Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010

Sunday, March 28, 2010 Posted by Azizah Aling

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra yang membuka lembaran pada 19.3.2010 telah melabuhkan tirai pada 28.3.2010. Suasananya cukup meriah, dihadiri kesemua lapisan masyarakat dari serata ceruk tanahair. Saat majlis pembukaan berlangsung, aku masih lagi berada di kampung halaman berulit dengan bonda tersayang.


Sekembalinya ke sini, aku memanfaatkan segenap ruang dan peluang yang ada untuk menjengah PDDP sekalipun tugas di pejabat sangat mengikat. Apa tidaknya, telah seminggu aku tinggalkan semuanya tergantung ibarat anak ayam yang kehilangan ibu. Hampir tiada ruang kosong di atas meja untuk aku meletakkan komputer riba melunaskan kerja. Tapi tidak mengapa. Apa saja yang dilakukan atas nama cinta dan kecintaan, walau sesukar mana sekalipun onak membadai tetap tidak terlihat sebagai halangan. Tetap tidak terasa sebagai satu bebanan.




Hampir setiap luang masa yang ada, aku menapak ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PDDP). Ada masanya aku berteman, ada masanya aku bersendirian. Ibarat berada di syurga buku dan terasa seperti aku mahu membeli semua buku yang ada! Benar, aku tidak menipu! Itulah yang terlakar dalam hati dan minda aku! Perjalanan dari satu gerai ke satu gerai ibarat satu penerokaan yang indah. Seperti pengembaraan sepasang merpati dua sejoli yang begitu asyik dilamun cinta. Aku bahagia, tenang dan ceria menatap wajah-wajah masyarakat yang bersusun mencari naskhah sebagai koleksi pembacaan dan simpanan buat panduan hari-hari mendatang.




Pesta buku bukan sekadar sebuah pesta mencari buku berkualiti pada harga murah, tetapi aku melihatnya lebih daripada itu. Ia pesta meraikan kekukuhan institusi kekeluargaan. Apa tidaknya, ramai ibu ayah yang mengusung dan mengelek anak-anak bersama-sama mencari naskhah untuk dihadami di rumah bersama-sama. Secara tidak langsung, komunikasi dua hala terjalin. Persefahaman yang berdikit berkembang dan membesar. Ranum. Secara tidak langsung institusi kekeluargaan boleh diperkukuhkan dan rasa mahabbah mawaddah menyubur dengan sendirinya.


Ibu bapa tidak patut kedekut untuk berbelanja membelikan buku untuk anak-anak untuk tujuan memandaikan mereka. Pasti anak-anak berasa dihargai jika apa yang mereka minati direstui ibu ayah. Anak-anak bukan meminta banyak. Sedikit pun cukup asalkan ia bermanfaat buat membuka minda mereka. Wah! Terasa tidak sabar untuk menjadi seorang ibu dan mengelek anak ke Pesta Buku bersama-sama suami. Tetapi sekadar berangan sahajalah. Calonnya belum kelihatan. Aduh!!




Untuk diri aku sendiri, pastinya beberapa lokasi kedai sudah dikenal pasti untuk aku jejaki dan berlama-lamaan di situ bagi "mengutip" naskhah bagus buat membangun jiwa yang seringkali tertidur. Antara yang memang menjadi pilihan sejak awal adalah Galeri Ilmu Sdn. Bhd. (paling banyak aku borong), Telaga Biru Sdn. Bhd., Al-Hidayah Publications Sdn. Bhd., PTS (paling aku suka kerana aku bisa berlama-lama di hujung sudut menghadami naskhah sebelum membeli tanpa diganggu), Pustaka Salam, Inteam Sdn. Bhd., Ana Muslim, ITNM dan banyak lagi lah. Kalau bukan disebabkan kaki semakin lenguh dan bimbang kekejangan di tempat awam, barangkali aku boleh berada di sana sehingga gerai ditutup setiap hari. Tetapi memikirkan aku bersendirian dan tidak berteman, tidak manis untuk berlama-lama di luar rumah di waktu malam. Sekali sekala bolehlah (wah! ada pengecualian juga).


