Di mana kasih - Di mana sayang?

Tuesday, February 16, 2010 Posted by Azizah Aling

Sudah lama aku tidak menulis di laman ini. Masa amat mencemburui aku untuk terus melakar coretan di ruang maya ini. Terlalu banyak bahagian kasih sayang dan perhatian yang harus dikongsi, lebih-lebih lagi jika ia melibatkan keluarga, kerjaya dan masalah umat @ masyarakat. Tidak mengapa, bila ada kelapangan waktu pastinya aku akan segera bersinggah ke sini.



Melihat gambar ini, hati aku digamit sayu dan marah yang amat dalam. Di mana kasih, di mana sayang sehingga tergamak membunuh bayi yang tidak berdosa? Apakah adil untuk anak ini menanggung akibat dan derita kesan daripada kerja gila ibu ayahnya yang tidak mahu bertanggungjawab? Barangkali anak ini mengalami tekanan emosi sejak di dalam kandungan lagi. Aku yakin ibunya pasti melakukan pelbagai perkara agar benih yang dibawa di dalam rahim gugur dan tidak menjadi - sekaligus tidak lahir ke dunia. Tetapi kuasa Allah tiada siapa mampu menghalang.


Hanya iblis bertopengkan manusia sahaja yang tergamak membunuh anak sendiri. Binatang pun tahu menyayangi anaknya. Justeru, amat jelas bahawa ibu yang sanggup melakukan hal sebegini bukanlah berhati binatang, malah lebih hina daripada itu dan tidak keterlaluan kalau aku katakan ibunya berhati syaitan. Anak itu amanah Allah, dipinjamkan DIA ke dunia untuk kita mengasuh, mendidik dan membimbingnya mengenal pencipta. Entahlah.... barangkali ada sesuatu yang silap dalam masyarakat kita hari ini. Itulah kesannya apabila ajaran agama dan nilai akhlak islamiyyah dikesampingkan kerana terlalu mengejar dunia. Isi dunia ini tidak akan habis, nikmat yang sementara ini tak akan mati selagi kiamat belum menjengah. Tetapi manusia lupa bahawa dunia bukanlah matlamat akhir kehidupan kita. Dunia hanyalah ladang tempat kita bercucuk tanam untuk membawa hasil yang baik ke alam akhirat nanti.


Benar, aku belum lagi menjadi ibu dan belum tahu erti peritnya hidup berumahtangga walaupun masanya sudah sesuai untuk aku melangkah ke alam berkeluarga. Tapi sebagai seorang wanita, aku pasti setiap yang bergelar perempuan mempunyai naluri kasih sayang yang amat dalam terutama apabila melihat anak-anak kecil sebegini. Wajahnya mulus, suci tanpa noda dan dosa. Aku tidak mampu berfikir bagaimanakah seorang ibu yang mengandungkan dan melalui keperitan proses melahirkan anak sanggup dan cukup tegar hatinya membuang anak sendiri. Ya, barangkali kamu terlepas hukuman di dunia. Tetapi pastinya kamu tidak akan terlepas dalam pertimbangan di atas neraca Allah di alam akhirat nanti. Anak ini pasti akan datang menuntut haknya. Ahh.. malu sungguh.


Duhai anak, kami tidak mampu berbuat apa-apa untuk menyelamatkanmu. Maafkan kami. Tidak mengapa, syurga Allah selayaknya untukmu. Allah akan memberikan keadilan terbaik untukmu. Derita yang mengiringi permulaan kehidupanmu di dunia adalah permulaan ketukan ke pintu syurga Allah yang amat indah sekaligus menjadikan kamu penghuninya yang mulia.

0 comments:

Post a Comment