Aku sebutir pasir..

Friday, February 19, 2010 Posted by Azizah Aling

Aku pernah tewas
Cuma ketika itu aneh
Mereka berkata aku insan terpilih
Mengurnia aku anugerah
Kurnia meski bukan darjah

Bahkan yang ku kira kejayaan
Rupanya menyebabkan aku semakin rendah
Tidak pada sisi pandangan manusia
Tapi pada takah barakah Allah.


Lalu kejayaan pada fikirku dulu pernah tersasar
Dalam menentu apa hakikat apa firasat
Nyatalah kejayaan sebenarnya bukan
Angkuh kebakuan ukuran manusia
Bahkan Tuhan tidak pernah menghitung kejayaan
Hanya usaha yang Dia persoalkan

(Nukilan Abang Sayed Munawar)





Ada tika dan saatnya perasaan manusia diuji Tuhan dengan gelombang yang kecil, sederhana dan besar. Aku juga tidak terkecuali. Ada masanya aku rasa seperti hilang pergantungan, ada masanya aku terasa seperti jiwaku sangat berkobar-kobar untuk melaksanakan apa juga bentuk amanah. Itulah manusia, jiwanya sering tidak berketentuan.


Sebab itulah hidup kita ini perlu disandarkan kepada Yang Benar-Benar Berkuasa, agar pergantungan yang kita sangkut tidak akan terputus sampai bila-bila. Harapan dan doaku cuma satu: moga-moga Allah menetapkan aku di jalan yang lurus dan mampu istiqamah dalam melaksanakan tugas sebagai hamba, walaupun ada kalanya kaki ini seringkali tergelincir, seringkali memungkiri janji dengan Yang maha Kuasa. Ampuni daku Ya Allah..




Yang aku pasti, Allah sentiasa ada bersama-sama di sisi sepanjang jalan kehidupanku. DIA menegur segala salah silapku dalam bentuk yang tersendiri. Alhamdulillah. Aku yakin, ujian datang bersama kemanisan, kerana di sebalik mehnah yang bertandang, pasti di hujungnya hasanah yang tidak terbilang. Alhamdulillah, di sebalik apa sekalipun bentuk ujian, aku bersyukur kerana ditemani sahabat-sahabat yang faham erti perjuangan dan membantu aku memilih landasan mana yang paling tepat. Terima kasih sahabat.


Sahabat, aku ingin berdiam bersamamu, di musim dingin yang indah, kerana dingin angin itu bisa menyatukan rasa-rasa di relung jiwa kita. Aku akan sentiasa bersamamu di musim panas yang terik itu, kerana terik mentari itu bisa menghangatkan sepi yang merantai sukma.

Aku hanya butiran pasir
di tengah padang yang luas
Menginsafi rahmat yang tidak terbatas
Merasakan kekerdilanku di sisi-Nya
Bersyukur dengan apa dikurnia
Menyumbang apa yang mampu
Moga-moga dengan pasir yang halus
Dapat membina sebuah bangunan
Yang indah dan kukuh
untuk memberi guna kepada yang lain.

2 comments:

azieazah said...

Mensyukuri diri masih menjadi diri sendiri...
menikmati segala keindahan dan kebahagiaan...
bila menghargai tanpa keraguan....
bersendirian pun tidak terasa ngeri..
kerana DIA Maha Mengetahui..

zeqzeq said...

andaian sebutir pasir menandakan hambaNYA yang daif.

salahguna kuasa dan sombong akan lenyap dari padang pasir, kecuali ada insan yang rasa SEBESAR mentari kuasanya.

Post a Comment