Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010

Sunday, March 28, 2010 Posted by Azizah Aling

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra yang membuka lembaran pada 19.3.2010 telah melabuhkan tirai pada 28.3.2010. Suasananya cukup meriah, dihadiri kesemua lapisan masyarakat dari serata ceruk tanahair. Saat majlis pembukaan berlangsung, aku masih lagi berada di kampung halaman berulit dengan bonda tersayang.


Sekembalinya ke sini, aku memanfaatkan segenap ruang dan peluang yang ada untuk menjengah PDDP sekalipun tugas di pejabat sangat mengikat. Apa tidaknya, telah seminggu aku tinggalkan semuanya tergantung ibarat anak ayam yang kehilangan ibu. Hampir tiada ruang kosong di atas meja untuk aku meletakkan komputer riba melunaskan kerja. Tapi tidak mengapa. Apa saja yang dilakukan atas nama cinta dan kecintaan, walau sesukar mana sekalipun onak membadai tetap tidak terlihat sebagai halangan. Tetap tidak terasa sebagai satu bebanan.




Hampir setiap luang masa yang ada, aku menapak ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PDDP). Ada masanya aku berteman, ada masanya aku bersendirian. Ibarat berada di syurga buku dan terasa seperti aku mahu membeli semua buku yang ada! Benar, aku tidak menipu! Itulah yang terlakar dalam hati dan minda aku! Perjalanan dari satu gerai ke satu gerai ibarat satu penerokaan yang indah. Seperti pengembaraan sepasang merpati dua sejoli yang begitu asyik dilamun cinta. Aku bahagia, tenang dan ceria menatap wajah-wajah masyarakat yang bersusun mencari naskhah sebagai koleksi pembacaan dan simpanan buat panduan hari-hari mendatang.




Pesta buku bukan sekadar sebuah pesta mencari buku berkualiti pada harga murah, tetapi aku melihatnya lebih daripada itu. Ia pesta meraikan kekukuhan institusi kekeluargaan. Apa tidaknya, ramai ibu ayah yang mengusung dan mengelek anak-anak bersama-sama mencari naskhah untuk dihadami di rumah bersama-sama. Secara tidak langsung, komunikasi dua hala terjalin. Persefahaman yang berdikit berkembang dan membesar. Ranum. Secara tidak langsung institusi kekeluargaan boleh diperkukuhkan dan rasa mahabbah mawaddah menyubur dengan sendirinya.


Ibu bapa tidak patut kedekut untuk berbelanja membelikan buku untuk anak-anak untuk tujuan memandaikan mereka. Pasti anak-anak berasa dihargai jika apa yang mereka minati direstui ibu ayah. Anak-anak bukan meminta banyak. Sedikit pun cukup asalkan ia bermanfaat buat membuka minda mereka. Wah! Terasa tidak sabar untuk menjadi seorang ibu dan mengelek anak ke Pesta Buku bersama-sama suami. Tetapi sekadar berangan sahajalah. Calonnya belum kelihatan. Aduh!!




Untuk diri aku sendiri, pastinya beberapa lokasi kedai sudah dikenal pasti untuk aku jejaki dan berlama-lamaan di situ bagi "mengutip" naskhah bagus buat membangun jiwa yang seringkali tertidur. Antara yang memang menjadi pilihan sejak awal adalah Galeri Ilmu Sdn. Bhd. (paling banyak aku borong), Telaga Biru Sdn. Bhd., Al-Hidayah Publications Sdn. Bhd., PTS (paling aku suka kerana aku bisa berlama-lama di hujung sudut menghadami naskhah sebelum membeli tanpa diganggu), Pustaka Salam, Inteam Sdn. Bhd., Ana Muslim, ITNM dan banyak lagi lah. Kalau bukan disebabkan kaki semakin lenguh dan bimbang kekejangan di tempat awam, barangkali aku boleh berada di sana sehingga gerai ditutup setiap hari. Tetapi memikirkan aku bersendirian dan tidak berteman, tidak manis untuk berlama-lama di luar rumah di waktu malam. Sekali sekala bolehlah (wah! ada pengecualian juga).


