Facebook aku minta berehat :)

Friday, December 31, 2010 Posted by Azizah Aling

Assalamualaikum buat kalian, pembaca yang budiman.

Semoga kalian sihat-sihat sahaja hendaknya dengan tugas sehari-hari. Wah! Esok kita akan melangkah ke tahun baru 2011. Selamat tahun baru aku ucapkan. Semoga perihal yang baik-baik sahaja mendatangi kalian nanti hendaknya. Aku? Masih setia di sini dengan tugasku sebagai anak, muslim dan mukmin. Aku semakin nakal? Oh! Tidak. Sudah berkurang nakalnya. Hehe. Aku semakin berani mengutarakan hujah? Hmm... Entahlah. Barangkali ya, barangkali tidak. Cuma, jika aku tahu sesuatu itu tidak betul dan tidak kena, laju sahaja mulutku ini berbicara. Aku ini sukar ditebak, kata seorang sahabat. Barangkali ada benarnya. Hehe~~


Semalam aku terpaksa 'deactivate' akaun Facebook buat seketika. Mengapa? Huh! Kerjaku menimbun bagaikan gunung. Aku perlu benar-benar fokus supaya natijahnya baik. Adil. Berhikmah. Asalnya aku bercuti minggu lalu. Hajatnya mahu berehat dan melepaskan lelah. Lalu, aku berlibur dengan teman-teman tersayang, memperuntukkan masa dengan ahli keluarga dan pelbagai aktiviti lain yang mengundang senyum dan tawa. Penyudahnya, tatkla aku kembali melangkah ke pejabat, mood malas itu menjadi-jadi dan memberat. Facebook itu bagaikan mempunyai daya magnet merayu-rayu aku membukanya. Haisy! Nakal ya kamu ini wahai Facebook.


Lantas, dengan pantas dan tuntas, aku terpaksa mengambil keputusan untuk 'deactivate' akaun Facebook. Aku akan bersegera kembali menyapa teman-teman setelah aku selesai melunaskan taklif. Januari - Mac aku padat. Aku tidak tahu sama ada aku bisa lolos untuk hal-hal kebajikan atau tidak. Harapnya aku bisa berbuat demikian. Kalian doakan aku ya. Selamat untuk kalian.

Mulanya di sini

Friday, December 10, 2010 Posted by Azizah Aling

Semoga belum terlambat untuk kuucapkan selamat datang tahun baru 1432 hijrah kepada kalian. Semoga kehadirannya bisa saja memberikan sinar baru, harapan baru, kisah baru, ilmu baru bahkan juga jejak baru untuk melengkapkan satu lagi kepingan hidup sepanjang kembara di dunia.


Bagaimanalah nanti natijahnya di alam sana setelah kepingan-kepingan itu dicantumkan menjadi satu kisah lengkap? Jika aku membaca novel, aku selalu mengharapkan penyudahnya yang indah-indah sahaja. Jika pengakhirannya tidak seperti yang kuharapkan, pasti sekali aku sedih dan mula mereka-reka penyudahnya sendiri. Itu tidak mengapalah. Sekadar novel. Lakaran gambaran dan khayalan citra manusia.


Tidak mampu kubayangkan pengakhiranku di alam akhirat nanti. Apakah penyudahnya seperti yang kuharapkan tatkala kubaca kisah manusia di dalam novel, atau sebaliknya... Hmm.. Moga Tuhan memandu akalku mencari kebenaran, menjaga iman dan memperbanyakkan amalan yang bisa membantuku di alam sana. Dan aku berdoa untuk kalian juga, mudah-mudahan kita semua beroleh husnul khatimah.


1431H - Aku soroti perjalanan yang telah ditinggalkan itu dengan kuntuman senyum yang lebar. Banyak catatan gembira sepanjang semusim yang lalu. Pastinya, aku akan simpan kemas-kemas dalam lipatan kenangan. Banyak perkara yang mendidik diri dan aku bersyukur kerana Tuhan sangat menyayangi aku walaupun adakalanya kakiku tergelincir. Tatkala jejakku tersadung, DIA sentiasa ada untukku, memberikanku sejuta pertolongan sehingga aku bisa bangkit kembali.


