlah sukar, tetapi tidak mustahil bagi mereka yang mahu menggunakan akal waras untuk menimbang-nimbang dan berfikir. Berterima kasihlah selayaknya dan mohon maaf tika perlu.

Selamat Hari Ibu!

Sunday, May 09, 2010 Posted by Azizah Aling

Buat semua insan berstatus ibu atau yang bakal memegang gelar ibu, dari hati yang rendah aku ucapkan "Selamat Menyambut Hari Ibu." Terima kasih kerana melahirkan dan meramaikan umat di dunia ini. Semoga perjalanan anak-anak ibu sekalian di dunia terpandu oleh hidayah yang Maha Agung daripada DIA yang Maha Kuasa, pemilik seluruh jagat raya.


Buat bonda Puan Khadijah Haji Yaakub, kuucapkan terima kasih setinggi-tingginya kerana mengandungkanku dengan penuh kasih sayang, melahirkan, mendidik dan membesarkan daku serta adik-beradik yang lain dengan penuh kesabaran. Tidak terbalas segala jasa dan bakti berserta keringat yang membasah bumi demi mencari secicip rezeki buat membesarkan kami 8 beradik.


Demi kebahagiaan ibu, aku sanggup melakukan apa sahaja kerana cintaku sepenuhnya tertumpah kepada dia. Aku anak yang paling nakal, keras kepala dan sukar dilentur semasa kecil berbanding adik-beradik yang lain. Aku sangat suka bereksperimentasi dan adakalanya, percubaan yang dibuat mendatangkan amarah di hati ibu. Banyak air mata ibu tumpah mengenangkan "kenakalan" aku yang amat berlawanan dengan sifat semulajadi sebagai anak perempuan.


Di usia 13 tahun, mengenangkan kenakalan yang sukar dibendung barangkali, ibu meminta izin ayah untuk menghantar aku ke sekolah berasrama di Kota Bharu, sebuah sekolah agama. Tujuannya cuma satu - iaitu untuk melentur akhlak dan mendidik diriku mengenal Allah Yang Maha Kuasa agar perjalanan hidupku setelah akil baligh tidak tersasar dari landasan agama. Aku redha dengan pilihan ibu walaupun pada awalnya aku seringkali memberontak dengan ungkapan ibu mahu membentuk akhlakku di sekolah agama nanti. Di fikiran aku, aku berasakan ibu sudah tidak menyayangi aku lagi. Itulah sebabnya kenapa aku dihantar bersekolah di daerah yang jauh dan perlu berdikari seawal usia 13 tahun.


Akhirnya, hikmah yang dicari kutemui setelah aku berjaya mengenal potensi diri, mengenal makna hidup seorang 'abid kepada Tuhannya. Pilihan ibu tersangat tepat! Jika ibu menurut kehendakku untuk mendaftarkan diri di sebuah sekolah berasrama penuh, belum tentu akhlak diriku tercorak sebegini. Terima kasih yang tidak terhingga buat ibu atas pilihan yang tersangat tepat.


Aku benar-benar terhutang budi kepada ibu. Dia membuat pilihan dengan petunjuk Tuhan. Dia sentiasa mahukan yang terbaik untuk semua anaknya. Memilih pasangan hidup sekalipun, menjadi kemestian dalam hidupku untuk mendapatkan restu ibu. Jika dia tidak membenarkan, aku tidak akan meneruskan.


Terkenang suatu kisah sewaktu aku berusia 25 tahun, aku telah memutuskan untuk mendirikan rumahtangga dengan jejaka pilihan yang telah lama mencuri hati sejak di alam persekolahan lagi. Perhubungan kami bukan seperti pasangan biasa yang lain. Sepanjang 9 tahun perkenalan, tiada panggilan telefon, tiada ungkapan cinta sayang. Kalau ada sekalipun, hanyalah utusan surat. Itupun boleh dikira dengan jari. Paling penting, kita saling mendoakan antara satu sama lain di dalam doa.


Aku sentiasa berpegang kepada pinsip bahawa untuk mendapatkan yang terbaik, kita harus berusaha menjadi yang terbaik. Untuk mendapatkan anak-anak yang soleh, permulaan perhubungan ibu bapa mestilah melalui jalan yang baik dan jauh daripada maksiat terlebih dahulu. Kalau di muara suadah keruh, bagaimanakah harapan untuk mendapatkan air yang jernih di kuala.


Tatkala saatnya tiba, di suatu Subuh yang hening, aku persembahkan hajat kepada ibu memohon perkenan dan doa restu. Lama ibu terdiam dan berfikir. Hari berganti hari, minggu berganti minggu, akhirnya ibu memberikan jawapan "TIDAK".. Aku berasa tidak percaya, amat terkejut dan tidak sanggup menerima kenyataan. Aku terasa sangat bersendiri di dunia yang tidak peduli. Jiwaku lumpuh. Aku mengharu biru tatkala perasaan sedih mencengkam. Jiwa yang bagaikan tercedera berdarah-darah.