Terdapat beberapa gerai yang senantiasa dikerumuni pengunjung. Lihat saja telatah mereka di Gerai Galeri Ilmu, Gerai PTS, Gerai Telaga Biru. Berasak-asak mereka beratur bagi mendapatkan tandatangan penulis. Aku berdiri memerhati dengan sekuntum senyuman terlakar di bibir. Kalah artis. Kalau ilmuwan yang menyeru ke jalan kebaikan yang dipuja puji, aku bersyukur. Jika artis diperlakukan sebegitu, gundah benar rasa dalam hati ini. Aku tidak mampu merakam telatah itu melalui lensa kamera - biarlah ia terpahat dalam ingatan sahaja dan menjadi sebahagian kenangan manis. Aku tidak pula berusaha mendapatkan tandatangan kerana apa yang aku mahu adalah pengisian yang terkandung di dalam buku. Itu lebih memberikan makna.


Di gerai Al-Hidayah, ramai yang terus-terusan memburu karya Pak Habiburrahman atau aku lebih gemar gelarkan beliau sebagai Kang Abik. Karyanya senantiasa dekat di hati dan digemari khalayak pembaca. Dulu rakyat Malaysia demam dengan naskhah Ayat-Ayat Cinta. Sekarang ini mereka demam lagi dengan naskhah Ketika Cinta Bertasbih. Karyanya memang segar. Garapannya hebat. Aku pernah melalui zaman "gilakan" karya Kang Abik tahap ekstrim. Tapi itu dulu lah, di tahun 2008. Usai menghadami karya Ayat-Ayat Cinta, aku sangat jatuh cinta tahap maksimum dengan penulisannya. Lantas aku ke kedai buku di Amcorp Mall, Petaling Jaya mencari karya lain yang ditulis beliau.


Pencarian itu menemukan aku dengan Ketika Bertasbih 1 dan 2. Kedua-duanya aku beli dan aku hadami dalam masa 2 hari. Padahal pada waktu itu aku sedang sibuk memperkemaskan diri sebelum menunaikan umrah di Tanah Suci. Kakak aku menegur, ganjil barangkali apabila melihat adiknya begitu gigih mencerna novel KCB 1 dan 2 sedangkan masa sudah terlalu suntuk. Aku bilang pada kakak, janganlah risau. Dalam kapal terbang nanti aku baca buku panduan haji dan umrah itu. Lagipun ia dalam tulisan jawi, lebih mudah dihayati sebab doanya juga dalam Bahasa Arab. Panjang kakak membebel. Hehe.. Terima kasih atas kasih sayang dan ingatanmu kakak! Balik daripada umrah, aku mula menghadami Pudarnya Pesona Cleopatra, Di Dalam Mihrab Cinta, Di Atas Sejadah Cinta dan karya lain tulisan Kang Abik. Pada masa tersebut, aku sudah menjangkakan bahawa karya-karya ini bakal meletup.


Ternyata telahan aku benar apabila sekarang karya Kang Abik digilai kembali terutamanya dalam bentuk filem. Tapi percayalah, apa yang digarap dalam filem hanya 30% sahaja. Bukunya jauh lebih hebat!! He he.. Apapun, baguslah juga apabila mereka menggemari karya sebegini.. sekurang-kurangnya anak-anak remaja hari ini bisa memahami erti dan makna bercinta yang setulusnya. Cinta Tuhan didahulukan berbanding cinta manusia.


PBAKL juga seolahnya menjadi medan aku bertemu mata dengan rakan taulan. Almaklumlah semuanya sibuk bekerja di hari-hari biasa. Ada yang telah bertahun tidak bertemu mata, akhirnya berselisih bahu di sana. Ada yang dikenali secara maya, mampu dilihat dari jauh sahaja sebab aku malu untuk menegur. Di ruangan maya, aku berbicara lantang. Bila berdekatan, kepala lutut aku akan menggeletar kalah mesin pengurus badan! Pemalu lah kononnya. Tapi memang betul pun, aku ni pemalu. Berat mulut nak mula berbicara. He he.. Paling istimewa, teman yang aku kenali di Madinah tahun 2008 turut berada di sana bersama-sama ibunya. Apabila ibunya menegur, aku terkejut bukan kepalang. Kerja Tuhan tak siapa boleh duga.