Terdapat beberapa gerai yang senantiasa dikerumuni pengunjung. Lihat saja telatah mereka di Gerai Galeri Ilmu, Gerai PTS, Gerai Telaga Biru. Berasak-asak mereka beratur bagi mendapatkan tandatangan penulis. Aku berdiri memerhati dengan sekuntum senyuman terlakar di bibir. Kalah artis. Kalau ilmuwan yang menyeru ke jalan kebaikan yang dipuja puji, aku bersyukur. Jika artis diperlakukan sebegitu, gundah benar rasa dalam hati ini. Aku tidak mampu merakam telatah itu melalui lensa kamera - biarlah ia terpahat dalam ingatan sahaja dan menjadi sebahagian kenangan manis. Aku tidak pula berusaha mendapatkan tandatangan kerana apa yang aku mahu adalah pengisian yang terkandung di dalam buku. Itu lebih memberikan makna.


Di gerai Al-Hidayah, ramai yang terus-terusan memburu karya Pak Habiburrahman atau aku lebih gemar gelarkan beliau sebagai Kang Abik. Karyanya senantiasa dekat di hati dan digemari khalayak pembaca. Dulu rakyat Malaysia demam dengan naskhah Ayat-Ayat Cinta. Sekarang ini mereka demam lagi dengan naskhah Ketika Cinta Bertasbih. Karyanya memang segar. Garapannya hebat. Aku pernah melalui zaman "gilakan" karya Kang Abik tahap ekstrim. Tapi itu dulu lah, di tahun 2008. Usai menghadami karya Ayat-Ayat Cinta, aku sangat jatuh cinta tahap maksimum dengan penulisannya. Lantas aku ke kedai buku di Amcorp Mall, Petaling Jaya mencari karya lain yang ditulis beliau.


Pencarian itu menemukan aku dengan Ketika Bertasbih 1 dan 2. Kedua-duanya aku beli dan aku hadami dalam masa 2 hari. Padahal pada waktu itu aku sedang sibuk memperkemaskan diri sebelum menunaikan umrah di Tanah Suci. Kakak aku menegur, ganjil barangkali apabila melihat adiknya begitu gigih mencerna novel KCB 1 dan 2 sedangkan masa sudah terlalu suntuk. Aku bilang pada kakak, janganlah risau. Dalam kapal terbang nanti aku baca buku panduan haji dan umrah itu. Lagipun ia dalam tulisan jawi, lebih mudah dihayati sebab doanya juga dalam Bahasa Arab. Panjang kakak membebel. Hehe.. Terima kasih atas kasih sayang dan ingatanmu kakak! Balik daripada umrah, aku mula menghadami Pudarnya Pesona Cleopatra, Di Dalam Mihrab Cinta, Di Atas Sejadah Cinta dan karya lain tulisan Kang Abik. Pada masa tersebut, aku sudah menjangkakan bahawa karya-karya ini bakal meletup.


Ternyata telahan aku benar apabila sekarang karya Kang Abik digilai kembali terutamanya dalam bentuk filem. Tapi percayalah, apa yang digarap dalam filem hanya 30% sahaja. Bukunya jauh lebih hebat!! He he.. Apapun, baguslah juga apabila mereka menggemari karya sebegini.. sekurang-kurangnya anak-anak remaja hari ini bisa memahami erti dan makna bercinta yang setulusnya. Cinta Tuhan didahulukan berbanding cinta manusia.


PBAKL juga seolahnya menjadi medan aku bertemu mata dengan rakan taulan. Almaklumlah semuanya sibuk bekerja di hari-hari biasa. Ada yang telah bertahun tidak bertemu mata, akhirnya berselisih bahu di sana. Ada yang dikenali secara maya, mampu dilihat dari jauh sahaja sebab aku malu untuk menegur. Di ruangan maya, aku berbicara lantang. Bila berdekatan, kepala lutut aku akan menggeletar kalah mesin pengurus badan! Pemalu lah kononnya. Tapi memang betul pun, aku ni pemalu. Berat mulut nak mula berbicara. He he.. Paling istimewa, teman yang aku kenali di Madinah tahun 2008 turut berada di sana bersama-sama ibunya. Apabila ibunya menegur, aku terkejut bukan kepalang. Kerja Tuhan tak siapa boleh duga.


Namun begitu, hati aku juga pedih dan perit dengan satu insiden yang amat menjengkelkan hati. Ia berlaku di hari terakhir aku ke PDDP. Usai solat zohor, aku ke ruangan jualan di seberang sungai. Berjalan bersendirian dengan tangan memegang beberapa lagi plastik bag terkandung buku. Banyak sekali "ulat-ulat" yang begitu "ghairah" mempromosikan produk mereka sehinggakan lupa adat dan norma transaksi jual beli. Ada yang sanggup memaksa dan menarik muka keruh. Huh! Buat malu saja. Secara peribadi, aku amat tidak gemar diekori dan dipaksa mendengar kempen mereka. Perkara begini sangat merencatkan kewibawaan penganjuran seolah-olah tiada garis panduan khusus untuk mempromosikan naskhah yang ingin dijual.


