Seringkas Kilas Seimbas - Walau Sekadar Sebelah Mata

Saturday, April 17, 2010 Posted by Azizah Aling

Sudah lama aku tidak menjengah dan menukilkan kisah di ruangan ini. Secara jujur, aku benar-benar dihambat tugas yang banyak. Sebenarnya banyak artikel telah aku coretkan, sayangnya ia hanya siap separuh jalan dan masih kekal berada di ruangan "draft".. Mudah-mudahan, jika aku mempunyai kelapangan dan ruang untuk menyambung penulisan, aku bisa mengemaskini naskhah tersebut yang sebahagiannya sudah aku luahkan intipatinya di laman sawang facebook. Inti pentingnya ada di sana, tetapi lanjutannya masih kemas tersimpan di sini. Memetik kata-kata Sang Pelangi di laman facebook beliau:

"Sang Sibuk adalah musuh utama kepada persahabatan, ukhuwwah dan kasih sayang. Namun, ia berkawan baik dengan cita-cita dan impian. Salam perkenalan, Sang Sibuk."


Ini adalah taklif yang direncanakan Tuhan. Pastinya setiap taklif ini hadir bersama rahmat, hikmah dan kasih sayang daripada DIA Yang Maha Mengetahui. Apa yang penting, hati aku bahagia berada di dalamnya.

Aku pernah membaca tulisan ini tetapi aku lupa di mana. Aku catatkan dalam diari peribadi dan aku ingin kongsikan dengan kalian di sini: Kebahagiaan sebenarnya adalah satu ketenangan. Ketenangan itu letaknya di hati. Hati yang tenang ialah hati yang dapat menghadapi apa jua ujian hidup dengan sebaik-baiknya. Jika yang datang nikmat, hati yang tenang bersyukur. Jika yang datang musibah, hati yang tenang sabar. Hati yang tenang dipenuhi oleh rasa qanaah, tawakal, redha dan sabar serta lain-lain sifat mahmudah. Hati yang sedemikian dinamakan hati yang sejahtera - Qalbun Salim. Hati yang mesti dimiliki walaupun cuma sedetik, sebelum kita menemui Illahi. Dan aku sangat ingin memiliki hati yang sebegitu. Ya Allah, berikanlah aku hati yang sentiasa dilimpahi ketenangan agar aku bisa melaksanakan tugasku sebagai hamba-Mu tanpa ada rasa gundah membelit jiwa dan jasad yang kerdil ini. Kata Sang Pelangi lagi:


"Hidup bagai mengisi kotak-kotak teka silangkata. Satu 'huruf' berubah, maka berubahlah 'perkataan' lain. Soalan pembayang sering bertandang, namun jawapan tepat bukan pada kita. Andai semua jawapan tepat, apa hadiahnya? Selain syurga, bahagia."


Benar, yang ku cari adalah syurga biarpun jalannya tidak mudah
.

Inilah "teman" di hujung minggu kali ini yang meminta disantuni sebaiknya. Makanya, aku hanya berdiam diri di rumah melunaskan semuanya dengan sebaik mungkin.


Aku akan tetap menggali hikmah yang tersembunyi di sebalik helaian-helaian ini agar aku bisa menegakkan yang haq dan menghindarkan yang batil. Helaian ini MESTI selari dengan apa yang dinukilkan Allah di dalam Al-Qur'an. Tidak ada istilah tidak apabila berdepan dengan perintah Allah. Hamba mesti berpegang kepada prinsip "Kami Dengar, Kami Taat" setiap kali mendengar ayat-ayat Allah. Apabila berdepan dengan cinta Allah, segala cinta lain akan menjadi kecil dan terpinggir.


Aku hanya wanita kecil dan kerdil, yang mengharapkan petunjuk Al-Khaliq dalam menentukan arah tuju perjuangan yang tergalas di pundak. Ada kalanya aku jatuh, ada kalanya aku terduduk. Aka ketikanya aku gagah, ada masanya aku kuat. Menongkah gelombang ujian sememangnya tidak mudah. Lapangan ini sangat sukar untuk diredah bersendirian. Mujurlah Allah datangkan teman-teman yang sangat memahami dan saling memberikan kekuatan agar kami sama-sama kuat, sama-sama ampuh mendepani cabaran.

"Kamu nasihatilah para wanita itu dengan baik kerana sesungguhnya wanita itu dijadikan daripada tulang rusuk yang bengkok. Dan tulang yang paling bengkok ialah yang paling di atasnya. Maka, jika engkau paksa untuk meluruskannya, patahlah ia. Dan jika engkau biarkan saja, tentu selama-lamanya ia bengkok. Oleh itu, berbuat baiklah kepada para wanita." (Riwayat Bukhari & Muslim).
Makanya, betulkan aku tatkala aku bengkok agar aku dapat berjalan dengan lurus. Aku amat mengharapkan doa kalian semua.