Namun begitu, hati aku juga pedih dan perit dengan satu insiden yang amat menjengkelkan hati. Ia berlaku di hari terakhir aku ke PDDP. Usai solat zohor, aku ke ruangan jualan di seberang sungai. Berjalan bersendirian dengan tangan memegang beberapa lagi plastik bag terkandung buku. Banyak sekali "ulat-ulat" yang begitu "ghairah" mempromosikan produk mereka sehinggakan lupa adat dan norma transaksi jual beli. Ada yang sanggup memaksa dan menarik muka keruh. Huh! Buat malu saja. Secara peribadi, aku amat tidak gemar diekori dan dipaksa mendengar kempen mereka. Perkara begini sangat merencatkan kewibawaan penganjuran seolah-olah tiada garis panduan khusus untuk mempromosikan naskhah yang ingin dijual.


Di suatu petang Ahad yang damai, aku mundar mandir di situ menuju ke gerai Al-Hidayah. Disapa oleh "hamba Allah" yang sangat "indah dan cantik" akhlaknya. Dia tawarkan aku buku dan berusaha berkempen. Aku jawab dalam loghat Kelantan "maaf lah. Ambo tok minat." Lalu dia berkata dalam Bahasa Inggeris : ""Shit! You said you are not interested yet now you are here at the book fair!" Kawan dia jawab: "Don't talk like that. It doesn't sound nice." Aku pelik dan hairan. Aku malas hendak melayan, aku menapak sedikit ke depan tetapi telinga tetap meneliti apa lagi yang dia mahu perkatakan. Dia berani menjawab lagi: "She wouldn't understand. Don't worry. She is stupid!" Telinga aku pijar. Panas. Bernanah rasanya. Terus aku berpusing dan berjalan ke arah si lelaki bertuah itu:
"Don't think that I'm wearing Jubah and a big tudung and look like a village girl, I am not civilised. You cannot simply undermine my ability. Your attitude is really unbecoming. I might lodge a police report against your statement and it can be investigated under the Penal Code for harrassment."


Lelaki itu terdiam. Tidak menyangka wanita kerdil yang kelihatannya amat lemah ini berani bersuara selantang itu. Sarang tebuan jangan dijolok. Aku terlalu sedih, begitu rendah sekali dia memandang martabat wanita kampung seperti aku. Sengaja aku bersantai di hujung minggu dengan jubah hitam, memudahkan untuk aku bersolat kerana tidak perlu mengusung telekung ke sana sini.
Lalu aku berjalan ke arah Al-Hidayah dan air mata aku gugur di situ. Aku berdiri di tepi menjauh daripada orang. Dan aku terpandang key-chain di bawah ini. Lalu aku merakamkannya menggunakan kamera telefon bimbit buat memujuk hati.










Semoga Allah memaafkan aku atas kelantangan yang terluah. Aku terasa sangat berdosa. Aku berpatah balik untuk meminta maaf, tetapi dia sudah tidak kelihatan di situ. Aku aturkan kaki ke gerai PTS. Aku memegang sebuah buku kecil tulisan AA Gym. Aku ambil dan menuju ke suatu sudut sedikit tersorok. Aku baca helai demi helai. Dan air mata aku gugur lagi dalam diam tanpa disedari orang. Hampir satu jam setengah aku di situ membaca buku kecil tersebut. (Nanti aku kongsikan intipatinya di sini bila berkelapangan).


Usai membaca, aku ke kaunter bayaran dan membeli naskhah kecil itu untuk koleksi. Sebelum pulang, aku intai teman-teman di PTS. Abang Faris sibuk, Maz juga sibuk. Sang Pelangi pula tidak kelihatan. Akhirnya, aku menapak keluar dan menyusur jalan untuk pulang. Di dalam kereta, tangisan bersambung lagi sederas hujan yang turun membasah jalan menyiram bumi. Aku pujuk hati sendiri dan berdoa agar Tuhan memaafkan kesilapan tadi. Aku tak berniat mengugut dan megherdik lelaki itu. Cuma aku kesal dan kecewa kenapa jalan itu yang dipilih untuk mempromosikan barangan yang dianggap berharga sehingga sanggup berkata begitu terhadap golongan wanita yang sememangnya lemah.