Di suatu petang Ahad yang damai, aku mundar mandir di situ menuju ke gerai Al-Hidayah. Disapa oleh "hamba Allah" yang sangat "indah dan cantik" akhlaknya. Dia tawarkan aku buku dan berusaha berkempen. Aku jawab dalam loghat Kelantan "maaf lah. Ambo tok minat." Lalu dia berkata dalam Bahasa Inggeris : ""Shit! You said you are not interested yet now you are here at the book fair!" Kawan dia jawab: "Don't talk like that. It doesn't sound nice." Aku pelik dan hairan. Aku malas hendak melayan, aku menapak sedikit ke depan tetapi telinga tetap meneliti apa lagi yang dia mahu perkatakan. Dia berani menjawab lagi: "She wouldn't understand. Don't worry. She is stupid!" Telinga aku pijar. Panas. Bernanah rasanya. Terus aku berpusing dan berjalan ke arah si lelaki bertuah itu:
"Don't think that I'm wearing Jubah and a big tudung and look like a village girl, I am not civilised. You cannot simply undermine my ability. Your attitude is really unbecoming. I might lodge a police report against your statement and it can be investigated under the Penal Code for harrassment."


Lelaki itu terdiam. Tidak menyangka wanita kerdil yang kelihatannya amat lemah ini berani bersuara selantang itu. Sarang tebuan jangan dijolok. Aku terlalu sedih, begitu rendah sekali dia memandang martabat wanita kampung seperti aku. Sengaja aku bersantai di hujung minggu dengan jubah hitam, memudahkan untuk aku bersolat kerana tidak perlu mengusung telekung ke sana sini.
Lalu aku berjalan ke arah Al-Hidayah dan air mata aku gugur di situ. Aku berdiri di tepi menjauh daripada orang. Dan aku terpandang key-chain di bawah ini. Lalu aku merakamkannya menggunakan kamera telefon bimbit buat memujuk hati.










Semoga Allah memaafkan aku atas kelantangan yang terluah. Aku terasa sangat berdosa. Aku berpatah balik untuk meminta maaf, tetapi dia sudah tidak kelihatan di situ. Aku aturkan kaki ke gerai PTS. Aku memegang sebuah buku kecil tulisan AA Gym. Aku ambil dan menuju ke suatu sudut sedikit tersorok. Aku baca helai demi helai. Dan air mata aku gugur lagi dalam diam tanpa disedari orang. Hampir satu jam setengah aku di situ membaca buku kecil tersebut. (Nanti aku kongsikan intipatinya di sini bila berkelapangan).


Usai membaca, aku ke kaunter bayaran dan membeli naskhah kecil itu untuk koleksi. Sebelum pulang, aku intai teman-teman di PTS. Abang Faris sibuk, Maz juga sibuk. Sang Pelangi pula tidak kelihatan. Akhirnya, aku menapak keluar dan menyusur jalan untuk pulang. Di dalam kereta, tangisan bersambung lagi sederas hujan yang turun membasah jalan menyiram bumi. Aku pujuk hati sendiri dan berdoa agar Tuhan memaafkan kesilapan tadi. Aku tak berniat mengugut dan megherdik lelaki itu. Cuma aku kesal dan kecewa kenapa jalan itu yang dipilih untuk mempromosikan barangan yang dianggap berharga sehingga sanggup berkata begitu terhadap golongan wanita yang sememangnya lemah.


Panjang betul entri kali ini. He he.. Ini isi hati aku yang tersimpan kemas di dalam. Apapun, agenda menghadami buku yang dibeli sudah bermula. Aku memohon agar Allah memberikan aku hidayah untuk menjadi hamba yang lebih baik dari semalam dan melorongkan aku untuk berada di jalan kebaikan seumur hayat dikandung badan. Amin. Semoga penganjuran sebegini lebih kerap diadakan dan masyarakat Malaysia menjadi masyarakat yang sangat gemar membaca bagi merobohkan tembok kejahilan dan kedunguan. Selamat jalan PBAKL 2010. Selamat bertemu lagi buat PBAKL 2010 (part II) ada ke? he he.. ataupun PBAKL 2011.





Aku sukakan motivasi ringkas ini!