Saat itu ibu datang memujuk. Membentangkan hikmah satu persatu kenapa jalan itu yang dipilih ibu. Aku diam. Berbulan-bulan aku berfikir dan merenung ke dalam diri. Akhirnya aku temui jawapan. Cinta yang sementara itu bukan sepenuhnya aku sandarkan kepada Allah. Barangkali Allah sudah menayangkan jawapan kepada ibu bahawa cinta manusiawi semata-mata tidak cukup untuk membina bahagia. Pergantungan dan kecintaan kepada Allah mesti mendahului kecintaanku kepada manusia. Khayalan cinta sementara dahulu hanyalah perasaan yang meninggi ibarat pesawat yang membawa cinta menembusi awan-awan putih nun jauh tinggi di angkasa, tidak terjangkau pandangan mata.


Akhirnya aku akur dengan keputusan ibu, dan hikmahnya telah kujumpai kini. Hanya cinta sebenar-benarnya kepada Tuhan yang dapat memunculkan sesuatu kemampuan dan sifat-sifat rahsia yang jujur. Aku sudah ikhlas meninggalkan sejarah kehidupan indah dahulu yang bertaburan wangi bunga palsu. Inilah asyiknya menjadi anak kepada seorang ibu yang hebat, patah hati kerana cinta yang telah berlangsung sekian lama boleh pulih dalam waktu beberapa bulan dan disembuhkan Allah dengan bantuan seorang ibu yang mahu anaknya tidak melupakan pencipta.


Maka, sesiapapun jua yang menjadi pilihan, maka keizinan ibu ayah pasti mendahului. Selagi ibu tidak mengatakan "YA" selagi itulah aku akan taat dan patuh kepada kehendaknya. Keredhaan Allah sememangnya terletak kepada keredhaan ayah ibu. Aku akan terus berbakti kepada kedua-duanya tanpa jemu. Kebahagiaan mereka adalah kebahagiaanku, ketenangan mereka adalah ketenanganku.


Mom, happy mother's day! I love you more and more each day.

Bayu Dari Lembah

Monday, May 03, 2010 Posted by Azizah Aling

Wah, lama benar aku menghilang. Gandingan antara aku dan encik sibuk sangat rapat menyebabkan aku tidak mampu menjengah ke mari. Semoga Allah menerima kesibukanku sebagai sebahagian daripada ibadah dan amal soleh.

Seminggu yang lalu aku ke Negeri di Bawah Bayu melunaskan tugasan rasmi. Kesempatan ini juga digunakan untuk aku merungkai rindu. Sudah lama bayu dari lembah itu tidak dihirup. Sudah 12 tahun tanah itu aku tinggalkan jejak. Banyak perubahan yang ketara di sana sini meskipun banyak lagi ruang yang mesti diperbaiki.


Keberangkatan kali ini pada awalnya tidaklah begitu mengujakan memandangkan badan terlalu letih dengan hambatan tugas yang tidak pernah mahu berhenti. Barang-barang keperluan peribadi dikemaskan di saat akhir. Kenapa? Kerana pada malam sebelum berangkat, aku sibuk menyudahkan naskhah di bawah ini sehingga larut malam. Aku tidak bimbang kerana aku suka berpagi-pagi.


Di minda, aku tahu aku bisa punya waktu usai Subuh nanti untuk melengkapkan segala keperluan kerana penerbangan dijangka berlepas jam 12.15 tengahari. Panjang lagi waktu untuk aku bersantai. Usai Subuh, aku semak tiket. Sekadar mengesahkan apa yang sudah terlekat di minda. Aku lihat waktu penerbangan adalah jam 9.50 pagi. Hah!!! Aku terperanjat besar dan mula kelam-kabut mengemaskan keperluan. Usai mengemas, aku tersenyum sendiri mengenangkan kelalaian diri. Terlalu banyak perkara yang menghuni minda sejak akhir-akhir ini. Ataupun aku sudah tua barangkali.



Dapat membaca buku adalah suatu nikmat yang tidak terluah dengan kata-kata. Aku pernah mengalami tekanan secara diam kerana aku cuba menafikan hak minda untuk membaca buku sebagaimana rutin. Jiwa memberontak. Akhirnya aku tertekan tanpa aku sedari. Sudahnya, dalam kesibukan yang tidak sedikit, aku mencari kesempatan menghadami dua buah buku. Usai menggali intinya, tekanan pun menjauh. Wah! Ajaib sungguh kuasa buku. Maka, itulah sebabnya aku berusaha menguliti buku ini sehingga ke muka terakhir kerana aku tidak mahu membawanya ke Kota Kinabalu. Berat! Lagi pula jika tidak dihabiskan, perasaan membuak-buak untuk mengetahui konklusinya akan hilang.