Pandangan dari beranda rumah yang mewarnai hidup aku sehari-hari. Inilah pemandangan tatkala senja dan juga tatkala matahari menunjukkan wajah di pagi hari. Indah dan mempesonakan. Di beranda inilah selalunya aku berkomunikasi dengan ibu di telefon. Sambil bercerita, sambil aku menghayati wajah alam. Bersembang dengan ibu adalah saat indah dalam hidup. Ibu : orang yang aku peluk ketika gembira, dan tumpang bahunya ketika menangis.




Siapakah gerangan tentera kecil ini? He he.. Inilah tentera yang mewarnai hidup aku setiap pagi di pejabat. Anak kepada seorang kakitangan yang sangat comel dan seringkali membuatkan aku berasa sangat tidak sabar untuk bergelar seorang ibu!! Kamu sangat manja anakku!



Ibu ayahnya juga berasal dari Kelantan - Tanah Serendah Sekebun Bunga.
Dan kami tetap anak jati Kelantan biar langit berubah atap, tanah berubah lantai.


Kebahagiaan hari ini adalah kenangan indah untuk kamu wahai anak sebagai penyambung generasi hari esok. Maka, jangan cemari hari ini dengan dendam, permusuhan dan pertengkaran yang tidak memberikan sebarang manfaat. Bila besar nanti, jadilah anak soleh yang boleh memberikan manfaat buat agama dan bangsa.

Zafran, ingat pesan auntie bila besar nanti: Islam bukan halangan tetapi kawalan dalam usaha memburu kemajuan dunia. Hukum Allah boleh diibaratkan sebagai lampu isyarat di jalan raya yang berfungsi sebagai kawalan agar perjalanan kenderaan sentiasa selamat. Maka, selama kita mematuhi lampu isyarat itu, selama itulah kita bebas bergerak ke mana jua arah dengan selamat.


Dalam kesibukan dengan tugas, aku masih sempat menjengah sebentar ke majlis ini di tingkat bawah.

Sebahagian yang hadir.

8 comments:

V.I.C @ D.I.A.N.A said...

Terima kasih Azizah kerana berkongsi kata hikmah kat atas. Suka sangat kata-kata "Sang Sibuk adalah musuh utama kepada persahabatan, ukhuwwah dan kasih sayang. Namun, ia berkawan baik dengan cita-cita dan impian.

Kedengaran seperti cita2 dan kasih sayang tak berada di satu haluan. Amat mustahil untuk mendapatkan kedua2nya - walaupun susah untuk diterima akal fikir, hakikatnya begitulah.

Ezan said...

Assalamualaikum. Tulisan yang bersahaja dan santai, tetap ada sesuatu yang bernilai untuk dikongsi bersama. Jadikan sang sibuk sebahagian dari sahabat agar ia tahu betapa ia begitu bernilai. TQ

n @ s said...

slam, akak azizah. tmpang tnya akak amik law ker? sbb sy tgk cpc code.
anyway, agree dan sgat suka dengan kata-kata
"Sang Sibuk adalah musuh utama kepada persahabatan, ukhuwwah dan kasih sayang. Namun, ia berkawan baik dengan cita-cita dan impian."

zeqzeq said...

mmm,,,melepas diri dari sibuk sekejap..lega

Mr Lonely said...

nice blog.. have a view of my blog when free.. http://www.lonelyreload.blogspot.com .. do leave me some comment / guide if can.. if interested can follow my blog...

Nor Azizah Aling said...

#VIC: Itu ayat Sang Pelangi yang memberikan inspirasi. Lawati dia di www.sangpelangi.com. Anak muda yang berjiwa besar dan matang sebelum usia. Bijak menilai hidup. Banyak nasihat di sana yang boleh dikutip.

#ENCIK EZAN: Tulisan saya sangat sederhana. Saya bercerita sekadar meluahkan apa yang terbuku di hati. Matlamat asal blog ini dicipta adalah untuk mencoretkan catatan peribadi yang tak mampu diluahkan kepada orang lain. Tak sangka ada juga yang mengikuti. Manfaatkan apa yang baik, buangkan jauh-jauh apa yang tidak baik.

#N @ S: Iya, saya mengambil jurusan undang-undang semasa di universiti dahulu.

#ZEQZEQ: Kamu pun sibuk ya? Tapi sibuk itu adakalanya menyedarkan kita akan taklif yang belum terlaksana dalam banyak perkara.

zeqzeq said...

saya sedang mencari antara sang sibuk dgn sang malas siapa yang lena dulu

Nor Azizah Aling said...

Zeqzeq: Siapa lena dulu tidak penting. Siapa yang bangun dulu itu lebih penting. Cepat bangun, otak lagi segar dan hasilnya juga luar biasa.

Post a Comment