Aku di sini seketika sahaja.


Antara yang sempat dirakam!

11 comments:

anyss said...

Assalamualaikum,
Terbuka hati untuk menulis sepatah kata di sini, mohon izin tuan tanah ;).

cara saya berdepan dengan promoter kat mana-mana pesta sekalipun (hanya pergi pesta buku, pesta barangan komputer atau pasaraya sahaja. Pesta lain tak pernah pergi);
Senyum dengan lebar dan ucapkan "terima kasih". Itu sahaja. Setakat ini saya berjaya hindari iklan-iklan yang tidak diingini itu tanpa menyebabkan mereka ada rasa nak paksa lagi.
Kalau malas nak kata apa-apa, saya hanya angkat tangan macam model @ artis terkenal yang melambai2 kepada peminatnya. Senyum lagi. Melangkahlah dengan laju ke hadapan.

Namun saya akui, pengalaman pahit sebegini perlu didepani juga walaupun dah buat dua cara di atas kerana kita tidak mampu untuk mengubah orang lain, melainkan ubah diri sendiri. Banyak2 bersabar ya...itu kan sebahagian dari ujian Allah.

Azizah Aling said...

Terima kasih atas perkongsiannya Cik Puan Anyss. Itulah, saya sudah senyum. Barangkali senyuman saya belum cukup manis untuk menawan hati dia supaya tidak mengekori saya. Apa pun, saya terima ia sebagai salah satu bentuk didikan yang Allah ingin berikan - agar saya tidak berbuat perkara yang sama di kemudian hari.

Yang hairannya, semasa saya berpakaian rasmi pejabat dalam warna hitam putih atau apabila saya memakai kot, tidak pula saya diasak sebegitu rupa. Apakah dunia hari ini sangat mengutamakan darjat sebelum kata nista dilontarkan. Entahlah..

Cetusan said...

minta maaf lepas tu saman jerr..

Cetusan said...

boleh jumpa pengurus penerbit..supaya jangan ulangi tahun depan..atau buang.. terus dari jadi Promoter..

Kakcik Seroja said...

SalaM Azie..

walaupun catatan Azie agak panjang.. tapi, kakcik membacanya bait demi bait, baris demi baris.. ada pengajaran yang kakcik dapati. Terima kasih.

Manusia - di 'lantai' mana pun, tetap ada yang berperangai sama - menilai tanpa mencanai... menganggap diri lebih dari ornag lain hanya berpandukan pandangan mata...

Azizah Aling said...

zeqzeq: 1. Saya telah mencarinya kembali untuk memohon maaf, tetapi dia telah tiada di situ. Semoga dia memaafkan kelantangan suara saya. Saman akan sentiasa menjadi pilihan terakhir saya(baca: tidak pernah ada dalam minda saya untuk menyaman orang).

Kakcik: Terima kasih kerana membaca tulisan dhaif saya ni satu persatu. Moga ada manfaatnya. Saya tidak minta dipuja mereka, cukuplah menghormati sesama hamba tanpa meletakkan status yang luar biasa untuk dihormati. Di sisi Tuhan kita semua hamba kepada DIA. Tiada beza kecuali tahap taqwa dan iman kita.

Cetusan said...

Nor,

ada dua versi,

jika iannya Islam atau Melayu, boleh jumpa atau cari mana2 promoter atau darimana sayarikat penerbitan, bukan soal ayat yang U keluarkan, soal siapa yang memulakan,

ini kes serangan AGAMA atau gender...ayat bahasa yang BIADAP, ia yang harus meminta maaf, kerana siapa yang memulakan ayat kasar?? dia bekerja dengan siapa,pengguna sentiasa betul

jika ianya bukan Islam elok HALALKAN dan maafkan..

UglyPooh said...

sbenarnya ksiankan org biadap org macm tu....

hati dia slalu dlm keadaan cepat marah. sabarla zah.

azieazah said...

Tumpang sedih dengan insiden tersebut... Begitulah manusia kala terdesak..


*6 hari Kak Azie bertugas di booth Creative Enterprise Sdn Bhd. Terjumpa NADIA yang mengkhabarkan AZIZAH ada datang, tapi tidak berkesempatan kita bertemu...

Naddy said...

kena sebiji haha

Azizah Aling said...

Kak Azie: Saya tak perasan pulak Kak Azie ada di sana. Kalau kita bergabung, pasti heboh jadinya.. Barangkali kita pula yang perhatian.. :)

Post a Comment