Tiba di tempat penginapan, aku sempat menyusuri sebuah kompleks beli belah dan terlihat akan pertandingan ini. Aku sangat suka permainanan ini. Di zaman persekolahan, aku adalah salah seorang pemain catur walaupun tidaklah pandai sangat. Aku ada strategi sendiri untuk memberikan Check-Mate kepada lawan dalam masa 4 minit permainan! He he he.. (Ketawa dalam nada sedikit nakal)..


TIP OF BORNEO - Kuala Simpang Mengayau, Kudat.
Hari akhir persidangan, bos mempelawa ke sini.


Subhanallah.. Kehebatan Allah SWT. Tiada tolok bandingnya.




Sebahagian daripada pemandangan di Pasar Filipina atau lebih dikenali sebagai Phillipino Market. Pada hari pertama persidangan selesai, aku menapak seorang diri dari hotel penginapan ke lokasi ini. Kaki hampir kekejangan juga. Belakang juga sedikit kebas memandangkan aku memakai kasut bertumit sedikit tinggi. Aduhai! Silap perhitungan. Aku tidak tahu bahawa di sini penghuninya bukan sembarangan orang. Bila bos menegur keesokan harinya berpesan agar aku tidak terlalu berani berjalan bersendirian, baru timbul rasa takut dalam hati. Jika tidak, pasti aku akan redah lorong demi lorong ke sini bersendirian. Aku rasa selamat. Rupanya tidak. Hmm..



Anak kecil ini tidak mahu gambarnya dirakamkan. Lama kami bersembang. Baru berusia 6 tahun. Belum ke sekolah tadika kerana ibu bapanya tidak punya wang yang cukup. Bayangkan dengan kudrat 6 tahun, dia boleh menolak troli ini bersendirian. Banyak lagi usaha yang perlu dilaksanakan kerajaan agar tahap kemiskinan tegar dapat dihapuskan di sini. Simpatiku meninggi. Aku tidak menangis tetapi jiwa tersentuh melihat ketabahan dia melalui laluan hidup yang ditetapkan Tuhan sebegini. Aku pasti, ada hikmah di sebalik ujian ini.


Kaki pancing seperti aku sangat sukakan laut dan bot. Jiwa berbunga-bunga melihat hasil tangkapan yang segar. Andainya di hotel kami ada dapur yang membenarkan aku memasak makanan sendiri, pasti aku akan membeli bahan mentah barang sedikit untuk dimasak. Aduhai... Sayangnya tidak ada. Tidak mengapa, barangkali aku akan manfaatkan kesempatan lain jika berpeluang lagi ke sini.



Mesti beli untuk stok! He he..




Gamat!



SOLUSI Edisi 19 - Aku menghadami majalah ini sepanjang penerbangan dari KLIA ke KKIA. Membaca dengan air mata. Menangis diam-diam tatkala ada intinya yang menyentuh kalbu. Si Penghiba Hati seperti aku sangat mudah menangis apabila membaca teguran demi teguran, peringatan demi peringatan daripada para ustaz di dalamnya. Bacalah majalah ini aduhai teman! Gali permata berharga di dalamnya. Aku berusaha menyimpan semua koleksi untuk tatapan anak generasiku di hari esok sebagai bekal dan panduan.


Sebahagian "peralatan" wajib jika aku ke mana-mana. Aku menghadami dan menguliti Lasykar Pelangi buat kali ke-3. Barangkali aku sudah merindui karya baru garapan Saudara Andrea Hirata. Membaca tulisan beliau sangat menyenangkan. Anda pasti akan ketawa, menangis dan terharu sepanjang pembacaan bersilih ganti.


Bekerja di usia senja demi sesuap nasi. Ada kisah sayu di sebaliknya. Biarlah ia menjadi rahsia peribadi aku sendiri. Aku tidak tergamak untuk berkongsi di sini. Rasa simpatiku melimpah-limpah.








Aku tidak mahu mengulas apa-apa. Cuma aku kecewa! Hmmmm....

Banyak lagi yang boleh dikongsi. Cuma aku sudah keletihan mahu menyiapkan entri ini. Mata ini asyik meminta dipejam. Menghantar permohonan untuk berehat barangkali sebelum memulakan hari yang bakal mencabar kemampuan minggu hadapan.

Nanti aku akan menulis mengenai Palestin untuk entri akan datang. Ideanya sudah lama bersarang di minda. Cuma ia belum lagi terluah di sini. Sudah berbulan-bulan hasrat itu belum berupaya dilaksanakan. Insya Allah. Aku mengingatkan diriku sendiri agar kembali lagi ke sini.


Putrajaya
8.5.2010