1432H - Ada banyak impian dan hajat besar yang mahu aku lunaskan. Mudah-mudahan hajat itu dimakbulkan Tuhan. Ya, tarikannya sangat kuat. Aku mohon doa kalian semua agar apa yang aku impikan ini bisa saja menjadi suatu kenyataan. Amin. Mudah-mudahan semuanya baik-baik belaka. Aku juga doakan semoga hajat kalian juga terlaksana sebagaimana impian. Impian yang baik, pasti saja menjadi kenyataan asal saja kita tidak berputus asa dengan rahmat Allah.


Akan kupintal awan gemawan indah di langit
Untuk kujadikan hiasan hati.
Akan kudendangkan lagu damai buat penghuni dunia
biar kasih sayang itu abadi.
Akan kususun bilah-bilah bahagia menjadi selimut diri.
Mudah-mudahan hati kita terus tersenyum.
Moga-moga dunia ini aman dan tebaran kasturi cinta
terus mengharum.
Tiada dendam, tiada benci tiada murung.



Kongsi Bahagia - Kongsi Ceria

Friday, December 03, 2010 Posted by Azizah Aling

Kalian mahu tahu ke mana langkah kaki dibawa sepanjang tempoh dua bulan yang lalu? Ha! Inilah tempat terpilih ke mana derap kaki itu dibawa. Dalam ribut dan taufan kesibukan yang tidak mahu berhenti, Allah masih memberikan keizinan untuk aku mengenali makna diri melalui aktiviti yang sihat dari segi minda, emosi malahan spiritual juga.

Nah! Aku persembahkan untuk kalian dan kalian nilaikanlah sendiri ya. Ia berlaku di sekitar perkampungan orang asli Kampung Songkok, Ulu Yam, Bukit Tinggi dan Janda Baik.

Jika ada sesiapa di kalangan kalian yang berhati mulus mahu menderma, ayuh panjangkanlah hajat itu dankhabarkan ia kepadaku. Mudah-mudahan aku dapat lunaskan hasrat kalian untuk berbakti.






Lihat! Inilah realiti sebuah kehidupan.
Kita ada taklif untuk membantu.
Erti hidup pada memberi, bak kata Saifulislam.




Ini saat kami menjamah makanan di rumah Bonda Guru usai aktiviti.
Lokasinya: Janda Baik.
Aku jatuh cinta dengan Janda Baik.
Aman. Nyaman. Damai. Tenang. Ah! Semuanya indah belaka.

Buah Markisa - Prof. sendiri yang tanam di kebun beliau. Lazat yang amat.


















Inilah Sang Pelangi yang sering aku sebutkan lewat entri.
Anak muda yang berhati waja - kental - akhlaknya mulia.
Graduan dari Jepun.

















"Sang Pari-Pari"












Ustaz Asyraff - graduan dari Jordan.
Penulis buku.
Penterjemah Al-Qur'an.
Usahawan.
Sahabt yang baik dan matang.


Thursday, December 02, 2010 Posted by Azizah Aling

Assalamualaikum wrt. wbt.


Wah! Lama sungguh jejakku tertinggal di belakang. Aku benar-benar rindukan kalian semua yang sudi menyapaku lewat emel, Facebook juga talian telefon memohon aku kembali mencoret kisah di laman ini. Aduhai sahabat yang budiman, tahukah kalian mengapa aku diam membisu seribu bahasa?



Sebabnya, aku kehilangan kata laluan dan ingatanku yang tua ini lupa apakah kata laluan yang sahih untuk dimasukkan bagi mendapatkan akses ke blog ini. Tuhan Maha Kaya. Aku terjumpa catatan kecil di dalam dompet pagi tadi. Ya, di situ tertulis kata kunci laluan ke laman ini. Tahukan kalian, aku melompat keriangan seperti anak kecil mendapat aiskrim. Hahah! Maka benarlah hakikat bahawa aku sudah tua bukan? Ya, walaupun sudah tua, namun kudratku masih banyak. Hehe~~



Ya! Aku rindukan laman ini. Aku mahu kembali mencoret kisah dan bahasa hati buat tatapan anak generasiku nanti. Aku pasti akan kembali dengan entri yang lebih memberikan makna. Tunggu ya! Izinkan aku lunaskan taklifku terlebih dahulu. Nanti aku pasti bersegera kembali ke sini melakarkan kisah rindu yang menujah kalbu.



Azizah Aling.
Puteri Bunga Semalu.