Walau malu, tetap meminta syurga.

Wednesday, March 17, 2010 Posted by Azizah Aling



Entah kenapa malam itu, hati bagaikan begitu rawan sekali. Seketika bunyi dengus nafas dihela perlahan bersama-sama rintihan. Ada suara esakan tangis, namun perlahan cuma. Bunyi rintihan yang tertahan bersama-sama alunan bacaan Al-Qur'an bagaikan melodi yang sungguh mengasyikkan. Kaki melangkah masuk ke dalam rumah itu bagaikan sandera yang pasrah. Kubawa hatiku yang rawan, fikiran yang kelelahan dan nafsu yang masih liar.

Aku tidak mahu dan tidak mampu berpura-pura lagi. Inilah diriku wahai Illahi.. Rabbi.. Tidak punya kesucian daripada dosa, tidak memiliki keindahan yang dapat aku persembahkan. Inilah diriku yang penuh cela dan noda. Tanpa dapat berselindung, Kau maha tahu segala-galanya.

Mengapa takdirnya aku ke sini? Ke daerah suci di bawah bayu syurga.. Dingin.. nyaman.. tenang.. istirehat seketika di jalan mujahadahku yang penuh derita. Bukan kerana kebaikanku, tapi dek kerana kasih-sayang-MU yang membawa aku ke sini. Kau izinkan kaki dan hati yang berdosa ini singgah seketika bagi menatap jalur-jalur cahaya dalam relung diri yang gelap gelita. Benar kata-kata-Mu, bahawa Keampunan-MU mendahului murka-MU.

Kucecahkan kaki di marmar. Seakan kutuang segala kabut dan serabut fikrah yang kusut. Kunafikan licik dan strategi segala yang pernah berdetik di minda ini. Fikrah inilah yang mencipta dosa demi dosa. Sesah akal ini Ya Allah, palu akal ini Ya Rahman, dengan belantan inzar dan tazkirah-Mu. Fikrah ini sudah letih belayar tanpa arah.

Sujud dan rukuk aku di sana, menelanjangi segala aib dan dosa. Tanpa aku mengadu, KAU pun tahu. Namun, itulah wadah tanda menyerah, aku HAMBA-MU YA ALLAH... AKu kalah. Cintaku sekelumit cuma, hampir tiada. Saat ini aku hanya berbekal harapan. Benteng terakhirku hanya rasa tidak berputus asa. Kata-kata kekasih-kekasih-MU seringkali memujuk aku: Kejahatan yang menyebabkan engkau menangis, lebih baik daripada kebaikan yang menimbulkan rasa takbur.

Dalam rasa malu, takut dan harap, masih aku memberanikan diri untuk meminta lagi. Lalu di malam hari ini, aku layangkan gugusan permintaan. Satu demi satu melalui puisi hati. Kubiarkan bibir memanjangkan hasrat hati, mencari makna dan kata berpandukan rasa. Malam itu walaupun malu, aku tetap meminta syurga.

Ya Latif..
Berikan aku hati yang lain
Yakni hati yang lebih yakin
Hati yang lunak, agar mampu mencintai-Mu..


Malam itu adalah perjalanan yang panjang untuk aku, malam yang teramat indah.. Dapat kuluahkan segala dan semua. Seakan tercabut tulang yang mengait dalam sanubari sekian lama. Aku terus merayu dan merayu dengan-MU Ya Allah..


Aku dambakan kebaikan
...yang melahirkan kebaikan
Aku pohon ketenangan
...yang memberikan ketenangan
Pinggirkan segala sengketa
Hampirkan semua cinta
tanpa dendam... tanpa prasangka

2 comments:

V.I.C @ D.I.A.N.A said...

Usai baca coretan ini
Tiba-tiba terdengar alunan
Talbiah suci... Labbaik Allahhumma Labbaik...
Jadi rindu hati.. pada kubik berjubah hitam..
Kiblat seantero umat Islam.

Nor Azizah Aling said...

Tenangnya bumi Al-Haram sangat mendamaikan jiwa VIC. Entah kenapa, tiba-tiba pagi ni hati jadi sangat rindu..

Post a Comment