Panjang betul entri kali ini. He he.. Ini isi hati aku yang tersimpan kemas di dalam. Apapun, agenda menghadami buku yang dibeli sudah bermula. Aku memohon agar Allah memberikan aku hidayah untuk menjadi hamba yang lebih baik dari semalam dan melorongkan aku untuk berada di jalan kebaikan seumur hayat dikandung badan. Amin. Semoga penganjuran sebegini lebih kerap diadakan dan masyarakat Malaysia menjadi masyarakat yang sangat gemar membaca bagi merobohkan tembok kejahilan dan kedunguan. Selamat jalan PBAKL 2010. Selamat bertemu lagi buat PBAKL 2010 (part II) ada ke? he he.. ataupun PBAKL 2011.





Aku sukakan motivasi ringkas ini!


Aku di sini seketika sahaja.


Antara yang sempat dirakam!

Andai Wanita Mentadbir Dunia

Thursday, March 25, 2010 Posted by Azizah Aling

PENGUMUMAN: Ini bukan satu provokasi. Aku hanya sekadar mahu menyelitkan apa yang ada untuk tatapan dan untuk difikir-fikirkan. Lihatlah ketertiban seorang wanita - begitu teliti dalam segenap perkara yang ingin dilakukan. Sebab itulah wanita ditetapkan Allah untuk menjadi ibu - kerana wanita mempunyai bentuk pemikiran yang teliti, unik dan kreatif.

Bayangkan jikalau wanita tidak kreatif, mana mungkin dia bisa menjadi murabbi untuk anak-anak yang semakin hari semakin dihimpit pelbagai bentuk hasutan dan anutan yang tidak bertamaddun. Mendidik anak-anak bukan kerja mudah. Kalau modul yang sama digunakan dari dulu sehingga ke hari ini, anak-anak mungkin bosan kerana sudah boleh menjangkakan bentuk didikan yang bakal diberikan. Sebagaimana yang diungkapkan oleh Sayyidina Umar Al-Khattab : Antum a'lam bi umuri dunyakum. "Kamu lebih mengetahui akan urusan duniamu. Maka mendidik anak-anak perlulah mengikut kesesuaian zaman tapi tidak bermakna ia boleh tergelincir daripada landasan aqidah. Tugas untuk memenangi hati anak-anak tidak mudah - ia jauh lebih payah jika ingin dibandingkan dengan tugas memenangi hati suami. Wah..!! Kenyataan berapi ni..


Tetapi ada kalanya, kekreatifan ini tidak digunakan pada tempatnya sehingga menimbulkan fitnah. Kita hidup di zaman fitnah. Fitnah itu bukan hanya bermaksud menceritakan perihal buruk orang lain kepada umum, tetapi konteksnya mengikut Al-Qur'an jauh lebih besar daripada itu. Fitnah itu boleh membawa maksud kacau bilau. Banyak sekali kita lihat kreativiti wanita yang tidak disandarkan kepada syarak. Nah!! Lihat saja kreaviti menghasilkan tudung. Benar, bertudung itu satu kewajipan. Kalau benar-benar ikhlas, pastinya kreativiti itu disandarkan kepada syarak apabila tudung bukan sekadar dibuat untuk menutupi rambut, tetapi juga melabuhkannya sehingga menutupi paras dada. Entahlah.. mungkin duit yang menjadi lonjakan utama menghasilkan kreativiti yang seolah-olahnya mempermainkan agama. Aku tidak tahu di mana silapnya...



Mungkin ada yang akan kata, walaupun tudung pendek tetapi ia lebih baik daripada langsung tidak memakai tudung. Aku panjangkan soalan kepada kamu yang bertanya sedemikian: apakah agama itu mesti diikuti separuh-separuh? Bagaimana kalau Allah beri kamu kaki, tetapi DIA beri kaki di sebelah kanan sahaja. Kaki sebelah kiri tidak diberikan. Boleh kamu berjalan dengan sempurna? Jawabnya tentu sekali tidak. Begitu juga agama. Ia tidak boleh diamalkan separuh-separuh. Nanti ia akan kelihatan tempang - sekaligus menimbulkan fitnah yang lebih besar dan natijahnya - timbullah kekeliruan dan kacau bilau dalam beramal.


Aku tidak mengatakan diri aku ini sempurna. Astaghfirullahal 'azim. Maafkan aku kalau aku khilaf dalam berbicara. Aku juga punyai banyak kelemahan, tetapi aku sedang berusaha memperbaiki diri dari hari ke hari. Aku tidak mahu kecintaanku pada dunia mengatasi kecintaanku pada akhirat. Aku yakin akan rahmat Allah yang tidak pernah putus untuk hambanya memanjangkan taubat kerana aku yakin janji Allah tentang pengampunan.


















Cinta yang melangit luas..

Tuesday, March 23, 2010 Posted by Azizah Aling

Penghujung minggu yang lepas, aku kembali ke Bumi yang digelar sebagai Serambi Makkah (walaupun aku tak tahu apakah konotasi ini benar & cocok atau tidak). Inilah Tanah Serendah Sekebun Bunga, Negeri Cik Siti Wan Kembang. Sudah lama benar rasanya kaki ini tidak menginjak pada tanah yang subur dan damai dalam keunikannya yang tersendiri.


Hati sudah lama berada di kampung halaman, meskipun jasad masih berada di Putrajaya melunaskan tugasan yang tidak pernah selesai. Selalunya, ibu ayah yang mengunjungi anak-anak di sini sambil berehat dan bercuti atau melangsaikan tugas rasmi mereka. Memandangkan sudah lama udara di tanah kelahiran tidak dihirup, aku memutuskan untuk kembali.. Kembali ke pangkuan wajah-wajah yang dirindui.. menikmati kembali suasana yang hening bening dan menyimpan sejarah peribadi tersendiri.



Wajah yang disayangi

Ayah



Kereta menyusuri jalanraya jam 3.30 pagi dari Petaling Jaya. Aku benar-benar menikmati suasana hening pagi - kota Kuala Lumpur masih lena di sesetengah bahagiannya tetapi di sebahagian yang lain, masih rancak menyaksikan telatah manusia yang tidak kenal makna tidur dan rehat di malam hari. Benar-benar bertingkah dengan tuntutan azali seorang hamba. Jam 5.50 pagi, kami berhenti di Masjid Berchang, Pahang untuk menunaikan Solat Subuh. Saf agak panjang di bahagian muslimah. Aku gembira dan bahagia. Nyanyian cengkerik dan kokokan ayam benar-benar mendamaikan. Alhamdulillah..


Di sepanjang perjalanan, aku menikmati pemandangan alam semulajadi yang masih segar - masih jelas kelihatan embun pagi menitis di dedaunan. Kereta tidak banyak di jalanan menyebabkan aku boleh memandu dalam keadaan yang lebih tenang. Kelajuan kenderaan sederhana sahaja. Aku akui bahawa aku benar-benar rindukan kedamaian alam semulajadi. Memandu ke Kelantan bermakna pemandu mesti merentasi hutan rimba Pahang dan Kelantan. Lihatlah gambar-gambar di bawah ini yang sempat aku rakamkan di sepanjang perjalanan pulang ke kampung dan perjalanan aku menuju ke beberapa destinasi di Kelantan.


Aku tertarik dengan nama tempat ini. Sebagai anak jati Kelantan, sejujurnya aku tidak pernah tahu bahawa ada nama tempat sebegini di Kelantan. Aduh!! Buat malu saja.



Ini bukan udang. Tapi inilah belalang. Sedap. Belalang halal untuk dimakan sebagaimana termaktub dalam hadith Nabi SAW.



Nama tempat ini pun aku tidak pernah tahu.


Aku marah ni.. Pembakaran terbuka - pesawah membakar jerami padi.



Wajah alam..





Bawa anak-anak buah mandi-manda di Pantai Seri Tujoh.



Pemandangan biasa di Kelantan di hari cuti. Terkenang zaman sekolah rendah dulu.

'Azwa - peneman Cik Ngah yang setia.
'Azwa suka naik kereta dengan Cik Ngah sebab kereta Cik Ngah teduh - Mungkin kerana cermin kereta aku agak gelap. Kuranglah bahang matahari.


Dalam perjalanan ke Tumpat

Pohon kekabu. Banyak kekabu yang diterbangkan angin.

My everything


Kena pakai tali pinggang keledar macam 'Azwa ok!!


Perjalanan bermula jam 3.30 pagi.
'Azwa: 'Azwa tidur dulu. Nanti lepas subuh,
'Azwa temankan Cik Ngah memandu ok!! (Sambil mengambil telekung solat di belakang)
Cik Ngah: Ok..


'Azwa: Cik Ngah potong la lori ni. Susah 'Azwa nak tengok jalan kat depan.
Cik Ngah: Ok..


Jalan yang selalu meragut nyawa pengguna jalan raya. Walaupun ia jalan lurus, jangan sesekali memandu dengan kelajuan yang tinggi.

Selamat datang ke Kelantan!!!


Kabus pagi..

Bumi Allah sangat mendamaikan..


'Azwa yang ambil ni..




Sedih melihat bumi yang diperlakukan sebegini rupa..

Kesan kerakusan tangan manusia..


Rahsiakan Pertunangan - Umumkan Perkahwinan

Wednesday, March 17, 2010 Posted by Azizah Aling

Tanggal 13.3.2010, adinda Hajah Asfahani binti Hamzah selamat melangsungkan perkahwinannya dengan jejaka pilihan hati Muhammad Hafiz bin Haji Jamel. Lokasinya di Ayer Hitam, Johor Bahru. Sejujurnya, aku tersangat penat untuk memandu bersendirian ke sana memandangkan Jumaat yang lalu (12.2.2010) ditutup dengan pelbagai agenda yang menuntut ketahanan mental dan fizikal. Tetapi, memandangkan janji sudah diikat bahawa aku akan hadir, maka aku gagahkan diri menuju ke majlis adinda Asfahani - rakan sepejabat yang aku hormati kehadirannya di sini.


Usai solat subuh, aku bersiap-siap untuk ke sana. Jam 7.00 pagi, aku membelah kesunyian pagi bersendirian dari Putrajaya dan suasana sepanjang perjalanan sangat mengasyikkan. Pagi itu jalanraya tidak sibuk. Kereta dipandu pada tahap 140 - 150 km/j. Jam 9.00 pagi, aku sudah tiba di rumah Hani. Hati sangat teruja dan bahagia melihat adik yang juga sahabat seperjuangan sedang melalui fasa bahagia dalam hidup.. Nah, lihat ya gambar-gambar di bawah ini - sebahagian daripada wajah alam dan wajah insan yang tersenyum bahagia yang sempat aku rakamkan.


Matahari yang masih tersipu-sipu
menunjukkan wajah di sebalik litupan awan.
Nah!! Jalanraya lengang!!
Lebuhraya dengan 2 laluan menandakan aku sudah melepasi Negeri Melaka..

Indahnya ciptaan Tuhan..
Perkara sebegini sudah cukup membahagiakan hati aku sepanjang hari..



Nadia - adik yang aku sayangi di pejabat.
Tidak berkira soal kerja dan tinggi penghormatannya kepada yang lebih tua,
walaupun si tua ini tidak lah sepandai mereka.

(Kamu bertanya kenapa aku berkata begini? Jawabnya: aku pernah bertemu dengan anak muda yang sangat kedekut aras hormatnya. Kemudilah hidup kamu sendiri tanpa bimbingan daripada yang lebih tua. Si Tua memang tidak mampu menjulangkan kamu setinggi langit kerana tiada kudrat yang cukup)..

Kami makan tengahari bersama - meraikan Hani sebelum beliau bergelar seorang isteri :)





Sedang bersiap-siap untuk majlis akad nikah.


Si Jelita yang cantik rupawan.



Abah - orang yang paling gembira.
Tapi abah banyak kali sebak - dan aku juga turut sebak sepanjang akad berlangsung.
Abah sangat merendah diri - walaupun dia adalah bekas wakil rakyat yang masih disegani.

Wajah lega! he he he..


Hafiz sebelum upacara aqad dijalankan. Dalam debar yang sarat.



Selamat menempuh alam rumahtangga dan beroleh syurga yang disegerakan.


Semoga rumahtangganya kekal sakinah, dilimpahi mawaddah dan rahmat. Amin..







Kita berukhuwwah kerana Allah..










Selamat untuk kamu dik!! Maaf kerana tidak boleh menunggu sehingga majlis selesai kerana perlu kembali ke Tanah Serendah Sekebun Bunga jam 3.00 pagi..